KITA baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-53 kemerdekaan negara dengan majlis peringkat nasional telah diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil. Buat pertama kali sambutan kemerdekaan tahun ini diadakan di kawasan tertutup tanpa pertunjukan bunga api, konsert dan perbarisan.
Pada ketika rakyat Malaysia gembira dan bersyukur dengan kemerdekaan yang dinikmati, ada pula pihak yang seperti sengaja menimbulkan provokasi. Jika sekali dua kita mampu untuk bersabar tetapi apabila serangan provokasi itu berterusan bukankah itu sudah sampai tahap ancaman?
Justeru, kerenah mereka inilah sama ada ancaman dari dalam mahupun luar negara perlu ditangani secara berhemah tetapi tegas sebagai sebuah bangsa yang bermaruah.
Pertama, ancaman dari luar negara. Terbaharu, reaksi oleh puak pelampau Indonesia yang gegak-gempita mahu 'menghidupkan' semula Ganyang Malaysia yang telah lama ditinggalkan semasa pemerintahan Sukarno dahulu.
Dengan memanggil Malaysia pencuri atau "maling" maka puak pelampau di sana telah memanggil tanah air berdaulat kita sebagai "Malingsia".
Entah di mana silapnya hubungan sejarah dan kebudayaan Malaysia dan Indonesia tidak mampu meredakan amarah mereka. Walaupun banyak persamaan ciri budaya tetapi masih tidak atau enggan difahami oleh 240 juta rakyat Indonesia.
Mereka sewenang-wenangnya melabel kemerdekaan kita tiada harga lantaran tidak dicapai secara kekerasan menggunakan buluh runcing seperti mereka.
Reaksi melampau mereka jelas sengaja menutup isu korupsi dalam kalangan pemerintah mereka sehingga memaksa jutaan rakyat republik itu mencari rezeki secara halal mahupun tidak serta menuntut ilmu di sini.
Berbeza ancaman dari luar, ancaman kedua iaitu ancaman dari dalam negara sendiri lebih bahaya lagi.
Ibarat gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut apabila ada segelintir rakyat negara ini menyalahgunakan dunia di hujung jari untuk menghina keseluruhan sistem kenegaraan dan institusi negara ini.
Mereka ini menganggap apa sahaja yang ada kaitan dengan Melayu semua salah sebaliknya mereka sahaja yang betul.
Adakah sikap tersebut baik untuk gagasan 1Malaysia? Buktinya, terpancar pada nada bongkak penuh biadap dan isyarat lucah dalam siri-siri klip video Namewee yang dimuat naik dalam laman YouTube.
Oleh itu, rakyat Malaysia perlu bersatu-padu mempertahankan kestabilan satu-satunya tanah air kita ini. Bagi menangani ancaman luar, kerajaan perlu mengoptimumkan hubungan diplomatik dan hubungan kebudayaan dengan negara asing.
Tidak kenal maka tidak cinta. Itulah sebabnya rakyat di negara jiran Indonesia misalnya harus diberikan pemahaman yang jelas mengenai apa sahaja isu semasa yang menyentuh hubungan dua hala negara serta aspek sosio-budaya Malaysia yang berbilang kaum.
Bagaimana dengan ancaman dalaman berbentuk suara rasis daripada sebilangan rakyat Malaysia sendiri?
Suka atau tidak, kita harus mengakui suara tidak puas hati yang kerap kali bernada perkauman timbul akibat kurangnya interaksi sesama kita terutama golongan muda sejak di bangku sekolah.
Oleh itu, bagi tujuan langkah panjang pentingnya semua pihak duduk berfikiran jernih untuk menerima dasar 1Sekolah 1Malaysia selepas ini. Hanya apabila semua anak Malaysia bersekolah di bawah bumbung yang sama iaitu sekolah kebangsaan, aspek perpaduan dan pembentukan negara bangsa dapat kita jayakan.
Ini penting untuk menggembleng modal insan dan sumber kekuatan kita pada masa akan datang seandainya suatu masa nanti 'letusan gunung berapi' iaitu ancaman dari luar tidak mampu kita dibendung lagi. Disediakan Oleh: Arif Atan
No comments:
Post a Comment