Saturday, January 31, 2009

Arahan Hapus "Bahasa Rojak" Perlu Diperluas

AMALAN bahasa rojak iaitu mencampur-adukkan perkataan Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu merupakan gejala yang mendatangkan pelbagai kesan negatif.

Dengan jelas, penggunaan perkataan Inggeris yang tidak diterjemahkan atau disesuaikan ketika menggunakan bahasa Melayu merupakan tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa kita.

Tambahan pula, ia juga menunjukkan pengguna bahasa itu sendiri kurang mahir hingga terpaksa menggunakan perkataan Inggeris untuk mengungkapkan fikirannya. Malangnya, keadaan ini tidak pula menandakan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris.

Lebih parah lagi, mereka sendiri tidak berusaha untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan mengatasi gejala ini.

Sikap ini, apabila meluas di kalangan masyarakat akan akhirnya menjadikan mutu penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris terus merosot dan lemah.

Kita bimbang gejala ini akan akhirnya menjejaskan keberkesanan komunikasi dalam masyarakat yang secara terkumpul menghasilkan suasana salah faham.

Selain itu, bukan saja ia akan menurunkan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri tetapi negara ini akan memiliki satu bangsa yang gagal berkomunikasi dengan baik.

Bangsa yang bermasalah dalam komunikasi menunjukkan ia gagal menjelaskan idea yang dimilikinya. Sudah tentu bangsa ini akan gagal meyakinkan orang lain apabila tidak dapat mengungkapkan idea secara berkesan.

Apabila tidak dapat menjelaskan idea, maka ia juga mencerminkan kegagalan untuk berfikir secara tersusun dan menghalang penerokaan dan percambahan buah fikiran baru.

Justeru, kita mengambil perhatian berat terhadap gejala bahasa rojak ini. Lebih memberatkan lagi ialah gejala ini menular dengan begitu meluas di kalangan golongan berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat.

Apabila menjadi amalan seharian mereka untuk bertutur dalam bahasa rojak, ia merebak kepada majlis-majlis rasmi seperti forum, seminar dan program-program dalam media elektronik. Akhirnya mereka akan mendapati sukar untuk menulis tanpa menggunakan bahasa rojak.

Bahasa rojak juga boleh menjejaskan pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris di peringkat sekolah yang mendatangkan kesan jangka panjang negatif.

Justeru, kita sarankan kesedaran harus disemai terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam masyarakat.

Selaku pemimpin masyarakat, golongan berpendidikan harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang betul, baik semasa menggunakan bahasa Melayu, mahupun Inggeris.

Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu. Begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Sesungguhnya mengelakkan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh.

Alasan yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima.

Ini kerana bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan Inggeris bagi menambahkan perbendaharaan katanya.

Namun begitu, perkataan-perkataan Inggeris itu hendaklah diterjemahkan atau disesuaikan menurut kaedah yang teratur seperti mana telah ditetapkan oleh pkar-pakar bahasa.

Satu Petikan Akhbar :

KUALA LUMPUR Kerajaan digesa memperluaskan arahan menghapuskan penggunaan 'bahasa rojak' di semua stesen penyiaran sama ada milik kerajaan atau swasta.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), A. Aziz Deraman berkata, ia perlu dilakukan secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh bagi memastikan keberkesanannya.

Menurut beliau, penggunaan bahasa yang baik dan kemas tidak akan menjejaskan sesuatu rancangan, sebaliknya akan mengangkat martabat bahasa dan penggunanya.

Tambah beliau, penggunaan bahasa yang betul penting memandangkan bidang penyiaran boleh mempengaruhi dan mendidik khalayak.

''Jika kita lihat filem-filem Tan Sri P. Ramlee tetap menarik biarpun bahasa Melayunya baik dan bukannya rojak seperti yang kita dapati sekarang.

''Penggunaan bahasa Melayu yang betul sebenarnya tidak perlu dipaksa jika semua pihak memiliki kesedaran tinggi,'' kata A. Aziz.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas keputusan RTM menghapuskapenggunaan bahasa rojak di stesen penyiaran milik kerajaan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, sikap pemimpin dan pegawai kerajaan perlu diubah bagi meletakkan bahasa Melayu di martabat yang tinggi.

Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang bukan jalan penyelesaian jika konsep 'Kepimpinan Melalui Teladan' tidak diamalkan oleh barisan kepimpinan di sektor kerajaan, swasta dan institusi kewangan.

''Kementerian perlu tegas dan teliti dalam menangani perkara ini demi kepentingan bahasa Melayu,'' katanya.

Suhaimi menambah, DBP perlu memainkan peranannya memantau penggunaan bahasa Melayu Rojak di media elektronik.

Mengulas perkara yang sama, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah berkata, bahasa Melayu tidak kurang keindahan, bentuk dan larasnya jika digunakan dengan kreatif malah ia akan jadi lebih menarik dan menawan.

Tambahnya, penggabungan tiga elemen penting iaitu bahasa yang betul, tepat dan indah akan menjadikan bahasa Melayu itu bahasa ilmu, sains dan teknologi.

Saifuddin menambah, usaha perlu ditingkatkan bagi memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri terutama media elektronik mempunyai tanggungjawab bagi mengembangkan dan memajukan bahasa Melayu.

''Dialek daerah boleh digunakan tapi lebih pada tahap pengecualian dari menjadi penggunaan bahasa utama,'' katanya. Disediakan Oleh : Ade Sukma Kamarudin


1 comment:

Anonymous said...

mmg betul... kite harus menolak penggunaan bahasa rojak... kalau nak BI biarlah BI semuanya, dan kalau nak BM, biarlah BM semuanya...