Tuesday, October 18, 2011

"Jiwa merdeka dengan bahasa Melayu"

KITA lazim mendengar keluh-kesah kononnya kemerdekaan tanah air sudah tidak membekas dalam kalangan generasi hari ini. Benarkah mereka bersikap sedemikian tanpa disedari bahawa langkah atau tindakan kita selama inilah punca lunturnya nilai patriotisme mereka?

Pendek kata, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Begitulah juga erti kemerdekaan bagi golongan remaja yang merupakan cerminan daripada sikap golongan dewasa terhadap makna kemerdekaan itu sendiri.

Akibat sebahagian golongan dewasa yang menjadi pimpinan badan-badan penting di negara ini tidak patriotik melalui dasar atau tindakan yang diambil maka tidak hairanlah majoriti generasi muda menjadi 'buta' nilai kemerdekaan apatah lagi perjuangan.

Lihatlah dalam kebanyakan keputusan atau dasar yang dilakukan. Kerap kali kepentingan nasional tidak didahulukan. Paling ketara adalah soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermaruah di Malaysia.

Semua orang tahu di mana letak duduk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang telah 54 tahun merdeka ini tidak ubah bagai Quran buruk. Dibuang tidak boleh, digunakan segan pula. Semuanya menjadi serba-salah bagi mereka yang belum benar- benar merdeka jiwanya.

Bahasa Melayu telah diupayakan sejak kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak namun selepas 30 tahun tiba-tiba bahasa Melayu yang telah berjasa melahirkan golongan profesional daripada pelbagai kaum bahasa Melayu dilihat kolot lantaran kononnya tidak mampu bersaing di pentas global.

Tambah memburukkan keadaan apabila ada pertubuhan bukan kerajaan yang sering mendesak supaya bahasa Inggeris diberi keutamaan.

Desakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) misalnya supaya bahasa Inggeris dikembalikan untuk pengajaran Sains dan Matematik di sekolah amatlah keterlaluan.

Hal ini kerana kerajaan telah pun berjanji untuk memansuhkan dasar itu menjelang tahun 2012 sebagai reaksi terhadap permintaan Gerakan Mansuhkan PPSMI yang berarak pada 7 Mac 2009 lalu.

Jadi, bagaimana penghargaan generasi muda terhadap erti kemerdekaan tidak subur jika apa yang dilihat dan didengarnya adalah suara-suara yang galak mahu kembali ke dasar yang menyanjung bahasa milik bangsa lain sebaliknya bahasa sendiri didakwa 'hodoh' dan ketinggalan zaman?

Rentetan daripada sanjungan minda terjajah kepada bahasa Inggeris seterusnya mempengaruhi pertimbangan dalam sesuatu keputusan apabila kerap kali faktor orang asing serta pengiktirafan dari luar didahulukan melampaui agenda kepentingan nasional dan rakyat sendiri.

Tindakan Naib Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon misalnya yang membawa masuk begitu ramai ahli akademik dan pelajar asing khususnya dari negara dunia ketiga bagi memenuhi kriteria penarafan antarabangsa berpunca daripada minda yang masih terjajah.

Apakah erti kemerdekaan jika kedudukan anak watan seolah-olah dianaktirikan sebagai ahli akademik dan pelajar di tanah air sendiri semakin terhad?

Lebih penting lagi, bagaimana falsafah pendidikan negara serta pembentukan negara bangsa akan terlaksana sepenuhnya jika tanggungjawab mendidik anak bangsa di tanah airnya sendiri diserahkan kepada orang asing?

Dalam masa sama, nilai kemerdekaan negara ini juga pasti lebih dihargai oleh generasi muda hari ini andainya para pemimpin kita dapat melontarkan pendapat atau reaksi kepada media massa dalam bahasa kebangsaan.

Tindakan sebahagian pemimpin yang lebih selesa berbicara dalam bahasa Inggeris dalam khalayak rakyat sebenarnya secara tidak langsung satu bentuk 'asuhan' kepada generasi hari ini untuk meninggalkan bahasa Melayu.

Oleh itu, golongan muda tidak harus terus dijadikan kambing hitam dalam mendakwa mereka tidak patriotik atau gagal menghayati erti kemerdekaan.

Jiwa yang merdeka bukan terletak pada sejauhmana kita bersemangat mengibar bendera sebaliknya terletak pada sejauhmana golongan dewasa dan berpengaruh memberi tauladan yang baik dalam soal pembudayaan bahasa kebangsaan kepada generasi muda sebagai ciri utama bangsa yang merdeka.

Disediakan Oleh: Arif Atan

Monday, March 7, 2011

Bahasa: Bangga tetapi ragu?

Esok sehingga Khamis, Putrajaya menjadi saksi bagaimana orang luar dari enam benua begitu petah berkata-kata dalam bahasa kita. Sejak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri diadakan pada tahun 2007, dapat dilihat pelbagai rupa bangsa di dunia ini yang mampu berhujah dalam bahasa kita.

Melawati laman web rasmi PABM, kita dapat melihat antara objektif pertandingan tersebut ialah “memperkukuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.”

Ramai daripada kita lekas terpesona dengan apa sahaja kedudukan yang mencapai peringkat dunia atau antarabangsa. Ungkapan seperti pengantarabangsaan seolah-olah menjadi “sihir” kepada ramai pihak untuk mendabik dada bahawa dirinya hebat dan setanding dengan bangsa dari negara maju lain.

Lantas, sepanjang PABM ini kita bangga mengetahui bahasa yang kita ucap sejak kecil ini rupa-rupanya bahasa kelima terbesar di dunia. Kita juga tidak menyangka terdapat hampir 300 juta orang penutur bahasa Melayu seluruh dunia.

Malangnya, sebahagian daripada kita masih malu dan ragu dengan keupayaan bahasa milik bangsanya sendiri pada ketika berbangga dengan pencapaian bertaraf dunia yang jelas terbukti dimiliki oleh bahasa Melayu.

Hari ini gejala bangga melihat orang asing bercakap bahasa kita tetapi ragu pula bercakap bahasa sendiri umpama suatu penyakit yang tidak mengenal siapa. Tidak kira orang politik, syarikat swasta, artis sehinggalah golongan pentadbir di universiti.

Mereka yang “rakus” mahu mencapai taraf dunia itu lazimnya ragu dengan potensi bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengukuh jati diri. Sebaliknya, tanpa segan-silu ibarat pelacur murahan menjual maruah dengan menyanjung tinggi bahasa Inggeris.

Mereka lupa bahawa bangsa Melayu tidak akan dikaitkan dengan agama Islam jika orang Arab yang datang ke wilayah dunia Melayu dahulu hanya menggunakan bahasa mereka dalam menyebarkan agama Islam.

Hal ini telah ditekankan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya bertajuk “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” (1972). Orang Arab “sengaja memilih” bahasa Melayu kerana dianggap alat paling sesuai untuk menyebarkan agama Islam bukannya bahasa Sanskrit atau Jawa Kuno.

Selain itu, bagi sesiapa yang ragu dengan bahasa Melayu sebenarnya sengaja buat lupa bahawa kedudukan diri serta bangsanya hari ini adalah atas “jasa” bahasa Melayu. Kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu berkembang maju dalam tempoh 30 tahun selepas pelaksanaan Dasar Bahasa dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tanpa iltizam kepimpinan mantan Perdana Menteri kedua kita dahulu yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, mustahil bangsa Melayu dapat menikmati kesejahteraan hidup seperti hari ini.

Mereka yang ragu dengan bahasa Melayu tetapi bangga pula jika orang asing fasih bertutur bahasanya sebenarnya dihantui rasa rendah diri. Segala usaha dan penat lelah generasi terdahulu dalam mengangkasa bahasa Melayu dibuang begitu sahaja apabila ada golongan bertindak menukar kiblat bangsanya kepada bahasa Inggeris!

Kalau begitu halnya, apa guna diadakan PABM saban tahun dengan tujuan pengantarabangsaan bahasa Melayu jika di tanahairnya sendiri dibiarkan berlaku peminggiran seterusnya penghapusan bahasa Melayu?

Mereka yang “rakus” mahu mencapai taraf dunia itu lazimnya ragu dengan potensi bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengukuh jati diri. Sebaliknya, tanpa segan-silu ibarat pelacur murahan menjual maruah dengan menyanjung tinggi bahasa Inggeris.

Disediakan oleh: Mohd Arif Atan

Tuesday, February 22, 2011

UM Tidak Pentingkan Bahasa Melayu?

BAHASA Melayu merupakan bahasa ilmu yang sudah terbukti keunggulannya dalam menjulang peradaban bangsa Melayu itu sendiri. Namun demikian, masih ada pihak atau individu yang mempersoalkan kemampuan bahasa Melayu itu terus subur sebagai medium perantara ilmu ketamadunan Melayu di institusi pengajian tinggi?

Atau lebih tepat lagi, melahirkan hasrat untuk menghapuskan penggunaannya di sebuah gedung ilmu yang menjadi kiblat kepada negara-negara luar untuk mendalami bidang ilmu pengajian Melayu?

Seperti tulisan Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan bertajuk Bahasa, Budaya dan Sastera dalam 50 Tahun Pembangunan Malaysia: Satu Sorotan.

Tanpa disedari bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa antarabangsa di luar negara; seperti juga yang diketahui di beberapa negara seperti Thailand, China, Korea Selatan dan Singapura, juga terdapat di pelbagai pusat pengajian Melayu di seluruh dunia.

Adakah pelajar antarabangsa ini datang ke Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) semata-mata untuk mendalami bahasa Inggeris?

Dengan mengambil Singapura sebagai contoh mudah, penguasaan dan kemahiran bahasa Inggeris mereka jauh lebih baik berbanding kita. Dan ini ialah realiti.

Apabila individu peneraju seperti Naib Canselor Universiti Malaya menimbulkan isu ini, beliau seolah-olah memperlekehkan keupayaan bahasa Melayu untuk memperkasakan ilmu Pengajian Melayu di peringkat dunia. Walhal, pihak pengurusan APM sendiri sedang giat berusaha untuk memperluas usaha sama dalam bidang penyelidikan dan pendidikan berkaitan bidang ilmu Melayu di peringkat global.

Natijahnya, kita mendapat maklum balas yang amat positif hasil daripada penyelidikan salah seorang daripada pensyarah APM sendiri di Universiti Frankfurt, Jerman, misalnya.

Ini membuktikan bahawa APM bukanlah 'biawak hidup' atau beban kepada UM sekali gus menjadi batu penghalang untuk melonjakkan nama Universiti Malaya sebagai 100 universiti terbaik dunia hanya disebabkan penolakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Nah, adakah hanya disebabkan permasalahan ranking dalam pasaran kerja yang dibuat dalam tempoh enam bulan selepas graduasi dijadikan sebagai ukuran?

Tanpa menolak keperluan bahasa Inggeris untuk menghadapi rempuhan globalisasi yang mendesak, sewajarnya Akademi Pengajian Melayu dilihat sebagai warisan keintelektualan bangsa Melayu yang lestari memartabatkan bahasa Melayu.

Apalah gunanya doktor lulusan luar negara yang fasih berbahasa asing, walhal tidak berupaya berkhidmat dengan baik disebabkan tidak menguasai bidang ilmu yang dipelajari dan hilang nilai kemurniaan budaya bangsanya sendiri?

Bak kata pepatah, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."

Disediakan Oleh: YUSUFJALLI