Ini kerana kedua-dua konsep tersebut yang nampak sama maksudnya tetapi berbeza gagal dimengerti apabila melihatkan pendirian dan tindakan yang telah dilakukan mutakhir ini.
Akibatnya, berlakulah ketidakadilan pada ketika kesamarataan terlalu diberi penekanan yang seterusnya menyebabkan sebelah pihak semakin “memendam rasa” manakala sebelah pihak lagi seperti “naik lemak”.
Adakah pemberian tanah ribuan ekar dan peruntukan beratus ribu ringgit untuk tujuan penempatan, pendidikan dan kebudayaan kepada bukan Melayu seperti yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Perak dan Kedah itu benar-benar adil kepada orang Melayu sebagai kaum dominan yang masih banyak perlu diberi perhatian di negara ini?
Perlu ditegaskan, kesamarataan (equality) tidak semestinya membawa keadilan (equity). Apatahlagi dalam konteks negara ini yang rupa bentuk bangsa Malaysia dan perpaduannya begitu rapuh kerana kaum Cina dan India masih kuat dicengkam rasa perkauman sedangkan orang Melayu pula terlalu banyak bertolak-ansur.
Walaupun dalam Fasal (8) Perkara 1 Perlembagaan Malaysia menyatakan semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang tetapi itu bukanlah tiket untuk pihak tertentu yang anti-nasionalisme sebaliknya kuat cauvinismenya mengeksploitasi peruntukan itu demi kepentingan politik kepartian masing-masing.
Kedudukan bahasa kebangsaan (Perkara 152), agama persekutuan (Perkara 3) serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153) yang merupakan sebahagian daripada antara unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan negara ini tidak wajar sewenang-wenangnya ”dikaji semula” dengan tujuan menghapuskannya atas alasan mahu mewujudkan kesamarataan dengan kelompok etnik lain.
Apa yang berlaku di seberang Tambak Johor wajar diteladani agar virus ”pisang berbuah dua kali” tidak merebak ke negara ini. Jika diteliti senarai menteri kabinet Singapura didapati hanya seorang sahaja menteri Kabinet Melayu iaitu Yaacob Ibrahim daripada kira-kira 20 portfolio yang ada manakala etnik India Singapura yang merupakan kelompok ketiga terbesar mempunyai 4 orang menteri.
Adakah itu adil kepada etnik Melayu sebagai penduduk asal dan kelompok kedua terbesar di republik itu sedangkan jumlah dan kedudukan portfolio yang dipegang oleh menteri berketurunan India pun mengatasi Melayu?
Malah, penekanan melampau akan konsep kesamarataan turut mengheret kepada ketidakadilan yang seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati orang Melayu sebagai penduduk asal kawasan yang dikategorikan Dunia Melayu (Malay Archipelago) ini.
Ini dapat dilihat daripada keluhan seorang pembaca akhbar Berita Harian Singapura (3 September 2008) yang khuatir melihatkan semakin banyaknya papan tanda dan siaran TV berbahasa Inggeris dan Mandarin serta ramai pegawai tinggi pemerintah di negaranya kini yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu.
Tidakkah keadaan tersebut telah atau bakal menimpa negara ini pula jika peralihan kerajaan baru yang diuar-uarkan pada 16 September menjadi kenyataan akibat tidak faham akan perbezaan konsep kesamarataan dan keadilan?
Akhbar Sin Chew Daily keluaran 2 September lalu melaporkan Lim Kit Siang bakal mencipta sejarah sebagai orang Cina pertama menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat memerintah.
Apa ertinya laporan tersebut jika bukan berbau perkauman Cina? Adilkah jawatan Timbalan Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu di dalam sebuah negara yang memiliki lebih 65 peratus kaum Melayu dan Bumiputera?
Tuntutan dan desakan yang semakin kuat hari ini seolah-olah menggambarkan orang Cina dan India ditindas serba-serbi selama kedatangan keturunan mereka ke tanah air ini sejak kurun ke-19 lalu yang kemudiannya dengan mudah memperoleh kerakyatan negara ini ketika di ambang kemerdekaan seterusnya hidup selesa sehingga hari ini.
Oleh itu, pemahaman dan tafsiran semua pihak berhubung konsep kesamarataan dan keadilan mestilah jelas. Pemimpin-pemimpin Melayu sama ada dari UMNO/BN, PAS dan PKR malah DAP mesti berhati-hati dalam strategi dan tindakan politik mereka agar tidak membawa bala kepada generasi bangsa Melayu kita sendiri kemudian hari.
Pendek kata, keadilan itu adalah setiap orang dapat apa yang sepatutnya dia dapat bukannya mesti sama banyak atau mesti ada sama seperti orang Melayu/Bumiputera miliki.
Dalam masa yang sama, prinsip keadilan dan kesamarataan yang diamalkan oleh masyarakat dan pemimpin Melayu bermula dari zaman kesultanan kerajaan-kerajaan negeri Melayu selama ini mesti dicontohi oleh orang bukan Melayu jika mereka tahu sedar diri akan di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan
No comments:
Post a Comment