Saturday, December 13, 2008

Usah Mansuh Ekuiti Bumiputera‏

Tidak sudah-sudah angka 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dipersoal. Walhal, umum tahu bahawa dalam realiti masyarakat Melayu adalah majoriti di negara ini tetapi kek ekonomi yang dimilikinya hanya 19.4 peratus sahaja. Walaupun antara matlamat dalam DEB ialah mahu membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) tetapi masyarakat perdagangan dan perindustrian bukan bumiputera juga yang lebih ramai dilahirkan. Meskipun benar, DEB banyak membantu meningkatkan mobiliti sosial masyarakat Melayu namun dinamika ekonomi dan sosial bukan Melayu tetap jauh mengatasi orang Melayu lantaran hak mereka tidak pernah dinafikan apatah lagi dirampas untuk dilambakkan kepada orang Melayu. Oleh sebab itu, adakah anggapan bahawa memansuhkan ekuiti bumiputera dengan alasan dapat meningkatkan daya saing syarikat-syarikat senaraian awam tidak hanya lebih timbul dari rasa tamak bermotifkan perkauman? Hakikatnya, sejauhmana berdaya saing atau tidak sesebuah syarikat senaraian awam adalah bergantung pada faktor pengurusan yang berkesan walaupun jika syarat pemilikan bumiputera diletakkan 60 peratus sekalipun sesuai dengan nisbah isi kaum di negara ini. Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai mendakwa bahawa syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera menghalang kerjasama ekonomi antara kaum di negara ini (Utusan Malaysia, 28 Oktober 2008). Persoalannya, jika tanpa mekanisme tertentu untuk mengimbangi pemilikan kek ekonomi di negara ini seperti yang digambarkan melalui syarat sedemikian, adakah kerjasama jitu antara kaum yang dimaksudkan oleh Liow akan wujud dengan jayanya? Keyakinan tersebut tidak ubah hanya janji-janji manis yang sebenarnya pahit untuk dipraktikkan dalam realiti latar ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera ibarat langit dengan bumi jurangnya. Apa yang berlaku di Singapura yang dianggap berpegang pada dasar meritokrasi adalah bukti jelas lagi nyata apabila baik dalam bidang ekonomi, politik dan sosial semuanya didominasi oleh kaum tertentu sahaja. Dasarnya memang tidak secara terang-terang pro-Cina tetapi pendekatan ke arah itu adalah begitu ketara. Di tanah air ini, pemansuhan ekuiti bumiputera beerti memaksa mereka berlari dengan kaum lain di atas padang yang tidak rata. Ungku Aziz sendiri pernah menyifatkan sukarnya Melayu bersaing dalam ekonomi kerana wujudnya sistem eksploitasi ‘monopoli-monopsoni’. (Chamsuri Siwar dlm. Minda Melayu, Anwar Ridhwan (penyelenggara), DBP, 2005:217-254) Malahan, jika suatu masa nanti kaum Melayu sudah menjejak kaki di atas padang yang rata sekalipun, syarat pemilikan ekuiti bumiputera tidak wajar dihapuskan kerana itu adalah sebahagian hak orang Melayu selari dengan semangat dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perlu ditegaskan bahawa menghapuskan sesuatu memang mudah tetapi mengembalikan semula jika keadaan tiba-tiba memerlukan adalah sukar sama sekali. Bayangkan sekiranya orang lain yang memperoleh hak tersebut, adakah mereka dengan bermurah hati sewenang-wenangnya melucutkan hak mereka? Selain itu, jika kaum lain sudah benar-benar yakin untuk bersaing di peringkat antarabangsa mahupun dalam negara, mengapa masih wujud reaksi tidak senang hati dengan dasar atau tindakan ekonomi yang bertujuan adil bagi membantu Melayu? Siapa yang sebenarnya enggan berkongsi kekayaan di negara ini jika syarat peratusan kecil pegangan kecil ekuiti bumiputera itu pun mahu dimansuhkan? Oleh itu, bagi memastikan kekayaan negara tidak dimonopoli oleh kaum tertentu serta pembangunan negara dinikmati semua lapisan masyarakat, semangat yang terkandung dalam dasar negara seperti DEB yang menggariskan syarat pemilikan ekuiti bumiputera tidak wajar dihapuskan. Dari beberapa segi selari dengan keadaan ekonomi dunia hari ini, tindakan segera berupa proses penambahbaikan dengan meningkatkan lagi peratusan milik bumiputera yang sedia ada perlu digembleng agar adil dan jelas menggambarkan komposisi masyarakat di negara ini. Oleh: Arif Atan

No comments: