Saturday, December 13, 2008

Antara akomodasi dan asimilasi

Akomodasi dan asimilasi adalah antara dua konsep penting untuk menerangkan perpaduan dalam sesebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik. Menurut Ting Chew Peh (1987) dengan menggunakan perwakilan A,B dan C bagi budaya, konsep akomodasi dapat diringkaskan melalui rumus A + B + C = A + B + C. Ini bermaksud pelbagai kumpulan etnik hidup bebas mengamalkan malah mempertahankan budaya masing-masing meskipun hidup bercampur dengan etnik lain. Berbeza pula dengan konsep asimilasi yang diwakili oleh formula A + B + C = A. Etnik minoriti iaitu B dan C akan mengamalkan bentuk kebudayaan A yang merupakan golongan dominan dalam sesebuah negara. Hakikatnya, asimilasi bukanlah konsep perpaduan yang baru atau asing di tanah air. Ini dapat dilihat pada masyarakat Baba dan Nyonya sebagai rujukan terbaik hasil daripada proses asimilasi etnik Cina dengan kebudayaan Melayu. Malah, proses tersebut tetap berjalan seperti mana yang berlaku dalam masyarakat Cina Kelantan. Orang bukan Melayu juga sudah dapat diasimilasikan dengan dari segi pakaian dan makanan. Hari ini bukan suatu yang janggal untuk melihat orang Cina dan India berbaju kurung dan menjamah nasi lemak. Malah, berkat daripada sistem pendidikan kebangsaan, generasi muda bukan Melayu begitu fasih berbahasa kebangsaan. Ironinya, selepas setengah abad negara ini merdeka, asimilasi etnik minoriti ke dalam kebudayaan Melayu semakin tipis dengan membiarkan kaum Cina dan India semakin berkiblatkan Hong Kong, India dan Barat. Sebaliknya, seperti wujud kecenderungan asimilasi songsang apabila orang Melayu pula secara sedar atau tidak cuba untuk diasimilasikan dengan kebudayaan etnik-etnik lain. Buktinya, sekarang ini dalam mana-mana persembahan kebudayaan seperti sudah menjadi kewajipan persembahan etnik Cina dan India diadakan diiringi oleh pengunaan bahasa-bahasa bukan kebangsaan atas alasan perpaduan. Persoalannya, benarkah perpaduan dapat dibentuk melalui kepelbagaian yang tidak terkawal sedangkan untuk tujuan berhibur pun mengikut kotak-kotak kaum? Oleh itu, dalam kita menyambut ulang tahun kemerdekaan tahun ini yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan ada baiknya konsep perpaduan rakyat Malaysia dirombak semula. Adakah konsep akomodasi yang dikatakan baik untuk Malaysia sepertimana yang dinyatakan juga oleh Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam Modul Hubungan Etnik (2008:19) masih lagi relevan apabila melihatkan jurang pengasingan atau segregasi etnik di negara ini yang semakin ketara? Mahu atau tidak, semua pihak perlu ikhlas mengakui bahawa melalui konsep asimilasi sahajalah rupa bentuk bangsa Malaysia akan terbentuk sama seperti bangsa Indonesia dan Thailand. Oleh: Arif Atan

No comments: