Wednesday, April 15, 2009

"Bahasa Melayu Pupuk Perpaduan"

MENURUT J S Furnivall, akibat penjajahan pola masyarakat terdiri daripada masyarakat majmuk sebagai 'bahagian yang berlainan dalam komuniti hidup sebelah-menyebelah tetapi berasingan di dalam unit politik yang sama'.

Oleh itu, wujud banyak faktor perbezaan atau pengasingan antara kaum iaitu dari segi bentuk zahir atas sebab sifat semula jadi serta ciri dan norma kebudayaan yang berlainan. Malah, kaum yang berbeza latar budaya ini juga dipisah-pisahkan oleh faktor kediaman. Umum tahu siapa yang mendominasi kawasan bandar dan siapa pula majoriti di luar bandar.

Akibatnya, interaksi dan integrasi kaum menjadi terhad sebaliknya perasaan perkauman pula semakin meningkat akibat duduk terikat dalam kepompong kaum. Wujud kecenderungan perkauman dalam bidang pendidikan, politik, ekonomi malah hal berkaitan budaya popular atau hiburan sekalipun.

Jadi, dengan pelbagai kerencaman identiti kaum di negara ini. Bagaimanakah untuk kita sebagai rakyat mewujudkan perpaduan tulen atas semangat Satu Malaysia seperti yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan terletak kepada peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan milik semua kaum di negara ini.

Namun, sejak akhir-akhir ini wujud kecenderungan mengambil bahasa Inggeris dan nilai budaya Barat pula sebagai alat bagi tujuan komunikasi dan asas untuk dikatakan mewujudkan perpaduan.

Adakah situasi ini menjamin perpaduan tulen Satu Malaysia yang kita idamkan? Tentu sekali tidak kerana tindakan itu hanya lebih menjurus kepada pengasingan mengikut kelas sosial dan perpecahan bangsa.

Ini memandangkan perpaduan melalui kepelbagaian bahasa dengan dominasi bahasa Inggeris yang kian menjadi-jadi mutakhir ini adalah berbahaya kerana hanya akan membenarkan kemasukan nilai kebudayaan Barat.

Oleh sebab itu, adalah ditegaskan bahasa kebangsaan penting diberi penekanan sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan. Disedakan Oleh: Mohd Arif Atan

No comments: