PERISTIWA demonstrasi menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang membabitkan perarakan 5,000 penunjuk perasaan dari Masjid Negara ke Istana Negara Sabtu lalu bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong tidak wajar dipandang lekeh.
Perkara ini perlu dinilai dengan akal budi dan bukannya emosi seperti yang sering dilaungkan oleh tokoh politik yang bertanggungjawab dalam menangani kemelut ini dan juga kepimpinan Kementerian Pelajaran apabila berurusan dengan pejuang bahasa, sasterawan dan cendekiawan yang menolak PPSMI.
Jika Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berpendapat peristiwa Sabtu lalu sewajarnya menjadi pengajaran kepada orang awam agar mengelakkan diri mereka daripada diperalatkan, tetapi orang awam melihat sebaliknya; Umno perlu mengambil iktibar dengan kembali kepada perjuangan asal parti terbabit ketika ditubuhkan dulu!
"Umno kena balik kepada perjuangan asal iaitu menyuarakan pandangan majoriti Melayu kepada kerajaan seperti yang dilakukan parti komponen mereka dalam Barisan Nasional (BN), MCA yang memperjuangkan hak orang Cina meskipun mereka sebahagian daripada kerajaan.
"Umno jangan ingat bila mereka mengetuai kerajaan bahawa orang Melayu mesti dengar segala arahannya. Kerajaan dan Umno adalah dua perkara berbeza. Umno bukan kerajaan. Kerajaan bukan Umno. Umno adalah parti orang Melayu yang sepatutnya berfungsi memperjuangkan nasib dan mempertahankan hak bangsanya.
"Buang jauh-jauh kekeliruan selama ini bahawa Umno adalah kerajaan dan sebaliknya kerana Kerajaan Malaysia hakikatnya ialah Barisan Nasional yang dianggotai beberapa parti lain kecuali di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Suatu kesilapan besar apabila Umno berasa dirinya adalah kerajaan. Umno 'wajib' kembali ke pangkal jalan.
"Umno adalah parti politik yang mewakili orang Melayu dan sekiranya gagal berbuat demikian, orang Melayu akan lari ke parti lain seperti Pas dan PKR. Jangan persalahkan orang Melayu apabila tidak memihak kepada Umno. Orang Melayu berasa suara mereka tidak disampaikan kepada kerajaan apalagi diperjuangkan Umno sejak akhir-akhir ini," ujarnya.
Seorang sarjana bahasa pula melihat peristiwa Sabtu lalu tidak akan berlaku sekiranya Umno sudah mengambil langkah tegas ketika pertama kali Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang diketuai Datuk Dr Hassan Ahmad menyerahkan surat bantahan kepada Hishamuddin di Parlimen, baru-baru ini.
"Jawapan tidak tegas Hishamuddin pada pertemuan terbabit dengan kenyataan pandangan mereka akan diambil kira dan 'janji mulut' akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung tidak cukup meyakinkan bahawa suara hati mereka akan disampaikan kepada kerajaan.
"Mereka tidak boleh menunggu kerana tiada sebarang jaminan. Segala kemungkinan boleh berlaku pada Perhimpunan Agung Umno. Orang Melayu sudah tidak sabar menunggu dengan sikap Umno yang lembik dalam banyak hal. Umno yang sepatutnya memperjuangkan bangsa Melayu kini dilihat kerap melukakan hati mereka," ujarnya.
Sarjana bahasa ini juga yakin orang Melayu akan melihat kesungguhan Umno menyampaikan suara hati mereka kepada kerajaan sekiranya Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, hadir sama pada demonstrasi Sabtu lalu, sebagai tanda parti terbabit mengambil berat pandangan pejuang bahasa, sasterawan dan cendekiawan dalam hal PPSMI.
"Saya percaya Dr Hassan tidak menjemput pemimpin Pas untuk turut serta dalam demonstrasi. Mereka tidak boleh halang jika pemimpin Pas hadir sama bagi menjayakan rancangan menyerahkan Memorandum Bantahan PPSMI kepada Yang di-Pertuan Agong. Pas pula nampak isu ini boleh memberi kebaikan kepada mereka dan sebab itu tidak keberatan terbabit sama," jelasnya.
Sarjana ini melihat penolakan PPSMI bukan perkara pelik kerana Singapura menyaksikan bangsa Cina mahukan bahasa ibunda mereka digunakan dan bukannya Mandarin manakala di Amerika Selatan kelompok Hispanik mahukan keturunan mereka diajar dalam bahasa itu, sebelum beralih ke bahasa Inggeris secara meluas pada peringkat menengah.
"Malaysia boleh menggunakan pendekatan sedemikian sebagai satu cara penyelesaian kepada kemelut PPSMI, tetapi dengan syarat pelajar di sekolah rendah diajar dalam bahasa Inggeris dengan secukupnya menggunakan kaedah yang membantu mereka menguasai bahasa terbabit dengan baik dari segi lisan mahupun tulisan," tegasnya.
Pasti tokoh yang terkena tempias dengan pandangan yang diperturunkan ini marah atau melenting, tetapi penulis yakin pandangan yang tidak ingin didengar ini perlu diberi perhatian demi masa depan Umno agar tidak tampil sebagai parti yang sentiasa melukakan hati bangsanya, apalagi tiga pilihan raya kecil akan berlangsung; jangan sampai tewas lagi!. Disediakan Oleh:Salbiah Ani
No comments:
Post a Comment