Sunday, February 1, 2009

sekerat belut sekerat ular ( SBSU)

"Sekerat belut sekerat ular" bukanlah menggambarkan mengenai keadaan haiwan yang dimaksudkan tetapi yang menjadi fokus utama ialah penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam berbahasa terutama dalam bahasa lisan.

Penggunaan bahasa Melayu yang bercampuraduk dengan bahasa Inggeris ternyata sudah menjadi kebiasaan dan menjadi ikutan generasi ke generasi. Kalau dilihat dari segi keglobalan memang menjadi keegoan dan kebanggan sesiapa saja yang menggunakannya. Tetapi hal ini akan berlanjutan dan akan mengakibatkan ketiadaan sifat Melayu itu sendiri dalam berbahasa. Hal ini kerana penutur yang didapati menuturkan bahasa SBSU ini merupakan orang Melayu itu sendiri.

Dimanakah identiti Melayu itu sendiri jika kita asyik terleka dengan bahasa SBSU ini. Apakah kita hendak melihat disuatu hari nanti anak cucu kita tidak lagi mengetahui apakah yang dikatakan dengan bahasa Melayu?. Apakah kita jika menggunakan bahasa SBSU ini dalam berkomunikasi akan dipandang tinggi dan disanjungi oleh pendengar kita? sedarkah kita bahawa kita dengan secara sengaja mengikis dan membuang secara perlahan-lahan bahasa Melayu kita? mungkin terdapat beberapa cadangan yang ingin saya kongsikan dalam artikel ini iaitu:

1. Jika seseorang itu fasih dalan berbahasa Inggeris maka gunakannlah bahasa Inggeris secara keseluruhan pengucapan atau sedang berkomunikasi.

2. Jika pendengar atau orang yang dilawan bertutur berbangsa Inggeris atau tidak mengetahui bahasa Melayu , maka gunakanlah bahasa Inggeris.

3. Jika anda orang Melayu dan fasih berbahasa Inggeris dan pendengar anda berbangsa Melayu juga , maka gunakanlah bahasa Melayu.

4. Jika anda fasih berbahasa Inggeris dan pendengar anda masyarakat Melayu , maka anda ada pilihan sama ada keseluruhan menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu dengan betul.

Jika anda menggunakan beberapa cadangan saya diatas , mungkin tiada lagi bahasa SBSU yang dikatakan mengancam kedudukan bahasa Melayu kita.

Saya tertarik mengenai sekerat belut sekerat ular ini kerana saya ingin kongsikan pengalaman saya sewaktu menghadiri satu kursus di Port Dikcson baru-baru ini.Kursus tersebut dihadiri oleh masyarakat Malaysia yang secara keseluruhannnya berpelajaran .


Pertama , dalam satu sesi ceramah , seorang pengacara majlis Melayu pada ketika itu menggunakan bahasa Melayu dan sekejap bahasa Inggeris sampailah ke akhir sesi tersebut , pendengarnya masyarakat Malaysia.

Kedua, seorang penceramah Melayu yang mengendalikan satu sesi menggunakan bahasa Melayu bercampur dengan bahasa Inggeris sehingga ke akhir sesi yang mana pendengarnya keseluruhan ialah masyrakat Malaysia yang mengetahui bahasa Melayu.

Ketiga , setelah selesainya kursus tersebut , saya didatangi oleh beberapa orang Melayu yang berpelajaran dari luar negara yang rata-ratanya menyatakan beberapa pendapat mengenai bahasa Melayu. Saya dengan senyuman menerima pandangan tersebut , tetapi apa yang menariknya ialah mereka menggunakan bahasa SBSU dengan lancar dan bersahaja.

Keempat , secara keseluruhannya , hanya seorang penceramah sahaja yang menngunakan bahasa Melayu secara keseluruhan ceramah beliau. Saya begitu terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau.

Artikel ini bukan hendak menanam kebencian terhadap bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Cuma hendakkan masyarakat yang menggunakan bahasa dengan betul. Jika anda bijak menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan betul , maka anda akan dipandang dalam masyarakat. Janganlah kebiasaan menggunakan SBSU ini diturunkan ke generasi akan datang dimana akan melahirkan masyarakat yang kurang pengetahuan terhadap kedua-dua bahasa ini.

Tetapi gejala SBSU ini tidak begitu ketara dalam sistem tulisan bahasa Melayu dan kebanyakan Masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa Melayu dengan betul . Tetapi jika hari ini kita tidak memandang gejala ini dengan serius , maka masa akan datang kita akan menjadi masyarakat peniru dan tiada identiti tersendiri. Bahasa Melayu identiti Melayu dan rakyat Malaysia. Disediakan oleh: Ade Sukma

1 comment:

Anonymous said...

Sekerat belut sekerat ular kerana jahil budaya bahasa. Kononnya atas hujah kompromi dan tolak ansur, padahal sebenarnya mereka ini masih kolot akan makna bahasa sebenarnya.

Masih tidak mahu mencontohi yang baik. Misalnya kalau berbahasa Melayu, berbahasa Melayulah semuanya dan usah dicampur aduk dengan bahasa lain.