Sunday, March 22, 2009

"PPSMI, Umno, kerajaan, pejuang bahasa dan MCA"

PERISTIWA demonstrasi menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang membabitkan perarakan 5,000 penunjuk perasaan dari Masjid Negara ke Istana Negara Sabtu lalu bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong tidak wajar dipandang lekeh.

Perkara ini perlu dinilai dengan akal budi dan bukannya emosi seperti yang sering dilaungkan oleh tokoh politik yang bertanggungjawab dalam menangani kemelut ini dan juga kepimpinan Kementerian Pelajaran apabila berurusan dengan pejuang bahasa, sasterawan dan cendekiawan yang menolak PPSMI.

Jika Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berpendapat peristiwa Sabtu lalu sewajarnya menjadi pengajaran kepada orang awam agar mengelakkan diri mereka daripada diperalatkan, tetapi orang awam melihat sebaliknya; Umno perlu mengambil iktibar dengan kembali kepada perjuangan asal parti terbabit ketika ditubuhkan dulu!

Ini maklum balas yang penulis dapat ketika bersembang berhubung perkara ini dengan beberapa orang awam daripada pelbagai status quo dalam masyarakat, sama ada mereka orang bahasa mahupun tidak, apalagi kalangan sarjana yang mengikuti perkembangan isu penolakan PPSMI sejak suara protes mengenainya semakin lantang pada akhir tahun lalu.

"Umno kena balik kepada perjuangan asal iaitu menyuarakan pandangan majoriti Melayu kepada kerajaan seperti yang dilakukan parti komponen mereka dalam Barisan Nasional (BN), MCA yang memperjuangkan hak orang Cina meskipun mereka sebahagian daripada kerajaan.

"Umno jangan ingat bila mereka mengetuai kerajaan bahawa orang Melayu mesti dengar segala arahannya. Kerajaan dan Umno adalah dua perkara berbeza. Umno bukan kerajaan. Kerajaan bukan Umno. Umno adalah parti orang Melayu yang sepatutnya berfungsi memperjuangkan nasib dan mempertahankan hak bangsanya.

"Buang jauh-jauh kekeliruan selama ini bahawa Umno adalah kerajaan dan sebaliknya kerana Kerajaan Malaysia hakikatnya ialah Barisan Nasional yang dianggotai beberapa parti lain kecuali di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Suatu kesilapan besar apabila Umno berasa dirinya adalah kerajaan. Umno 'wajib' kembali ke pangkal jalan.

"Umno adalah parti politik yang mewakili orang Melayu dan sekiranya gagal berbuat demikian, orang Melayu akan lari ke parti lain seperti Pas dan PKR. Jangan persalahkan orang Melayu apabila tidak memihak kepada Umno. Orang Melayu berasa suara mereka tidak disampaikan kepada kerajaan apalagi diperjuangkan Umno sejak akhir-akhir ini," ujarnya.

Seorang sarjana bahasa pula melihat peristiwa Sabtu lalu tidak akan berlaku sekiranya Umno sudah mengambil langkah tegas ketika pertama kali Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang diketuai Datuk Dr Hassan Ahmad menyerahkan surat bantahan kepada Hishamuddin di Parlimen, baru-baru ini.

"Jawapan tidak tegas Hishamuddin pada pertemuan terbabit dengan kenyataan pandangan mereka akan diambil kira dan 'janji mulut' akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung tidak cukup meyakinkan bahawa suara hati mereka akan disampaikan kepada kerajaan.

"Mereka tidak boleh menunggu kerana tiada sebarang jaminan. Segala kemungkinan boleh berlaku pada Perhimpunan Agung Umno. Orang Melayu sudah tidak sabar menunggu dengan sikap Umno yang lembik dalam banyak hal. Umno yang sepatutnya memperjuangkan bangsa Melayu kini dilihat kerap melukakan hati mereka," ujarnya.

Sarjana bahasa ini juga yakin orang Melayu akan melihat kesungguhan Umno menyampaikan suara hati mereka kepada kerajaan sekiranya Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, hadir sama pada demonstrasi Sabtu lalu, sebagai tanda parti terbabit mengambil berat pandangan pejuang bahasa, sasterawan dan cendekiawan dalam hal PPSMI.

"Saya percaya Dr Hassan tidak menjemput pemimpin Pas untuk turut serta dalam demonstrasi. Mereka tidak boleh halang jika pemimpin Pas hadir sama bagi menjayakan rancangan menyerahkan Memorandum Bantahan PPSMI kepada Yang di-Pertuan Agong. Pas pula nampak isu ini boleh memberi kebaikan kepada mereka dan sebab itu tidak keberatan terbabit sama," jelasnya.

Sarjana ini melihat penolakan PPSMI bukan perkara pelik kerana Singapura menyaksikan bangsa Cina mahukan bahasa ibunda mereka digunakan dan bukannya Mandarin manakala di Amerika Selatan kelompok Hispanik mahukan keturunan mereka diajar dalam bahasa itu, sebelum beralih ke bahasa Inggeris secara meluas pada peringkat menengah.

"Malaysia boleh menggunakan pendekatan sedemikian sebagai satu cara penyelesaian kepada kemelut PPSMI, tetapi dengan syarat pelajar di sekolah rendah diajar dalam bahasa Inggeris dengan secukupnya menggunakan kaedah yang membantu mereka menguasai bahasa terbabit dengan baik dari segi lisan mahupun tulisan," tegasnya.

Pasti tokoh yang terkena tempias dengan pandangan yang diperturunkan ini marah atau melenting, tetapi penulis yakin pandangan yang tidak ingin didengar ini perlu diberi perhatian demi masa depan Umno agar tidak tampil sebagai parti yang sentiasa melukakan hati bangsanya, apalagi tiga pilihan raya kecil akan berlangsung; jangan sampai tewas lagi!. Disediakan Oleh:Salbiah Ani

"Umno, Pas Patut Fikir Kelangsungan Melayu"

SYOR penubuhan kerajaan perpaduan antara Umno dan Pas disambut baik ketika berdepan keadaan sosiopolitik tanah air mutakhir ini yang tidak menentu.

Sudah tiba masanya pemimpin dan masyarakat Melayu mengambil langkah terbaik untuk bersatu demi masa depan negara, bangsa dan agama.

Carilah titik persamaan, bukan asyik bertelagah atas perbezaan prinsip dan ideologi politik yang akhirnya menguntungkan orang lain.

Pada masa sama, eloklah diketepikan rasa taksub pada politik kepartian yang merugikan orang Melayu.

Jika sebelum ini orang Melayu boleh bertolak ansur dengan bukan Melayu, mengapa tidak nilai murni itu diterjemahkan pula dalam menjalin persefahaman sesama bangsa pula? Malah, sama ada 'orang Umno' atau 'orang Pas,' mereka berdiri atas persamaan pegangan agama yang sama.

Gabungan kedua-dua parti politik terbesar Melayu selama ini dirasakan kian mendesak supaya orang Melayu tidak diperalat pihak yang cenderung mengambil kesempatan berikutan longgarnya perpaduan Melayu.

Dari segi strategi politik, kerajaan campuran Umno dan Pas setidak-tidaknya dapat 'mengajar' golongan pelampau perkauman di negara ini bahawa segala hal berkaitan Melayu dan Islam tidak boleh sewenang-wenangnya diperlekehkan.

Selama ini tidak pernah kepemimpinan Melayu, sama ada Umno atau Pas mendiskriminasi hak bukan Melayu. Segala kehendak mereka dituruti.

Ironinya, mereka seperti sikap sudah diberi betis hendakkan paha dan dari semasa ke semasa mencabar hak Melayu dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan.

Jika kita lihat bagaimana 'tangan' DAP di sebalik pentadbiran kerajaan negeri Perak sebelum ini dan Selangor dan 83 tuntutan ekstrim Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) menjelang pilihan raya umum 1999 lalu berlaku pada ketika orang Melayu sedang parah berpecah-belah.

Hakikatnya, impian untuk melihat gabungan Umno dan Pas menjadi kenyataan hanya akan berlaku jika kedua-dua pihak pemimpin dan penyokong tegar kedua-dua parti itu saling bertolak-ansur. Kekurangan atau kelemahan harus diperbaiki dan dibawa berunding.

Paling nyata, Pas perlu berhati-hati dengan prinsip `Islam untuk semua' supaya tidak berlaku keadaan 'ayam di kepuk mati kelaparan, itik di kolam mati kehausan' memandangkan orang Melayu adalah majoriti penganut Islam negara ini.

Umno pula usah begitu bersifat materialistik dan memikirkan kepentingan diri dan kuasa semata-mata.

Pada masa sama, gabungan itu juga sebenarnya membolehkan kedua-dua pihak saling mempelajari kekuatan dan kelebihan masing-masing.

Umno misalnya perlu mengakui Pas memiliki pengikut berdaya juang tinggi tanpa banyak dipengaruhi mentaliti wang. Apa pun, diharap gabungan Umno dan Pas kelak bukan bersifat 'hangat-hangat tahi ayam' seperti pada 1974 apabila Pas pernah dibawa masuk untuk menyertai BN ketika itu.

Sebaliknya, gabungan itu perlu padu dan mantap untuk kepentingan orang Melayu dan memartabat agama Islam serta kestabilan sosial rakyat Malaysia pelbagai kaum memandangkan Melayu menduduki komposisi penduduk paling ramai di negara ini.

Jika kedudukan politik, ekonomi dan sosial orang Melayu dibiarkan goyah, mustahil kaum lain dapat menikmati kehidupan selesa di negara yang bertuah ini. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

"Meruntuhkan Sempadan Perkauman"

AKHIRNYA Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo digantung 12 bulan daripada hadir ke sidang Dewan Rakyat. Bapanya, Karpal Singh pula berdepan dengan Akta Hasutan.

Perkembangan tersebut harus menyedarkan semua pemimpin bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya bersikap melampaui batas ketika berada di dalam Dewan Rakyat.

Kapasiti mereka ialah sebagai wakil rakyat bukannya wakil diri sendiri apatah lagi wakil parti. Oleh itu, tidak sepatutnya sentimen sempit kepentingan diri terbawa-bawa sehingga mengatasi kepentingan rakyat yang diwakili.

Timbul persoalan apabila melihatkan gaya bercakap yang kasar dan sesetengahnya secara tersirat mempertikai dan menghina orang Melayu semasa bersidang. Adakah apa yang dilakukan itu boleh membantu rakyat di kawasan yang mereka wakili?

Malangnya, perangai buruk individu bergelar "Yang Berhormat" itu semakin menular di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Mereka kebanyakannya sudah tidak lagi berhemah ketika berbicara sebaliknya cenderung bercakap kasar dan tidak menghormati orang lain semasa melontarkan pandangan.

Keadaan ini dapat dilihat dalam sebahagian laman blog aliran kiri serta ruangan komen pengunjung di laman maya seperti YouTube.

Lebih dahsyat apabila golongan yang penulis anggap sebagai "komunis siber" ini bebas menyerang dan menghina orang Melayu daripada semua sudut menggunakan 'senjata' seperti bangsa Malaysia, keadilan dan hak asasi manusia sebagai alasan.

Oleh itu, gejala komunis siber ini perlu ditangani segera melalui langkah jangka pendek oleh pihak berkaitan seperti tindakan undang-undang yang bersabit mengganggu keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Dalam masa yang sama, langkah jangka panjang juga perlu difikirkan untuk dilaksanakan. Sejauh mana kita berusaha mengintegrasikan masyarakat pelbagai kaum di negara ini melalui bahasa kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan?

Peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan seperti yang sudah dilihat mantap berlaku sekitar dekad 1980-an sehingga awal 1990-an harus dijana semula.

Suka atau tidak bahasa Melayu itulah sahaja yang wajib diterima oleh seluruh rakyat termasuk pemimpin pelbagai kaum.

Rakyat Malaysia harus sedar perpaduan tulen dapat diwujudkan atas penegasan kita membudayakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia.

Perlu ditegaskan, perpaduan hanya dapat dicapai apabila sempadan kaum dapat diruntuhkan dalam pertembungan pelbagai budaya yang hebat berlaku sekarang ini. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Friday, March 13, 2009

"Suarakan Nasib BM di Perhimpunan Agong UMNO 2009"

Isu bahasa kebangsaan kembali hangat apabila isu PPSMI didesakan pelbagai pihak yang terdiri tokoh pejuang bahasa, ahli politik, mahasiswa, ibubapa, dan tidak dilupakan masyarakat yang mencintai BM sebagai bahasa mojoriti Malaysia. Namun, terdapat juga segelintir pihak yang menyokong PPSMI agar diteruskan. Akibatnya, berlakunya perhimpunan membantah perlaksanaan PPSMI oleh Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang dinaungi pelbagai NGO, dan mendapat sokongan ahli politik. Disebalik penglibatan ahli politik yang dikatakan dari pihak pembangkang, maka pelbagai reaksi telah diberikan, ada yang baik, ada juga yang sebaliknya.

Pada perhimpunan agong UMNO 2009 ini, perkara yang diharapkan agar isu PPSMI diselesaikan dengan segera, seperti mana UMNO merupakan parti politik Melayu yang terbesar di Malaysia dan juga merupakan parti yang mendominasi pentadbiran negara. Perkara ini mendapat reaksi daripada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin yang berkata perlu ada langkah mempercepatkan tindakan menangani isu ini agar masalah ini tidak berlarutan.

Tambahnya lagi, beliau berharap menteri terbabit perlu memberi kata dua dalam menyelesaikan masalah ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengingatkan masalah PPSMI ini akan memberi kesan negatif terhadap parti yang selama ini membela kebajikan orang Melayu. Pemimpin UMNO harus kembali kepada asas perlembagaan UMNO yang telah digubal oleh cendiakawan UMNO yang meletakkan Bahasa Melayu(kebangsaan) sebagai bahasa yang diakui, sebagaimana dalam fasal 3.5(Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu). ahli UMNO juga harus munasabah diri dalam menilai antara kemahuan maju dengan kesucian perlembagaan negara yang meletakkan bahasa kebangsaan dalam undang-undang negara, yang dijaga pelbagai peruntukan undang-undang, antaranya perkara 152. Hal ini bukan menidakkan bahasa lain, tetapi bahasa kebangsaan ini yang menjaga perpaduan sesama bangsa Malaysia .


Kenyataan Raja Nazrin semasa melancarkan buku "The Malays hasil karya Prof. Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang bertitah bahawa masyarakat Melayu perlu menjaga kesucian agama, bahasa, dan budaya yang mana dinaungi oleh raja-raja Melayu dan termaktub perlembagaan." Raja Nazrin juga menggambarkan secara simbolik dengan kisah Pak Kadok yang menceritakan bagaimana Pak kadok menyerahkan ayam sabungnya kepada lawannya, namun Pak Kadok hanya menang sorak, kampung tergadai. Perkara yang paling menggusarkan baginda ialah andai Melayu akan pupus dan hanya tinggal pada nama dan hanya hikayat lama menceritakan konsep Melayu sahaja. Orang Melayu perlu bermuhasabah diri, terutama pemimpin UMNO.

Selepas perhimpunan agong UMNO ini, maka tugas maha penting dalam urusan kepentingan Orang Melayu akan diletakkan dibahu Dato seri Najib Tun Abdul Razak yang bakal menjadi Perdana Menteri yang keenam. Masyarakat amnya, berharap kepimpinan baru ini dapat membantu nasib bahasa kebangsaan agar tidak ditelan zaman.Isu PPSMI ini, seharusnya diletakkan sebagai agenda utama dalam perhimpunan UMNO, selain masalah ekonomi ketika ini. Kita berharap, pada wawasan 2020, kita sudah berjaya melengkapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa teknologi sebagaimana negara maju dan negara membangun yang lain.Hang tuah pernah berkata, "tak Melayu Hilang di Dunia", namun anak muda seperti saya" Melayu Hilang di hatinya". Sama-sama kita renungkan. Disediakan Oleh:Khairul Zaim Mohd Shaari

Tuesday, March 10, 2009

"Desakan kuat orang Melayu, Supaya Dikembalikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Sains dan Matematik"

Ramai yang tidak menyedari bahawa apa yang berlaku pada hari Sabtu 7 Mac 2009 adalah satu suara rakyat Malaysia yang cintakan bahasa, mereka sanggup datang dari pelusuk tanak air tidak mengira latar belakang, yang mana hanya satu matlamat iaitu ingin menyampaikan pekara yang benar seperti yang pernah dan telah dilaporkan dalam akhbar sejak 6 tahun dahulu dan sehinggalah kebelakangan ini mengenai PPSMI.

bukan sekadar berkata manis atau berpura-pura demi kepentingan individu atau parti politik, jauh sekali untuk memuji apatah lagi untuk mengembirakan hati sesetegah pihak, semua ini didorong oleh rasa tanggungjawab dan cintakan bahasa itu sendiri yang menjadi cetusan semangat untuk melaksanakan tanggungjawab bagi menyampaikan suara yang benar. Jika PPSMI terbukti berkesan perlaksanaannya, tidaklah seramai itu yang menentang..

BCMM percaya bukan suara hati BCMM sahaja, malah ribuan dan jutaan mereka yang lain juga.. terutama ibu bapa yang tinggal di kampung dan desa..serta mereka yang "benar-benar" sayang akan bahasa dan negara ini iaitu bahasa kebangsaan yang perlu dinobatkan dalam erti kata yang sebenarnya sebagai bahasa jiwa bangsa.

Bukan hanya berpura-pura dan berpuas hati sekadar "didaulatkan dan dimartabatkan" di dalam buku perlembagaan Malaysia sahaja, sedangkan di alam nyata bahasa kebangsaan sebenarnya terpinggir dan sengaja dipinggirkan, malah peranannya dihakis khususnya dalam bidang sains dan matematik, waima telah terbukti berjasa selama kira-kira 30 tahun dalam dunia pendidikan di negara ini sewajibnya dikembalikan semula seperti sebelumnya..inilah yang sebenarnya hendak disampaikaan oleh pejuang bahasa, bukan kerana desakan ahli politik apatah lagi perjuangan mereka telah disalah ertikan oleh sesetengah pihak yang mana melulu mengatakan mereka ini di dalangi oleh parti politik demi kepentingan sesetengah pihak. Bagi penulis semua ini hanya polimik sesetengah pihak yang ingin berselindung.

Dalam memperjuangkan bahasa, bangsa dan negara yang tercinta, tidak perlu timbul soal politik, sebaiknya soal politik perlu diketepikan dan semua rakyat Malaysia sewajibnya bersatu, inilah yang dilakukan oleh pejuang bahasa...saya menyangkal pendapat sesetengah pemimpin yang mengatakan bahawa, perhimpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Memasuhkan PPSMI (GMP) pada 7 Mac yang lepas di dalangi parti politik..himpunan ribuan rakyat malaysia, yang rata-ratanya berbangsa Melayu jelas atas dasar cintakan bahasa, bangsa dan negara..kalau didalangi parti politik..saya ingin bertanya dimanakah lagi orang Cina dan India ? hanya sekelumit sahaja yang datang...jelas ini bukan kerana dorongan politik..

Kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu PPSMI bagi mengelakkan tercetusnya gelombang kedua yang mana akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk pada masa depan..Hal ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah ahmad Badawi, "saya mahu isu ini diselesaikan dengan segera dan jika dilengah-lengahkan, pelbagai tekanan dan tindakan akan dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyebabkan ia menjadi lebih besar" (Utusan Malaysia, Ahad, 8 Mac 2009).

Justeru sebagai rakyat di bumi yang dikatakan "merdeka" ini dan dengan amalan sistem demokrasinya, penulis memohon sedikit perhatian khusus daripada semua pihak yang berkenaan dan pucuk pimpinan negara ini, dengan segala pertimbangan berikut yang selaras dengan pandangan para ilmuwan, ahli akademik, ahli bahasa, dan pejuang bahasa agar mengkaji semuala perlaksanaan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, yang telah dibuat "secara tergesa-gesa" sebelum ini, tampa mengambil kira pandangan banyak pihak.

seperti yang pernah diingatkan oleh Abdullah Munsyi pada abab ke-19 lagi, iaitu "tidak ada bangsa lain di dunia yang sanggup membuang bahasanya sendiri melainkan bangsa Melayu"..,..kini dibuang peranannya dalam ilmu sains dan matematik.

Maka demi kepentingan generasi masa depan, bangsa dan bahasa Melayu keseluruhannya, pertimbangkanlah hal ini sewajarnya...Disediakan Oleh: Mohd Syuhaidi

Cintai Bahasa Melalui Buku

Tak kenal maka tak cinta. Demikian ungkapan yang sering kita dengar. Begitu juga dengan hal berkaitan bahasa Melayu yang jelas diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sayangnya, ramai rakyat negara ini sendiri tidak lagi cintakan bahasanya meskipun dalam masa yang sama bangsa asing begitu tekun menelaah keindahan bahasa kita di universiti seluruh dunia.

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM) 2009 yang berlangsung dari 1 Mac sehingga 6 Mac yang lalu adalah bukti betapa tingginya martabat bahasa Melayu milik semua rakyat Malaysia.

Lantaran kenal akan keindahan bahasa Melayu, penuntut dari seluruh dunia seperti dari Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, Korea, Sepanyol, Itali, Jerman, Maldova, Republik Chez, Bosnia Herzegovina, Palestin dan Belarus mampu menguasai bahasa kita seterusnya mengungkapkannya dalam patah bicara pidato pula.

Keadaan yang dipanggil pengantarabangsaan bahasa Melayu ini tentunya tidak akan berlaku jika mereka tidak cintakan bahasa Melayu.

Berbalik kepada diri setiap warga Malaysia, adakah kita sudah tidak kenal lagi akan kepentingan dan kehebatan bahasa Melayu hingga tiada bibit cinta dan kasih akan bahasa sendiri?

Tidakkah kita malu pada orang asing yang jauh lebih kenal dan cintakan keindahan bahasa kita sedangkan hakikatnya kedudukan bahasa Melayu di tanah air leluhurnya sendiri ibarat melukut di tepi gantang?

Menyedari hakikat itu, ada baiknya usaha 'berkenal-kenalan' dengan bahasa Melayu dimulakan hari ini. Apabila sudah kenal maka terbitlah rasa sayang.

Bagi tujuan itu, buku berkenaan sejarah, perancangan, kepentingan, perkembangan, kehebatan, kejayaan, masalah, cabaran atau masa depan bahasa Melayu adalah alat penting untuk tujuan mendekatkan semula masyarakat dengan bahasa kita.

Bagi menjayakan hasrat memasyarakatkan bahasa ini, ada pelbagai judul buku yang bukan sahaja perlu dibaca malah mesti difahami seterusnya diterjemahkan dalam tindakan atau keputusan kita selepas ini.

Jika ditinjau daripada laman sesawang Dawama yang merupakan pencetak dan pengedar buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja terdapat kira- kira 230 buah buku dalam kategori buku Bahasa untuk pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada terbitan tahun 2000.

Jawablah secara jujur, adakah salah satu daripada ratusan buku berkenaan bahasa Melayu itu sudah pernah dibaca dan menjadi santapan akal budi anda?

Prof. Dr. Awang Sariyan misalnya dalam Warna dan Suasana : Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (2006) telah menggariskan tentang kejayaan perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, komunikasi, perpaduan dan kemajuan yang giat bermula sejak dekad 1970-an.

Tidakkah kita ingin melihat perancangan bahasa Melayu terus berkembang ke tahap 'cemerlang' dalam era globalisasi sebaris dengan bahasa asing lain di dunia ini?

Di mana pula semangat 'Malaysia Boleh' dalam kita mempertahankan bahasa kebangsaan hingga begitu mudah tunduk pada tekanan bahasa asing?

Selain DBP yang umum maklum memang giat menerbitkan banyak buku tentang bahasa Melayu, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) juga banyak menerbitkan buku berkaitan perjuangan bahasa Melayu.

Antaranya seperti Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi (2007), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI :1952-2002 (2007), Suara Pejuang Bahasa (2005), Keranda 152: Bahasa Kita Air Mata dan Maruah Kita (2002) dan Manifesto Budaya, Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa (1996).

Banyaknya penerbitan buku tentang bahasa Melayu daripada pelbagai perspektif wacana adalah bukti bahawa golongan sarjana telah menjalankan tanggungjawab mereka mengetengahkan kepada kita akan pentingnya bahasa Melayu diangkasakan.

Namun, terpulang kepada kita termasuk pembuat dasar untuk benar-benar memanfaatkan penerbitan buku sedemikian. Proses 'suai kenal' bahasa Melayu memerlukan kita membelek, membaca, memahami dan menghayati isi penting yang mahu disampaikan dalam buku-buku berkenaan.

Apa pun, rasa cinta akan "bahasa jiwa bangsa" ini hanya akan mengakar umbi dalam benak dan akal budi setelah kita benar-benar kenal akan keindahan dan kepentingan bahasa Melayu disebarluaskan penggunaannya bukan disempitkan atas alasan kemajuan dan proses pensejagatan. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Thursday, March 5, 2009

Pemimpin wajar subur kasih sayang rakyat

Jika direnung dan diperhalusi, inilah tandanya bahawa nilai kasih sayang, rasa kemanusiaan dan cintakan bahasa dan budaya bangsa kita sendiri kian luntur dihakis kepentingan individualistik dan materialistik bukannya mengutamakan kepentingan holistik bangsa Malaysia.

Gelora politik di Perak yang membawa kepada keadaan dua nakhoda berkongsi sebuah bahtera yang kian meruncing tidak akan berlaku jika Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan sekutunya benar-benar sayangkan rakyat seperti tertera dalam 'jenama' Pakatan Rakyat.

Tidakkah mereka sedar sikap tidak sabar mereka mempertahankan kuasa politik sehingga sanggup 'bersidang' di kawasan lapang bawah pohon Selasa lalu hanya akan menyebabkan rakyat tidak ubah seperti pelanduk mati tersepit di tengah-tengah pertarungan sang gajah? Bagaimanakah kepentingan dan kebajikan rakyat Perak dalam era ekonomi dunia meleset kini akan terbela jika pemimpinnya terlalu banyak 'bersilat' mempertahankan kepentingan politik kepartian masing-masing?

Pada masa sama dakwaan bersifat perkauman kononnya dasar yang membantu golongan Bumiputera sebagai aparteid oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr Boo Cheng Hau dan diulang sekali lagi oleh wakil rakyat Batu Kawan, Prof Dr P Ramasamy juga adalah cermin sikap mereka yang dilantik sebagai pemimpin untuk semua kaum tetapi bercakap untuk kepentingan diri, parti dan kaum sendiri semata-mata.

Begitu juga dasar PPSMI yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan; menjarakkan lagi jurang sosial antara bandar dan luar bandar serta menghakis martabat bahasa kebangsaan yang sebelum ini terbukti berjaya berperanan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa perpaduan.

Akibat tidak wujud rasa sayang apatah lagi bangga dengan bahasa sendiri seperti masyarakat Cina yang sayangkan bahasa dan akhbar mereka, nasib dan masa depan pewaris tanah air ini sedang diperjudikan. Keruntuhan institusi politik, budaya dan bahasa juga menyelinap ke institusi kekeluargaan apabila sejumlah 75,299 kes perceraian dilaporkan pada 2007 dan 2008 saja. Ke mana perginya ucapan cinta dan sayang serta sumpah sanggup sehidup mati sebelum mendirikan rumah tangga selepas hanya beberapa tahun berkahwin? Benarlah kata pepatah 'bapa borek, anak pun rintik'.

Bagaimana acuan begitulah hasilnya apabila rasa sayang generasi dewasa yang menipis sama ada pada pemimpin dan ibu bapa turut dijangkiti generasi remaja hari ini.

Siri episod kes buli yang dilaporkan baru-baru ini sehingga ada yang membawa kepada kematian adalah sekelumit daripada pelbagai senarai panjang indeks jenayah pelajar yang kian membimbangkan. Ramai pelajar sekolah hari ini tidak lagi sayangkan maruah dan harga diri, keluarga dan bangsanya sendiri apabila hanyut malas belajar lalu terjebak dalam perilaku tidak sihat seperti pergaulan bebas dan melakukan jenayah kekerasan.

Namun, siapa peduli apabila pemimpin sibuk berlumba mengejar kuasa, manakala ibu bapa pula lelah mengumpul harta? Tinggallah guru yang juga terpaksa mengejar masa menghabiskan sukatan pelajaran dan anggota polis tidak menang tangan melayan laporan polis difailkan terhadap pemimpin yang tidak sayangkan masa depan generasi akan datang.

Sebelum keadaan menjadi lebih gawat ada baiknya semua pihak bermula daripada barisan pemimpin 'berbaik-baik' semula dengan ilmuwan dalam menumpukan usaha menyuburkan rasa kemanusiaan agar kasih sayang terhadap bangsa, anggota masyarakat serta bahasa dan kebudayaan kita kembali menjadi darah daging kita semua.Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan