Monday, March 7, 2011

Bahasa: Bangga tetapi ragu?

Esok sehingga Khamis, Putrajaya menjadi saksi bagaimana orang luar dari enam benua begitu petah berkata-kata dalam bahasa kita. Sejak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri diadakan pada tahun 2007, dapat dilihat pelbagai rupa bangsa di dunia ini yang mampu berhujah dalam bahasa kita.

Melawati laman web rasmi PABM, kita dapat melihat antara objektif pertandingan tersebut ialah “memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.”

Ramai daripada kita lekas terpesona dengan apa sahaja kedudukan yang mencapai peringkat dunia atau antarabangsa. Ungkapan seperti pengantarabangsaan seolah-olah menjadi “sihir” kepada ramai pihak untuk mendabik dada bahawa dirinya hebat dan setanding dengan bangsa dari negara maju lain.

Lantas, sepanjang PABM ini kita bangga mengetahui bahasa yang kita ucap sejak kecil ini rupa-rupanya bahasa kelima terbesar di dunia. Kita juga tidak menyangka terdapat hampir 300 juta orang penutur bahasa Melayu seluruh dunia.

Malangnya, sebahagian daripada kita masih malu dan ragu dengan keupayaan bahasa milik bangsanya sendiri pada ketika berbangga dengan pencapaian bertaraf dunia yang jelas terbukti dimiliki oleh bahasa Melayu.

Hari ini gejala bangga melihat orang asing bercakap bahasa kita tetapi ragu pula bercakap bahasa sendiri umpama suatu penyakit yang tidak mengenal siapa. Tidak kira orang politik, syarikat swasta, artis sehinggalah golongan pentadbir di universiti.

Mereka yang “rakus” mahu mencapai taraf dunia itu lazimnya ragu dengan potensi bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengukuh jati diri. Sebaliknya, tanpa segan-silu ibarat pelacur murahan menjual maruah dengan menyanjung tinggi bahasa Inggeris.

Mereka lupa bahawa bangsa Melayu tidak akan dikaitkan dengan agama Islam jika orang Arab yang datang ke wilayah dunia Melayu dahulu hanya menggunakan bahasa mereka dalam menyebarkan agama Islam.

Hal ini telah ditekankan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya bertajuk “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” (1972). Orang Arab “sengaja memilih” bahasa Melayu kerana dianggap alat paling sesuai untuk menyebarkan agama Islam bukannya bahasa Sanskrit atau Jawa Kuno.

Selain itu, bagi sesiapa yang ragu dengan bahasa Melayu sebenarnya sengaja buat lupa bahawa kedudukan diri serta bangsanya hari ini adalah atas “jasa” bahasa Melayu. Kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu berkembang maju dalam tempoh 30 tahun selepas pelaksanaan Dasar Bahasa dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tanpa iltizam kepimpinan mantan Perdana Menteri kedua kita dahulu yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, mustahil bangsa Melayu dapat menikmati kesejahteraan hidup seperti hari ini.

Mereka yang ragu dengan bahasa Melayu tetapi bangga pula jika orang asing fasih bertutur bahasanya sebenarnya dihantui rasa rendah diri. Segala usaha dan penat lelah generasi terdahulu dalam mengangkasa bahasa Melayu dibuang begitu sahaja apabila ada golongan bertindak menukar kiblat bangsanya kepada bahasa Inggeris!

Kalau begitu halnya, apa guna diadakan PABM saban tahun dengan tujuan pengantarabangsaan bahasa Melayu jika di tanahairnya sendiri dibiarkan berlaku peminggiran seterusnya penghapusan bahasa Melayu?

Mereka yang “rakus” mahu mencapai taraf dunia itu lazimnya ragu dengan potensi bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengukuh jati diri. Sebaliknya, tanpa segan-silu ibarat pelacur murahan menjual maruah dengan menyanjung tinggi bahasa Inggeris.

Disediakan oleh: Mohd Arif Atan