Saturday, January 16, 2010

Mencari formula perpaduan tulen

Penulis antara ribuan penonton yang baru-baru ini mengikuti sebuah program bual bicara di sebuah stesen televisyen yang mengupas topik berkaitan perpaduan.

Isu yang diketengahkan adalah baik bagi percambahan pendapat dan pemahaman rakyat berbilang kaum di negara ini iaitu mengenai nilai perpaduan.

Namun, penulis yakin penonton yang mengikuti diskusi tersebut sehingga tamat gagal menemui jawapan apakah formula yang dikatakan 'ampuh' untuk membentuk perpaduan tulen di negara ini.

Panel pertama yang merupakan seorang pensyarah universiti awam tersohor kelihatan mengambil pendekatan yang apologetik dan defensif. Panel kedua pula dilihat 'bijak' membawakan mesej kepelbagaian bahasa dan budaya atau kesamarataan.

Walhal, formula perpaduan tulen bagi mana-mana negara bangsa sudah terang lagi bersuluh iaitu penerimaan total atau tanpa rasa belah bahagi oleh seluruh rakyat terhadap bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan!

Jika diringkaskan dalam ayat Matematik, Bahasa Kebangsaan (BK) + Sekolah Kebangsaan (SK) > Perpaduan Tulen (PT).

Sebaliknya, jika hati payah menterjemahkan formula mudah ini dalam kehidupan sebuah negara, sampai hujung usia dunia pun kita akan bercakap isu yang sama pada tahap perbincangan paling asas dan tidak berubah.

Sedangkan, kita sepatutnya telah bijak untuk bercakap tentang isu perpaduan pada tahap yang lebih tinggi setelah 52 tahun bebas daripada pasungan kolonial.

Ironinya, dalam keghairahan sebelah pihak mahukan kecairan nilai budaya masyarakat majoriti, mereka pula bertindak mengukuhkan lagi benteng atau petak-petak kaum.

Contoh paling mudah. Apa yang anda dapat tafsirkan jika dalam iklan televisyen seperti Petronas, iklan jawatan kosong oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta lagu kempen Budi Bahasa Budaya Kita versi terkini, terkandung banyak bahasa di dalamnya untuk menyatakan mesej yang sama?

Selain itu, tidakkah hujah yang mendakwa murid di sekolah vernakular juga memiliki pencapaian baik dalam subjek Bahasa Melayu untuk mewajarkan penerimaan sekolah vernakular, selain SK merupakan satu hujah menipu?

Umum maklum bahawa sukatan kurikulum bagi subjek tersebut di sekolah vernakular jauh lebih rendah aras kesukarannya atau 'kacang' berbanding di SK.

Paling penting, usah lari daripada trajektori perbincangan. Sekolah vernakular sama sekali tidak menawarkan ruang darjah interaksi murid berbilang kaum yang tinggi berbanding dengan SK.

Isunya bukan setakat pencapaian gred yang baik bagi subjek Bahasa Melayu oleh murid sekolah vernakular tetapi sejauh manakah bahasa kebangsaan yang dikuasai oleh murid di institusi vernakular itu mampu diaplikasikan sebagai alat komunikasi dan perpaduan rakyat Malaysia!

Oleh itu, formula perpaduan tulen, BK + SK > PT mestilah disepakati dan diterima sepenuh hati. Usahlah sebelah pihak begitu apologetik tidak kena tempat manakala sebelah pihak lagi begitu tegar memanipulasi politik kaum dan sentimen pihak yang terlalu mudah mengalah itu.

Rakyat Malaysia yang jujur dan setia kepada negara ini harus menerima hakikat bahawa bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan adalah formula ampuh bagi mencapai perpaduan tulen rakyat Malaysia. Disediakan Oleh: Arif Atan

No comments: