Monday, November 16, 2009

SK 'peta jalan' 1Malaysia

BUKU bertajuk Menakhoda Zaman (2009) terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan MPH Publishing yang memuatkan ucapan-ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, turut mengandungi isu mengenai perlunya mengangkasa tamadun bangsa.

Meminjam istilah yang digunakan iaitu "peta jalan" dan "batu tanda" maka suatu aspek penting wajar diberi perhatian bagi memastikan tamadun bangsa setinggi angkasa menjadi kenyataan.

Paling utama ialah keperluan mendesak terhadap satu sistem aliran sekolah kebangsaan (SK) yang hakikatnya merupakan "peta jalan" sebenar untuk kita semua menuju cita-cita pembinaan negara bangsa yang kini sering disebut sebagai 1Malaysia.

Di SK, generasi muda Malaysia yang merupakan "rebung", dilentur agar tidak mendatangkan masalah kemudian hari apabila sudah tiba peringkat "buluh".

Bagi pihak yang masih sukar menerima cadangan tersebut, mereka harus menyoal diri sendiri. Jika benar sekolah pelbagai aliran telah mewujudkan perpaduan antara kaum, mengapa setelah 53 tahun merdeka, kita masih berdepan dengan rapuhnya tahap integrasi nasional?

Oleh itu, peranan SK sebagai wadah pendidikan nasional perlu diterima secara terbuka tambahan pula institusi SK ini berada di trajektori dua dasar utama negara iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dalam masa yang sama, gagasan 1Malaysia yang berteraskan lapan prinsip iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati dan kesetiaan hanya akan menjadi kenyataan apabila semua rakyat memilih satu bumbung persekolahan yang sama.

Dengan ruang sosial yang terbuka di SK berbanding sekolah vernakular, anak bangsa Malaysia diasuh supaya melakukan anjakan paradigma pemikiran berbeza dengan ibu bapanya.

Mereka akan lebih saling mengenali dan bercampur gaul serta memahami citra budaya kaum lain.

Jelas, interaksi pelajar berbilang kaum di SK merupakan latihan jangka panjang bagi melahirkan generasi pelapis negara yang bersedia menangani cabaran globalisasi.

Wajah hodoh globalisasi sebagai proses dominasi ekonomi dan penjajahan budaya negara maju Barat dapat diubah kerana SK berupaya melahirkan pemain global bukan sekadar pengguna global apatah lagi dipermainkan oleh global.

SK juga menyediakan atmosfera yang bersesuaian untuk menjana kesedaran sosial bangsa Malaysia melampaui batas kepentingan kaum semata-mata sebaliknya luas menerjah kepentingan nasional dan negara bangsa Malaysia.

Hasilnya, proses globalisasi tidak akan menjejaskan jati diri dan keselamatan negara sebaliknya mengukuhkan lagi kerangka perpaduan bangsa negara ini.

Harapan Perdana Menteri seperti yang digariskan dalam buku Menakhoda Zaman untuk mengangkasakan tamadun bangsa iaitu pencapaian setinggi mungkin cita-cita bagi kemajuan dan kemakmuran bangsa Malaysia sudah semestinya dapat dizahirkan apabila semua warga tanah air ini berada dalam sekolah satu aliran.

Apa pun, bagi melihat sekolah satu aliran menjadi kenyataan, iltizam politik amatlah dituntut.

Kesediaan dan tolak-ansur golongan yang selama ini mempertahankan sekolah vernakular merupakan batu tanda paling bersejarah bagi menjayakan matlamat mega bangsa Malaysia. Satu Sekolah untuk Satu Malaysia. Disediakan oleh: Mohd Arif Atan

Beradab dalam berbahasa

BULAN Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan ini bukan sahaja menuntut kita menggunakan dan mengutamakan bahasa Melayu malah membudayakan bahasa milik Satu Malaysia itu dengan beradab dan sopan.

Adakah kita tertib dalam berbahasa atau kena pada masa dan tempatnya?

Paling mudah, kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS). Tidak patut berlaku SMS yang menggunakan bahasa caca-marba. Kita akui tujuan SMS adalah untuk menghantar pesanan ringkas tetapi hairannya mengapa ada pihak boleh pula menaip 'kenapa' sebagai napew tidak nape atau 'mana' sebagai maner? Bukankah ejaan sedemikian hanya memanjangkan kata berkenaan?

Selain itu, ada pula kakitangan yang mewakili jabatan buat pertama kali menelefon pegawai jabatan lain dengan membahasakan dirinya dan orang lain sebagai "abang", 'adik", "Kak Ti" atau "awak" atas urusan rasmi.

Hal ini turut 'berjangkit' dalam kalangan pelajar universiti. Apabila mereka berhubung dengan agensi atau syarikat atas keperluan kursus pengajian atau memohon peruntukan ada antara mereka sekadar menghantar SMS.

Mesejnya pula menggunakan bahasa yang sukar difahami. Jika menelefon pula, selepas memberi salam kerap dimulakan dengan "En. Ali, ke ni?". Sepatutnya, lebih elok jika memperkenalkan diri dan meminta maaf terlebih dahulu jika mengganggu kemudian barulah menyatakan tujuan menelefon.

Hakikatnya, panggilan formal seperti "encik" dan "saya" lebih sesuai jika berhubung atas urusan rasmi melainkan mungkin kenalan rapat atau umur sebaya. Berkomunikasi perlu mengambil kira faktor kesesuaian usia, masa, tempat dan kedudukan sosial.

Jika tidak, wujudlah keadaan gagal membezakan mana situasi yang memerlukan kita serius dan mana yang tidak perlu. Kerja tidak profesional juga berlaku akibat bercakap pun sambil lewa. Status pelajar universiti pula akan turun apabila bercakap masih kebudak-budakan.

Begitu juga semasa berbual. Timbul gejala apabila bercakap dengan bukan Melayu, orang Melayu akan bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Walhal, apabila dua orang bukan Melayu bercakap dan dalam masa yang sama ada seorang Melayu, perbualan sesama bukan Melayu itu adalah dalam bahasa mereka bukannya pun dalam bahasa Inggeris!

Seharusnya, bulan Oktober ini dijadikan sebagai pencetus azam seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan status sosial untuk membudayakan bahasa kebangsaan yang beradab dalam setiap urusan seharian sama ada secara bertulis mahupun lisan. Disediakan oleh: Mohd Arif Atan