Saturday, May 30, 2009

Di Mana Taat Setia 'Penyokong' Chin Peng?

ADAKAH saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan mahu membawa Chin Peng ke negara ini telah mengambil kira sensitiviti majoriti rakyat?

Tidakkah cadangan itu terang lagi bersuluh mengguris parut luka lama seluruh warga Malaysia terutama mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga diisytiharkan darurat bermula bulan Jun 1948?

Hakikatnya, usahlah ada yang buat- buat lupa pada sejarah ganas komunis dahulu. Ramai pejuang kita terkorban akibat jerangkap samar dan bedilan senjata mereka.

Tidak kurang juga yang kemudiannya tergolong dalam kelompok orang kurang upaya (OKU). Mereka menjadi wira tidak didendang apabila ada yang belum mendapat sebarang pembelaan meskipun merekalah yang telah bergadai nyawa menentang komunis dahulu.

Malah, orang awam yang tidak berdosa turut menjadi mangsa sembelihan komunis. Atas sebab itulah, usah sama sekali begitu mudah untuk melupakan pahit maung hidup sengsara di bawah 'pemerintahan' komunis dengan senang hati membentang permaidani merah untuk Chin Peng sebagai ikon komunis Malaya untuk memijakkan kaki di tanah air ini kembali.

Walaupun atas premis kemanusiaan tetapi fikirkanlah dosa Chin Peng dan sekutunya yang 'berperikebinatangan' menzalimi bangsa kita dahulu. Seharusnya pihak yang beria-ia mahu mengiktiraf Chin Peng sebagai wira negara bertanyakan diri mereka terlebih dahulu.

Adakah mereka benar-benar sedar diri tentang di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung? Adakah taat setia mereka kepada "tanah tumpahnya darahku" seperti yang terkandung dalam lagu Negaraku telah tumpah ke 'tanah' lain?

Jika sedar mereka bukan berkiblatkan negara China tentulah tidak akan timbul isu mahu membawa balik Chin Peng dan pengaruh komunis ke negara ini.

Sebaliknya, apabila ketara mereka begitu teruja dengan 'jasa' Chin Peng yang pernah menjahanamkan keamanan hidup kita sebelum ini, nyatalah itu semua didorong atas nilai cauvinis kaum semata-mata tanpa mempedulikan keharmonian bermasyarakat dan sensitiviti orang lain.

Oleh sebab jelas ada yang taat setianya telah tidak berpasak di bumi bernama Malaysia yang asalnya dahulu dipanggil Tanah Melayu, tidak keterlaluan mereka juga sebenarnya tidak layak bermastautin di negara ini sama seperti Chin Peng. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Thursday, May 14, 2009

"Rakyat Muak Kemelut Politik di Perak"

UMPAMA ‘gajah bergaduh dengan gajah, pelanduk mati di tengah,’ itulah kesimpulan yang dapat kita lihat di Perak.

Apa yang berlaku sekarang memperlihatkan betapa kuasa dan pangkat membunuh semangat dan ukhuwah kita semua bukan saja sebagai satu bangsa, malah satu agama.

Kita sudah mula lupa yang kita sebenarnya bersaudara dalam satu keluarga. aya mewakili majoriti rakyat Perak tidak mahu melihat keadaan itu berterusan yang akhirnya bukan saja merugikan seluruh rakyat, malah maruah negeri tercinta ini turut menjadi bahan ketawa masyarakat.

Secara peribadi, sebagai anak Perak saya malu dengan apa yang berlaku dan saya yakin rakyat keseluruhannya turut berkongsi perasaan yang sama.

Saya mencadangkan pertemuan tertutup tiga penjuru membabitkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Sultan Perak dan menampilkan mufti sebagai penasihat untuk berbincang langkah yang perlu dilaksanakan bagi merungkai kemelut itu daripada berterusan.

Semua ini akhirnya akan membawa kepada satu keputusan yang menjadi penentu kepada masa depan rakyat Perak. Kami anak Perak sudah muak dengan apa yang berlaku.

Umpama kapal dua nakhoda, ke kiri pun tidak, ke kanan pun tidak, akhirnya karam di tengah lautan. Nakhoda hilang entah ke mana, rakyat terkapai-kapai mencari tepian.

Berbincanglah secara baik dan rasional bagi mencari jalan penyelesaian dan jangan sesekali mengetepikan kepentingan rakyat.

Selama ini rakyat dipinggirkan dalam banyak isu, sama ada pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Rakyat hanya diperlukan ketika pilihan raya. Ketika itu kami dirayu dan ada kalanya ada imbuhan tertentu bagi memenangi hati kami.

Hakikatnya, bukan itu yang kami mahukan. Undi kami ikhlas dan tiada nilai dengan imbuhan diberi.

Apa yang kami mahukan adalah pikullah tanggungjawab itu dengan jujur dan amanah, susah senang bersama untuk membangunkan Perak tercinta.

Kembalikan kesejahteraan Perak sebagai negeri yang kaya dengan budaya dan terkenal dengan budi bahasa. Disediakan Oleh: Nasir Yusof

Monday, May 11, 2009

Dasar Liberalisasi Biar Terkawal

KITA pada masa ini berdepan dengan keributan kemelesetan ekonomi dunia yang dapat ditandakan dengan tumbangnya kapitalisme ala-Amerika.

Sehubungan itu, Malaysia wajar sekali mengambil pendekatan yang diharapkan mampu mengurangkan impak daripada kemelut tersebut terhadap kira-kira 27 juta rakyatnya.

Hakikat ini telah disuarakan dengan jelas oleh Perdana Menteri kita dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh (MAPPA X) pada 28 April lalu.

Liberalisasi dilihat sebagai strategi yang dapat menyelamatkan negara ini. Bermula daripada liberalisasi dalam sektor perkhidmatan awam seperti dasar pintu terbuka jawatan-jawatan utama dan penting kepada sektor swasta seterusnya liberalisasi dalam 27 subsektor perkhidmatan.

Namun, adakah tindakan liberalisasi ini benar-benar akan, sedang dan telah diperhalusi, dirancang dengan teliti serta sentiasa dalam kawalan agar tidak wujud situasi "lari dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya" pula?

Usaha memberi fokus kepada sektor pertumbuhan ekonomi dengan mengutamakan kemasukan pelabur asing secara bebas wajar sentiasa dipantau agar tidak melampaui had.

Aspek jangka panjang terhadap sesuatu tindakan atau dasar yang hendak dilaksanakan perlu diambil kira.

Rakyat juga tidak mahu berlaku lagi senario menang sorak tetapi kampung tergadai akibat sikap enggan belajar daripada sejarah atau pengalaman sendiri atau dari negara lain.

Sebagai contoh perlu ditetapkan had atau tahap campur tangan pihak swasta dalam perkhidmatan awam. Tidak semua, apatah lagi peringkat tinggi jawatan kerajaan boleh diserah begitu sahaja kepada mereka yang tidak tahu falsafah dasar dalam budaya kerja perkhidmatan awam.

Begitu juga jangka masa untuk pemodal asing melabur. Adakah ada jaminan bahawa jawatan kosong yang ada akan diisi oleh anak-anak tempatan seperti yang sering diuar-uarkan jika mahu membawa masuk pelabur asing ke negara ini?

Sememangnya kita mesti berani menerima perubahan tetapi usahlah manfaat perubahan itu tidak dikecapi oleh rakyat apalagi mendatangkan kerugian pula. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Monday, May 4, 2009

DILEMA MELAYU SEBAGAI SEBUAH BANGSA ATAU “ETHNIC GROUP”

Melayu sebagai bangsa atau “ethnic group” yang dominan di Malaysia sepatutnya lebih matang di dalam membuat keputusan dan menentukan nasib dan hala tuju negara yang kita warisi ini. Tetapi realiti adalah berlainan. UMNO mungkin suatu masa dahulu di pelopori dan di dokong oleh golongan pemimpin yang berwawasan dan ikhlas di dalam perjuangan bangsa, tetapi di permulaan 1990 keikhlasan di dalam perjuangan telah mulai lupus dan hilang. Di gantikan dengan majoriti Melayu yang rakus dan “power hungry”.


Element atau budaya rasuah, kroni adalah sinonim dengan negara yang membangun, tetapi "check and balance" di dalam UMNO atau Bangsa Melayu itu sendiri gagal muncul. Badan disiplin atau golongan tua seperti mana "pendekar" atau “Knight” tidak lagi ada di dalam bangsa melayu itu sendiri. Ketandusan pemimpin yang lantang atau mampu berjuang dengan ikhlas telah hilang, Budaya kipas mengipas dan juga budaya mengampu dan di berikan jawatan akan menghilangkan kelantangan perjuangan Melayu itu sendiri. Siapakah harus di persalahkan? Pemimpin atau bangsa itu sendiri? Isu ini adalah sesuatu yang komplex dan sukar jika di lihat pada satu sudut. tetapi ianya akan menjadi mudah jika adanya pencetus dan juga segelintir yang menjadi pemegang amanah bangsa Melayu itu sendiri. Element ini pada pendapat saya tidak wujud, antara dileman Bangsa Melayu yang paling ketara sekali adalah nasionalis dan agama Islam itu sendiri. Melayu terbahagi kepada dua di dalam diri mereka, antara Agama dan juga Bangsa. Kedua-dua pemikiran ini menjadi satu faktor yang mana telah menjadi realiti dengan adanya PAS dan UMNO, Kedua dua pihak ini adalah Melayu tetapi suatu perjuangan dan landasan yang berlainan, setiap satu menjadi “champion” kepada pemikiran yang berlainan.


Melayu yang beragama akan membawa "Islam" mengikut pemikiran mereka sendiri, Corak perjuangan Islam sendiri juga bermazhab dan juga bermasaalah mengikut susun atur atau percaturan pemimpin mereka. Pada satu kumpulan yang lain, perjuangan Bangsa menjadi keutamaan tetapi Islam juga di jaga pada tempatnya. Jadi bagaimana kesudahanya kita? Adakah kita patut meninggalkan manifesto Bangsa dan berjuang mengikut Agama? Atau Kita mendokong Bangsa tanpa meninggalkan agama? Inilah dilema Bangsa Melayu sekarang ini. Jika kita melihat pada versi ketiga, muncullah Melayu Keadilan atau PKR.


Melayu terbahagi kepada tiga? Mungkin tidak? Ada Melayu atas pagar atau melayu “western”, mereka ini menjadikan dileman Bangsa Melayu kepada 4 atau lebih pemikiran dan golongan. Disediakan Oleh: Mosmi