Wednesday, September 2, 2009

"Sepakat di Bulan Berkat"

SAMBUTAN ulang tahun kemerdekaan tanah air ke-52 baru beberapa hari sahaja selesai.. Dalam kita sibuk berpolitik dan mengerjakan ibadat puasa, hal berkaitan menjiwai semangat kemerdekaan tidak harus dipinggirkan.

Pemimpin dan penyokong parti politik terutamanya usah taksub dalam menegakkan kepentingan parti semata-mata sehingga sanggup membelakangkan semangat kemerdekaan yang kita sama-sama kecapi selama ini.

Tambahan pula, sambutan kemerdekaan negara tahun ini jatuh dalam bulan Ramadan.

Seharusnya, golongan Melayu yang pro-Pas atau PKR bermuhasabah dan menghormati bulan baik lagi penuh keberkatan itu dengan menyambung kembali tali silaturrahim agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak musuh.

Begitu juga dengan pihak pembangkang bukan Melayu terutama parti DAP usahlah bersikap biadap dengan kerap mengguris luka masyarakat Melayu dan penganut Islam di negara ini.

Atas semangat Satu Malaysia sepatutnya bukan Melayu juga perlu menjiwai semangat bulan Ramadan dengan menghormati masyarakat Melayu dan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat provokatif.

Ini kerana Satu Malaysia bukan hanya menuntut orang Melayu sahaja bertolakansur tetapi dalam masa sama bukan Melayu juga digesa untuk mengamalkan toleransi.

Adakah kepentingan nasional sanggup diketepikan hanya kerana taksub kepada kepentingan diri dan kaum sendiri?

Adakah sikap tersebut dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat kita yang berbilang kaum pada masa akan datang?

Sehubungan itu, renung dan nilai kembali adakah diri terlalu berlebih-lebihan dalam menuntut apa yang dianggap hak kaum sendiri sehingga mengabaikan prinsip kenegaraan dan kesepakatan nasional yang telah dicapai semasa hendak merdeka dahulu.

Sebaliknya, sikap mementingkan diri semata-mata hanyalah 'api dalam sekam' terhadap perpaduan rakyat lebih-lebih lagi dengan menjelangnya usia lebih separuh abad kemerdekaan negara.

Lantaran itu, nilai ekstrem tersebut harus diberi perhatian bagi mengendurkan keegoan kelompok kaum tertentu seterusnya 'melatih' mereka agar lebih sedarkan diri sendiri.

Jika semua pihak dapat berganding bahu dengan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian maka tidaklah berlaku keadaan hangar-bingar hanya kerana menurutkan kepentingan diri atau kehendak sempit parti politik semata-mata. Disediakan Oleh: Arif Atan