Tuesday, October 20, 2009

Dialog budaya 'jambatan' dua negara serumpun

MALAYSIA dan Indonesia adalah negara yang memiliki banyak persamaan dari sudut budaya. Tidak hairanlah baik di Malaysia atau Indonesia ada nama makanan atau nama tempat yang sama. Paling utama ialah teras bahasa yang sama berasaskan bahasa Melayu.

Hakikatnya, sejak dahulu lagi sebelum wujudnya perbezaan entiti berasaskan geo-politik kesan daripada kedatangan penjajah Belanda dan British, kedua-dua negara ini saling memerlukan dan melengkapi satu sama lain.

Justeru, tidak patut wujud tuduhan mendakwa Malaysia sebagai "Malingsia" kerana tuduhan mencuri khazanah budaya Indonesia.

Pelbagai isu yang sengaja diperbesarkan sebelum ini seperti isu batik, buluh runcing, tarian Pendet, pembantu rumah dan Ambalat patut dihentikan.

Sebahagian media Indonesia yang cenderung mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia dengan memainkan isu-isu tersebut perlu kembali kepada etika kewartawanan dan mengutamakan kepentingan jangka panjang hubungan harmoni kedua-dua negara.

Namun, dalam masa yang sama suatu langkah positif melalui media di Malaysia dan Indonesia patut disegerakan.

Dialog Malaysia-Indonesia yang konsisten perlu diadakan dengan kerjasama pemerintah dan media kedua-dua negara. Sebelum ini kita hanya menumpukan hal yang berputar pada kepentingan ekonomi semata-mata.

Sebaliknya, skop dialog perlu dibuka luas meliputi aspek sosial dan kebudayaan. Dalam usaha ini, kerja kuat dituntut daripada badan yang berkaitan penerangan dan hubungan luar negara sama ada di pihak Malaysia dan Indonesia.

Tidak kurang pentingnya aspek perkongsian ilmu, kajian dan penyelidikan di kalangan sarjana serta program pertukaran pelajar antara universiti di Malaysia dan Indonesia. Sejauh mana proses tersebut berlangsung dan paling penting impaknya dalam membantu memberi kefahaman budaya antara rakyat kedua-dua negara?

Ini kerana mutakhir ini, sebahagian universiti di Malaysia juga dilihat 'menjauhkan diri' daripada jirannya di seberang Selat Melaka itu apabila cenderung mahu menjalin hubungan akademik dengan universiti yang jauh-jauh.

Tidak menjadi kesalahan tetapi usah lupa jiran terdekat yang juga mempunyai kelebihan tertentu yang wajar kita kongsi bersama.

Apa pun, paling penting yang harus dilakukan oleh pemerintah Indonesia terutamanya ialah mendisiplinkan media mereka.

Media Indonesia mesti 'diajar' untuk menghormati negara lain apatah lagi Malaysia yang serumpun sama budaya dan sama warna kulit dengan mereka. Tidak keterlaluan dikatakan, mereka harus sedar tentu ada rakan atau saudara-mara mereka juga sedang mencari rezeki malah beranak-pinak hidup aman di Malaysia.

Oleh itu, demi kepentingan jangka panjang dari aspek sosial dan budaya Malaysia-Indonesia, dialog sihat melibatkan pelbagai pihak perlu segera dan giat dilakukan agar yang kusut dapat dileraikan dan yang berprasangka dapat dimesrakan. Disediakan oleh: Mohd Arif Atan

Tuesday, October 6, 2009

Kita penentu hala tuju bahasa Melayu

RUANGAN Bisik-bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam mengemukakan isu ke manakah hala tuju bahasa Melayu.

Pelbagai forum, seminar dan persidangan mengenai bahasa Melayu telah diadakan bagi membincangkan untung rugi bahasa ini.

Terbaharu, Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bahru minggu lalu.

Namun, nasib bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan negara ini masih begitu juga. Malah, dilihat semakin goyah.

Meskipun dipanggil bahasa Malaysia tetapi sebahagian besar rakyat negara ini masih menganggap bahasa itu milik orang Melayu sahaja.

Buktinya, apabila perbualan melibatkan orang Melayu dengan bukan Melayu atau sesama orang bukan Melayu, ia kerap berlaku dalam bahasa Inggeris.

Mengapa hal ini terjadi walhal bahasa Inggeris bukan milik kaum Cina atau India di negara ini?

Dalam masa yang sama, lihatlah juga kain rentang mengenai kegiatan anjuran pertubuhan atau badan bukan kerajaan termasuklah di universiti-universiti serta sesetengah parti komponen Barisan Nasional sendiri.

Jarang benar sekarang kita lihat iklan atau kenyataan dalam bahasa Mandarin atau Tamil memiliki terjemahan bahasa kebangsaan di atasnya. Lihat sahaja logo parti Makkal Sakhti.

Hakikatnya, kita sendiri iaitu 27 juta rakyat Malaysia sebenarnya yang menentukan hala tuju bahasa Melayu pada masa depan.

Kita harus rasa 'berdosa' jika sewenang-wenangnya mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan kehidupan hari.

Hanya dengan itulah kerisauan mengenai masa depan bahasa Melayu dapat diatasi.

Selagi wujud rasa rendah diri apabila menggunakan bahasa Melayu selagi itulah pemikiran kita masih belum merdeka sepenuhnya.

Ini kerana sikap, tindakan atau keputusan yang meminggirkan bahasa kebangsaan samalah seperti kita 'memenggal kepala' bangsa Malaysia kita sendiri.

Sebaliknya, segenap lapisan kaum negara ini perlu memiliki jiwa besar dalam mengutamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, komunikasi, pentadbiran, penyiaran, percetakan dan dalam urusan berkaitan hubungan diplomatik.

Semua pihak harus berusaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa bagi merealisasikan hasrat murni Satu Malaysia. Disediakan oleh: Mohd Arif Atan

Aidilfitri platform perkenal citra budaya Malaysia

PADA 27 September lalu berlangsung Pesta Tanglung Antarabangsa di bangunan Komtar, Pulau Pinang. Ia melibatkan penyertaan dari seluruh dunia termasuk Taiwan, China dan juga Brunei.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengumumkan untuk menjadikan Pesta Tanglung itu sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negara. Ia melibatkan peruntukan RM250,000 setahun kepada Kementerian Pelancongan.

Ia bertujuan memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dan menarik pelancong asing ke negara ini.

Namun dalam masa yang sama seharusnya dianjurkan Pesta Aidilfitri peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Pesta Tanglung yang disambut oleh masyarakat Cina di negara ini. Ia wajar diadakan berdasarkan beberapa aspek yang perlu diberi perhatian.

Pertama, perpaduan akan tercapai apabila segala bentuk kebudayaan kaum majoriti dapat dikongsi bersama kaum-kaum lain.

Aktiviti rumah terbuka peringkat kebangsaan bagi setiap perayaan termasuklah Aidilfitri dilihat belum mencukupi kerana hanya menonjolkan satu bentuk kebudayaan iaitu aspek makanan sahaja.

Sebaliknya, melalui Pesta Aidilfitri Kebangsaan, seluruh bentuk kebudayaan Melayu dapat diketengahkan. Ia termasuk daripada segi makanan, seni muzik, tarian, busana, permainan rakyat, seni tampak seperti ukiran dan anyaman serta seni berbahasa termasuk pantun, syair, gurindam dan seloka.

Dengan adanya acara mega seperti Pesta Aidilfitri Antarabangsa, seluruh negara serantau dan negara-negara Islam dapat dihimpunkan bagi menonjolkan kehebatan kebudayaan Melayu dan Islam di persada dunia.

Ini penting bagi memupuk perpaduan sebenar iaitu apabila golongan minoriti dapat menyesuaikan diri serta menerima secara terbuka malah lebih baik lagi mengamalkan kebudayaan kaum majoriti.

Dengan cara ini, barulah hasrat Satu Malaysia akan tercapai apabila kita melihat semua lapisan rakyat negara ini tanpa mengira warna kulit dan agama meraikan perayaan Aidilfitri.

Pesta Aidilfitri Antarabangsa juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan secara tepat akan identiti dan jati diri negara Malaysia sebenar seterusnya menarik lebih ramai pelancong asing.

Anggapan pihak luar yang tidak jelas akan "siapa" Malaysia seperti menganggap tanah air ini adalah sebuah negara diaspora bangsa lain, dapat dihakis apabila kita dapat menguar-uarkan bentuk kebudayaan induk atau teras negara ini.

Dengan ini, barulah pelancong asing khususnya dari negara kulit putih yang cenderung mahu menikmati keaslian budaya milik sesebuah negara akan teruja untuk bertandang ke negara kita selain Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Malah 'kesilapan' Discovery Channel yang telah memaparkan babak tarian Pendet dengan mengaitkannya dengan Malaysia dapat dielakkan pada masa akan datang apabila stesen penyiaran antarabangsa benar-benar faham akan identiti kebudayaan teras negara ini.

Menyedari banyak kebaikan yang diperoleh daripada penganjuran Pesta Aidilfitri peringkat kebangsaan dan antarabangsa ini maka kerajaan termasuklah semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta seharusnya segera berganding bahu menjayakan kewujudan acara mega tersebut, sebaik-baiknya bermula tahun depan. Disediakan oleh: Mohd Arif Atan