Wednesday, June 24, 2009

"Umno, Pas perlu ketepi ego politik"

KELANGSUNGAN dan masa depan politik Melayu pada hakikatnya bergantung kuat kepada Umno dan Pas. Justeru, bagi penyokong tegar kedua-dua parti politik Melayu Islam itu, mereka seharusnya tidak bersikap jumud dalam berpolitik.

Jika masyarakat Cina semakin kuat dengan ada dua parti iaitu MCA dan Gerakan di dalam Barisan Nasional (BN) dan DAP di luar BN, mengapa ada kalangan orang Melayu termasuk pemimpin politik Melayu sendiri suka melihat Umno atau Pas porak-peranda?

Mengapa kita Melayu Islam yang sama keturunan dan sama pegangan agama sukar benar mencontohi permuafakatan yang jelas ditunjukkan oleh mereka? Perbezaan fahaman politik di kalangan masyarakat Melayu seperti kaum bukan Melayu bukanlah penyebab utama perpecahan kaum Melayu.


Apa yang diperlukan ialah kesedaran orang Melayu tanpa mengira fahaman parti politik untuk memikirkan kelangsungan dan masa depan umat Melayu akan datang.

Kedua-dia pihak masing-masing memiliki kekuatan dan dilihat saling memerlukan serta lengkap-melengkapi jika agenda perpaduan yang dicanangkan bakal menjadi kenyataan. Kedua-dua pihak perlu mengakui mereka bukannya parti 'maksum' iaitu terhindar daripada kesilapan dan kekurangan.

Besar kemungkinan perpaduan yang diuar-uarkan bukanlah sampai peringkat Pas 'masuk' ke dalam Umno. Buat permulaan, menjalinkan hubungan dan ker-

jasama yang lebih kukuh itu saja sudah cukup baik bagi hal-hal berkaitan kepentingan Melayu Islam dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.

Dalam isu membabitkan penyakit Aids misalnya, Kelantan yang sinonim pemerintahan ala Islam dilaporkan mencatatkan kes tertinggi HIV/Aids dengan 346 kes diikuti Johor, yang dianggap kubu kuat Umno dengan 269 kes dari Januari hingga Jun tahun lalu.

Persoalannya, sejauh mana Umno dan Pas sudah

dan akan duduk semeja membincangkan usaha menangani penyakit pelenyap umat Melayu Islam di negara ini?

Itu belum lagi disentuh isu kemiskinan dalam sistem sosial masyarakat kita; gejala sosial yang kian membarah di kalangan remaja Melayu; pendidikan serta keruntuhan nilai kekeluargaan Melayu yang sebenarnya bukan lagi isu perkauman tetapi isu nasional negara ini.

Pendek kata, hasrat membentuk perpaduan Umno-Pas perlu membincangkan isu yang menjadikan orang Melayu Islam sebagai 'juara' dalam pelbagai penyakit sosial selain mengatur strategi dalam percaturan politik berdepan dengan permainan politik orang lain.

Oleh itu, kesudian Umno dan Pas mengetepikan ego politik masing-masing perlu dengan menggunakan kekuatan politik yang dimiliki bagi kebaikan masa jangka panjang masyarakat Melayu Islam, adalah teras bangsa Malaysia seterusnya kesejahteraan kaum lain di tanah air ini.

Dalam isu menjalin persefahaman dengan Umno ini, Pas tidak perlu kuat melatah kerana parti itu sudah pun mendapat kepercayaan umum malah di kalangan bukan Melayu seperti yang ditunjukkan dalam keputusan pilihan raya umum ke-12 lalu.

Namun, realiti menyaksikan Pas hanya memiliki 23 kerusi Parlimen berbanding Umno sebanyak 78 kerusi. Malah, selepas pilihan raya umum lalu menyaksikan suara Pas agak 'tenggelam' dalam Pakatan Rakyat meskipun umum tahu Pas adalah tulang belakang kepada gerakan kempen Pakatan Rakyat.

Akibatnya, Pas menjadi parti yang dibayangi wajah dan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih-lebih lagi DAP. Itulah sebabnya Pas tidak perlu khuatir dengan halangan atau ugutan rakan-rakan mereka dalam pakatan untuk berbincang dengan Umno.

Mereka sememangnya tidak mahu melihat orang Melayu Islam bersatu-padu. Walhal, dalam diam tetapi umum maklum mereka juga sudah lama bersatu-padu apabila menyentuh kepentingan mereka tanpa mengira fahaman parti politik dengan sokongan kuat badan bukan kerajaan (NGO) kaum mereka.

Jika kita lihat lebih jauh lagi, cetusan membentuk kerajaan perpaduan antara Umno dan Pas tidak lain adalah sebagai strategi dan isyarat halus kepada orang lain supaya tidak sewenang-wenangnya memperkotak-katikkan hak Melayu Islam di negara ini. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

No comments: