Saturday, January 31, 2009

Arahan Hapus "Bahasa Rojak" Perlu Diperluas

AMALAN bahasa rojak iaitu mencampur-adukkan perkataan Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu merupakan gejala yang mendatangkan pelbagai kesan negatif.

Dengan jelas, penggunaan perkataan Inggeris yang tidak diterjemahkan atau disesuaikan ketika menggunakan bahasa Melayu merupakan tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa kita.

Tambahan pula, ia juga menunjukkan pengguna bahasa itu sendiri kurang mahir hingga terpaksa menggunakan perkataan Inggeris untuk mengungkapkan fikirannya. Malangnya, keadaan ini tidak pula menandakan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris.

Lebih parah lagi, mereka sendiri tidak berusaha untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan mengatasi gejala ini.

Sikap ini, apabila meluas di kalangan masyarakat akan akhirnya menjadikan mutu penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris terus merosot dan lemah.

Kita bimbang gejala ini akan akhirnya menjejaskan keberkesanan komunikasi dalam masyarakat yang secara terkumpul menghasilkan suasana salah faham.

Selain itu, bukan saja ia akan menurunkan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri tetapi negara ini akan memiliki satu bangsa yang gagal berkomunikasi dengan baik.

Bangsa yang bermasalah dalam komunikasi menunjukkan ia gagal menjelaskan idea yang dimilikinya. Sudah tentu bangsa ini akan gagal meyakinkan orang lain apabila tidak dapat mengungkapkan idea secara berkesan.

Apabila tidak dapat menjelaskan idea, maka ia juga mencerminkan kegagalan untuk berfikir secara tersusun dan menghalang penerokaan dan percambahan buah fikiran baru.

Justeru, kita mengambil perhatian berat terhadap gejala bahasa rojak ini. Lebih memberatkan lagi ialah gejala ini menular dengan begitu meluas di kalangan golongan berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat.

Apabila menjadi amalan seharian mereka untuk bertutur dalam bahasa rojak, ia merebak kepada majlis-majlis rasmi seperti forum, seminar dan program-program dalam media elektronik. Akhirnya mereka akan mendapati sukar untuk menulis tanpa menggunakan bahasa rojak.

Bahasa rojak juga boleh menjejaskan pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris di peringkat sekolah yang mendatangkan kesan jangka panjang negatif.

Justeru, kita sarankan kesedaran harus disemai terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam masyarakat.

Selaku pemimpin masyarakat, golongan berpendidikan harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang betul, baik semasa menggunakan bahasa Melayu, mahupun Inggeris.

Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu. Begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Sesungguhnya mengelakkan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh.

Alasan yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima.

Ini kerana bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan Inggeris bagi menambahkan perbendaharaan katanya.

Namun begitu, perkataan-perkataan Inggeris itu hendaklah diterjemahkan atau disesuaikan menurut kaedah yang teratur seperti mana telah ditetapkan oleh pkar-pakar bahasa.

Satu Petikan Akhbar :

KUALA LUMPUR Kerajaan digesa memperluaskan arahan menghapuskan penggunaan 'bahasa rojak' di semua stesen penyiaran sama ada milik kerajaan atau swasta.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), A. Aziz Deraman berkata, ia perlu dilakukan secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh bagi memastikan keberkesanannya.

Menurut beliau, penggunaan bahasa yang baik dan kemas tidak akan menjejaskan sesuatu rancangan, sebaliknya akan mengangkat martabat bahasa dan penggunanya.

Tambah beliau, penggunaan bahasa yang betul penting memandangkan bidang penyiaran boleh mempengaruhi dan mendidik khalayak.

''Jika kita lihat filem-filem Tan Sri P. Ramlee tetap menarik biarpun bahasa Melayunya baik dan bukannya rojak seperti yang kita dapati sekarang.

''Penggunaan bahasa Melayu yang betul sebenarnya tidak perlu dipaksa jika semua pihak memiliki kesedaran tinggi,'' kata A. Aziz.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas keputusan RTM menghapuskapenggunaan bahasa rojak di stesen penyiaran milik kerajaan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, sikap pemimpin dan pegawai kerajaan perlu diubah bagi meletakkan bahasa Melayu di martabat yang tinggi.

Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang bukan jalan penyelesaian jika konsep 'Kepimpinan Melalui Teladan' tidak diamalkan oleh barisan kepimpinan di sektor kerajaan, swasta dan institusi kewangan.

''Kementerian perlu tegas dan teliti dalam menangani perkara ini demi kepentingan bahasa Melayu,'' katanya.

Suhaimi menambah, DBP perlu memainkan peranannya memantau penggunaan bahasa Melayu Rojak di media elektronik.

Mengulas perkara yang sama, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah berkata, bahasa Melayu tidak kurang keindahan, bentuk dan larasnya jika digunakan dengan kreatif malah ia akan jadi lebih menarik dan menawan.

Tambahnya, penggabungan tiga elemen penting iaitu bahasa yang betul, tepat dan indah akan menjadikan bahasa Melayu itu bahasa ilmu, sains dan teknologi.

Saifuddin menambah, usaha perlu ditingkatkan bagi memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri terutama media elektronik mempunyai tanggungjawab bagi mengembangkan dan memajukan bahasa Melayu.

''Dialek daerah boleh digunakan tapi lebih pada tahap pengecualian dari menjadi penggunaan bahasa utama,'' katanya. Disediakan Oleh : Ade Sukma Kamarudin


Tuesday, January 27, 2009

Hanya Tiga Mata Pelajaran Itu Sahaja Yang Menggunakan BI, Yang Lain Tetap Menggunakan Bahasa melayu. Benarkah?

Apabila orang sering berfikir kenapa kita menentang PPSMI, dan mereka mengatakan hanya tiga subjek sahaja yang diajar dalam BI (BI, Matematik dan Sains) dalam sistem pendidikan Kebangsaan, subjek lain tetap diajar dalam bahasa Melayu....

Maka ini jawapan saya, jelas sekali perkara tersebut tidak benar, mata pelajaran sains dan matematik di peringkat rendah akhirnya di peringkat menengah menjadi mata pelajaran sains, sains tambahan, fizik, kimia, biologi, matematik, matematik tambahan dan seterusnya meliputi mata pelajaran yang bersekutu dengannya iaitu mata pelajaran teknik, vokasional dan kejuruteraan.

Manakala di peringkat universiti pula mata pelajaran sains dan matematik dan yang bersekutu (berunsur sains dan teknologi) semakin bertambah lagi jumlah mata pelajarannya di peringkat jabatan pengajian, fakulti dan apabila dihitun dengan jumlah, semua mata pelajaran tersebut bagi semua jabatan, fakulti dan universiti awam apatah lagi swasta, mata pelajaran yang telah diInggeris mencapai ribuan jumlahnya dan ini dianggarkan melebihi 90% mata pelajaran.

hanya tinggal kira-kira 10% mata pelajaran sahaja berbahasa Melayu iaitu mata pelajaran berunsur sastersa, Pengajian Melayu dan pengajian berkaitan agama Islam.

keadaan ini samalah seperti yang berlaku dalam era awal kemerdekaan dan pembangunan pengajian tinggi di negara ini. Tegasnya peranan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi telah hilang dan dihakis secara langsung dan tidak langsung akibat penggunaan bahasa Inggeris yang melampau.

Bahasa Melayu hanya terhad dan sebenarnya "dimampukan" untuk menyampaikan ilmu yang "dianggap" kurang penting atau "biasa-biasa" sahaja. siapakah yang meletakkan nilai dan taraf keilmuan serta kemampuan bahasa Melayu serendah itu?

Bahasa Melayu itu sendirikah atau ketidaksedaran, kealpaan, ketidakyakinan, rendah diri atau kebodohan bangsanya atau semua faktor tersebut yang telah menyumbang sehingga tumbangnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains dan matematik.

Dasar ini dilaksanakan tanpa kajian yang mendalam. Kepada mereka-mereka di luar sana yang masih berfikiran sempit mengatakan hanya BI, sains dan Matematik sahaja yang diajar dalam BI, inilah jawapannya..berfikrlah seluas-luasnya,

sekadar ingin berkongsi pengalaman, sewaktu saya di Beijing China menjalankan kajian tentang perkembangan Bahasa Melayu di sana, saya begitu kagum dengan dasar pendidikan China, yang mana mereka begitu menjaga dan mengangkat bahasa China dan bangga dengan bahasa mereka sendiri, inilah yang perlu kita contohi, dalam masa yang sama mereka juga tidak ketinggalan dalam mempelajari bahasa-bahasa asing.

Buka sahaja BI malah ratusan bahasa lain di dunia ini (termasuk bahasa Melayu). Buktinya apabila wujudnya Universiti Bahasa-bahasa Asing (Beijing Foreign Studies university(BFSU) yang hanya fokus kepada pendidikan bahasa-bahasa asing sahaja. Ini satu langkah bijak dan mengapa kita tidak boleh laksanakan dasar ini. BFSU saban tahun menghasilkan graduan yang fasih dan pakar dalam bahasa-bahasa asing.

Jadi kalau bukan kita yang bertanggungjawab untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, siapa lagi? Disediakan Oleh: Mohd Syuhaidi

Monday, January 26, 2009

Bahasa Inggeris: Bukan sekadar Hilang Kemelayuan Tetapi Nilai Permikiran Bangsa yang Akan Layu

Adakah hanya kerana bahasa Inggeris itu bersifat bahasa antarabangsa maka kita sewenang-wenangnya mengangkat bahasa asing tersebut sebagai bahasa komunikasi bagi masyarakat di negara ini?


Dasar pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah bermula 2003 lalu bukanlah alasan kukuh untuk kita bersikap mengagung-agungkan bahasa asing sehinga sanggup membakulsampahkan bahasa jiwa dan akal budi bangsa sendiri.


Merdekakah orang-orang seperti ini dan para penakjub bahasa asing apabila masih membiarkan minda dijajah oleh bahasa asing?


Tidakkah kita meyedari akibat dan kesan buruk yang akan kita hadapai jika bahasa Inggeris terus diagung-agungkan oleh masyarakat kita? Mungkin kebanyakkan daripada kita tidak terfikir akibat yang bakal melanda cucu cicit kita pada masa depan terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri jika bahasa Inggeris mengambil alih fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan bahasa penyebaran ilmu di Negara ini.


Dari segi perpaduan kaum, adakah kita sedar bahawa jurang perpaduan kaum yang kita bina selama ini semakin renggang lantaran berleluasanya penggunaan bahasa Inggeris? Lihat sahaja Negara Indonesia, perpaduan kaum di Negara itu begitu kuat dengan kesemua kaum bertutur dalam satu bahasa iaitu bahasa Indonesia.


Jika dulu salah satu tali yang menjadi pengikat perpaduan antara kaum adalah bahasa Melayu, namun kini apabila bahasa Melayu sudah mula dipinggirkan secara tidak langsung tali yang menjadi pengikat kepada perpaduan kaum di negara ini dilihat semakin hari semakin longgar malah ia dilihat hampir putus. Adakah kita warga yang mendakwa telah merdeka 51 tahun menyedari atau terfikir tentang semua ini?


Bagaimana pula dengan nasib masyarakat di luar bandar? Pelaksanaan PPSMI dilihat membebankan sebahagian besar daripada modal insan yang sebenarnya berpotensi menyumbang pada kemakmuran negara kelak. Jika dulu, ibu bapa bagi anak-anak yang tinggal di kawasan luar bandar mungkin boleh membantu anak-anak mereka mengulangkaji matapelajaran kritikal tersebut tetapi kini mereka sudah tidak lagi mampu untuk berbuat demikian.


Adakah ini dikatakan dapat membantu anak-anak desa yang sebahagiannya merupakan orang Melayu?


Amatlah dikhuatiri kita telah membazirkan keupayaan mereka dan kini telah dan akan wujud fenomena kegagalan dan keciciran generasi harapan bangsa ini.


Begitu juga dengan masalah sosial. Jika sebelum ini ibu bapa berlumba-lumba untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah beraliran agama bagi melahirkan anak-anak yang memiliki akhlak yang baik dan terpuji tetapi kini setelah bahasa inggeris diperkenalkan dalam subjek matematik dan sains di sekolah, maka ibu,bapa kini berlumba-lumba pula menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan, yang didalamnya kurang diberi didikan agama Islam.


Akibatnya, lahirlah generasi yang tidak berakhlak dan bermoral di kalangan anak-anak bangsa Melayu sendiri. Kempen Budi Bahasa yang dilancarkan oleh KEKKWA pun sukar mencapai matlamatnya kerana wujudnya warga Malaysia yang bersikap biadap dan tidak berbudi bahasa menggunakan bahasa asing melebihkan bahasa sendiri.


Sebenarnya, lebih banyak keburukan daripada kebaikan akibat sikap dan tindakan kita yang dipandu oleh bahasa Inggeris.


Oleh itu,marilah kita bersama-sama mengembalikan maruah bahasa Melayu demi mengejar kemajuan dalam acuan kita sendiri seperti mana yang sering dilaungkan oleh kerajaan sendiri.


Yakinlah bahawa bahasa Melayu juga mampu melonjakkan kemajuan negara bangsa ini malah setanding dengan negara-negara maju lain di dunia. Janganlah nanti apabila nasi sudah menjadi bubur barulah kita hendak melatah,

Oleh:mohd Syuhairi @ Cikgu hairi

Sunday, January 25, 2009

Barack Obama Jamin Dunia Aman?

RIBUAN rakyat Amerika Syarikat (AS) yang berkumpul di dataran Washington serta jutaan warga dunia menyaksikan majlis angkat sumpah Barack Obama sebagai Presiden AS ke-44 pada 20 Januari lalu. Masing-masing berharap agar Presiden baru itu tidak membawa gaya 'samseng' dalam dasar luar AS.

Persoalannya, wajarkah warga dunia meletakkan harapan tinggi bahawa dasar luar negara itu akan berubah di bawah presiden kulit hitam berusia 47 tahun itu?

Adakah 'Amerika Baru' di bawah kepimpinan Obama benar-benar konsisten dengan pendiriannya untuk mewujudkan suasana aman bagi masyarakat sejagat? Ini kerana Presiden AS sebelum ini lebih cenderung bersikap unilateral dan ketenteraan terhadap pihak yang tidak sealiran dengannya.

George W. Bush yang sinonim dengan 'kasut' tidak pernah peduli ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan dunia lain. Jika tidak, sudah tentu Iraq dan Afghanistan tidak akan diganyang.

Ini termasuklah sikap berdiam diri pihak AS terhadap pencerobohan Israel selama 22 hari bermula 27 Disember lalu ke atas bumi Gaza. Oleh itu, lupakan impian untuk melihat dasar luar AS akan berubah. Meskipun, presidennya berubah tetapi dasarnya tetap sama.

Selagi pelobi politik, ekonomi dan media di belakang Obama adalah kelompok yang sama, selagi itulah hasrat kita untuk melihat dasar luar AS berubah hanya tinggal mimpi. Apa yang patut diberi penekanan ialah strategi politik negara-negara Arab atau Islam sendiri yang mesti berubah. Persaudaraan dan muafakat sesama mereka mesti benar-benar utuh, kukuh dan teguh.

Jumlah 1.4 bilion umat Islam sejagat pula mesti kuat dari segi pendidikan, ekonomi, maklumat dan ketenteraan.

Apabila negara-negara dan umat Islam kuat maka tidak perlulah lagi bergantung kepada 'orang' lain. Kita semua perlu bangun dari angan-angan bahawa Obama adalah Presiden AS bukannya Presiden Dunia.

Obama lama-kelamaan akan tunduk kepada kuasa pelobi di negaranya meskipun mungkin nalurinya tidak bersetuju. Oleh sebab itu, Obama tidak boleh diharap seratus peratus untuk membawa damai di bumi Asia Barat.

Sebaliknya, pemimpin Tanah Arab sendiri perlu keluar dari kurungan 'jubah keegoan' dan mementingkan kuasa semata-mata.

Sikap khianat, bacul dan pengecut pemimpin Arab sebelum ini melihat bangsa mereka sendiri di Gaza disembelih oleh pelampau Yahudi Zionis juga mesti dibuang. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Baik Atau Buruk?, "Bahasa Rojak"

Bahasa rojak boleh didefinisikan sebagai bahasa campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Biasanya penggunaan bahasa rojak sama ada menggunakan bahasa Inggeris diantara bahasa Melayu dalam ayat atau separuh bahasa Melayu dan separuh bahasa Inggeris.

Namun begitu , terdapat beberapa perbincangan menarik antara kebaikan dan keburukan penggunaan bahasa rojak ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahasa rojak mendatangkan kemudahan bagi masyarakat yang menuturnya.Bagi masyarakat majmuk seperti masyarakat di negara kita , penggunaan bahasa rojak dikatakan relevan dengan penguasaan bahasa mereka. Contohya , masyarakat Cina dan masyarakat India , mereka lebih selesa menggunakan bahasa Melayu rojak yang dicampur dengan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu secara betul.

Perkara yang perlu ditekankan dalam tulisan ini ialah penggunaan bahasa rojak yang dikatakan menjadi kebiasaan bagi masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu dilihat sering menggunakan bahasa rojak dalam percakapan. Bahasa rojak yang sering digunakan meliputi percampuran bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak akan dianggap hebat dan mengikut perkembangan semasa jika dituturkan dalam berkomunikasi.

Sejauhmanakah penggunaan bahasa rojak dilihat sebagai pengikisan bahasa Melayu itu sendiri? Apakah dengan menggunakan bahasa rojak dengan percampuran dengan bahasa Inggeris dikatakan salah dan menghancurkan bahasa Melayu?

Jika ditinjau dalam arus peredaran masa , bahasa Melayu dikatan bersifat dinamik. Namun , perkara yang penting ialah penggunaannya di dalam masyarakat. Kalau untuk bahasa berkomunikasi dengan masyarakat lain memang boleh digunakan. Tetapi janganlah sampai kebebasan dalam komunikasi lisan seperti ini akan merebak kedalam sistem tulisan. Masyarakat Melayu haruslah dapat membezakan antara penggunaan bahasa lisan dengan bahasa tulisan. Biarpun bahasa rojak dalam masyarakat Melayu dikatakan begitu ketara tetapi dari segi tulisan masih ditahap yang membanggakan.

Biarpun bahasa Inggeris semakin meningkat penggunaanya , tetapi masyarakat Melayu haruslah tahu bahawa kita boleh membuatkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa Inggeris dan diperingkat antarabangsa. Sikap saling tegur menegur dan bantu membantu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sangatlah penting dan perlu dilaksanakan sampai bila-bila. Tetapi usaha tersebut haruslah diiringi dengan niat yang iklas. Jangan biarkan bahasa Melayu tidak diketahui oleh masyarakat Melayu itu sendiri. Disediakan Oleh: Ade Sukma

Cabaran Malaysia Menjelang 2020

BARANGKALI ramai yang tidak menyedari tanggal 16 September merupakan hari yang perlu juga dihayati semangatnya seperti kemeriahan meraikan 31 Ogos saban tahun.

Pada tarikh itulah Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak terangkum dalam sebuah entiti politik baru bernama Malaysia pada tahun 1963. Namun, Singapura tersingkir dari Malaysia pada Mei 1965.

Sudah lama Tunku Abdul Rahman mengimpikan pembentukan Malaysia sehinggalah buat pertama kali dizahirkan di khalayak ramai pada 27 Mei 1961. Cita-cita mewujudkan Malaysia wujud atas kesedaran pentingnya jumlah bangsa Melayu yang serumpun mengatasi kaum pendatang bagi menjamin kelangsungan politik dan hak-hak yang sepatutnya dimiliki oleh golongan bumiputera.

Hasrat tersebut tidak diterima malah dilihat sebagai satu bentuk neokolonialisme atau penjajahan bentuk baru pula ke atas kedaulatan wilayah mereka. Reaksi yang tidak menyenangkan datang daripada pihak Indonesia, Filipina serta Parti Rakyat Brunei. Apa pun, tindakan Ganyang Malaysia melalui konfrontasi selama tiga tahun ternyata tidak menggugat hasrat untuk melihat Malaysia menjadi kenyataan. Reaksi serupa juga ditunjukkan oleh Filipina apabila pada peringkat awalnya tidak mahu mengaku kewujudan Malaysia.

Setelah liku dan ranjau dilalui serta peranan yang dimainkan oleh Suruhanjaya Cobbold sendiri, muktamadlah gabungan tiga wilayah ‘sahabat baik’ iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meneruskan cita-cita membentuk negara Malaysia yang progresif sehingga ke hari ini.

Persoalannya, sejauh mana tahap patriotisme dan perpaduan kaum di negara ini selepas tempoh 44 tahun terbentuknya sebuah negara bangsa Malaysia?

Perarakan kemerdekaan saban tahun dan tahun ini Perayaan Raksasa Menyambut Kemerdekaan di Stadium Merdeka lalu menyaksikan betapa meriahnya penglibatan semua kaum duduk bersama menyanyi dan mengibarkan Jalur Gemilang. Namun, keadaan sebenar di luar stadium adalah sebaliknya. Pengasingan dan polarisasi kaum masih ketara malah dikatakan semakin melebar. Begitu juga dengan kesetiaan serta rasa hormat rakyat terhadap ‘harta’ yang dikongsi bersama seperti Jalur Gemilang dan Lagu Kebangsaan.

Tindakan emosional membakar Jalur Gemilang dalam rusuhan di Kuala Terengganu baru-baru ini membuka mata kepada kita akan kewujudan mereka yang mengaku rakyat Malaysia namun ternyata tidak “segan” menderhaka kepada ibu pertiwinya.

Tidak seperti rakyat di negara lain, yang menghormati dan menyayangi identiti kebangsaan yang dimiliki. Begitu mudah untuk melihat kibaran bendera kebangsaan mereka sama ada di kawasan perumahan serta di premis perniagaan yang tidak terhad pada musim hari kebangsaan mereka. Sebaliknya, Jalur Gemilang pula hanya terasa kewujudannya pada bulan kemerdekaan negara sahaja. Itu pun semangatnya masih tidak menyeluruh lantaran kawasan-kawasan perumahan golongan elit dan kompleks perniagaan mewah seperti tidak terkesan semangat patriotismenya.

Apakah akibatnya jika golongan kelas menengah di negara ini tidak memiliki semangat patriotisme dengan berdindingkan jati diri yang kukuh walhal mereka juga adalah individu penting yang terlibat dalam merencanakan kemajuan serta pembuat dasar di negara ini?

Barometer perpaduan kaum di negara ini umumnya masih berjalan dengan baik walaupun dikatakan masih bersifat “plastik” semata-mata. Sebahagian rakyat Malaysia berbilang kaum masih memiliki sikap saling menghormati dan memahami perbezaan kebudayaan masing-masing. Melihat kepada interaksi sosial di sekeliling kita memang benar wujudnya perpaduan.

Memanipulasi

Namun, ada pihak yang cenderung memanipulasi faktor perkauman demi kepentingan masing-masing. Toleransi yang ditunjukkan oleh bangsa Melayu selama ini masih tidak dihayati apatah lagi mahu dikenang budi oleh segelintir pemimpin yang bersikap perkauman melampau ini.

Persefahaman kaum amat penting sesuai dengan pendekatan kita selama ini yang berpegang kepada permuafakatan politik (consosionalism politics) antara kaum. Oleh hal demikian, interaksi antara kaum perlu ditingkatkan di samping mengurangkan sedapat mungkin unsur-unsur yang bersifat pengasingan kaum.

Alangkah hairannya penulis bagaimana sebuah majlis berprestij yang mengiktiraf sumbangan seniman tanah air dalam sebuah majlis rasmi nasional mewujudkan anugerah “ini untuk filem Melayu terbaik dan itu untuk anugerah filem bukan Melayu terbaik”.

Sewajarnya, perbezaan tersebut hanyalah untuk urusan pentadbiran sahaja dan tidak perlu dibawa masuk dalam acara atau majlis yang membabitkan pelbagai kaum apatah lagi bertujuan untuk memupuk perpaduan seperti dalam majlis anugerah filem dan pertandingan deklamasi puisi. Namun, nampaknya kita lebih suka dengan pengasingan kaum dalam segala bidang kehidupan di Malaysia. Adakah pengasingan kaum ini membantu perpaduan bangsa Malaysia?

Bahasa kebangsaan ialah alat paling berkesan untuk mencapai perpaduan di dalam sebuah negara berbilang kaum di Malaysia ini. Aspek keseimbangan ekonomi antara kaum bukanlah satu faktor mutlak menjamin kelangsungan perpaduan bangsa di negara ini.

Bahasa kebangsaan yang lebih ramai difahami oleh semua golongan dan lapisan masyarakat perlu digunakan secara meluas dalam semua aspek kenegaraan di Malaysia. Ini kerana bahasa Mandarin dan Tamil misalnya hanya difahami oleh kaum masing-masing. Bahasa Inggeris pula bersifat elitis apabila lebih banyak digunakan oleh golongan kelas menengah serta kelompok masyarakat di bandar.

Walaupun negara diasak oleh arus globalisasi, bahasa kebangsaan tetap relevan sebagai alat pengukuhan perpaduan dan perlu diletakkan di senarai teratas dalam usaha memupuk perpaduan rakyat Malaysia. Apakah ertinya Malaysiaku Gemilang jika penggunaan dan keutamaan terhadap bahasa kebangsaan seperti beku dan terbuang?

Budaya berkomunikasi pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak perlu dicontohi kerana mereka berjaya meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengucapan dan komunikasi utama mereka. Begitu juga tahap kefasihan penduduk bukan Melayu yang mendiami kawasan-kawasan luar bandar mahupun di bandar yang mana majoritinya adalah Melayu. Membuka jendela ke arah negara jiran juga menampakkan kepada kita bagaimana fasihnya minoriti Cina di Indonesia berkomunikasi dalam bahasa Indonesia.

Pengukuhan bahasa Malaysia serta pemerkasaan sistem pendidikan kebangsaan yang turut memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sastera dan Sejarah dirasakan semakin perlu dalam tumpuan kita melangkah status negara maju 2020 nanti. Tentunya, bangsa Malaysia mahu melangkah dengan penuh bergaya tanpa compang-camping keperibadian dan identiti bangsanya.

Semua lapisan masyarakat berbilang kaum dari Perlis sehingga ke Sabah perlu menyemai tekad dan berganding bahu mewujudkan warga yang saling menghormati demi kehidupan yang aman buat generasi bangsa Malaysia seterusnya. Tindakan dan keputusan yang akan diambil perlu mengutamakan kepentingan nasional dan bukannya atas faktor kepentingan perkauman yang sempit. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Saturday, January 24, 2009

Bukan Melayu Untung, Melayu Sentiasa Rugi?


Pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu 17 Januari lalu adalah sekitar 12 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan 80,200 pengundi dengan kaum Cina sahaja terdiri daripada 8,800 orang.

Walaupun begitu, baik bagi pihak BN mahupun pembangkang, merekalah dikatakan sebagai faktor penentu keputusan pilihan raya meskipun majoriti pemilih iaitu 88 peratus adalah orang Melayu.

Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana hanya satu undi pun sudah mampu menentukan siapa yang akan menang.

Oleh sebab itu, berjuta-juta ringgit wang yang dipanggil bantuan, sumbangan atau peruntukan diberi kepada masyarakat bukan Melayu demi mahu memancing undi. Paling ketara ialah peruntukan yang besar untuk sekolah-sekolah Cina di Kuala Terengganu.

Menteri Pelajaran pun telah mengumumkan akan memberi bantuan kepada sekolah-sekolah Cina termasuk sekolah swasta. Rentetan itu, cek bernilai RM2.96 juta telah diserahkan kepada sekolah-sekolah Cina di Terengganu selain ‘bantuan’ RM6.1 juta untuk SRJK Cina Chung Hwa Wei Sin di Kuala Terengganu sahaja!

Dapat dilihat bahawa kaum Cina benar-benar mendapat durian runtuh setiap kali menjelang pilihan raya termasuklah di Kuala Terengganu yang penduduk majoritinya adalah Melayu.

Sebaliknya, orang Melayu di Kuala Terengganu dijanjikan bakal menerima dana tambahan RM5.8 juta projek pembangunan jika calon BN menang; pemberian kontrak kepada kontraktor kelas F serta pemberian cek bantuan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

Hakikatnya, kaum Cina jauh lebih untung di sebalik usaha setiap parti politik merebut undi mereka. Adakah masyarakat Melayu hanya menang sorak tanpa pemberian bantuan dan peruntukan sebanyak yang didapati oleh kaum Cina malah lebih penting lagi jaminan masa depan ekonomi, bahasa dan kebudayaan orang Melayu?

Peruntukan yang diperoleh komuniti Melayu atau dijanjikan itu tidak sepadan serta lebih mengkhusus kepada kelompok tertentu iaitu para kontraktor dan institusi sekolah agama sahaja.

Sedangkan kaum bukan Melayu dibantu secara kolektif dengan jumlah amat besar berbanding nisbah mereka yang tentunya akan “memperkasakan” pendidikan, ekonomi, budaya dan bahasa mereka.

Ironinya, masyarakat Melayu tidak pula diberi peruntukan besar untuk meningkatkan dan meluaskan lagi taraf pendidikan, budaya dan bahasanya seperti yang dinikmati oleh orang lain.

Umum tahu kaum mana yang penat lelah beria-ia bersengkang mata berkempen pelbagai cara seperti bertandang ke rumah serta memasang bendera dan poster parti politik. Namun, orang lain jugalah yang mengaut untung secara langsung mahupun tidak langsung sebelum apatah lagi selepas pilihan raya.

Lihatlah apa yang berlaku di Perak apabila para penghuni kampung baru diberi hak milik kekal yang asalnya ialah tanah milik orang Melayu serta keputusan kerajaan negeri Selangor memberikan biasiswa kepada pelajar Melayu dan India yang menguasai bahasa Mandarin.

Malah, tindakan menyiarkan berita bahasa Cina di TV1 pada jam 8 malam juga tentunya mahu memenangi hati kaum Cina di sebalik ‘kalahnya’ bahasa kebangsaan sebagai alat utama penyampai maklumat berita semasa kepada rakyat di tanah air ini.

Walhal, kerajaan DAP Pulau Pinang pun tidak menyediakan peruntukan kepada persatuan Cina negeri itu untuk sambutan Tahun Baru Cina meskipun tidak mustahil itu mungkin strategi politik yang mereka sendiri lebih tahu.

Apapun, bantuan atau peruntukan yang diperoleh antara masyarakat Melayu dan kaum Cina menjelang setiap kali pilihan raya ibarat langit dengan bumi jauhnya.

Dalam kempen pilihan raya kecil di Kuala Terengganu lalu, dilaporkan dalam akhbar arus perdana bagaimana calon bertanding, Wan Ahmad Farid mengangkat seorang warga emas Melayu yang menderita penyakit saraf ke dalam sebuah kereta untuk dihantar ke hospital serta membelek tangan seorang lelaki dewasa Melayu yang cedera didakwa ditimpa bendera gergasi lawan yang jatuh selepas tiangnya patah.

Adakah hanya ‘bantuan mata’ melihat orang Melayu susah dengan mungkin sedikit wang belanja dapur itu sahaja sudah cukup memadai untuk memenangi hati pengundi Melayu? Ini kerana dalam masa yang sama kaum Cina telah mendapat bantuan untuk seluruh komuniti mereka bukannya sekadar peringkat individu seperti yang diperoleh orang Melayu.

Akibat kuasa tawar-menawar pengundi bukan Melayu dalam BN, PAS, PKR dan semestinya DAP yang begitu kuat menyebabkan semua parti yang dipimpin oleh Melayu begitu terdesak untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu.

Tidak hairanlah apabila cadangan satu jenis aliran sekolah kebangsaan ditimbulkan kembali, gegak-gempita kepimpinan Melayu daripada parti PAS dan PKR membantah kerana mahu dilihat prihatin kepada bukan Melayu.

Walhal, mereka sendiri juga sedar masalah perpaduan di negara ini tidak akan selesai selagi generasi muda kita melalui sistem pendidikan yang berasingan.

Sepatutnya, semua kepimpinan dan pemimpin Melayu tanpa mengira parti politik menjadikan titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah semasa penutupan Kongres Ekonomi Islam Ke-3 baru-baru ini sebagai panduan dalam mengatur strategi politik baru yang tidak merugikan bangsa sendiri dalam era selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008 lalu.

Jika tidak, amatlah dibimbangi masa depan orang Melayu tidak akan ke mana. Adakah kekhuatiran Aminuddin Baki melalui ungkapan penuh maknanya berbunyi “ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan” akan menjadi kenyataan nanti?

Pada ketika kepentingan bukan Melayu begitu dijaga walaupun jelas bertitik tolak atas faktor perkauman, kepentingan dan hak orang Melayu pula tidak lagi diberi penekanan atas alasan “keadilan” dan “perpaduan”.

Persoalannya, adilkah jika kepentingan suatu kelompok kaum sahaja begitu diutamakan dengan taburan wang jutaan ringgit sedangkan masyarakat Melayu yang jauh lebih ramai dan memerlukan lebih perhatian tidak dilayan sedemikian rupa?

Bersatu-padukah bangsa Malaysia jika peruntukan kepada sekolah Cina dan tindakan menggalakkan perkembangan bahasa Cina hanya akan meracuni masa depan sekolah dan bahasa kebangsaan yang sepatutnya menjadi milik semua kaum dalam mewujudkan rupa bangsa Malaysia sebenar? Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Friday, January 16, 2009

SMS “ Bahasa Melayu terhakis”

Sistem pesanan ringkas ataupun SMS (Short Message Service) adalah satu perkhidmatan yang ditawarkan melalui telefon bimbit untuk mengirim atau menerima pesanan pendek. Pada mulanya SMS dirancang sebagai sebahagian daripada GSM, tetapi pada masa sekarang, perkhidmatan ini ditawarkan oleh jaringan-jaringan mobil lainnya termasuk rangkaian UMTS.

Satu pesanan ringkas SMS maksimum terdiri daripada 140 bait. Dengan kata lain, satu pesanan boleh memuatkan 140 aksara 8-bit, 160 aksara 7-bit atau 70 aksara 16-bit untuk bahasa Jepun, China dan Korea yang memakai aksara Kanji. Selain 140 bait ini, ada data-data lain yang termasuk. Ada pula beberapa kaedah untuk mengirim pesanan yang lebih panjang daripada 140 bait, tetapi seorang pengguna harus membayar lebih daripada sekali.

SMS juga mampu untuk mengirim grafik, audio dan video. SMS bentuk ini disebut MMS. Pesanan-pesanan SMS dikirim dari sebuah telefon bimbit ke pusat pesanan (SMSC dalam bahasa Inggeris). Di sini pesanan disimpan dan cubaan untuk menghantarnya dilakukan untuk beberapa kali. Setelah satu waktu yang telah ditentukan, biasanya 1 hari atau 2 hari, pesanan akan dihapuskan. Seseorang pengguna boleh mendapatkan pengesahan daripada pusat pesanan ini.

SMS sangat popular di Eropah, Asia dan Australia. Di Amerika Syarikat, SMS secara perbandingan jarang digunakan. Di tempat lain, SMS popular kerana agak murah dan kerap digunakan di kalangan remaja. Perkhidmatan pesanan ringkas ini jarang digunakan di kalangan pengguna yang agak berusia.

Disebabkan lambat dan kesulitan menulis atau untuk menjimatkan ruang, biasanya pesanan SMS diringkaskan. Tetapi kesulitan ini, sekarang sudah diatasi kerana banyak telefon bimbit yang memiliki fungsi kamus dan bijak teka "intelligent guess". Ini merujuk kepada ciri telefon meneka perkataan yang cuba ditulis dengan membandingkan perkataan yang bermula dengan huruf yang sudah diisi. Sebagai contoh:- Sekiranya pengguna menaip kere, talipon bimbit akan mempaparkan perkataan kereta.

Pesanan-pesanan SMS pernah mengakibatkan perubahan-perubahan kecil yang menarik dalam masyarakat. Beberapa petikan:

Januari 2001, Joseph Estrada dipaksa turun takhta sebagai Presiden Filipina. Kempen menentangnya diselaraskan melalui sistem pesanan ringkas SMS.

Julai 2001, pihak berkuasa Malaysia memutuskan bahawa dalam menjatuhkan talak, tidak boleh dilakukan melalui SMS. Ini disebabkan tidak jelas siapa yang menghantarnya. Siapa sahaja boleh meminjam atau mencuri telefon bimbit dan menghantar pesanan tersebut. Tiada bukti seperti tulisan, suara yang boleh dicamkan, atau saksi yang boleh mengesahkannya. Talak tersebut perlu didaftarkan di Mahkamah atau Pejabat Kadi sebelum ia disahkan.

Remaja kini, telah melupakan bahasa ibunda sendiri iaitu bahasa Melayu . Mereka lebih minat untuk memilih bahasa sms dan bahasa asing sebagai bahasa ibunda mereka. Apakah dengan menggunakan bahasa SMS ini akan menjadikan bahasa Melayu menjadi maju dan bersifat dinamik? Masyarakat Melayu khususnya remaja semakin leka dan dibuai dengan kemajuan teknologi dan arus pemodenan. Bahasa Melayu yang indah semakin lama semakin lemah dan dipermainkan. Kita seharusnya menghormati dan menjunjung tinggi martabat bahasa Melayu.

Siapa lagi yang akan meneruskan perjuangan mengangkat martabat Melayu kecuali masyarakat yang menuturkannya. Kita boleh maju dan terus maju kehadapan tanpa mencemarkan bahasa Melayu itu sendiri. Masyarakat seharusnya berganding bahu untuk memikul tanggungjawab ini dan jangan hanya mengharapkan kerajaan sahaja. Bangkitlah Melayu bangkit kehadapan. Disediakan Oleh : Ade Sukma

Melayu "Dahulu , Sekarang "

Tinjauan sejarah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah berjaya ke peringkat antarabangsa. Pada zaman ini juga kita melihat bagaimana bahasa Melayu menjadi sangat penting bagi para pedagang dari negara lain untuk datang berdagang ke Tanah Melayu. Hal ini tidak bermaksud pada masa itu Masyarakat Melayu sangat cetek bahasa asing , tetapi mahu membuktikan bahawa bahasa Melayu lah identiti Tanah Melayu. Bangsa asing yang datang ke Tanah Melayu sangat menghormati bahasa Melayu.

Penulis merasa kesal dengan beberapa pihak yang masi lagi terlena dengan arus pemodenan sekarang. Bahasa Inggeris menjadi medium utama untuk membuktikan bahawa dialah yang paling hebat. Apakah dengan menguasai bahasa Inggeris ' Melayu' akan dipandang hebat?. Cuba kita tengok negara Jepun. Jepun mengamalkan dasar tutup pintu dan melarang masyarakatnya berbahasa Inggeris , tetapi negara itu telah membuktikan bahawa tanpa bahasa Inggeris pun mereka boleh maju kehadapan.

Ada beberapa pihak terutamanya 'Melayu' yang menghantarkan beberapa makalah mengenai kekesalan tidak mempelajari bahasa Inggeris ini. Ada juga pihak yang menyatakan bahawa bahasa Melayu tidak ada nilai ekonomi. Anda harus ingat bahawa ' dimana bumi di pijak di situ langit dijunjung'. Siapa lagi yang mempertahankan bahasa Melayu kita kalau bukan orang ' Melayu' itu sendiri. Siapa yang tidak sedih jika bahasa Melayu kita akan sedikit demi sedikit dimamah oleh arus pemodenan. Apakah kita akan terus bahagia jika identiti bangsa kita terus hilang ? Kenapa kita terus dibuai dan terus dibuai oleh arus globalisasi? Apakah hanya ' Melayu' yang belajar bahasa Melayu sahaja yang akan terus memperjuangkan bahasa kita? Kenapa masyarakat kita tidak terus memperjuangkan hak Melayu iaitu bahasa Melayu? Apakah kita mahu bangsa kita akan dikatakan 'meniru' bangsa yang berjaya?

Soalan tersebut ada jawapannya pada diri " Melayu itu sendiri". Penulis juga ingin memberitahu kepada bangsa " Melayu" bahawa pada zaman 1978 semasa campurtangan British di Tanah Melayu telah ada gerakan Melayu yang memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu kita. Dari hari kehari tahun ke tahun abad ke abad orang " Melayu " kita terus menerus memperjuangkan nasib kaum Melayu dan bahasa Melayu kita. Bukan sedikit pengorbanan para pejuang bangsa , bukan sedikit jumlah yang terkorban , bukan setitik darah yang bercurahan di Tanah Pusaka ini. Dari Malayan Union , Persekutuan Tanah Melayu hingga ke pembentukan Malaysia. Apakah kita hanya melihat dan terus melihat sejarah lama yang tidak boleh mencetuskan semangat terhadap bangsa kita? Melayu , Melayu , Melayu bangkitlah dari semua ini , bangkitlah dari segala kesusahan ini , kita telah lama tidur dari semua ini.

Bahasa Melayu pada zaman moden sekarang bukanlah bahasa Melayu yang dibanggakan pada zaman dahulu. Hal ini kerana bahasa Melayu kita telah dihancurkan oleh pengguna Melayu itu sendiri. Bahasa rojak , bahasa SMS ( Sistem Pesanan Ringkas ) antara faktor kehancuran bahasa Melayu kita. Kesusahan yang dihadapi oleh bahasa Melayu ditambah lagi dengan PPSMI . Apakah kemelut yang melanda bahasa Melayu ini akan terus dihiris dan sedikit demi sedikit akan hilang identiti asal bahasa Melayu kita.

Penulis hanya mahukan "Melayu" bangkit dari segala kesusahan ini. Jangan biarkan bahasa Melayu kita terus diseksa dan dipandang rendah. Bangkit meneruskan perjuangan para pejuang bahasa dahulu. Kita haruslah faham bahawa siapa lagi yang akan memperjuangkan bahasa kita kalau bukan orang " Melayu itu sendiri " . Janganlah biarkan “ Melayu” terus diperlekekan oleh negara lain . "Melayukan gagah di nusantara". Disediakan Oleh: Ade Sukma

Wednesday, January 14, 2009

"Implikasi Polemik Ketuanan Melayu"

Ketuanan Melayu, Ketuanan Rakyat,
Makna dan maksud perlu dihurai,
Jangan sampai masuk perangkap,
Ketagih pangkat bangsa tergadai.

Apakah implikasinya, dan apakah akibatnya, bila seorang pemimpin politik Melayu menolak istilah atau konsep 'Ketuanan Melayu' dan menggantikannya dengan 'Ketuanan Rakyat.' Beberapa jawapan terhadap soalan tersebut telah disuarakan dalam Seminar Ketuanan Melayu di Melaka awal minggu lalu.

Antara jawapan tersebut ialah: Sedar atau tidak, pemimpin politik Melayu itu telah memberi 'bola tanggung' kepada orang lain untuk melakukan Malay bashing sehingga bukan sahaja pemimpin politik berkenaan, malah seluruh bangsa Melayu telah 'terperangkap' dan terjerumus ke dalam satu polemik yang tidak pasti manfaatnya.

Malay bashing dalam konteks ini bolehlah diertikan sebagai 'menggodam Melayu' atau 'menyerang, mencerca dan mengutuk Melayu, manakala 'memberi bola tanggung' adalah satu istilah dalam permainan sepak takraw atau badminton yang bermaksud memberi peluang mudah kepada lawan melakukan serangan (smashing) yang sukar ditangkis.

Para peserta seminar tersebut kesal dan terkilan kerana perbuatan Malay bashing itu dilakukan secara terang-terang atau secara berselindung bukan sahaja oleh orang bukan Melayu, malah sesetengah orang Melayu sendiri. Beberapa kertas kerja mengambil perhatian perbuatan mengungkit-ungkit apa yang dianggap sebagai 'keistimewaan Melayu' dalam sistem politik dan pemerintahan negara.

Turut digodam dan diserang ialah Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai matlamat serampang dua mata "membasmi kemiskinan dan menyusum kembali masyarakat." Secara berkias atau berterus terang perbuatan Malay bashing itu juga turut mempersoalkan beberapa peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Negara. Juga dipersoalkan status bangsa Melayu sebagai penduduk asal negara ini.

Judul lengkap seminar tersebut agak panjang yang dengan sendirinya boleh menjadi satu polemik, iaitu: "Seminar Nasional Ketuanan Melayu - Konsep dan Cabaran dalam Pembinaan Negara Bangsa dan Berdaulat." Seminar dianjurkan oleh Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (KADMDI) dan dihadiri oleh lebih kurang 100 orang terdiri daripada ahli-ahli akademik, budayawan, guru-guru sekolah dan pegawai kerajaan dari serata Semenanjung.

Saya sendiri dapat kesan bahawa yang mencetuskan inisiatif menganjurkan seminar itu ialah perbuatan Malay bashing. Kerana itu tidak hairanlah bila perbincangan sepanjang seminar bercampur baur antara emosi yang meluap-luap dan analisis yang jitu dan mantap.

Antara perkara yang dipersoalkan dalam beberapa kertas kerja ialah penggunaan istilah 'ketuanan Melayu' yang oleh sesetengah pihak telah diberi pengertian yang menyeleweng dan mengelirukan, apa lagi bila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan istilah Malay supremacy atau Malay dominance atau Malay hegemony.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Burhan dalam kertas kerjanya berhujah bahawa penggunaan ungkapan-ungkapan Inggeris itu sebagai terjemahan untuk ungkapan 'ketuanan Melayu' telah menimbulkan kekeliruan di kalangan bukan Melayu yang mentafsirkannya (atau menyalah tafsirkannya?) dalam konteks hubungan 'tuan' dan 'hamba' atau lord vs serfs/ slaves.

Lanjutan daripada takrifan yang menyeleweng itu, apa saja yang berlabel Melayu terus digodam dan diserang dan dituduh sebagai 'perkauman.' Ini termasuklah perjuangan politik Melayu, pemerkasaan bahasa Melayu, pembaikan ekonomi Melayu dan penggunaan simbol-simbol budaya Melayu seperti keris. Malah beberapa fasal dalam Perlembagaan Malaysia yang dianggap 'memihak' kepada Melayu juga turut dipersoalkan secara langsung atau secara berkias.

Demikianlah implikasi dari tafsiran yang salah itu diheboh-hebohkan untuk memberi justifikasi Malay bashing dengan melakukan pelbagai tuduhan yang tidak munasabah terhadap bangsa Melayu serta mengungkit-ungkit isu sensitif yang menimbulkan ketegangan hubungan kaum.

Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, Pemegang Kerusi Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris juga mempersoalkan terjemahan istilah 'ketuanan Melayu' itu ke dalam bahasa Inggeris yang menggambarkan bangsa Melayu itu sebagai racist yang seakan-akan menyamai puak pelampau Klu Klux Klan di Amerika Syarikat yang mengaku kaumnya sebagai sangat istimewa dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum-kaum lain.

Lanjutan daripada takrifan yang salah terhadap ungkapan 'ketuanan Melayu' itu beberapa pihak, termasuk pimpinan tertinggi negara terpaksa mencari ungkapan alternatif yang diperkirakan akan membawa maksud dan makna yang lebih tepat.

Semuanya secara tidak langsung mengingatkan supaya polemik ketuanan Melayu itu dianggap sebagai 'loceng peringatan' atau wake up call.

Loceng peringatan itu memberi amaran bahawa musuh Melayu sekarang bukan sahaja hendak menggodam dan menyerang dari luar tetapi sudah semakin banyak musang berbulu ayam atau ular menyerupai belut yang hendak mematuk dari dalam. Disediakan oleh: Mohd Syuhaidi (Petikan daripada Rencana -Utusan)

"Jati Diri Ketuanan Melayu"

SEKIRANYA perbincangan mengenai ketuanan Melayu masih dilihat dari sudut kepentingan politik, maka penulisan sebegini barangkali sudah tidak lagi sesuai untuk dihasilkan.

Ini kerana isu mengenai ketuanan Melayu yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin politik beberapa waktu dahulu sudah boleh dianggap basi, kerana tumpuan kepentingan politik ketika ini beralih kepada isu lain, yang mungkin lebih relevan dengan kehadiran pilihan raya kecil di Kuala Terengganu pada 17 Disember ini.

Isu ketuanan Melayu itu juga dikatakan hanya bersifat kepentingan politik semata-mata kerana perbincangan mengenainya tidak diperpanjangkan kepada satu bentuk tindakan yang lebih konkrit.

Sebaliknya sekadar perdebatan dan perang mulut yang berdegang-degang oleh beberapa kerat pemimpin politik yang kemudiannya sunyi sepi tidak ubah seperti hangat-hangat tahi ayam.
Lalu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila majlis-majlis ilmu yang secara khusus membincangkan mengenai isu ketuanan Melayu langsung tidak mendapat perhatian di kalangan orang politik.

Keadaan yang sama, sekali lagi dapat disaksikan ketika berlangsungnya Seminar Nasional Ketuanan Melayu anjuran Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (KADMDI), di MITC, Ayer Keroh, Melaka, minggu lalu.

Seminar ini membawa tema yang sangat berat untuk difikirkan iaitu "Konsep dan Cabaran Dalam Pembinaan Negara Bangsa dan Berdaulat," serta dibarisi oleh tidak kurang 20 orang cerdik pandai dan pakar dalam bidang ketuanan Melayu.

Sedangkan seminar itu merupakan pentas yang paling tepat untuk memahami apakah sebenarnya ketuanan Melayu yang ketika ini cuba diruntuhkan menerusi penyelewengan pemahaman oleh sesetengah pihak atas kepentingan peribadi.

Pelbagai penafsiran yang tidak tepat mengenai ketuanan Melayu antaranya Malay supremacy, Malay hegemoni, tuan dan hamba dan banyak lagi digembar-gemburkan bertujuan untuk menakut-nakutkan terutamanya orang bukan Melayu.

Lebih menggerunkan apabila ketuanan Melayu itu cuba dilihat sebagai satu ideologi perkauman berasaskan keagungan bangsa, cauvinistik dan permainan politik terutamanya yang didokong oleh orang UMNO.

Malangnya tidak ramai ahli UMNO sendiri yang mampu untuk mengupas dan menghuraikan mengenai ketuanan Melayu, jauh sekali untuk berhujah menangkis dakwaan yang menolak ketuanan Melayu.

Sekali lagi timbul persoalan adakah ketidaksungguhan pemimpin UMNO itu kerana parti yang memayungi orang Melayu ini tidak lagi menjadikan ketuanan Melayu sebagai asas perjuangan?
Perkara ini jika ditujukan kepada kalangan pemimpin UMNO pastinya akan disambut dengan reaksi amarah.

Tidak kurang juga ada yang akan melenting. Namun, di mana semangat perjuangan orang UMNO itu terhadap mempertahankan ketuanan Melayu sekiranya majlis-majlis wacana ilmu seperti ini tidak mendapat sambutan dan perhatian daripada mereka yang mengaku pembela bangsa ini?

Justeru seperti yang ditegaskan oleh Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan, sudah tiba masanya untuk pendidikan dan sosialisasi politik dilakukan semula dalam mengembalikan semangat perjuangan pemimpin UMNO dan ahlinya terhadap konsep ketuanan Melayu.

Ahli-ahli UMNO juga jelas beliau, perlu dididik menerusi satu kurikulum yang khusus untuk memahami seluruh aspek kemelayuan serta segala tuntutan pihak lain yang bertujuan mengecilkan UMNO dan Melayu.

Paling penting, Zainal Abidin menerusi pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk "Ketuanan Melayu-Lambang Perpaduan, Kedaulatan dan Kewibawaan Malaysia" menjelaskan, ahli UMNO perlu dari semasa ke semasa memahami seluruh perbincangan mengenai ketuanan Melayu dari sudut pasca modenisme dan pasca kolonial, lebih-lebih lagi neoliberalisme dan hak asasi manusia.

''Ini kerana penolakan ketuanan Melayu itu ada kaitannya dengan pendirian mengutamakan kepelbagaian budaya dan bahasa serta pluralisme agama yang berteraskan hak asasi manusia iaitu lanjutan suara Malaysian Malaysia yang pernah diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew dan Malayan Union yang digagaskan oleh British," katanya.

Justeru seperti yang dijelaskan lebih awal, kefahaman mengenai ketuanan Melayu itu tidak seharusnya dilihat dari sudut politik, sebaliknya satu pegangan di kalangan masyarakat Malaysia selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

Kefahaman

Maka, adalah wajar untuk kefahaman mengenainya diperpanjangkan kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi sistem pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal.
Di samping itu, media massa sama ada bercetak atau elektronik pula memikul peranan secara tidak formal dengan memperbanyakkan filem, animasi dan lagu-lagu berhubung ketuanan Melayu.

Usaha itu pula diperkukuhkan lagi oleh para intelektual dan cendekiawan Melayu menerusi penulisan dan penerbitan buku yang menjurus kepada pentafsiran mengenai ketuanan Melayu secara lebih meluas dan mendalam.

Pengertian yang jelas mengenai konsep ketuanan Melayu itu sama ada di kalangan orang Melayu atau bangsa lain secara tidak langsung menolak kepada gagasan ketuanan rakyat seperti yang dilaungkan oleh pembangkang serta beberapa kumpulan generasi muda dengan aliran pemikiran yang liberalis.

Ini kerana perjuangan ketuanan rakyat lebih menjurus kepada konsep satu bangsa satu negara, atau dari konteks orang Melayu dari Kemelayuan ke Kemalaysiaan dan barangkali, dari keislaman ke Islam yang liberal dan mudah lentur kepada tuntutan pluralisme agama.

''Sekiranya keadaan ini berlaku, maka martabat dan maruah Melayu sebagai bangsa yang besar di kepulauan Melayu ini akan menjadi kecil dan tidak mustahil akan pupus satu hari ini lantaran ideologi Melayu Islam itu tidak lagi dimantapkan sebagai asas perjuangan yang kukuh," ujar Zainal Abidin.

Justeru, adalah satu keutamaan ketika ini untuk meletakkan perjuangan ketuanan Melayu itu melangkaui kepentingan politik dan menjadikannya sebagai paksi dan induk perpaduan serta kewibawaan Malaysia.

Betapa ketuanan Melayu itu seharusnya mendasari asas perjuangan politik orang Melayu adalah kerana ia merupakan benteng kepada kedaulatan Melayu tidak hanya di rantau ini, malah di seluruh dunia.

Atas kepentingan itu, Penyandang Kursi Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ketika sesi penggulungan seminar yang sama memberi penekanan, supaya setiap daripada Melayu perlu menyedari hakikat tersebut.

Dalam erti kata yang lebih luas, beliau menyeru orang Melayu untuk tidak melepaskan kepentingan mempertahankan ketuanan Melayu itu di tangan pemimpin politik semata-mata, sebaliknya perlu bermula secara individu iaitu dari dalam jiwa setiap orang Melayu.

Sesuatu yang positif mengenai perdebatan polemik ketuanan Melayu kebelakangan ini ialah apabila bercambahnya kesedaran terutamanya di kalangan pertubuhan berasaskan Melayu untuk bangkit mempertahankan ideologi ini.

''Tanpa ilmu yang mendalam mengenai isu ini, maka orang Melayu tidak mungkin mampu mencabar setiap hujah yang dikemukakan dan kita juga selamanya akan dilihat sebagai orang yang lemah dan kalah," ujar beliau. Disediakan Oleh: Mohd Syuhaidi (dipetik daripada Rencana Khuzairi Ismail, Wartawan Utusan)

Monday, January 12, 2009

"Palestin Diserang Kerana Tanah"

JENAYAH perang oleh rejim Zionis Israel terhadap 1.5 juta penduduk di wilayah Tebing Gaza yang masuk minggu ketiga begitu meruntun jiwa rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khasnya.

Umumnya, masyarakat Melayu begitu sensitif terhadap isu Palestin sedangkan pada masa yang sama lebih 300 juta jiwa di 23 buah negara Arab sendiri tidak peduli bangsanya 'diratah' di depan mata. Majoriti rejim dan kuasa Arab termasuk Arab Saudi bacul untuk bertindak mematahkan kebiadapan Zionis. Mengapa sehingga kini mereka tidak berpakat menghantar beramai-ramai tentera dan rakyat masing-masing menentang Israel?

Apa yang berlaku, kerajaan Emiriah Arab Bersatu tetap selesa 'bertapa' di Burj al-Arab. Mesir dan Syria pula belum bersedia membuka pintu untuk pelarian Palestin bagi tujuan perlindungan. Malah, Jordan dan Turki masih mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Zionis. Ironinya, Hugo Chavez pula bertindak sebagai pemimpin 'jantan' sebenar apabila menghalau Duta Israel ke Venezuela, Shlomo Cohen dan kakitangan kedutaan itu pada 6 Januari lalu.

Kita perlu benar-benar memahami situasi hujanan puluhan bedilan peluru dan mortar tentera Israel sejak 27 Disember itu secara lebih menyeluruh. Ini kerana 'banjir' darah di Semenanjung Gaza bukan sekadar tindakan kebinatangan Zionis untuk memerangi Islam.

Malah, Gaza yang luasnya hanya 360 km persegi itu juga tidak memiliki kepentingan ekonomi yang signifikan kepada Israel. Israel sebenarnya laparkan tanah atas agenda mahu meluaskan lagi wilayah Israel Raya yang mula terbina secara haram pada 1948. Walaupun keturunan bangsa Palestin telah lama menetap di tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel datang tetapi tanah Palestin tetap didakwa hak nenek moyang mereka.

Sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah rakyat tanah Palestin yang terdiri daripada pelbagai agama, bahasa dan bangsa hidup aman dan selamat selama lebih kurang 400 tahun. Oleh sebab itu, apa yang berlaku di Tebing Gaza mesti dijadikan iktibar betapa pentingnya kedaulatan tanah milik keluarga, bangsa dan negara dipertahankan.

Persoalannya, adakah kita mengambil iktibar daripada serangan Israel dengan memelihara hak milik dan kelangsungan tanah milik kita? Baik budi yang tidak kena pada tempatnya mesti dielak sebelum hak milik tanah yang masih berbaki di tangan kita tidak tergadai begitu sahaja.

Tindakan kerajaan negeri Perak misalnya yang begitu mudah memberikan tanah kepada bukan Melayu amat berisiko menjerumuskan bangsa Melayu ke kancah yang sama seperti yang ditempuhi oleh bangsa Palestin hari ini. Begitu juga 'kemaraan' mudah para pelabur dari Singapura yang disokong kuat di belakangnya Israel melalui wilayah pembangunan di selatan tanah air.

Hakikatnya, generasi cucu cicit kita pada masa akan datang juga tidak mustahil akan dianiaya, dihalau dan dibunuh seperti mereka di Palestin jika pemimpin dan bangsa kita gagal memahami apa yang tersirat di sebalik episod pilu tangisan dan teriakan Gaza hari ini. Disediakan Oleh: Arif Atan

Thursday, January 8, 2009

"Kemerosotan Nilai Ekonomi Bahasa Melayu"

Akibat pendewaan bahasa Inggeris oleh beberapa pemimpin Negara dan keraguan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebagaimana yang terselah dalam perlaksanaan PPSMI, maka pihak swasta dan kerajaan sudah mula menumpukan pengambilan tenaga kerja iktisas mereka kepada siswazah yang lulus dari aliran Inggeris kerana hendakkan kefasihan dalam bahasa Inggeris. Kecenderungan atau pola ke arah lulusan aliran Inggeris ini akan membawa kesan yang tidak diingini kepada Pengajian Melayu.

Dengan jatuhnya nilai ekonomi bahasa Melayu dan bertambah kurangnya peluang untuk mendapat pekerjaan bagi mereka yang lulus dari aliran Melayu, maka daya tarik Pengajian Melayu juga akan menurun. Lazimnya pelajar akan memilih bidang pengajian yang akan menjamin masa depan mereka. Perlu diingat bahawa pada masa nilai ekonomi Bahasa Melayu merosot pada pertengahan hingga akhir 1960-an dahulu, ibu bapa Melayu sendiri tidak memasukkan anak mereka kesekolah aliran Melayu, sebaliknya ke aliran Inggeris. Sebagai contoh, Sekolah Melayu Pusing, Perak terpaksa ditutup kerana kekurangan murid. Ada sekolah yang mengalami kekurangan kemasukan murid darjah satu hingga jumlah darjah satunya menurun dari sepuluh, pada satu tahun, menjadi lima pada tahun berikutnya.

Kemerosotan nilai ekonomi bahasa Melayu ini juga akan membawa kesan buruk kepada Pengajian Melayu dari segi daya tariknya untuk mendapatkan tajaan penyelidikan dari syarikat-syarikat besar.

Perkembangan pendidikan aliran Inggeris yang dilhat menghadkan penggunaan bahasa Melayu juga dilihat akan menjejaskan usaha kearah memupuk kebudayaan kebangsaan dan perpaduan kebangsaan. Seterusnya, ia akan membawa kesan yang tidak diingini dari segi pembentukan jati diri dan bangsa Malaysia.

Dengan sebegitu ramai belia kita dan ibu bapa mereka disogokkan dengan pemikiran yang mendewakan bahasa Inggeris dan dengan menggalakan pendidikan aliran China, maka sikap kebanyakan mereka terhadap kebudayaan kebangsaan akan terjejas kerana kebudayaan kebangsaan berteraskan kebudayaan bumiputera yang berlandaskan bahasa Melayu.

Pelbagai lagi kesan yang tidak diingini telah, sedang dan akan berlaku akibat perkembangan yang terlampau pesat dalam pendidikan aliran Inggeris dan kemungkinan timbulnya akibat yang sama dalam perkembangan pendidikan aliran China. Selain menjejaskan perkembangan bahasa Melayu, memerosotkan nilai ekonomi bahasa Melayu, menjejaskan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan mengurangkan keberkesanan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, keadaan ini juga turut memburukkan lagi ketidakseimbangan dari segi penyediaan tenaga iktisas di antara bumiputera dengan bukan bumiputera, memperluaskan lagi jurang ketidakseimbangan ekonomi antara kaum dan mengurangkan kemungkinan pergaulan antara kaum, dan ini akan menyukarkan perpaduan kebangsaan kerana terlahir sukurang-kurangnya dua kumpulan, iaitu aliran kebangsaan dan aliran Inggeris. Disediakan Oleh: Mohd Syuhaidi

"Nasional @ 1 Bahasa Mandarin Tidak Bersifat Nasional?"

Adakah sesuai berita Nasional @ 1 bahasa Mandarin jam 8 malam sekarang dilabelkan sebagai ‘nasional’? Tinjauan penulis terhadap siaran berita di TV1 tersebut pada Isnin lalu (5 Januari) dapat menjawab persoalan tersebut.

Slot berita pada hari itu dimulakan dengan hari pertama persekolahan bagi kawasan Lembah Kelang. Apa yang diberi penekanan ialah liputan mengenai pembukaan semula SJKC Chung Hwa di Damansara selepas ditutup sejak 8 tahun lalu.

Hampir 10 minit pertama sahaja adalah tentang kemasukan murid ke sekolah tersebut yang turut ‘dimeriahkan’ dengan kehadiran seorang menteri dan iringan tarian singa.

Pembukaan sekolah tersebut setelah ditutup sejak tahun 2001 sebenarnya kemenangan mereka yang selama ini mendesak supaya sekolah itu dibuka semula. Tindakan menutup sekolah itu sebelum ini dipolitikkan sehingga dicop sebagai perkauman sedangkan pada masa yang sama mereka sebenarlah yang kuat perkaumannya.

Melihatkan orientasi laporan berita itu yang turut menyelitkan temubual bersama guru dan ibu bapa yang kelihatan begitu gembira dan bersemangat, tidakkah terlintas di fikiran kita betapa kuatnya unsur perkauman yang telah diketengahkan?

Di mana pula ciri nasional yang dimiliki oleh siaran berita berbahasa Mandarin itu apabila laporan berita selepas itu juga masih berlegar kepada kepentingan kaum bukannya kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia ?

Ini dapat dilihat pada laporan yang memetik kenyataan T.Murugiah bahawa kerajaan bersedia menanggung sepenuhnya sekolah jenis kebangsaan jika status sekolah bantuan modal ditukar kepada bantuan penuh.

Hanya selepas itu baharu ada berita tentang tindakan kerajaan meluluskan bantuan 1 juta Dollar AS kepada mangsa jenayah perang Palestin disusuli dengan saranan Dr. Mahathir agar menghentikan hubungan dagang dengan Amerika.

Jika berita bercorak nasional diletakkan selepas berita berbaur perkauman, adakah masih layak untuk siaran tersebut dianggap sebagai berita yang nasional sifatnya?

Itulah sebabnya berita bukan dalam bahasa kebangsaan tidak wajar diwujudkan lantaran tidak secocok untuk diangkat sebagai berita nasional. Ini kerana liputan beritanya lebih menjurus kepada kelompok kaum bukannya melibatkan kepentingan kolektif sebuah bangsa Malaysia .

Berbeza dengan berita bahasa kebangsaan pada jam 8 malam iaitu ketika masa perdana, corak pemberitaannya adalah nasional dan Malaysia sifatnya.

Oleh itu, bara perkauman melalui saluran berita sebagai sumber maklumat yang terkurung dalam tempurung perkauman tidak harus dibiarkan.

Memetik perumpamaan dalam Hikayat Malim Deman:

Bagai pucuk dilancarkan,
Bagai kumbang putus tali,
Pening kapal bagai dibaji,
Sakit hati bagai digunting.

Hakikatnya, siaran berita selain daripada bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi pada waktu perdana tidak wajar diteruskan.

Kegagalan rakyat berbilang kaum di tanah air ini untuk berkongsi maklumat dalam bahasa milik semua rakyat negara ini iaitu bahasa kebangsaan bererti kegagalan kita memupuk perpaduan bangsa Malaysia . Disediakan Oleh: Arif Atan