Thursday, February 12, 2009

Orang Melayu penentu kuasa politik kerajaan

KEPIMPINAN kerajaan negeri Perak kini ibarat dua nakhoda dalam sebuah kapal apabila Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tekad 'mohon derhaka' untuk tidak mematuhi titah Sultan Perak dengan enggan melepaskan jawatan Menteri Besar yang disandangnya baru 10 bulan itu.

Sedangkan air pun ada pasang surutnya inikan pula realiti politik yang serba-serbi berkemungkinan. Hakikat inilah yang harus diterima dengan hati terbuka oleh Nizar serta para pemimpin dari mana-mana parti politik sekali pun di negara ini.

Anggaplah peralihan kuasa yang berlaku sebagai hasil 'tuaian' daripada gaya pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini yang bagaikan "kera mendapat bunga."

Atas tafsiran satu bangsa Malaysia, maka banyak tindakan yang telah dibuat oleh Nizar dan ahli-ahli exconya membelakangkan orang Melayu atas anggapan pengundi bukan Melayu adalah penentu kelangsungan politik mereka dalam pilihan raya akan datang.

Tambahan pula, dengan kedudukan majoriti kerusi DAP berbanding Pas dan PKR, umum tahu 'siapa' di sebalik setiap keputusan Nizar sebelum ini.

Kenyataan dan tindakan biadap Karpal mahu mengheret istana ke mahkamah serta amaran "jangan main-main" dengannya jelas lahir daripada sikap yang tidak kenangkan untung lantaran lupa diri di mana bumi yang dipijak dan langit yang dijunjungnya.

Mereka lupa dalam masa yang sama, akhirnya suara orang Melayu serta institusi raja berperlembagaan jugalah faktor penentu utama yang akan mencorak sejauh mana kekuasaan serta kestabilan sosiopolitik sesebuah kerajaan.

Mandat rakyat menerusi peti undi bukan segala-galanya. Malah, pelantikan Nizar sebagai Menteri Besar sebelum ini pun bertitik tolak daripada hakikat ini.

Institusi Kesultanan Melayu Perak bukan sekadar lambang autoriti yang sewenang-wenangnya tidak dipeduli. Sebaliknya, berperanan sebagai penjaga kepada negeri dan semangat demokrasi itu sendiri dengan bertindak selaku ejen semak dan imbang yang mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.

Ini penting demi mengelak keadaan politik negeri itu terhumban dalam ketidakstabilan politik yang berterusan. Oleh itu, adalah keterlaluan jika Nizar termasuk Pakatan Rakyat amnya enggan akur akan ketetapan Sultan sedangkan dari segi perlembagaan negeri, kuasa melantik Menteri Besar adalah hak baginda.

Apa pun, kemelut politik yang melanda Perak sebenarnya isyarat bahawa padah akan menimpa bila-bila masa sahaja kepada mana-mana pimpinan kerajaan negeri selepas ini yang tidak berlaku adil kepada kepentingan masyarakat Melayu.

Usah atas dasar menjaga hati kaum lain maka hak orang Melayu dikorbankan. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

1 comment:

Anonymous said...

Bukan Melayu dibenarkan berpolitik tetapi bukan bererti itu lesen untuk mereka mengada-ngada menafikan kontrak sosial yang sedia ada.