Gelora politik di Perak yang membawa kepada keadaan dua nakhoda berkongsi sebuah bahtera yang kian meruncing tidak akan berlaku jika Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan sekutunya benar-benar sayangkan rakyat seperti tertera dalam 'jenama' Pakatan Rakyat.
Tidakkah mereka sedar sikap tidak sabar mereka mempertahankan kuasa politik sehingga sanggup 'bersidang' di kawasan lapang bawah pohon Selasa lalu hanya akan menyebabkan rakyat tidak ubah seperti pelanduk mati tersepit di tengah-tengah pertarungan sang gajah? Bagaimanakah kepentingan dan kebajikan rakyat Perak dalam era ekonomi dunia meleset kini akan terbela jika pemimpinnya terlalu banyak 'bersilat' mempertahankan kepentingan politik kepartian masing-masing?
Pada masa sama dakwaan bersifat perkauman kononnya dasar yang membantu golongan Bumiputera sebagai aparteid oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr Boo Cheng Hau dan diulang sekali lagi oleh wakil rakyat Batu Kawan, Prof Dr P Ramasamy juga adalah cermin sikap mereka yang dilantik sebagai pemimpin untuk semua kaum tetapi bercakap untuk kepentingan diri, parti dan kaum sendiri semata-mata.
Begitu juga dasar PPSMI yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan; menjarakkan lagi jurang sosial antara bandar dan luar bandar serta menghakis martabat bahasa kebangsaan yang sebelum ini terbukti berjaya berperanan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa perpaduan.
Akibat tidak wujud rasa sayang apatah lagi bangga dengan bahasa sendiri seperti masyarakat Cina yang sayangkan bahasa dan akhbar mereka, nasib dan masa depan pewaris tanah air ini sedang diperjudikan. Keruntuhan institusi politik, budaya dan bahasa juga menyelinap ke institusi kekeluargaan apabila sejumlah 75,299 kes perceraian dilaporkan pada 2007 dan 2008 saja. Ke mana perginya ucapan cinta dan sayang serta sumpah sanggup sehidup mati sebelum mendirikan rumah tangga selepas hanya beberapa tahun berkahwin? Benarlah kata pepatah 'bapa borek, anak pun rintik'.
Bagaimana acuan begitulah hasilnya apabila rasa sayang generasi dewasa yang menipis sama ada pada pemimpin dan ibu bapa turut dijangkiti generasi remaja hari ini.
Siri episod kes buli yang dilaporkan baru-baru ini sehingga ada yang membawa kepada kematian adalah sekelumit daripada pelbagai senarai panjang indeks jenayah pelajar yang kian membimbangkan. Ramai pelajar sekolah hari ini tidak lagi sayangkan maruah dan harga diri, keluarga dan bangsanya sendiri apabila hanyut malas belajar lalu terjebak dalam perilaku tidak sihat seperti pergaulan bebas dan melakukan jenayah kekerasan.
Namun, siapa peduli apabila pemimpin sibuk berlumba mengejar kuasa, manakala ibu bapa pula lelah mengumpul harta? Tinggallah guru yang juga terpaksa mengejar masa menghabiskan sukatan pelajaran dan anggota polis tidak menang tangan melayan laporan polis difailkan terhadap pemimpin yang tidak sayangkan masa depan generasi akan datang.
Sebelum keadaan menjadi lebih gawat ada baiknya semua pihak bermula daripada barisan pemimpin 'berbaik-baik' semula dengan ilmuwan dalam menumpukan usaha menyuburkan rasa kemanusiaan agar kasih sayang terhadap bangsa, anggota masyarakat serta bahasa dan kebudayaan kita kembali menjadi darah daging kita semua.Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan
No comments:
Post a Comment