Thursday, May 31, 2012

"Mengapa Melayu sudah "tidak berbahaya"?


MASYRAKAT Melayu pada masa akan datang dikhuatiri hanya 'pemerhati politik yang tidak berbahaya'. Demikian antara pandangan bekas Presiden Yayasan Kepimpinan dan Strategi Malaysia (YKSM), Datuk Radzi Latif dalam tulisannya semalam.

Sepatutnya, kita sudah celik mata tentang persaingan politik antara kaum di negara ini terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bila-bila masa akan diadakan memandangkan tempoh "edah" bagi PRU tersebut akan tamat pada 7 Mac 2013.

Sikap 'berkecuali' atau tidak peduli tentang politik lebih ketara dalam masyarakat Melayu terutama golongan muda. Walaupun dilihat orang Melayu yang lebih ramai memenuhi jalan raya dalam beberapa siri demonstrasi di ibu negara sebelum ini tetapi celik politik mereka tidaklah benar-benar sampai cerah mata untuk ke peti undi.

Pada ketika ini berlakunya banyak pertambahan pemilih Cina yang berdaftar, orang Melayu dan bumiputera masih lagi 'juara' dalam kumpulan belum mendaftar sebagai pengundi sehingga mencecah angka kira-kira 2.1 juta orang!

Apakah akibatnya jika gejala tersebut berterusan? Disebabkan orang bukan Melayu menjadi 'pemerhati politik yang berbahaya' maka mereka akan ditatang bagai minyak yang penuh.
Silap-silap belum muka mulut lagi atau baru 'berdehem' sahaja kehendak mereka akan dituruti walau terpaksa berenang ke lautan api.

Menjelang PRU-13 ini pun kita dapat melihat bagaimana kepentingan mereka melibatkan hal-hal bersangkutan dengan politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan amat diberi perhatian.

Orang Melayu yang bukan lagi majoriti di peti undi akhirnya akan lebih banyak berdiam diri daripada bercakap hal berkaitan kepentingan bangsanya. Mereka mungkin jadi sama ada takut atau berputus asa menyuarakan apa yang hak bagi bangsanya. Sebahagiannya pula akan mudah mengangguk dengan dakwaan-dakwaan yang secara tersiratnya mencairkan rasa gah sebagai bangsa Melayu.
Contoh terdekat, bukan sedikit orang Melayu yang terus percaya apabila ada seorang ahli akademik bukan Melayu mendakwa Hang Tuah itu tidak wujud atau versi pandangan dangkal lain jika wujud pun sebenarnya berketurunan Cina!

Itu belum lagi lontaran kononnya Melayu juga adalah kaum pendatang sama seperti orang bukan Melayu sekali gus menafikan bukti sejarah, linguistik, kebudayaan mahupun arkeologi. Misalnya, orang Melayu dan orang Asli telah diakui sebagai dua kumpulan penduduk asli di Semenanjung Malaysia hari ini seperti yang ditegaskan sendiri oleh Dr. Geoffrey Benjamin.

Ungkapan 'Takkan Melayu hilang di dunia' yang sering dikaitkan dengan Hang Tuah pula tidak mustahil tinggal sejarah. Benar Melayu secara zahirnya ada tetapi untuk dilihat sebagai 'pemerhati politik yang berbahaya' sudah hilang bisanya.

Tambahan pula, kawasan luar bandar yang didominasi oleh masyarakat Melayu menerima proses perbandaran yang dahsyat. Pengambilan seinci demi seinci tanah yang asalnya dimiliki dan diduduki oleh orang Melayu oleh pemaju untuk didirikan perumahan elit dan bangunan komersial telah menghambat Melayu sebagai aset penting kelangsungan politik Melayu.

Walhal, sejak 15 tahun lalu lagi Allahyarham Dr. Hussain Mohamed seorang pensyarah sosiologi politik dari Universiti Malaya menyatakan bahawa "buat beberapa dekad akan datang, kekuatan politik orang Melayu masih bergantung kepada sokongan dan dukungan politik mereka di kawasan luar bandar". Jadi, mengapa pihak berkenaan tidak peduli?
Akhirnya, kawasan yang sebelum ini dihuni ramai orang Melayu kian menyusut diisi oleh golongan 'pemerhati politik yang berbahaya' tetapi ditatang bagai minyak yang penuh.

Kita seolah-olah lupa bahawa taburan penduduk dan pemilikan hartanah adalah dua entiti penting dalam memastikan Melayu tidak hilang kuasa politiknya. Makna tersirat di sebalik pusaka kata 'tanah air' yang akan menentukan hidup mati orang Melayu pada masa depan jarang untuk pemimpin Melayu sendiri sedari.

Pihak berwajib juga tidak membaca sejarah bagaimana pendekatan Lee Kuan Yew pada awal pentadbirannya telah memecahkan dominasi penempatan orang Melayu Singapura sehingga hilang kuasa politik Melayu di republik itu.

Kita tidak pernah mahu belajar untuk mengelak keadaan yang berlaku di Amerika Syarikat daripada menjalar ke negara ini apabila kaum Yahudi yang hanya minoriti tetapi menjadi penentu percaturan pemilihan presiden dan segala dasar berkaitan politik, ekonomi dan kebudayaan di negara itu.

Pada ketika kita ibarat terkeluar anak tekak 'menjahanamkan' Yahudi yang kejam merampas tanah bangsa Palestin, tanah-tanah milik Melayu boleh pula terus dijual dan dipindah milik sewenang-wenangnya kepada syarikat-syarikat pemaju. Mereka inilah kemudiannya melalui projek 'pembangunan' yang dilaksanakan mengundang kemasukan orang lain tidak terkecuali rakyat asing atau golongan ekspatriat untuk memiliki hartanah di negara ini.

Bagaimana cara benih itu disemai, disiram dan dibaja akan menentukan pohon itu hidup subur atau mati. Itu sebabnya dalam kita mengeluh mencari sebab mengapa orang Melayu sudah tidak teruja untuk terlibat dalam proses politik ada baiknya kita merenung sejauh mana tindakan kita selama ini telah menjadikan mereka rasa berfaedah untuk bangga mengaku dirinya sebagai seorang Melayu.

Disediakan oleh: Mohd Arif Atan

No comments: