Wednesday, December 2, 2009

Utamakan bahasa kebangsaan di tempat awam

MINGGU lalu penulis pergi di KL Sentral. Bagi yang pernah ke sana akan dapat melihat sebuah skrin besar di ruang legar yang menayangkan beberapa klip video iklan.

Satu daripadanya ialah iklan TM, Everyone Connects - Through My Window dalam bahasa Inggeris. Klip video itu diulang berkali-kali dan menjadikan suasana dalam KL Sentral itu hingar-bingar dengan muzik dan suara yang sama. Sudahlah membosankan, ia juga tidak "berjiwa" Malaysia!

Buktinya, versi bahasa kebangsaan tidak disiarkan sama sekali! Adakah pihak TM tidak memberikan klip video iklan lagu berkenaan dalam bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan kepada syarikat yang mengendalikan skrin iklan tersebut?

Atau mungkinkah pengurusan KL Sentral terlepas pandang untuk menyiarkan klip iklan dalam versi bahasa kebangsaan?

Amatlah diharapkan pengurusan KL Sentral melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka dengan antaranya adalah mengutamakan bahasa kebangsaan.

Lakukan inisiatif dengan mempelbagaikan jenis dan bentuk siaran pada skrin tersebut dengan maklumat selain hiburan dan komersial semata-mata meskipun KL Sentral hanya medan transit para pengguna pengangkutan awam.

Boleh sahaja ditayangkan sedutan berita mutakhir dalam negara serta klip video lagu patriotik lama dan baharu. Begitu juga dengan kempen seperti budi bahasa, langkah mencegah H1N1 atau AIDS; iklan melanjutkan pelajaran serta pesanan khidmat masyarakat dan sebagainya.

Inisiatif ini boleh dilakukan dengan kerjasama gergasi media negara; syarikat telekomunikasi; syarikat pelancongan dan badan bukan kerajaan selain khidmat dari agensi atau jabatan-jabatan kerajaan berkaitan seperti kebudayaan, pendidikan dan kesihatan. Malah, stesen-stesen radio popular sudahpun berbuat demikian.

Jadi, tidaklah suasana lobi utama KL Sentral bosan dengan iklan komersial yang 'dikitar semula' berulang kali. Dan paling memalukan tidak berpijak di bumi dan berpayungkan langit Malaysia.

Hal ini penting kerana KL Sentral adalah ruang sosial berkumpulnya segala jenis manusia sama ada rakyat Malaysia mahupun warga asing.

Kesempatan ini perlu diambil bagi mengetengahkan bahan untuk paparan di skrin KL Sentral yang sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kefahaman seterusnya menjadi agen untuk menyatupadukan kaum.

Nilai dan karakter jati diri rakyat Malaysia yang ditonjolkan turut membolehkan para pelancong asing mengenali seterusnya mencintai identiti budaya negara ini. Jika bahasa atau lagu yang disiarkan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, apa lagi yang uniknya tentang Malaysia di mata hati pelancong asing?

Di tempat tumpuan awam seperti KL Sentral inilah, kita mesti patriotik dengan menonjolkan keunikan budaya dan bahasa kita. Menyiarkan klip video berbahasa Inggeris hanya mengelirukan orang asing yang tentunya memandang rendah rakyat Malaysia lantaran tiada bangga akan bahasa dan budaya sendiri!

Oleh itu, hal-hal berkaitan penonjolan bahasa dan kebudayaan kebangsaan negara ini perlu diberi penekanan bukan sahaja di ruang legar utama KL Sentral malah di tempat awam lain sama ada di terminal bas, LRT, lapangan terbang dan kawasan pelancongan. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

No comments: