Wednesday, June 24, 2009

"Umno, Pas perlu ketepi ego politik"

KELANGSUNGAN dan masa depan politik Melayu pada hakikatnya bergantung kuat kepada Umno dan Pas. Justeru, bagi penyokong tegar kedua-dua parti politik Melayu Islam itu, mereka seharusnya tidak bersikap jumud dalam berpolitik.

Jika masyarakat Cina semakin kuat dengan ada dua parti iaitu MCA dan Gerakan di dalam Barisan Nasional (BN) dan DAP di luar BN, mengapa ada kalangan orang Melayu termasuk pemimpin politik Melayu sendiri suka melihat Umno atau Pas porak-peranda?

Mengapa kita Melayu Islam yang sama keturunan dan sama pegangan agama sukar benar mencontohi permuafakatan yang jelas ditunjukkan oleh mereka? Perbezaan fahaman politik di kalangan masyarakat Melayu seperti kaum bukan Melayu bukanlah penyebab utama perpecahan kaum Melayu.


Apa yang diperlukan ialah kesedaran orang Melayu tanpa mengira fahaman parti politik untuk memikirkan kelangsungan dan masa depan umat Melayu akan datang.

Kedua-dia pihak masing-masing memiliki kekuatan dan dilihat saling memerlukan serta lengkap-melengkapi jika agenda perpaduan yang dicanangkan bakal menjadi kenyataan. Kedua-dua pihak perlu mengakui mereka bukannya parti 'maksum' iaitu terhindar daripada kesilapan dan kekurangan.

Besar kemungkinan perpaduan yang diuar-uarkan bukanlah sampai peringkat Pas 'masuk' ke dalam Umno. Buat permulaan, menjalinkan hubungan dan ker-

jasama yang lebih kukuh itu saja sudah cukup baik bagi hal-hal berkaitan kepentingan Melayu Islam dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.

Dalam isu membabitkan penyakit Aids misalnya, Kelantan yang sinonim pemerintahan ala Islam dilaporkan mencatatkan kes tertinggi HIV/Aids dengan 346 kes diikuti Johor, yang dianggap kubu kuat Umno dengan 269 kes dari Januari hingga Jun tahun lalu.

Persoalannya, sejauh mana Umno dan Pas sudah

dan akan duduk semeja membincangkan usaha menangani penyakit pelenyap umat Melayu Islam di negara ini?

Itu belum lagi disentuh isu kemiskinan dalam sistem sosial masyarakat kita; gejala sosial yang kian membarah di kalangan remaja Melayu; pendidikan serta keruntuhan nilai kekeluargaan Melayu yang sebenarnya bukan lagi isu perkauman tetapi isu nasional negara ini.

Pendek kata, hasrat membentuk perpaduan Umno-Pas perlu membincangkan isu yang menjadikan orang Melayu Islam sebagai 'juara' dalam pelbagai penyakit sosial selain mengatur strategi dalam percaturan politik berdepan dengan permainan politik orang lain.

Oleh itu, kesudian Umno dan Pas mengetepikan ego politik masing-masing perlu dengan menggunakan kekuatan politik yang dimiliki bagi kebaikan masa jangka panjang masyarakat Melayu Islam, adalah teras bangsa Malaysia seterusnya kesejahteraan kaum lain di tanah air ini.

Dalam isu menjalin persefahaman dengan Umno ini, Pas tidak perlu kuat melatah kerana parti itu sudah pun mendapat kepercayaan umum malah di kalangan bukan Melayu seperti yang ditunjukkan dalam keputusan pilihan raya umum ke-12 lalu.

Namun, realiti menyaksikan Pas hanya memiliki 23 kerusi Parlimen berbanding Umno sebanyak 78 kerusi. Malah, selepas pilihan raya umum lalu menyaksikan suara Pas agak 'tenggelam' dalam Pakatan Rakyat meskipun umum tahu Pas adalah tulang belakang kepada gerakan kempen Pakatan Rakyat.

Akibatnya, Pas menjadi parti yang dibayangi wajah dan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih-lebih lagi DAP. Itulah sebabnya Pas tidak perlu khuatir dengan halangan atau ugutan rakan-rakan mereka dalam pakatan untuk berbincang dengan Umno.

Mereka sememangnya tidak mahu melihat orang Melayu Islam bersatu-padu. Walhal, dalam diam tetapi umum maklum mereka juga sudah lama bersatu-padu apabila menyentuh kepentingan mereka tanpa mengira fahaman parti politik dengan sokongan kuat badan bukan kerajaan (NGO) kaum mereka.

Jika kita lihat lebih jauh lagi, cetusan membentuk kerajaan perpaduan antara Umno dan Pas tidak lain adalah sebagai strategi dan isyarat halus kepada orang lain supaya tidak sewenang-wenangnya memperkotak-katikkan hak Melayu Islam di negara ini. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Wednesday, June 10, 2009

"Guru BI berkualiti perlu di semua sekolah"

PENDEKATAN bertanya dulu sebelum melaksanakan adalah langkah proaktif. Walaupun ada yang berpendapat sebaliknya kerana ia menampakkan sikap tidak pasti atau tidak berani.

Saya melihat ia pendekatan pragmatik dan sudah ‘belajar’ daripada bagaimana kekalutan pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang sehingga kini masih belum reda.

Sebagai pendidik, mewajibkan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus selepas Bahasa Melayu, saya fikir perlu diteliti supaya ia tidak mengetepikan hak segolongan rakyat yang tidak mempunyai kemahiran secukupnya bagi menguasai mata pelajaran berkenaan.

Secara peribadi, saya tidak menolak pentingnya bahasa Inggeris dalam konteks persaingan sejagat pada masa kini. Jika ia mahu dilaksanakan juga, perlu ambil tempoh tertentu bagi memastikan segala keperluan selayaknya dilengkapkan di setiap sekolah. Kemudahan prasarana dan sumber tenaga guru terbaik perlu disediakan, sama ada di luar bandar atau ceruk mana sekalipun sekolah itu.

Apabila sesuatu dasar atau gagasan idea itu dicetuskan, lazimnya ia bermula di sekolah bandar seperti juga pelaksanaan Sekolah Bestari, PPSMI dan Sekolah Kluster. Ia tidak dicetuskan ketika seseorang menteri itu melawat sekolah di ceruk kampung. Walaupun sekali pandang ia menguntungkan pelajar luar bandar, tetapi akhirnya yang mendapat limpahan ‘rahmatnya’ adalah pelajar bandar. Sebagai contoh, pembinaan makmal komputer. Sejak dilaksanakan, ia tidak mendatangkan masalah bagi pelajar di bandar. Malah, sebenarnya sekolah terbabit sudah memiliki makmal komputer sendiri hasil inisiatif sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sebaliknya, di luar bandar, sehingga kini masih ada sekolah yang belum mendapat makmal atau sudah ada makmal tetapi tiada komputer.

Justeru, dalam pelaksanaan idea terbaru itu, pelajar luar bandar juga yang akan menerima kesannya. Berapa peratus guru yang mengajar Bahasa Inggeris di luar bandar sememangnya opsyen Bahasa Inggeris? Berapa ramai yang berkhidmat di luar bandar melebihi lima tahun? Kenapa lima tahun? Lazimnya, seseorang itu dianggap menguasai aspek Pedagogical Content Knowledge jika sudah mengajar tiga hingga lima tahun. Berapa ramai pula cikgu yang memeriksa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris di sekolah luar bandar. Hal ini penting kerana untuk lulus Bahasa Inggeris peringkat SPM memerlukan guru yang tahu teknik menjawab dengan betul.

Kini, dalam pada dasar PPSMI sedang berjalan di seluruh negara, secara umumnya ada tiga golongan guru pelaksana dasar PPSMI. Pertama, guru yang sememangnya mengajar dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Kedua, bercampur-campur. Ketiga, langsung tidak menggunakan Bahasa Inggeris. Kelompok pertama lazimnya berada di sekolah bandar dan memang mahir mengajar dalam bahasa Inggeris. Mereka mungkin guru yang agak senior dalam dunia pendidikan. Bagaimanapun, golongan kedua bukan saja tidak mahir mengajar menggunakan bahasa Inggeris, malah mereka sendiri tidak mahir bahasa Inggeris terutama aspek tatabahasa. Walaupun itu satu usaha yang perlu digalakkan berbanding dengan golongan ketiga, ia akan menimbulkan kesan negatif kepada pelajar. Mereka akan terikut-ikut dengan kualiti bahasa Inggeris guru mereka yang sememangnya tidak berkualiti.

Pada hemat saya, belum tiba masanya untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris kepada calon SPM.

Biarlah lulus, kepujian dan cemerlang dalam Bahasa Inggeris dianggap sebagai nilai tambah kepada pelajar. Jika gagal sekalipun, mereka masih boleh meneruskan cita-cita ke peringkat yang lebih tinggi.

Sehingga kini cukuplah dulu hukuman kepada pelajar yang tidak dapat kepujian dalam Bahasa Melayu.

Mereka tidak boleh masuk ke Tingkatan Enam, bidang pekerjaan dan banyak lagi. Sekali lagi kesan langsungnya akan diterima oleh pelajar pedalaman yang kebanyakannya Melayu. Disediakan Oleh: Malek Selamat

"Delema Ekonomi Melayu abab 21"

Sebut sahaja "Dasar Satu Malaysia", riuh di kedai kopi melibatkan orang-orang UMNO, PAS DAN PKR, tidak termasuk Melayu yang memasuki PPP dan pelbagai lagi? Ini adalah isu kepimpinan dan juga politik negara atau Makro yang bermula dengan mikro.

Tetapi sedarkah kita bahawa jutaan Melayu ini bersembang di kedai kopi milik pendatang? atau naturalize citizent? Kita pergilah di mana mana bandar utama atau bandar kecil seluruh Malaysia, ya, 'Mamak Store' atau Kedai Mamak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, mana cerok atau 'corner lot' tidak di miliki atau di perniagakan oleh kumpulan atau 'interest group' ini?

Setiap saat secawan teh atau kopi menjadi hidangan jutaan Melayu? Kedai Runcit pula telah bertukat kepada kedai multinasional? sebut sahaja giant, tesco, carrefour dan pelbagai. Sebahagian besar adalah multinasioanl, belum lagi budaya Mac Donald, KFC dan Coffee House. Inilah realiti atau gajah di depan mata tak nampak tapi kuman seberang laut nampak. Bilamana kita mempersoalkan isu ini, maka ada cendiakawan Melayu mempersoalkan ini isu business" atau perniagaan dan juga kemodenan, tetapi aliran kewangan menuju atau masuk kedalam kumpulan tertentu.

Cubalah kita bayangkan Melayu merempat di negeri sendiri di dalam kemelut politik dan kewangan. Setiap saat aliran kewangan Melayu pergi kepada kumpulan lain, 'Money is power! ' Adakah Melayu mempunyai kekutan kewangan ini? Tentu sekali tidak?

Tetapi mungkin ada yang berdebat dengan mengatakan kita mempunyai bank kita sendiri dan juga dasar kita sendiri, Adakah ini betul dan tepat, Marilah kita membandingkan Melayu-Melayu yang menguasai arena perbankan, Kenapa Melayu ini dengan kekuatan "credit line" ini tak mampu membina empayar 'Mydin Store?' Mamak Kedai atau Peruncitan benilai Global?

Kenapa? Jawapannya adalah 'complacent' atau lupa diri, bila mereka telah ada di atas, bermulalah permainan saham, 'take over' dan 'trading' yang menguntungkan mereka sendiri dan menjadikan mereka semakin kaya dan bernilai jutaan ringgit sehingga lupa diri.

Apabila ada Melayu muncul sebagai orang yang berjaya, wujud pula golongan Melayu yang dengki dan iri hati. sikap ini lah yang sukar dinyahkan dari kehidupan orang Melayu. keadaan ini menjadikan Melayu tidak boleh berada lama di atas. kerana sikap bangsanya yang tidak berubah.

Mentaliti sebegini harus kita kikis secepat mungkin supaya Melayu tidak lagi merempat di tanah air sendiri, supaya ekonomi Melayu dapat ditingkatkan bukannya terus dijajah. Disediakan Oleh: Mosmi

Sunday, June 7, 2009

Melayu dikhianati?

Hati Awang semakin hari semakin ditoreh-toreh oleh tuntutan pelbagai pihak bukan Melayu yang bersikap terlalu rasis selepas Pilihan Raya Umum ke-12. Kita boleh tafsir apa sebabnya. Awang tidak mahu mengulas panjang kali ini, cukup sekadar disiarkan semula petikan kenyataan seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 (dipetik daripada buku Khalid Awang Osman dan pernah diulas Ridhuan Tee Abdullah) untuk renungan kita semua.

''Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain''.

Sebelum itu, seorang pemimpin MIC Tun V.T Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata: ''Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka.

Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? ''Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?

"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, ''Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara''. Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.''

Persoalannya, kini apakah pengorbanan Melayu dikhianati oleh kaum lain? Disediakan oleh: Awang Selamat