Thursday, May 31, 2012

"Mengapa Melayu sudah "tidak berbahaya"?


MASYRAKAT Melayu pada masa akan datang dikhuatiri hanya 'pemerhati politik yang tidak berbahaya'. Demikian antara pandangan bekas Presiden Yayasan Kepimpinan dan Strategi Malaysia (YKSM), Datuk Radzi Latif dalam tulisannya semalam.

Sepatutnya, kita sudah celik mata tentang persaingan politik antara kaum di negara ini terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bila-bila masa akan diadakan memandangkan tempoh "edah" bagi PRU tersebut akan tamat pada 7 Mac 2013.

Sikap 'berkecuali' atau tidak peduli tentang politik lebih ketara dalam masyarakat Melayu terutama golongan muda. Walaupun dilihat orang Melayu yang lebih ramai memenuhi jalan raya dalam beberapa siri demonstrasi di ibu negara sebelum ini tetapi celik politik mereka tidaklah benar-benar sampai cerah mata untuk ke peti undi.

Pada ketika ini berlakunya banyak pertambahan pemilih Cina yang berdaftar, orang Melayu dan bumiputera masih lagi 'juara' dalam kumpulan belum mendaftar sebagai pengundi sehingga mencecah angka kira-kira 2.1 juta orang!

Apakah akibatnya jika gejala tersebut berterusan? Disebabkan orang bukan Melayu menjadi 'pemerhati politik yang berbahaya' maka mereka akan ditatang bagai minyak yang penuh.
Silap-silap belum muka mulut lagi atau baru 'berdehem' sahaja kehendak mereka akan dituruti walau terpaksa berenang ke lautan api.

Menjelang PRU-13 ini pun kita dapat melihat bagaimana kepentingan mereka melibatkan hal-hal bersangkutan dengan politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan amat diberi perhatian.

Orang Melayu yang bukan lagi majoriti di peti undi akhirnya akan lebih banyak berdiam diri daripada bercakap hal berkaitan kepentingan bangsanya. Mereka mungkin jadi sama ada takut atau berputus asa menyuarakan apa yang hak bagi bangsanya. Sebahagiannya pula akan mudah mengangguk dengan dakwaan-dakwaan yang secara tersiratnya mencairkan rasa gah sebagai bangsa Melayu.
Contoh terdekat, bukan sedikit orang Melayu yang terus percaya apabila ada seorang ahli akademik bukan Melayu mendakwa Hang Tuah itu tidak wujud atau versi pandangan dangkal lain jika wujud pun sebenarnya berketurunan Cina!

Itu belum lagi lontaran kononnya Melayu juga adalah kaum pendatang sama seperti orang bukan Melayu sekali gus menafikan bukti sejarah, linguistik, kebudayaan mahupun arkeologi. Misalnya, orang Melayu dan orang Asli telah diakui sebagai dua kumpulan penduduk asli di Semenanjung Malaysia hari ini seperti yang ditegaskan sendiri oleh Dr. Geoffrey Benjamin.

Ungkapan 'Takkan Melayu hilang di dunia' yang sering dikaitkan dengan Hang Tuah pula tidak mustahil tinggal sejarah. Benar Melayu secara zahirnya ada tetapi untuk dilihat sebagai 'pemerhati politik yang berbahaya' sudah hilang bisanya.

Tambahan pula, kawasan luar bandar yang didominasi oleh masyarakat Melayu menerima proses perbandaran yang dahsyat. Pengambilan seinci demi seinci tanah yang asalnya dimiliki dan diduduki oleh orang Melayu oleh pemaju untuk didirikan perumahan elit dan bangunan komersial telah menghambat Melayu sebagai aset penting kelangsungan politik Melayu.

Walhal, sejak 15 tahun lalu lagi Allahyarham Dr. Hussain Mohamed seorang pensyarah sosiologi politik dari Universiti Malaya menyatakan bahawa "buat beberapa dekad akan datang, kekuatan politik orang Melayu masih bergantung kepada sokongan dan dukungan politik mereka di kawasan luar bandar". Jadi, mengapa pihak berkenaan tidak peduli?
Akhirnya, kawasan yang sebelum ini dihuni ramai orang Melayu kian menyusut diisi oleh golongan 'pemerhati politik yang berbahaya' tetapi ditatang bagai minyak yang penuh.

Kita seolah-olah lupa bahawa taburan penduduk dan pemilikan hartanah adalah dua entiti penting dalam memastikan Melayu tidak hilang kuasa politiknya. Makna tersirat di sebalik pusaka kata 'tanah air' yang akan menentukan hidup mati orang Melayu pada masa depan jarang untuk pemimpin Melayu sendiri sedari.

Pihak berwajib juga tidak membaca sejarah bagaimana pendekatan Lee Kuan Yew pada awal pentadbirannya telah memecahkan dominasi penempatan orang Melayu Singapura sehingga hilang kuasa politik Melayu di republik itu.

Kita tidak pernah mahu belajar untuk mengelak keadaan yang berlaku di Amerika Syarikat daripada menjalar ke negara ini apabila kaum Yahudi yang hanya minoriti tetapi menjadi penentu percaturan pemilihan presiden dan segala dasar berkaitan politik, ekonomi dan kebudayaan di negara itu.

Pada ketika kita ibarat terkeluar anak tekak 'menjahanamkan' Yahudi yang kejam merampas tanah bangsa Palestin, tanah-tanah milik Melayu boleh pula terus dijual dan dipindah milik sewenang-wenangnya kepada syarikat-syarikat pemaju. Mereka inilah kemudiannya melalui projek 'pembangunan' yang dilaksanakan mengundang kemasukan orang lain tidak terkecuali rakyat asing atau golongan ekspatriat untuk memiliki hartanah di negara ini.

Bagaimana cara benih itu disemai, disiram dan dibaja akan menentukan pohon itu hidup subur atau mati. Itu sebabnya dalam kita mengeluh mencari sebab mengapa orang Melayu sudah tidak teruja untuk terlibat dalam proses politik ada baiknya kita merenung sejauh mana tindakan kita selama ini telah menjadikan mereka rasa berfaedah untuk bangga mengaku dirinya sebagai seorang Melayu.

Disediakan oleh: Mohd Arif Atan

"Melayu pandang remeh kepentingan daftar jadi pengundi"



SERAMAI 3.7 juta rakyat kita masih belum tergerak hatinya untuk mendaftar sebagai pemilih.
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 60 peratus daripada kelompok tersebut ialah golongan muda iaitu berusia bawah 40 tahun.

Selari dengan komposisi kaum di negara ini, terdapat hampir 2.1 juta orang Melayu dan bumiputera paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi.

Mengapa gejala tersebut berlaku? Ada yang menganggap sikap tidak ambil peduli dan memandang remeh kepentingan mendaftar adalah puncanya.

Jika diteliti dalam kita mencari akar masalah itu bukan punca sebenar. Ada punca lebih besar lagi yang menyebabkan mereka tidak kisah untuk mendaftar seterusnya mengundi.

Faktor paling dominan adalah sejauh mana proses sosialisasi orang Melayu segenap lapisan dalam "mengenali" politik.

Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Orang Melayu yang dapat mencerap makna sebenar politik memiliki sikap ambil berat dan memandang serius akan kepentingan mengundi, berbeza dengan hampir 2.1 juta orang Melayu yang liat mendaftar itu.

Usah salahkan mereka seratus peratus kerana mereka ialah mangsa kepada proses sosialisasi dan budaya politik yang salah sedangkan bagaimana orang Melayu "diasuh" dalam melihat politik itulah yang mempengaruhi kesedaran mereka untuk bergelar pengundi.

Di pusat pengajian tinggi misalnya, ayat peringatan bahawa "masuk universiti belajar, bukan berpolitik" adalah satu bentuk sosialisasi yang tidak tepat apatah lagi jika dikaitkan peranan mereka sebagai agen perubahan masyarakat.

Politik dipakejkan seperti lembaga menakutkan yang akan menjejaskan tumpuan mereka belajar meskipun pelajar Melayu yang konon tidak mahu "berpolitik" itu tidak pula mampu menandingi pelajar bukan Melayu yang ramai mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) lebih cemerlang.

Tanggapan terhadap politik jadi begitu jumud. Akibatnya, mereka tidak minat untuk bergerak aktif dalam persatuan pelajar di dalam kampus, apa lagi di luar sedangkan pada masa sama majoriti pelajar bukan Melayu begitu aktif bergiat dalam pelbagai kelab dan persatuan di universiti dan luar berorientasikan kepentingan dan kebudayaan mereka.

Jika suara pelajar Melayu berbeza daripada kelaziman massa akan cepat dicap sebagai "hanya tahu membangkang" sekalipun atas hujah akademik yang rasional dengan pendekatan yang berbudi bahasa.

Pendek kata, apabila disebut "politik", imej yang terpampang adalah melawan cakap, demonstrasi dan lebih jauh lagi politik kepartian sehingga dalam beberapa keadaan coretan di laman sosial Facebook pun boleh dianggap sebagai ancaman.

Walhal, interaksi dan komunikasi kita dengan persekitaran sosial setiap hari dan setiap detik itu jelas lagi nyata berkaitan dengan politik!

Akibat daripada makna dan praktis politik yang beku tidak hairanlah diperhatikan pelajar Melayu kurang berbaris berbanding pelajar Cina di kaunter pendaftaran pemilih yang secara berkala dibuka oleh SPR di universiti sebelum ini.

Kegagalan memahami makna politik dalam kalangan golongan muda Melayu ini bukan setakat terhenti impaknya kepada kelompongan di peti undi tetapi lebih dahsyat daripada itu menghakis jati diri dan rasa bangga sebagai orang Melayu.

Golongan muda Melayu yang tidak lagi secara praktis memiliki pengalaman berdepan dengan belenggu penjajahan atau hidup dalam zaman yang penuh kesukaran akan terus rapuh pegangan dan jati dirinya.

Mereka bukan lagi rendah diri tetapi jadi kerdil diri dan tidak lagi punya deria yang peka terhadap kepentingan bangsanya kerana tidak mahu dilabel rasis.

Rantaian kepada psikologi Melayu yang kacau itu kemudiannya diterjemah dalam bentuk tindakan. Mereka hanya cenderung bercerita isu remeh berkepentingan jangka pendek kerana mahu berada dalam zon selamat.

Orang Melayu yang telah dilunturkan pemahaman mereka terhadap makna politik tidak tahu lagi memberi keutamaan kepada hal yang mendatangkan manfaat kepada bangsanya.

Buktinya jelas. Jika mendaftar sebagai pemilih dan seterusnya nanti keluar untuk mengundi pun tidak peduli, apakah yang boleh kita harapkan kepada kelompok 2.1 juta itu untuk memperjuangkan diri dan bangsanya sendiri jika suatu masa nanti ditindas?

Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Tuesday, October 18, 2011

"Jiwa merdeka dengan bahasa Melayu"

KITA lazim mendengar keluh-kesah kononnya kemerdekaan tanah air sudah tidak membekas dalam kalangan generasi hari ini. Benarkah mereka bersikap sedemikian tanpa disedari bahawa langkah atau tindakan kita selama inilah punca lunturnya nilai patriotisme mereka?

Pendek kata, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Begitulah juga erti kemerdekaan bagi golongan remaja yang merupakan cerminan daripada sikap golongan dewasa terhadap makna kemerdekaan itu sendiri.

Akibat sebahagian golongan dewasa yang menjadi pimpinan badan-badan penting di negara ini tidak patriotik melalui dasar atau tindakan yang diambil maka tidak hairanlah majoriti generasi muda menjadi 'buta' nilai kemerdekaan apatah lagi perjuangan.

Lihatlah dalam kebanyakan keputusan atau dasar yang dilakukan. Kerap kali kepentingan nasional tidak didahulukan. Paling ketara adalah soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermaruah di Malaysia.

Semua orang tahu di mana letak duduk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang telah 54 tahun merdeka ini tidak ubah bagai Quran buruk. Dibuang tidak boleh, digunakan segan pula. Semuanya menjadi serba-salah bagi mereka yang belum benar- benar merdeka jiwanya.

Bahasa Melayu telah diupayakan sejak kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak namun selepas 30 tahun tiba-tiba bahasa Melayu yang telah berjasa melahirkan golongan profesional daripada pelbagai kaum bahasa Melayu dilihat kolot lantaran kononnya tidak mampu bersaing di pentas global.

Tambah memburukkan keadaan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan yang sering mendesak supaya bahasa Inggeris diberi keutamaan.

Desakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) misalnya supaya bahasa Inggeris dikembalikan untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah amatlah keterlaluan.

Hal ini kerana kerajaan telah pun berjanji untuk memansuhkan dasar itu menjelang tahun 2012 sebagai reaksi terhadap permintaan Gerakan Mansuhkan PPSMI yang berarak pada 7 Mac 2009 lalu.

Jadi, bagaimana penghargaan generasi muda terhadap erti kemerdekaan tidak subur jika apa yang dilihat dan didengarnya adalah suara-suara yang galak mahu kembali ke dasar yang menyanjung bahasa milik bangsa lain sebaliknya bahasa sendiri didakwa 'hodoh' dan ketinggalan zaman?

Rentetan daripada sanjungan minda terjajah kepada bahasa Inggeris seterusnya mempengaruhi pertimbangan dalam sesuatu keputusan apabila kerap kali faktor orang asing serta pengiktirafan dari luar didahulukan melampaui agenda kepentingan nasional dan rakyat sendiri.

Tindakan Naib Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon misalnya yang membawa masuk begitu ramai ahli akademik dan pelajar asing khususnya dari negara dunia ketiga bagi memenuhi kriteria penarafan antarabangsa berpunca daripada minda yang masih terjajah.

Apakah erti kemerdekaan jika kedudukan anak watan seolah-olah dianaktirikan sebagai ahli akademik dan pelajar di tanah air sendiri semakin terhad?

Lebih penting lagi, bagaimana falsafah pendidikan negara serta pembentukan negara bangsa akan terlaksana sepenuhnya jika tanggungjawab mendidik anak bangsa di tanah airnya sendiri diserahkan kepada orang asing?

Dalam masa sama, nilai kemerdekaan negara ini juga pasti lebih dihargai oleh generasi muda hari ini andainya para pemimpin kita dapat melontarkan pendapat atau reaksi kepada media massa dalam bahasa kebangsaan.

Tindakan sebahagian pemimpin yang lebih selesa berbicara dalam bahasa Inggeris dalam khalayak rakyat sebenarnya secara tidak langsung satu bentuk 'asuhan' kepada generasi hari ini untuk meninggalkan bahasa Melayu.

Oleh itu, golongan muda tidak harus terus dijadikan kambing hitam dalam mendakwa mereka tidak patriotik atau gagal menghayati erti kemerdekaan.

Jiwa yang merdeka bukan terletak pada sejauhmana kita bersemangat mengibar bendera sebaliknya terletak pada sejauhmana golongan dewasa dan berpengaruh memberi tauladan yang baik dalam soal pembudayaan bahasa kebangsaan kepada generasi muda sebagai ciri utama bangsa yang merdeka.

Disediakan Oleh: Arif Atan