Tuesday, April 21, 2009

"Kesamarataan Tidak Semestinya Membawa Keadilan"

Adakah rakyat Malaysia berbilang kaum hari ini termasuk kalangan para pemimpin tidak memahami atau sengaja menidakkan perbezaan antara kesamarataan dan keadilan?

Ini kerana kedua-dua konsep tersebut yang nampak sama maksudnya tetapi berbeza gagal dimengerti apabila melihatkan pendirian dan tindakan yang telah dilakukan mutakhir ini.

Akibatnya, berlakulah ketidakadilan pada ketika kesamarataan terlalu diberi penekanan yang seterusnya menyebabkan sebelah pihak semakin “memendam rasa” manakala sebelah pihak lagi seperti “naik lemak”.

Adakah pemberian tanah ribuan ekar dan peruntukan beratus ribu ringgit untuk tujuan penempatan, pendidikan dan kebudayaan kepada bukan Melayu seperti yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Perak dan Kedah itu benar-benar adil kepada orang Melayu sebagai kaum dominan yang masih banyak perlu diberi perhatian di negara ini?

Perlu ditegaskan, kesamarataan (equality) tidak semestinya membawa keadilan (equity). Apatahlagi dalam konteks negara ini yang rupa bentuk bangsa Malaysia dan perpaduannya begitu rapuh kerana kaum Cina dan India masih kuat dicengkam rasa perkauman sedangkan orang Melayu pula terlalu banyak bertolak-ansur.

Walaupun dalam Fasal (8) Perkara 1 Perlembagaan Malaysia menyatakan semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang tetapi itu bukanlah tiket untuk pihak tertentu yang anti-nasionalisme sebaliknya kuat cauvinismenya mengeksploitasi peruntukan itu demi kepentingan politik kepartian masing-masing.

Kedudukan bahasa kebangsaan (Perkara 152), agama persekutuan (Perkara 3) serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153) yang merupakan sebahagian daripada antara unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan negara ini tidak wajar sewenang-wenangnya ”dikaji semula” dengan tujuan menghapuskannya atas alasan mahu mewujudkan kesamarataan dengan kelompok etnik lain.

Apa yang berlaku di seberang Tambak Johor wajar diteladani agar virus ”pisang berbuah dua kali” tidak merebak ke negara ini. Jika diteliti senarai menteri kabinet Singapura didapati hanya seorang sahaja menteri Kabinet Melayu iaitu Yaacob Ibrahim daripada kira-kira 20 portfolio yang ada manakala etnik India Singapura yang merupakan kelompok ketiga terbesar mempunyai 4 orang menteri.

Adakah itu adil kepada etnik Melayu sebagai penduduk asal dan kelompok kedua terbesar di republik itu sedangkan jumlah dan kedudukan portfolio yang dipegang oleh menteri berketurunan India pun mengatasi Melayu?

Malah, penekanan melampau akan konsep kesamarataan turut mengheret kepada ketidakadilan yang seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati orang Melayu sebagai penduduk asal kawasan yang dikategorikan Dunia Melayu (Malay Archipelago) ini.

Ini dapat dilihat daripada keluhan seorang pembaca akhbar Berita Harian Singapura (3 September 2008) yang khuatir melihatkan semakin banyaknya papan tanda dan siaran TV berbahasa Inggeris dan Mandarin serta ramai pegawai tinggi pemerintah di negaranya kini yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu.

Tidakkah keadaan tersebut telah atau bakal menimpa negara ini pula jika peralihan kerajaan baru yang diuar-uarkan pada 16 September menjadi kenyataan akibat tidak faham akan perbezaan konsep kesamarataan dan keadilan?

Akhbar Sin Chew Daily keluaran 2 September lalu melaporkan Lim Kit Siang bakal mencipta sejarah sebagai orang Cina pertama menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat memerintah.

Apa ertinya laporan tersebut jika bukan berbau perkauman Cina? Adilkah jawatan Timbalan Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu di dalam sebuah negara yang memiliki lebih 65 peratus kaum Melayu dan Bumiputera?

Tuntutan dan desakan yang semakin kuat hari ini seolah-olah menggambarkan orang Cina dan India ditindas serba-serbi selama kedatangan keturunan mereka ke tanah air ini sejak kurun ke-19 lalu yang kemudiannya dengan mudah memperoleh kerakyatan negara ini ketika di ambang kemerdekaan seterusnya hidup selesa sehingga hari ini.

Oleh itu, pemahaman dan tafsiran semua pihak berhubung konsep kesamarataan dan keadilan mestilah jelas. Pemimpin-pemimpin Melayu sama ada dari UMNO/BN, PAS dan PKR malah DAP mesti berhati-hati dalam strategi dan tindakan politik mereka agar tidak membawa bala kepada generasi bangsa Melayu kita sendiri kemudian hari.

Pendek kata, keadilan itu adalah setiap orang dapat apa yang sepatutnya dia dapat bukannya mesti sama banyak atau mesti ada sama seperti orang Melayu/Bumiputera miliki.

Dalam masa yang sama, prinsip keadilan dan kesamarataan yang diamalkan oleh masyarakat dan pemimpin Melayu bermula dari zaman kesultanan kerajaan-kerajaan negeri Melayu selama ini mesti dicontohi oleh orang bukan Melayu jika mereka tahu sedar diri akan di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Wednesday, April 15, 2009

"Bahasa Melayu Pupuk Perpaduan"

MENURUT J S Furnivall, akibat penjajahan pola masyarakat terdiri daripada masyarakat majmuk sebagai 'bahagian yang berlainan dalam komuniti hidup sebelah-menyebelah tetapi berasingan di dalam unit politik yang sama'.

Oleh itu, wujud banyak faktor perbezaan atau pengasingan antara kaum iaitu dari segi bentuk zahir atas sebab sifat semula jadi serta ciri dan norma kebudayaan yang berlainan. Malah, kaum yang berbeza latar budaya ini juga dipisah-pisahkan oleh faktor kediaman. Umum tahu siapa yang mendominasi kawasan bandar dan siapa pula majoriti di luar bandar.

Akibatnya, interaksi dan integrasi kaum menjadi terhad sebaliknya perasaan perkauman pula semakin meningkat akibat duduk terikat dalam kepompong kaum. Wujud kecenderungan perkauman dalam bidang pendidikan, politik, ekonomi malah hal berkaitan budaya popular atau hiburan sekalipun.

Jadi, dengan pelbagai kerencaman identiti kaum di negara ini. Bagaimanakah untuk kita sebagai rakyat mewujudkan perpaduan tulen atas semangat Satu Malaysia seperti yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan terletak kepada peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan milik semua kaum di negara ini.

Namun, sejak akhir-akhir ini wujud kecenderungan mengambil bahasa Inggeris dan nilai budaya Barat pula sebagai alat bagi tujuan komunikasi dan asas untuk dikatakan mewujudkan perpaduan.

Adakah situasi ini menjamin perpaduan tulen Satu Malaysia yang kita idamkan? Tentu sekali tidak kerana tindakan itu hanya lebih menjurus kepada pengasingan mengikut kelas sosial dan perpecahan bangsa.

Ini memandangkan perpaduan melalui kepelbagaian bahasa dengan dominasi bahasa Inggeris yang kian menjadi-jadi mutakhir ini adalah berbahaya kerana hanya akan membenarkan kemasukan nilai kebudayaan Barat.

Oleh sebab itu, adalah ditegaskan bahasa kebangsaan penting diberi penekanan sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan. Disedakan Oleh: Mohd Arif Atan

Friday, April 10, 2009

"Satu Malaysia"

Usai sahaja perhimpunan Agong UMNO seminggu yang lepas, negara telah melahirkan PM yang keenam iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak, benarlah kata orang, "Bapa borek, anak rintik", Najib telah menuruti langkah bapanya menjadi orang nombor 1 negara.

Sebagai rakyat Malaysia , BCMM mengucapkan tahniah kepada Najib selaku PM malaysia keenam. Namum apa yang menjadi persoalan di sini, mampukah Najib mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan, seperti yang dilakukan oleh bapanya Tun Razak, Najib tampil selaku PM dengan idealogi baru iaitu "Satu Malaysia".

Selepas mengangkat sumpah selaku PM pada hari jumaat (03/04) yang lepas, diikuti pengumuman kabinet baru semalam (09/04), maka bermulalah dasar dan misi Najib dalam mentadbir negara. BCMM mengharapkan agar apa yang dikatakan Najib dapat dikotakan dengan berjaya, seterusnya menjadikan Malaysia muncul sebagai negara maju menjelang 2020 tanpa menghapuskan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam, Melayu, dan berbilang kaum.....

Di sini BCMM lampirkan ucapan Najib sewaktu mengumumkan barisan kabinetnya:-

“ terlebih dahulu saya mengucapkan rasa syukur dan sukacita kerana dapat bersama saudara dan saudari pada petang yang bersejarah ini bagi mengumumkan keputusan pembentukan Kabinet baru.”

KABINET BARU, KEUTAMAAN BARU

“Mutakhir ini, saya telah banyak bertukar pendapat dengan pelbagai lapisan masyarakat dan rakyat di pelbagai kedudukan untuk mendengar keluh kesah, pandangan serta kehendak mereka yang mendambakan pembaharuan juga perubahan. Mesej yang jelas, adalah mereka inginkan sebuah kerajaan yang responsif terhadap keperluan rakyat hari ini, dalam masa yang sama bersiap siaga menumpah khidmat kepada generasi mendatang.”

“Alhamdulillah, saya berasa gembira kerana telah memilih 28 orang pemimpin bagi membentuk Kabinet baru. Mereka telah menyatakan semangat dan kesungguhan untuk berbakti. Justeru, saya yakin kesemua mereka berkongsi iltizam yang padu bagi memacu negara ke arah kecemerlangan. Inilah saf dan pasukan yang kita harapkan menjadi cerminan kekuatan serta wajah kemajmukan Malaysia melalui Barisan Nasional, yang mewakili semua rakyat dari setiap penjuru dan pelosok … Satu Malaysia.”

“Selanjutnya, apa yang paling mustahak berkaitan Kabinet baru ini adalah prinsip-prinsip dikongsi bersama yang akan dipamerkan melalui”:

I. Nilai integriti dan piawai/standard yang tinggi untuk mengekalkan kepercayaan rakyat.

II. Bakat dan kebolehan yang sangat diperlukan dalam menempuh saat-saat yang amat mencabar kontemporari ini.

III. Ketaatsetiaan dan kepatuhan kepada parti, kerajaan terutamanya kepada tanah air.

IV. Kebersungguhan dan bersemangat tinggi demi membina sebuah negara yang berdaya saing menempuh abad baru.

Sehubungan yang demikian, kita akan terus berusaha membina sebuah kerajaan untuk semua rakyat. Kerajaan yang akan berbakti untuk memenuhi keperluan rakyat dengan jalan:

I. Memperbaharui ekonomi negara untuk menangani kesan kemelesetan ekonomi global serta mencipta penyelesaian apabila mendepani cabaran perubahan struktur yang akhirnya berupaya menonjolkan potensi sebenar kita.

II. Membangunkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan diperkukuhkan atas dasar kepercayaan serta sikap saling hormat menghormati.

III. Membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan sebenar untuk semua.

IV. Memperkasakan sistem pendidikan nasional.

V. Melibatkan setiap rakyat Malaysia dalam proses politik negara dan melebarkan wacana nasional.”

PENDEKATAN BARU DALAM PENTADBIRAN KERAJAAN

Sesungguhnya, Kabinet baru ini bukan sahaja merupakan satu pasukan baru dengan wajah baru, malah ia sebenarnya satu penyusunan semula peranan dan portfolio. Kabinet ini turut menjadi tanda kepada satu pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta berfokus mendahulukan rakyat.

Untuk maksud tersebut, saya akan memulakan usaha ini dengan memperkenalkan satu paradigma yang akan memacu prestasi dan pencapaian. Kita akan menggunakan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators) secara menyeluruh.

Petunjuk tersebut akan menekankan impak, bukannya input; hasil, bukannya output dan akan memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi (value for money). Petunjuk tersebut akan mencerminkan keutamaan strategik negara dan akan dipantau oleh sebuah unit baru yang akan dipimpin oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi merealisasikan hal ini, saya mahukan agar para Menteri serta pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam dipertanggungjawabkan terhadap pencapaian masing-masing bersandarkan petunjuk prestasi tersebut. Manakala setiap Timbalan Menteri berjumlah 40 orang semuanya akan diberi ruang tugas yang khusus.

Saya akan mengarahkan setiap Menteri untuk menyediakan KPI yang jelas merangkumi perincian tanggungjawab berkaitan tugas mereka serta timbalan masing-masing dalam masa 30 hari dari sekarang. Inilah hasrat besar saya meletakkan matlamat sedemikian supaya Kabinet baru ini benar-benar menggalas tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh rakyat.

Dengan dibantu oleh Menteri yang berkaitan, saya akan memantau pengurusan petunjuk prestasi agar ia berjalan dengan lancar. Seterusnya untuk makluman semua, saya akan terlibat secara peribadi dan langsung untuk mengkaji prestasi semua Menteri pada setiap enam bulan. Maka, bila mana prestasi didapati tidak memenuhi piawai, saya dan Menteri berkenaan serta penjawat awam yang berkaitan akan merungkaikan sebarang halangan yang menyekat prestasi mereka itu. Sememangnya pun inilah pendekatan saya sejak dulu lagi dalam mencapai transformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi.

Apa yang paling mustahak ialah saya mahu memastikan agar struktur kerajaan akan memenuhi keperluan rakyat sebaik-baik mungkin. Ia juga sebagai sebuah kerajaan yang diperkemas kini khusus bagi memastikan penyampaian khidmat awam yang lebih berkesan seiring dengan tuntutan zaman baru serba mencabar ini.

Oleh itu, saya telah memutuskan untuk mengurangkan bilangan kementerian dalam Kabinet baru ini. Dua kementerian telah dibubarkan dan fungsi mereka diserap oleh kementerian lain yang sedia ada.

Sebuah kementerian yang dinamakan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah ditubuhkan dengan mandat memajukan konsep pembangunan mapan serta pengamalan teknologi hijau.

Saya juga telah melantik seorang Menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan di Jabatan Perdana Menteri sekali gus turut bertanggungjawab bagi pengurusan prestasi. Portfolio baru ini akan mengamalkan pendekatan yang kreatif ke arah pembentukan perpaduan nasional bersesuaian dengan konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan.

Di atas segalanya, pemulihan ekonomi serta pembinaan kemakmuran jangka panjang menjadi keutamaan tertinggi bagi kerajaan baru ini. Oleh itu saya akan menerajui usaha mulia ini demi memperbaharui ekonomi negara dengan bantuan sebuah pasukan yang terbukti berpengalaman untuk bekerja demi Malaysia.

Usaha pembaharuan ekonomi ini akan melibatkan penubuhan sebuah Majlis Penasihat Ekonomi yang akan melaporkan terus kepada saya. Majlis ini akan memberikan khidmat nasihat pakar yang bersifat bebas dan objektif mengharungi suasana ekonomi yang cukup mencabar dan berusaha membina asas sebuah ekonomi berpaksikan inovasi. Jawatan kepada Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi ini adalah bertaraf Menteri.

Selain itu, bagi memastikan agar aset terpenting negara iaitu modal insan terus dimanfaatkan sebaik-baiknya, Timbalan Perdana Menteri diamanahkan memimpin sebuah pasukan yang akan menumpukan usaha ke arah menggilap potensi dan menyerlahkan bakat yang ada di negara kita.

Saya amat yakin dan percaya bahawa usaha pembaharuan negara perlu bermula dengan pembaharuan kerajaan; sebuah Jemaah Menteri yang baru, dengan tanggungjawab yang baru serta struktur yang baru.

Pesanan saya kepada Jemaah Menteri yang baru dilantik; beringatlah bahawa rakyat mengharapkan agar kita bekerja tanpa jemu, sentiasa mendengar rintihan mereka dan terus bekerja tanpa henti demi komitmen kita terhadap Satu Malaysia. Begitulah juga bahawa kita telah diberi penghormatan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara, lantas kita seharusnya menerima penghormatan tersebut dengan penuh rasa rendah diri dan dedikasi.

Kepada para pegawai perkhidmatan awam Malaysia yang cemerlang, nyatanya khidmat saudara/saudari sangat dihargai dan amat penting bagi kemakmuran jangka panjang negara. Kerajaan baru ini akan meletakkan keperluan yang bertuntutan tinggi dan penuh komitmen terhadap jawatan yang disandang. Lantaran kami meminta saudara dan saudari semua bersama kami; melengkapi komitmen kami untuk bekerja dan berganding mencurahkan sepenuh tenaga kepada rakyat.

Kepada rakyat Malaysia, terimalah cabaran saya… terutamanya golongan muda... untuk bersama-sama memadu tenaga ke arah pembaharuan negara.

Kita harus memahami bahawa era kerajaan yang bertindak mengawal secara keterlaluan dan mengamalkan sikap ‘kerajaan lebih mengetahui’ (government knows best) sudah berlalu. Kita akan hanya mampu mencapai cita-cita untuk Malaysia apabila kerajaan serta rakyat bersama-sama bersatu tenaga membina sebuah negara yang aman makmur.

Hakikatnya, kita masih berhadapan dengan banyak halangan. Akan tetapi saya sentiasa percaya bahawa tiada masalah yang wujud di negara ini yang tidak dapat ditangani dengan kehebatan, keupayaan, kemahiran dan bakat yang dimiliki oleh rakyat kita.

Oleh itu, marilah bersama kami. Marilah bersama pasukan bersemangat ini. Bersama kita terokai perjalanan hebat untuk memperbaharui negara tercinta ini hingga menjadi kisah pencapaian yang membanggakan buat kita suatu hari nanti. Insya-Allah..

Sejauh manakah penerimaan rakyat terhadap pentadbiran Najib????-Disediakan Oleh: BCMM-

Monday, April 6, 2009

"Pastikan Kampung Baru kekal hak Melayu"

PELANCARAN projek pembangunan Puncak Baru di Kampung Baru oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilihat akan membawa kemajuan kepada perkampungan Melayu di tengah ibu kota itu.

Niatnya murni untuk pembangunan. Namun adakah setiap ruang di dalam dua menara Puncak Baru, iaitu unit-unit kondominium setinggi 60 tingkat, 40 tingkat unit pejabat dan tiga tingkat ruang beli-belah akan dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu?

Pembinaan Puncak Baru di atas tanah seluas kira-kira 1.5 hektar milik DBKL itu juga dikatakan bakal menjadi pencetus kepada pembangunan keseluruhan Kampung Baru selepas ini.

Namun, adakah pembangunan yang diharapkan itu dapat menjamin hak orang Melayu untuk terus menjadi tuan punya ke atas tanah seluas 96 hektar di kampung warisan Melayu tersebut?

Hakikatnya, orang Melayu telah lama berputih mata apabila proses pembandaran tidak banyak menguntungkan mereka sebaliknya cenderung mengikis hak milik dan penempatan masyarakat Melayu.

Oleh itu, pembangunan di Kampung Baru perlu dirancang dengan teliti agar tidak ubah seperti "menang sorak, kampung tergadai".

Ini bukan soal perkauman sebaliknya berkait rapat dengan prinsip adil iaitu meletakkan sesuatu itu benar pada hak. Memastikan pembangunan di Kampung Baru 'dipulangkan' kepada orang Melayu adalah adil kerana tanah itu adalah milik Melayu bukannya milik orang lain.

Malah, ungkapan popular seperti "demi kepentingan Melayu" tidak akan bermakna jika soal hak milik tanah Melayu gagal dipertahankan. Sebarang rancangan pembangunan membabitkan tanah milik Melayu bukan sahaja di Kampung Baru tetapi di seluruh negara ini harus diusahakan tanpa mengecilkan rizab Melayu.

Pastikan kemajuan yang dibawa membolehkan orang Melayu 'menang sorak' dan juga 'menang hak' apabila kampung serta tanah miliknya sentiasa terpelihara.

Memandangkan Kampung Baru terletak dalam lubuk emas maka tujuan membangunkannya mestilah ikhlas dan bukan hanya memenuhi kehendak kapitalis yang buta akan masa depan bangsa.

Oleh itu, semua pihak daripada kalangan pemimpin politik, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), para pelaksana dasar serta orang perseorangan wajib memastikan pemodenan tidak sama sekali meminggirkan orang Melayu daripada menikmati kemajuan yang diuar-uarkan. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan