ADAKAH saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan mahu membawa Chin Peng ke negara ini telah mengambil kira sensitiviti majoriti rakyat?
Tidakkah cadangan itu terang lagi bersuluh mengguris parut luka lama seluruh warga Malaysia terutama mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga diisytiharkan darurat bermula bulan Jun 1948?
Hakikatnya, usahlah ada yang buat- buat lupa pada sejarah ganas komunis dahulu. Ramai pejuang kita terkorban akibat jerangkap samar dan bedilan senjata mereka.
Tidak kurang juga yang kemudiannya tergolong dalam kelompok orang kurang upaya (OKU). Mereka menjadi wira tidak didendang apabila ada yang belum mendapat sebarang pembelaan meskipun merekalah yang telah bergadai nyawa menentang komunis dahulu.
Malah, orang awam yang tidak berdosa turut menjadi mangsa sembelihan komunis. Atas sebab itulah, usah sama sekali begitu mudah untuk melupakan pahit maung hidup sengsara di bawah 'pemerintahan' komunis dengan senang hati membentang permaidani merah untuk Chin Peng sebagai ikon komunis Malaya untuk memijakkan kaki di tanah air ini kembali.
Walaupun atas premis kemanusiaan tetapi fikirkanlah dosa Chin Peng dan sekutunya yang 'berperikebinatangan' menzalimi bangsa kita dahulu. Seharusnya pihak yang beria-ia mahu mengiktiraf Chin Peng sebagai wira negara bertanyakan diri mereka terlebih dahulu.
Adakah mereka benar-benar sedar diri tentang di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung? Adakah taat setia mereka kepada "tanah tumpahnya darahku" seperti yang terkandung dalam lagu Negaraku telah tumpah ke 'tanah' lain?
Jika sedar mereka bukan berkiblatkan negara China tentulah tidak akan timbul isu mahu membawa balik Chin Peng dan pengaruh komunis ke negara ini.
Sebaliknya, apabila ketara mereka begitu teruja dengan 'jasa' Chin Peng yang pernah menjahanamkan keamanan hidup kita sebelum ini, nyatalah itu semua didorong atas nilai cauvinis kaum semata-mata tanpa mempedulikan keharmonian bermasyarakat dan sensitiviti orang lain.
Oleh sebab jelas ada yang taat setianya telah tidak berpasak di bumi bernama Malaysia yang asalnya dahulu dipanggil Tanah Melayu, tidak keterlaluan mereka juga sebenarnya tidak layak bermastautin di negara ini sama seperti Chin Peng. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan
No comments:
Post a Comment