Wednesday, December 31, 2008

"Bahasa Melayu kian pudar"

BAHASA Melayu atau juga dipanggil bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan negara ini, yang menjadi milik kita semua. Namun, bagaimanakah tahap kebolehan berbahasa kebangsaan generasi muda dalam tempoh sepuluh tahun akan datang?. Adakah dasar dan sistem pendidikan yang diamalkan kini menjamin setiap rakyat menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa komunikasi, bahasa ilmu, bahasa perpaduan seterusnya sebagai bahasa antarabangsa selari dengan situasi globalisasi yang juga peluang untuk kita mengetengahkan bahasa milik kita juga?Kini, wujud kecenderungan banyak pihak yang tidak lagi sedar di mana bumi yang dipijak dan di mana langit dijunjung apabila meremehkan bahasa Malaysia sebaliknya bahasa asing pula dipuja-puja. Paling ketara bahasa Inggeris digunakan secara meluas tanpa batasan biarpun peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Melihat dari segi singkatan nama agensi kerajaan atau kementerian termasuklah paparan bahasa yang mula-mula tertera dalam laman web organisasi masing-masing, adakah bahasa kebangsaan bukan lagi bahasa rasmi negara ini?Akibat bahasa Malaysia mulai diabaikan sebagai bahasa pengantar ilmu utama sejak 2003, ada pula pihak mengambil kesempatan menonjolkan bahasa Mandarin dan Tamil. Akhirnya, ketika bahasa Malaysia ‘diturun taraf’, kedua-dua bahasa itu pula mula ‘dinaik taraf’ apabila diajar di sekolah kebangsaan walaupun sekolah jenis Cina dan Tamil masih kekal bahkan ditingkatkan jumlah dan bantuan modal terhadapnya. Selain itu, pihak lain pula ghairah mengambil bahasa Arab sehingga tidak kena tempat walaupun sudah ada padanan kata tepat dalam bahasa kebangsaan. Sebelum ini, pernah ‘kecoh’ sama ada mahu menggunakan kata muqabalah atau muzakarah sedangkan kata perbincangan, mesyuarat atau perbahasan sedia ada untuk menerangkan maksud mereka. Hakikatnya, bahasa Malaysia semakin terhakis fungsi dan ‘daulatnya’. Disediakan Oleh: Arif Atan

Thursday, December 25, 2008

"Episod Kejatuhan Bahasa Kebangsaan"

Sebagai satu ringkasan sejarah, (Menurut Zainal Abidin bin Abdul Wahid) sebelum perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, perkembangan pendidikan aliran Melayu dan bahasa Melayu mendapat perhatian, terutamanya dari Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti-parti politik Melayu lain serta sekumpulan kecil golongan terpelajar Melayu. Antara lain, usaha KPGMS untuk mewujudkan suatu Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Malaya semasa di Singapura lagi, desakan menubuhkan pendidikan menengah aliran Melayu, Laporan Barnes, Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran 1957 merupakan contoh hasil perjuagan mereka.

Apabila Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 31 Ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) menyatakan dalam Perkara 152 bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Inggeris juga diberi taraf rasmi untuk tempoh 10 tahun selepas merdeka. Selepas 10 tahun kedudukannya akan dikaji semula oleh Parlimen. Mengikut Laporan Suruhanjaya Read terhadap anggitan atau draf perlembagaan itu, taraf rasmi bahasa Inggeris itu hendaklah digugurkan sesudah 10 tahun. Tetapi pada tahun 1967, Kerajaan Perikatan yang dianggotai oleh UMNO-MCA-MIC telah tidak menghapuskan taraf rasmi bahasa Inggeris di dalam Perlembagaan. Kerajaan Perikatan mengambil langkah yang lain, iaitu mengadakan akta Bahasa kebangsaan 1967 yang mengkehendaki semua kegiatan rasmi dikendalikan dalam bahasa Melayu kecuali dalam sembilan bidang tertentu yang telah disenaraikan.

Perkembangan bahasa Melayu dan pendidikan aliran Melayu selepas Merdeka hingga ke Peristiwa 13 Mei 1969 tidaklah begitu memuaskan. Misalnya, dalam tempoh tersebut, nilai ekonomi bahasa Melayu jatuh dan pendidikan aliran Inggeris Berkembang 300% lebih pesat daripada pendidikan aliran kebangsaan atau Melayu. Kebanyakan orang Melayu berasa tidak puas hati tentang nasib buruk bahasa dan pendidikan aliran Melayu ini dan ia menjadi salah satu sebab utama yang telah mencetuskan Tragedi 13 Mei itu.

Selepas peristiwa 13 Mei, Kerajaan Perikatan telah melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK), dan Dasar Pelajaran Kebangsaan, yang kemudiannya dinamakan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) dengan tegas, Kerajan Perikatan dan parti-parti politik Pembangkang, kecuali Parti Tindakan Demokratik (DAP), berpendapat bahawa peranan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan adalah mustahak bagi ketenteraman dan keamanan negara. Oleh itu, perlaksanan penggunaannya hendaklah dijalankan dengan giat dan penuh iltizam.

Keinsafan Kerajaan Perikatan ini jelma misalnya dalam penukaran pendidikan aliran Inggeris ke aliran kebangsaan, ketegasan dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Dengan tujuan hendak mewujudkan perpaduan kebangsaan dan membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai jati dirinya yang tersendiri, maka Kerajaan perikatan telah mengadakan satu Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971. kongres ini telah menghasilkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). DKK menyatakan bahawa, antara lain, kebudayaan kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan bumiputera. Salah satu unsur penting kebudayaan bumiputera ialah bahasa Melayu.

Pelaksanaan DBK, DPK dan DKK berjalan dengan agak baik sehingga ke akhir 1980-an. Pendidikan aliran Melayu berkembang dengan memuaskan. Sains dan teknologi dikuliahkan dalam bahasa Melayu. Di Universiti kebangsaan Malaysia, misalnya tesis Doktor Falsafah pun ditulis dalam bahasa Melayu. Warganegara Malaysia daripada pelbagai keturunan menggunakan bahasa kebangsaan, kebanyakannya dengan baik.

Tetapi keadaan mula berubah pada awal 1990-an terutama selepas Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan syarahannya ”The Way Forward” atau lebih dikenali sebagai ”Wawasan 2020” pada bulan Februari 1991. salah satu daripada matlamat Wawasan 2020 ialah hendak menjadikan Malaysia Sebagai sebuah negara maju ”mengikut acuan kita sendiri” pada tahun 2020.

Nampaknya Dr. Mahathir meragukan kemampuan bahasa Melayu untuk mencapai matlamat Wawasan 2020. Beliau juga telah menyatakan ketidakpuasan hatinya tentang kelemahan berbahasa Inggeris di kalangan beberapa diplomat Malaysia. Dr. Mahathir mencadangkan supaya bahasa pengantar di peringkat universiti ditukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Pada bulan Disember 1993, Jemaah Menteri atau Kabinet Malaysia pada waktu itu telah membuat keputusan supaya bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi beberapa kursus sains dan teknologi di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Pada masa itu Dr. Mahathir dan beberapa menteri lain membuat kenyataan mengagung-agungkan peri pentingnya bahasa Inggeris, seolah-olah tanpa bahasa Inggeris Malaysia tidak akan dapat menjadi negara maju pada tahun 2020. Ini adalah satu anggapan yang salah. Filipina yang menggunakan bahasa Inggeris dengan meluas tidak dianggap sebagai negara maju. Jepun dan Korea yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam sistem pendidikannya, maju dalam bidang sains dan teknologi. Yang lebih mendukacitakan ialah kenyataan Dr. Mahathir dan pemimpin-peminpin lain pada waktu itu dianggap oleh sesetengan pihak sebagai ’lampu hijau’ kepada penggunaan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang beraliran Inggeris berkembang dengan pesatnya.

Keputusan Kabinet tentang penukaran bahasa pengatar pada akhir 1993 itu disusuli pula dengan rancangan Kementerian Pendidikan hendak mengemukakan Rang Undang-Udang baru berkenaan dengan pendidikan ke Parlimen bagi menggantikan Akta pelajaran 1961. Pada 11 Mei 1995, setelah Y.B. Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri pendidikan, belum pun Rang Undang-undang baru itu dikemukakan ke Parlimen Najib telah membenarkan IPTA menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi beberapa kursus sains dan teknologi, sebagaimana yang dilaporkan dalam New Sunday Times, 9 Julai 1995. kebenaran ini sebenarnya amat bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan lebih-lebih lagi dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Di sinilah dilihat bermulanya episod hitam pencabulan bahasa Kebangsaan apabila pendewaan bahasa Inggeris mengatasi kekebalan undang-undang dan perlembagaan negara. Disediakan Oleh: Mohd Syuhaidi

Monday, December 22, 2008

"PPSMI: Lakukan segera pungutan suara!"

Seminar anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) bersama-sama beberapa persatuan seniman dan penulis kawasan pantai timur di Kota Bharu pada Sabtu lalu telah membuat ketetapan tegas berhubung dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Penulis turut berada di sana bagi mendapatkan gambaran sebenar yang jelas berhubung ketegasan pihak yang menolak dasar berkenaan daripada diteruskan.

‘Amaran’ keras telah dibuat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran lantaran bercanggah dengan semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan polemik mengenai dasar yang telah berjalan selama enam tahun itu masih berpanjangan, ada baiknya satu tindakan yang adil segera dilakukan oleh pihak kerajaan.

Apatah lagi pihak yang menolak PPSMI bukannya sebarang orang. Mereka terdiri daripada golongan cendekiawan, pensyarah universiti berpendidikan dalam dan luar negara, pakar pendidikan, budayawan, mahasiswa termasuk para guru sebagai pelaksana dasar berkenaan. Tentunya kelompok modal insan ini mempunyai pandangan dan justifikasi masing-masing terhadap kewajaran PPSMI yang tidak harus diketepikan.

Malah, Persidangan Meja Bulat pada 16 Disember lalu yang telah menggariskan tujuh pilihan sebelum ini juga masih belum diberi kata putus sedangkan penggal persekolahan kian hampir. Oleh sebab itu, adalah lebih molek jika suatu pungutan suara atau referendum dilakukan bagi mendapat maklum balas seluruh rakyat Malaysia berhubung baik buruk pelaksanaan PPSMI.

Dalam hal ini, jasa baik pihak Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) perlu dipinta untuk tujuan tersebut bagi memastikan mekanisme kaedah dan hasil pungutan suara tersebut telus agar tidak dieksploitasi mana-mana pihak. Pungutan suara bukan suatu yang janggal dipraktikkan. Semasa ura-ura penubuhan Malaysia misalnya, langkah yang sama turut telah dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963 yang kemudian ditukar menjadi Persekutuan Malaysia adalah hasil daripada pungutan suara.

Dalam politik antarabangsa juga, terbaharu suatu referendum berhubung tempoh penggal pemerintahan Presiden Hugo Chavez telah pun diluluskan oleh Dewan Kebangsaan Venezuela pada 18 Disember lalu. Tanpa permuafakatan, berfikiran terbuka dan mengambil kira pendapat semua pihak seperti yang dapat dilihat terkandung dalam referendum, perasaan tidak puas hati kalangan rakyat pasti akan meninggi.

Parti politik pembangkang pula semestinya akan mengambil kesempatan atas isu ini walaupun mereka juga telah menolak cadangan sekolah satu aliran yang tujuan murninya untuk membentuk perpaduan nasional. Memang apa jua keputusan yang akan diambil hasil daripada referendum itu akan mendapat bantahan atau menerima pendapat pro dan kontra. Namun, sekurang-kurangnya rakyat tanah air ini telah diberi peluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing melalui referendum sebelum kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan atau membatalkan PPSMI.

Hakikatnya, pungutan suara untuk PPSMI adalah langkah terdekat yang wajar dilaksanakan sebelum Kementerian Pelajaran bertekad membuat sebarang keputusan. Dikhuatiri, tanpa kerajaan melakukan pungutan suara berhubung pelaksanaan PPSMI akan mengocak rasa tidak puas hati rakyat sehingga diterjemahkan dalam pilihan raya umum akan datang. Adakah kerajaan pemerintah hari ini mahu keadaan tersebut terjadi? Disediakan oleh: Arif Atan

Friday, December 19, 2008

"Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Universiti Malaya"


PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENGAJIAN MELAYU kali ke-4, yang berlangsung selama dua hari bermula 16-17 Disember lepas telahpun melabuh tirainya. Secara keseluruhannya persidangan tersebut dilihat berjaya. Dengan tema Penyedian Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Melalui TMK(ICT), persidangan ini dirasmikan oleh pengarah Akademi Pengajian Melayu Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan.

Persidangan ini dilihat dapat memantapkan dan mempertingkatkan kedudukan Pengajian Melayu sebagai satu disiplin ilmu yang berupaya untuk menongkah arus yang kian deras dalam memghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk penguasaan dan pemerolehan dalam bidang Pengajian Melayu. Lebih-lebih lagi dalam dunia globalisasi yang didominasi oleh medium teknologi maklumat (TMK).

Persidangan ini juga dapat meningkatkan pengetahuan tentang kaedah, teknik dan strategi dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Melayu serta menigkatkan kepakaran dalam golongan sasar. Keseluruhannya Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu ini dapat menyebarkan imput dalam usaha untuk memantapkan serta memartabatkan kedudukan Pengajian Melayu sebagai pengajian Bahasa Kebangsaan.

Menurut Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, ”TMK boleh memainkan peranan yang penting disamping memberi kesan kepada manusia. Penggunaan TMK dapat berperanan sebagai alat yang merakamkan masa lalu, masa kini dan masa akan datang. Sebagai contoh usaha pendokumentasian segala aspek budaya bendawi seperti Keris, Songket dan kain tenun, segala peralatan logam, naskah dan sebagainya lagi yang sudah sedia wujud ratusan atau ribuan tahun dahulu dapat didokumentasikan. Seluruh maklumat dari segi pembuatan, fungsi dan maknanya juga turut dapat didokumentasikan. Melalui TMK, segala khazanah tersebut dapat menghubungkan masa lalu ke masa kini dan kemasa depan. Namun TMK adalah ciptaan yang dicipta oleh manusia, maka TMK adalah sebahagian daripada produk kebudayaan dan ketamadunan. Barangkali dari segi sosiobudaya terdapat kekuatiran bahawa nilai keakuan atau nilai individualiti akan lebih dominan dari nilai kolektif. Barangkali, pencipta teknologi berkenaan dapat memikirkan keterkaitan antara TMK dan nilai kolektif untuk mengurangkan nilai keakuan, lantaran TMK tradisi lebih bersifat kolektif dari individual. Dari sudut yang lain TMK ialah bidang ilmu (Teknological sains) bukan sekadar peralatan atau perkakas oleh keranan manusia menciptanya. Manusia mampu mengawal bidang ilmu ini (TMK) supaya tidak disalah gunakan untuk kepentingan peribadi semata-mata. Dalam konteks pengajian Melayu TMK adalah, bidang ilmu yang melengkapi bidang ilmu pengajian Melayu.”Namun apabila dilihat dari segi peranan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran pula, bermaksud menggunakan TMK secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P. Penggunaan TMK berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran, Memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua murid, Meningkatkan motivasi murid, Membolehkan pembelajaran bersendiri (individualize learning).

Sepanjang persidangan tersebut terdapat 21 kertas kerja berkaitan dengan Pengajian Melayu telah dibentangkan. 8 pembentang dari luar negara manakala 13 pembentang dalam negara. Dengan kehadiran hampir seratus lebih peserta, persidangan ini dilihat mendapat sambutan yang amat luat biasa. Dengan kehadiran tokoh-tokoh besar seperti Pak Tenas Effendi (Indonesia), Prof. Madya Dr. Victor A. Porgadaev (Rusia), Dr. Kim Keum Hyun (Korea), Prof. Madya Dr. Paitonn M. Chaiyanara (Thailand) dan tidak ketinggalan tokoh-tokoh tempatan antaranya Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar, Prof. Dr. Mohamed Mokhtar Abu Hassan, Prof. Dr. Wan Abdul Kadir Wan Yusuf dan ramai lagi. Masing-masing membentangkan kertas kerja barkaitan Pengajian Melayu melalui TMK.

Apa yang diharapkan ialah, dengan adanya persidangan sebegini, ianya akan membuka dimensi pemikiran para pembentang dan juga para peserta untuk sama-sama merintis dan memanfaatkan segala input yang diperolehi dalam tempoh persidangan ini. Kepentingan dan penggunaan serta keperluan TMK dalam dunia kehidupan hari ini yang merentasi sempadan globalisasi tidak dapat dinafikan oleh semua pihak.

Oleh hal yang sedemikian, kesedaran dari semua pihak haruslah digemblengkan untuk merealisasikan segala impian dan harapan. Justerus itu, adalah diharapkan, harapan yang digagaskan oleh negara melahirkan generasi masa depan yang berpengetahuan dan berketrampilan dalam TMK pada alaf baru ini akan dapat menjadi kenyataan, untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang maju.

Sekalung taniah kepada ahli jawatankuasa yang bekerja keras siang dan malam dalam menjayakan persidangan ini. Tidak lupa juga kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Naib Canselor Universiti Malaya, Ybhg. Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, Ketua Pengarah DBP, Bahagian sumber Manusia UM, Unit Keselamatan UM dan Media Massa yang sama-sama menjayakan Persidangan Antarabangsa ini.

Setinggi penghargaan juga kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti malaya. disediakan oleh Mohd Syuhaidi.

"Kementerian buat keputusan PPSMI"

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan membuat satu keputusan rasional berhubung masa depan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Menterinya, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata kementeriannya selama ini banyak memberi ruan, termasuk menganjurkan persidangan meja bulat kepada orang ramai serta pihak terbabit dalam mengemukakan pandangan masing-masing berhubung PPSMI dan pihaknya menghargai setiap perkara dikemukakan. Seterusnya....

Wednesday, December 17, 2008

Pakar Rumus Masa Depan Perlaksanaan PPSMI

TIMBALAN Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (kanan), mempengerusikan Mesyuarat Terbuka Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris di PICC, Putra Jaya, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom. - Foto Izhari Ariffin.

PUTRAJAYA -16 Desember: Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang berakhir di sini semalam, merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI. Seterusnya...

Sunday, December 14, 2008

"Hasilkan Mimpi Ngeri Untuk Mengembalikan PPSMI ke dalam Bahasa Melayu"

3 Disember lepas, Menteri Luar, Dato' Seri Dr Rais Yatim dalam kenyataannya melalui akhbar Utusan Melayu telah membantah langkah kerajaan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Kenyataan ini disambut baik oleh golongan yang telah sekian lama menentang PPSMI ini.

Tidak ketinggalan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam suatu kenyataannya, telah menyokong pendirian Rais itu. Di mana menurut Setiausaha Agung PKPIM Khairul Anwar Shazali berkata “pihaknya turut menggesa agar semua pemimpin Melayu mencontohi ketegasan pendirian Rais itu demi memastikan nasib bahasa kebangsaan tidak pupus ditelan zaman”. Menurutnya lagi "PKPIM akan terus konsisten menyokong usaha Dato' Seri dalam memperkasa bahasa Melayu," . Yang terbaru sedang diusahakan oleh kumpulan anak-anak muda ini ialah bantahan terhadap PPSMI yang dimajukan terus kepada Menteri Pelajaran Hishammuddin Tun Hussein, iaitu melalui Bantahan Maya, seperti lampiran berikut:

Bantahan Maya Kepada: Kementerian Pelajaran Malaysia

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI

Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

PPSMI: Kembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Kami warga Malaysia, yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan kepada peranan Bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa imu dan pendidikan, yang terus berlaku di Malaysia.

Pada 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan bahasa melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.

Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa Melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa "dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama."

Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunapakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam pada itu, pelaksanaan dasar Pengajaran Sains dan Matemaik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara. Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Menurut Seksyen 2, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan, (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan, (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan "Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini."

Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin Melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.

Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.

Untuk memastikan agar kedudukan bahasa Melayu terjamin dalam negara ini dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan, kami menyeru agar kerajaan Malaysia:

a. Mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di semua sekolah rendah kebangsaan dan menengah.

b. Memelihara bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan kaum.

c. Menghormati dan menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang yang ada yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan.

d. Mengekalkan dasar-dasar negara yang menjamin kedaulatan bahasa Melayu yang diwarisi oleh generasi pemimpin terdahulu.

Kami, dengan ikhlas dan tegas, dan penuh rasa tanggungjawab percaya bahawa kemajuan negara akan tetap tecapai walaupun kita mengekalkan bahasa, budaya dan jatidiri kita yang tulin. Perlu disedari bahawa bahasa merupakan jiwa dan cerminan kepada bangsa dan jika tidak dipertahankan akan hilanglah jatidiri bangsa kita sebagai Melayu dan Islam.

Maklumat lanjut, sila layari http://www.pkpim.net/v2/info/petisyen.html

Namun sejauh manakan keberkesanan bantahan yang dibuat ini?, berapa ramaikah yang akan tampil untuk menyokong? Sikap takut dikalangan masyarakat dan pemimpin melayu kini dilihat begitu ketara, apa tidaknya bila bersuara akan dituduh tidak setia, bila menentang dikatakan PERKAUMAN! Inilah yang telah mengunci rapat mulut setiap pemimpin melayu. Sudah terlalu lama kita dengar petisyen demi petisyen (dalam bahasa Melayunya adalah BANTAHAN) dilakukan oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Adakah kita tidak mempunyai gaya lain untuk menentang PPSMI? Mengapa harus mengulangi cara yang sama sedangkan kesanya tidak kemana?

Saya amat tetarik dengan cadangan yang dikemukakan oleh Fahri Abdullah al-Masri melalui artikelnya dalam HarakahDaily.net yang bertarik 06 disember 08. Kita seharusnya berusaha melobi, bertemu, membuat pertemuan demi pertemuan dengan pengerusi PIBG di sekolah-sekolah seluruh negara untuk mendapatkan sokongan yang kuat bagi membantah PPSMI. Melakukan bengkel-bengkel bersiri terutama di kawasan luar bandar yang dilihat tidak mendapat maklumat yang tepat tentang isu ini satu langkah yang dilihat bijak, kerana ianya dapat menyedarkan dan memeberi kefahaman yang jelas kepada semua pihak. Mungkin sudah ada pihak yang melaksanakan kaedah ini, tetapi tidak dihebah-hebahkan, sebaiknya kita perlu mengembar-gemburkan apa jua cara yang kita laksanakan untuk menentang keras dasar PPSMI supaya ianya mendapat liputan dan sambutan yang padu.

Pokoknya disini ialah, berapa ramaikah kekuatan yang menyokong dalam membantah PPSMI ini? Berapa ramai pengetua-pengetua yang sanggup berada di barisan, saf depan? Berapa ramai pengetua, guru besar yang mahu 'play-safe', membantah dalam diam? Berapa ramai yang mahu memulaukan kelas-kelas selama sebulan misalnya? Ini semua perlu diketahui. Jika langkah ini dapat dilaksanakan, saya yakin kerajaan akan membuka mata dan akur dengan bantahan yang dibuat. Saya boleh menjangka bahawa bantahan maya yang diusahakan oleh PKPIM ini juga tidak akan pergi ke mana-mana. Mungkin akan ribut sekejap, kemudian kembali sepi begitu saja tampa ada apa-apa yang berlaku.

Segelintir anak-anak muda yang mula sedar tentang peri pentingnya untuk turut serta membantah PPSMI seharusnya lebih berani untuk tampil dan lantang untuk bercakap. Seterusnya berganding bahu dengan golongan ”Otai” untuk merencana strategi bagi melancarkan bantahan yang lebih hebat. Bukan sekadar ”Hangat-hangat Tahi Ayam” hanya mampu berada di belakang takbir sahaja dan melihat dari jauh.

Kalau kita takut, jangan sesekali kita memberi saham untuk menakutkan orang lain. Dan, kita kini sudah terlalu lama menderita penyakit ketakutan yang diwarisi oleh golongan terdahulu. Perlu ada seseorang yang dapat memutuskan rantaian ketakutan itu supaya kita bebas untuk berjuang demi generasi akan datang, kalau kita gagal, bermakna kita BERDOSA KEPADA ANAK-ANAK KITA YANG AKAN LAHIR PADA MASA DEPAN. Ayuh marilah kita hasilkan satu mimpi ngeri untuk mengembalikan PPSMI ke dalam bahasa MELAYU. Disediakan oleh: Mohd Syuhaidi.

Saturday, December 13, 2008

"Hapuskan PPSMI, Beri Tumpuan Tingkatkan Literasi Murid"

Bayangkan jika sebuah sekolah rendah boleh memuatkan seramai 1,200 murid. Jika terdapat seramai 30,000 murid, bermakna sejumlah 25 buah sekolah diperlukan untuk menampung puluhan ribu murid terbabit. Malangnya, kumpulan murid itu tergolong dalam mereka yang gagal mencapai tahap minimum berkebolehan membaca, menulis dan aritmetik walaupun telah enam tahun menduduki bangku sekolah rendah. Demikianlah gambaran seramai 30,049 murid Tahun Enam yang telah melepasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008. Mereka tidak mencapai tahap literasi seperti yang dikehendaki. (Terkini - Utusan Malaysia, 13 November 2008) Di sebalik kegembiraan semua pihak bermula dari Kementerian Pelajaran, pentadbiran sekolah, ibu bapa dan murid-murid yang memperoleh sejumlah deretan A dalam penilaian tersebut, wajarkan nasib dan masa depan mereka yang masih ‘merangkak’ membaca itu dibiarkan begitu sahaja? Bagaimana mereka akan berdepan dengan persekitaran pembelajaran yang baru apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah nanti ditambah pula dengan pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)? Penulis berpendapat, kedudukan mereka belum termasuk lagi murid yang berada di atas pagar atau sekadar nasib mendapat gred C atau B dalam UPSR terutama bagi subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah mereka mengalami halangan bahasa sehingga tidak lancar membaca, bagaimana mungkin mereka dapat memahami istilah dan konsep berkaitan kandungan kedua-dua matapelajaran yang diajarkan oleh guru? Akhirnya, mereka yang cenderung putus asa ini akan terjebak dalam masalah pelanggaran disiplin di sekolah dan tidak mustahil menjadi ‘tunas-tunas’ agen masalah sosial pada masa depan. Itulah sebabnya gesaan ahli akademik agar kaedah dan pendekatan dalam pengajaran bahasa sama ada bagi mata pelajaran Bahasa Melayu termasuklah Bahasa Inggeris perlu dirombak. Ini penting agar generasi pelajar kita dapat menguasai kemahiran asas dalam membaca dan menulis. Banyak kajian linguistik dan pendidikan membuktikan pengajaran menggunakan bahasa ibunda dan dalam konteks negara ini semestinya dalam bahasa kebangsaan ternyata lebih berkesan. J.W. Wood (2002) misalnya berpendapat menggunakan bahasa kedua dalam pengajaran akan mengambil masa yang lama dan ini menjadi penghalang utama kepada pelajar untuk menguasai ilmu. Persoalannya, tidakkah PPSMI yang dijalankan kini hanya mendorong pelajar terus sahaja melemparkan buku kerana bosan tidak memahami apa yang dipelajari? Keperluan melakukan rombakan dalam kaedah pengajaran bahasa begitu mendesak ditambah dengan dapatan yang menunjukkan kadar literasi membaca pada tahun 2006 misalnya dalam kalangan rakyat negara ini berusia 10 tahun ke atas turun satu peratus kepada 92 peratus berbanding tahun sebelumnya. (Utusan Malaysia, 15 Julai 2006) Tidakkah kita terfikir sebenarnya ada banyak perkara tidak kena apabila melihatkan rendahnya penguasaan bahasa Inggeris meskipun telah 11 tahun belajar subjek itu di sekolah rendah dan sekolah menengah? Jangankan bahasa Inggeris, jika kita perhatikan bentuk pengolahan ayat atau karangan sebahagian besar mereka dalam bahasa Melayu pun begitu mengecewakan tidak mencapai tahap yang sepatutnya lantaran “miskin” perbendaraan kata selain kesilapan ejaan di sana-sini. Melihat cara mereka bercakap atau menjawab soalan pun sudah kita ketahui sejauh mana ‘bank’ kosa kata mereka kerana belum benar-benar menguasai bahasa Melayu. Atas rasional inilah, maka PPSMI dilihat sebagai tidak relevan bukan sahaja kerana mengikis fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu malah menjadikan perhatian, tumpuan dan pemikiran generasi akan datang semakin bercelaru. Tambahan pula analisis UPSR tahun ini juga memperlihatkan mata pelajaran Sains dan Matematik yang telah mulai diajar sejak mereka di Tahun 1 tidak menunjukkan peningkatan signifikan dengan gred cemerlang (Mutakhir - Berita Harian, 13 November 2008). Berhubung dengan impak daripada PPSMI, jika membaca pun tidak mampu tentulah mustahil untuk lebih 30,000 murid UPSR itu dapat menguasai ilmu berkaitan sains dan matematik apabila di sekolah menengah kelak. Menyedari pentingnya masa depan modal insan negara ini pada masa akan datang, PPSMI harus dimansuhkan jika kita mahu mereka dapat memberi manfaat menyumbang khidmat kepada bangsa dan negara. Aspek literasi yang melibatkan kemahiran kognitif dalam membaca, menulis dan aritmetik perlu diberi perhatian agar generasi kita pada masa depan memiliki keterampilan pengucapan, kreativiti dan pemikiran yang kritis dalam bahasa. Dalam masa yang sama kaedah mengajar bahasa baik Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris perlu berubah daripada terlalu kaku berorientasikan peperiksaan kepada bentuk pendekatan yang benar-benar membolehkan murid menguasai kemahiran berbahasa dalam kedua-dua bahasa tersebut. Oleh: Arif Atan

Usah Mansuh Ekuiti Bumiputera‏

Tidak sudah-sudah angka 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dipersoal. Walhal, umum tahu bahawa dalam realiti masyarakat Melayu adalah majoriti di negara ini tetapi kek ekonomi yang dimilikinya hanya 19.4 peratus sahaja. Walaupun antara matlamat dalam DEB ialah mahu membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) tetapi masyarakat perdagangan dan perindustrian bukan bumiputera juga yang lebih ramai dilahirkan. Meskipun benar, DEB banyak membantu meningkatkan mobiliti sosial masyarakat Melayu namun dinamika ekonomi dan sosial bukan Melayu tetap jauh mengatasi orang Melayu lantaran hak mereka tidak pernah dinafikan apatah lagi dirampas untuk dilambakkan kepada orang Melayu. Oleh sebab itu, adakah anggapan bahawa memansuhkan ekuiti bumiputera dengan alasan dapat meningkatkan daya saing syarikat-syarikat senaraian awam tidak hanya lebih timbul dari rasa tamak bermotifkan perkauman? Hakikatnya, sejauhmana berdaya saing atau tidak sesebuah syarikat senaraian awam adalah bergantung pada faktor pengurusan yang berkesan walaupun jika syarat pemilikan bumiputera diletakkan 60 peratus sekalipun sesuai dengan nisbah isi kaum di negara ini. Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai mendakwa bahawa syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera menghalang kerjasama ekonomi antara kaum di negara ini (Utusan Malaysia, 28 Oktober 2008). Persoalannya, jika tanpa mekanisme tertentu untuk mengimbangi pemilikan kek ekonomi di negara ini seperti yang digambarkan melalui syarat sedemikian, adakah kerjasama jitu antara kaum yang dimaksudkan oleh Liow akan wujud dengan jayanya? Keyakinan tersebut tidak ubah hanya janji-janji manis yang sebenarnya pahit untuk dipraktikkan dalam realiti latar ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera ibarat langit dengan bumi jurangnya. Apa yang berlaku di Singapura yang dianggap berpegang pada dasar meritokrasi adalah bukti jelas lagi nyata apabila baik dalam bidang ekonomi, politik dan sosial semuanya didominasi oleh kaum tertentu sahaja. Dasarnya memang tidak secara terang-terang pro-Cina tetapi pendekatan ke arah itu adalah begitu ketara. Di tanah air ini, pemansuhan ekuiti bumiputera beerti memaksa mereka berlari dengan kaum lain di atas padang yang tidak rata. Ungku Aziz sendiri pernah menyifatkan sukarnya Melayu bersaing dalam ekonomi kerana wujudnya sistem eksploitasi ‘monopoli-monopsoni’. (Chamsuri Siwar dlm. Minda Melayu, Anwar Ridhwan (penyelenggara), DBP, 2005:217-254) Malahan, jika suatu masa nanti kaum Melayu sudah menjejak kaki di atas padang yang rata sekalipun, syarat pemilikan ekuiti bumiputera tidak wajar dihapuskan kerana itu adalah sebahagian hak orang Melayu selari dengan semangat dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perlu ditegaskan bahawa menghapuskan sesuatu memang mudah tetapi mengembalikan semula jika keadaan tiba-tiba memerlukan adalah sukar sama sekali. Bayangkan sekiranya orang lain yang memperoleh hak tersebut, adakah mereka dengan bermurah hati sewenang-wenangnya melucutkan hak mereka? Selain itu, jika kaum lain sudah benar-benar yakin untuk bersaing di peringkat antarabangsa mahupun dalam negara, mengapa masih wujud reaksi tidak senang hati dengan dasar atau tindakan ekonomi yang bertujuan adil bagi membantu Melayu? Siapa yang sebenarnya enggan berkongsi kekayaan di negara ini jika syarat peratusan kecil pegangan kecil ekuiti bumiputera itu pun mahu dimansuhkan? Oleh itu, bagi memastikan kekayaan negara tidak dimonopoli oleh kaum tertentu serta pembangunan negara dinikmati semua lapisan masyarakat, semangat yang terkandung dalam dasar negara seperti DEB yang menggariskan syarat pemilikan ekuiti bumiputera tidak wajar dihapuskan. Dari beberapa segi selari dengan keadaan ekonomi dunia hari ini, tindakan segera berupa proses penambahbaikan dengan meningkatkan lagi peratusan milik bumiputera yang sedia ada perlu digembleng agar adil dan jelas menggambarkan komposisi masyarakat di negara ini. Oleh: Arif Atan

"Kecelaruan Makna Perpaduan, Patriotisme & Nasionalisme"

Adakah rakyat Malaysia hari ini benar-benar faham erti kemerdekaan sehingga wujudnya mesej yang salah kepada generasi muda akan makna kemerdekaan, perpaduan dan bangsa Malaysia sebenarnya? Pada ketika generasi muda dianggap lunturnya semangat cintakan negara iaitu patriotisme dan tipisnya semangat kebangsaan iaitu nasionalisme, ada baiknya kita menilai sejauh mana proses-proses sosialisasi iaitu asuhan kita selama ini kepada mereka yang nampaknya dari setahun ke setahun semakin bercelaru. Tidakkah kita sedar impak perulangan saban tahun imej Tunku Abdul Rahman menjulang tangan melaungkan 'Merdeka!' serta rakaman video lambaian rombongan kemerdekaan ke Britain tanpa diimbangi figura dan video yang memaparkan pertarungan pahlawan berperang melawan panjajah dan komunis akan memberikan tanggapan di kalangan generasi muda bahawa 'begitu mudahnya mencapai kemerdekaan maka apa pentingnya sangat kemerdekaan itu diingati'? Usah salahkan generasi muda jika mereka semakin berkiblatkan budaya dan hiburan dari negara Barat, Hong Kong dan India kerana kita sendiri gagal menanamkan semangat perjuangan dan penghayatan sejarah sebenar di dalam jiwa mereka. Begitu juga aspek kenegaraan dan nasionalisme yang terasnya berpegang kuat pada pemilihan satu bahasa sebagai penyatu kepada kepelbagaian ciri kaum dan budaya di sesebuah negara. Jika aspek ini diberi penekanan seperti yang dapat dihayati melalui dendangan lagu-lagu patriotik dahulu tetapi 'aura' tersebut kini lebih kepada pesta-pestaan semata-mata dengan percampuran budaya dan bahasa dari segi alatan muzik dan senikata yang digunakan. Malah, ungkapan 'perpaduan melalui kepelbagaian' begitu ditekankan sehingga mengabaikan hakikat sebenar pengertian nasionalisme yang terletak pada sejauh mana kita mengukuhkan semangat kebangsaan berteraskan bahasa dan kebudayaan asal sesebuah tanah air seperti yang ditekankan oleh sarjana Hans Kohn. Ke mana perginya semangat Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang merupakan asas-asas kenegaraan yang disediakan oleh negarawan dan kepimpinan Tun Abdul Razak dalam kita ghairah menyambut kemerdekaan ke-51 ini? Adakah wajar lagu Muhibah yang asalnya pada dekad 70-an dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan sahaja dengan antara ungkapannya berbunyi 'satu bahasa' dan 'hapuskanlah jurang perbezaan' didendangkan semula selepas separuh abad negara ini merdeka dalam bahasa Cina dan Tamil seperti yang dapat disaksikan dalam perbarisan di Dataran Merdeka pagi ini? Walhal, keadaan tersebut samalah seperti tindakan Gerakan menaikkan papan tanda jalan pelbagai bahasa di Pulau Pinang yang sebenarnya mahu menyamatarafkan bahasa kebangsaan dengan bahasa-bahasa vernakular yang lain. Jika demikian halnya, apa ertinya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sedangkan dalam acara perbarisan kemerdekaan yang merupakan satu program rasmi pun, bahasa-bahasa lain diangkat sama taraf dengan bahasa kebangsaan? Begitu juga apabila meneliti iklan-iklan kemerdekaan yang disiarkan di dalam akhbar tahun ini. Amatlah membimbangkan jika sebahagian besar iklan tersebut dijadikan pengukur sejauh mana tahap pemahaman rakyat terhadap konsep bangsa, perpaduan dan kemajuan. Misalnya, antara ungkapan dalam iklan Sapura yang berbunyi 'setiap bahasa gemilang, setiap bangsa terbilang' tentu sekali ditafsirkan sebagai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara Malaysia ini bukanlah satu-satunya bahasa gemilang kerana bahasa-bahasa lain iaitu bahasa Mandarin, Hokkien, Tamil dan Inggeris juga adalah bahasa yang gemilang. Ungkapan 'setiap bangsa terbilang' juga seolah-olah membayangkan ada banyak lagi 'bangsa' lain yang juga terbilang di negara ini selain bangsa Malaysia. Alangkah hinanya bangsa Malaysia jika pendatang asing yang terdiri daripada pelbagai bangsa itu juga pun mahu diiktiraf terbilang dalam kita mengingati kemerdekaan negara ini? Jika yang dimaksudkan dalam ungkapan itu mahu merujuk kepada kaum Cina dan India sekalipun, mengapa kita masih mahu menyambung legasi 'modus operandi' kolonial British yang menggunakan dasar pecah dan perintah dengan memperkatakan sesuatu mengikut 'kotak-kotak' kaum? Kekeliruan terhadap pentingnya mengangkat bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan bukannya bahasa-bahasa lain juga dapat dilihat dalam iklan Proton. Adakah hanya kerana 'cakap teh tarik kurang manis dalam bahasa Tamil baru saya sedar erti muhibah yang sebenarnya'? Mengapa tidak ditekankan bahawa semua rakyat Malaysia berbilang kaum menyedari bercakap tentang apa sekali pun dalam bahasa kebangsaan baru kita semua sedar erti muhibah yang sebenarnya? Bagi iklan Panasonic yang menjadikan air batu campur (ABC) sebagai cerminan perpaduan yang menjadi teras kemajuan dan kejayaan negara ini lantaran kepelbagaian ramuan di dalamnya sewajarnya difahami dalam kerangka yang lebih luas lagi oleh setiap 27 juta rakyat Malaysia hari ini. Tidak sedarkah kita bahawa dalam banyaknya campuran ABC itu, ada satu rasa yang kita nikmati iaitu manis bukannya rasa manis hadir serentak dengan rasa masin, pedas, masam dan pahit? Ini bermakna dalam konteks bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum ini mesti ada satu faktor pengikat kepada erti sebenar perpaduan. Mustahil perpaduan boleh dicapai jika wujud terlalu banyak kepelbagaian tanpa kawalan. Sedangkan dalam alunan lagu pun jika terlalu banyak alat muzik yang digunakan, lagu yang didengari pasti kedengaran tidak harmoni di telinga apatah lagi dalam konteks kita sebagai bangsa Malaysia. Itulah sebabnya, kepelbagaian kaum di negara ini perlu diletakkan landasannya pada bahasa, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan yang paksinya terletak pada keMelayuan sebagai teras sepertimana yang terkandung dalam pelaksanaan dasar-dasar kebangsaan yang digariskan sebelum ini. Jika tidak, sampai bila pun perpaduan yang dihajatkan tidak akan tercapai sebaliknya jurang interaksi antara kaum semakin melebar lantaran penekanan yang salah terhadap konsep dan tindakan kita tentang kemerdekaan, perpaduan negara bangsa, pembentukan bangsa Malaysia serta nilai patriotisme dan nasionalisme. Oleh: Arif Atan

Pemimpin Melayu PAS, PKR, BN Usah Jadi Bodoh

Mutakhir ini ada sahaja berita dan perkembangan yang mengguris perasaan orang Melayu. Cadangan Menteri Besar Selangor agar UiTM dibuka kepada bukan Melayu rupa-rupanya bukan penutup kepada episod sedih masa depan politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan orang Melayu. Tidak hairanlah suara-suara dan tindakan biadap yang hanya tahu mengutamakan kaum semata-mata semakin kuat kedengaran. Lebih malang apabila pemimpin Melayu juga seperti boneka bodoh demi memenuhi kehendak mereka. Tuntutan-tuntutan yang tidak bersifat kebangsaan sebaliknya perkauman itu diburukkan lagi dengan kurangnya strategi politik di pihak kepimpinan Melayu apabila kepentingan kepartian dilebihkan sedangkan keutamaan bangsanya sendiri diabaikan. Di Perak misalnya, tindakan memberikan 400 hektar tanah percuma (bukannya dijual) kepada sekolah pendirian Cina memang wajar menyentak perasaan setiap orang Melayu yang waras. Baru 5 bulan memerintah sudah ratusan hektar tanah tergadai. Bayangkan jika 5 tahun memerintah, agaknya satu negeri ”dianugerahkan”! Walhal, umum sedia maklum sekolah-sekolah persendirian itu tidak membantu sama sekali usaha memupuk perpaduan kebangsaan sepertimana sekolah kebangsaan. Malah, lembaga sekolah mereka yang aktif mencari sumber dana disokong kuat oleh puluhan persatuan dan pelbagai NGO mereka selain saban tahun menerima peruntukan kerajaan berjumlah RM30,000. Sepatutnya, jika kerajaan negeri Perak memiliki lebihan tanah untuk dianugerahkan sekalipun, sewajarnya tanah-tanah itu dibangunkan dengan lebih banyak lagi sekolah-sekolah kebangsaan. Ini kerana hanya sekolah kebangsaan yang dapat menghimpunkan anak-anak Malaysia di bawah satu bumbung yang sama bukannya sekolah persendirian. Begitu juga halnya dengan kerajaan negeri Kedah yang bertindak meluluskan sejumlah RM250,000 untuk Pesta Kebudayaan Cina Malaysia. Tidakkah tindakan Menteri Besar negeri Jelapang Padi itu keterlaluan apabila dengan bangganya menyatakan jika diminta RM500,000 pun akan ditunaikan? Malah, mengapa Pesta Kebudayaan Kebangsaan Malaysia tidak pula dianjurkan jika benar mahu mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat? Katakan, jika ada usul memohon peruntukan kerajaan negeri Kedah untuk Pesta Kebudayaan Melayu Malaysia. Adakah Dato’ Seri Azizan Razak akan meluluskannya? Kemungkinan besar ”diharamkan” lantaran akan dilabel tidak Islamik selain daripada alasan bersifat perkauman. Mengapa dalam mahu menunjukkan keterbukaan Islam, aspek kebudayaan Cina atau India pula begitu dilebih-lebihkan meminggirkan kepentingan dan kebudayaan bangsa Melayu yang majoritinya beragama Islam? Taktik orang lain dalam mengukuhkan kekuatan politik dan kebudayaan mereka mesti dapat dibaca oleh para pemimpin dan pentadbir Melayu baik dari PAS, PKR mahupun BN. Insiden ”kerusi” dalam Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) baru-baru ini harus dilihat dalam kerangka perspektif yang lebih luas dan menjangkau ke hadapan. Tidakkah kita dapat ”membaca” apa yang tersirat di sebalik foto ahli-ahli DAP termasuk Loh Gwo Burne dari PKR yang baru-baru ini telah menghantar memorandum bantahan terhadap ahli majlis MPSJ, Keshminder Singh dari PKR dengan mendesaknya meminta maaf? Kedegilan ADUN Subang Jaya, Hanna Yeoh tetap berkeras mahu duduk di kerusi meja persidangan sedangkan sudah ada tempat duduk khas untuknya sebenarnya satu isyarat penting kepada kita semua. Bagi mereka, pedulikan protokol dan undang-undang asalkan kehendak dan kemahuan mereka dituruti dengan mengeksploitasi istilah demokrasi dan hak asasi. Akhirnya senario terbalik pula berlaku apabila orang yang menegur bukannya orang yang melanggar peraturan dikehendaki meminta maaf. Selain itu, apabila pemimpin Melayu tersinggung sedikit hal berkaitan bukan Melayu begitu cepat reaksi yang dilontarkan walaupun apa yang dikatakan mungkin ada kebenarannya. Tidakkah usul agar Akta Hasutan dikenakan sebagai reaksi apabila Ketua Bahagian UMNO Datuk Ahmad Ismail ’terlepas’ cakap menyatakan bahawa orang bukan Melayu sebagai pendatang tidak wajar menikmati hak sama rata adalah keterlaluan? Sebelum ini pun, telah beberapa kali orang Melayu dikatakan sebagai kaum pendatang seolah-olah negara yang nama asalnya, Tanah Melayu ini hanya dihuni haiwan liar dan ditumbuhi hutan belantara sahaja. Mengapa tidak pula wujud dakwaan biadap terhadap mereka sehingga dikaitkan dengan Akta Hasutan? Sampai bila pemimpin-pemimpin Melayu kita terutama dari Pakatan Rakyat sedar hakikat ini? Oleh itu, pemimpin Melayu mestilah berpada-pada dalam membuat sebarang keputusan. Mengapa kehendak dan kemahuan kaum lain dipenuhi sebaliknya kepentingan dan hak kaum Melayu meskipun sudah tercatat dalam Perlembagaan tidak pula dipeduli? Usah menjelang 2020 nanti, sejarah asal-usul dan kebudayaan tanah air ini yang sepatutnya berpaksikan Melayu lenyap begitu sahaja gara-gara kedunguan pemimpin Melayu hari ini dalam berpolitik. Disediakan Oleh: Arif Atan

Antara akomodasi dan asimilasi

Akomodasi dan asimilasi adalah antara dua konsep penting untuk menerangkan perpaduan dalam sesebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik. Menurut Ting Chew Peh (1987) dengan menggunakan perwakilan A,B dan C bagi budaya, konsep akomodasi dapat diringkaskan melalui rumus A + B + C = A + B + C. Ini bermaksud pelbagai kumpulan etnik hidup bebas mengamalkan malah mempertahankan budaya masing-masing meskipun hidup bercampur dengan etnik lain. Berbeza pula dengan konsep asimilasi yang diwakili oleh formula A + B + C = A. Etnik minoriti iaitu B dan C akan mengamalkan bentuk kebudayaan A yang merupakan golongan dominan dalam sesebuah negara. Hakikatnya, asimilasi bukanlah konsep perpaduan yang baru atau asing di tanah air. Ini dapat dilihat pada masyarakat Baba dan Nyonya sebagai rujukan terbaik hasil daripada proses asimilasi etnik Cina dengan kebudayaan Melayu. Malah, proses tersebut tetap berjalan seperti mana yang berlaku dalam masyarakat Cina Kelantan. Orang bukan Melayu juga sudah dapat diasimilasikan dengan dari segi pakaian dan makanan. Hari ini bukan suatu yang janggal untuk melihat orang Cina dan India berbaju kurung dan menjamah nasi lemak. Malah, berkat daripada sistem pendidikan kebangsaan, generasi muda bukan Melayu begitu fasih berbahasa kebangsaan. Ironinya, selepas setengah abad negara ini merdeka, asimilasi etnik minoriti ke dalam kebudayaan Melayu semakin tipis dengan membiarkan kaum Cina dan India semakin berkiblatkan Hong Kong, India dan Barat. Sebaliknya, seperti wujud kecenderungan asimilasi songsang apabila orang Melayu pula secara sedar atau tidak cuba untuk diasimilasikan dengan kebudayaan etnik-etnik lain. Buktinya, sekarang ini dalam mana-mana persembahan kebudayaan seperti sudah menjadi kewajipan persembahan etnik Cina dan India diadakan diiringi oleh pengunaan bahasa-bahasa bukan kebangsaan atas alasan perpaduan. Persoalannya, benarkah perpaduan dapat dibentuk melalui kepelbagaian yang tidak terkawal sedangkan untuk tujuan berhibur pun mengikut kotak-kotak kaum? Oleh itu, dalam kita menyambut ulang tahun kemerdekaan tahun ini yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan ada baiknya konsep perpaduan rakyat Malaysia dirombak semula. Adakah konsep akomodasi yang dikatakan baik untuk Malaysia sepertimana yang dinyatakan juga oleh Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam Modul Hubungan Etnik (2008:19) masih lagi relevan apabila melihatkan jurang pengasingan atau segregasi etnik di negara ini yang semakin ketara? Mahu atau tidak, semua pihak perlu ikhlas mengakui bahawa melalui konsep asimilasi sahajalah rupa bentuk bangsa Malaysia akan terbentuk sama seperti bangsa Indonesia dan Thailand. Oleh: Arif Atan

Thursday, December 11, 2008

Dimensi keris Melayu


Di dalam keris yang sebilah,

Terkandung tuah dan maruah,

Yang tuahnya selilit kepala,

Yang maruahnya selilit pinggang,

Yang tersembunyi di dalam mata,

Yang tersimpan dalam pamor,

Yang tersorok dalam sepuhan,

Yang terselindung dalam besi,

Yang terpatri dalam baja,

Yang terpegang dalam hulu,

Yang terlekat dalam sarung.


Baris-baris puisi di atas dilafazkan oleh Bapak Tenas Effendy, seorang budayawan Riau sewaktu membentangkan kertas kerja dalam Seminar Keris Nusantara yang dianjurkan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dua minggu yang lalu.
Tenas Effendy terkenal dengan hasil-hasil tulisannya merakamkan ungkapan-ungkapan tradisional Melayu Riau yang kaya dengan nasihat dan pengajaran. Dalam kalangan masyarakat pembaca di Malaysia dia terkenal dengan bukunya yang berjudul Pemimpin dalam Ungkapan Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sejak diedar mulai tahun 2000, buku ini telah menjadi rujukan popular oleh sebilangan juruacara (MC) yang gemar berseloka sewaktu mengelolakan majlis atau oleh para pemidato sewaktu berceramah atau oleh para penulis kertas kerja yang ingin bermadah tentang aspek-aspek kepemimpinan.
Nama Tenas Effendy adalah singkatan daripada Tengku Nashruddin Tengku Effendy, berasal dari keturunan bangsawan Riau di pulau Sumatera. Tetapi dia masyhur di seantero Nusantara. Kira-kira 12 tahun yang silam beliau pernah menjadi penulis tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pada tahun 2006 dia dianugerahkan gelaran kehormat doktor persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan semenjak setahun yang lalu beliau bermastautin di Universiti Malaya sebagai Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu.
Baris-baris puisi tentang dimensi-dimensi keris yang diketengahkan oleh Tenas Effendy dalam seminar tersebut telah mengingatkan kita sekali lagi bahawa keris adalah warisan keramat umat Melayu yang tidak semestinya dilihat sebagai alat senjata semata-mata.
Malah lebih daripada itu, keris adalah satu warisan budaya yang pelbagai dimensi sifatnya, mempunyai nilai-nilai tersirat dan tersurat serta mengandungi unsur-unsur simbolik yang sakral dan temporal.
Di permulaan kertas kerjanya, Tenas Effendy menegaskan: "Bagi orang Melayu, keris bukan sahaja satu senjata lahiriah untuk mempertahankan diri, tetapi juga menjadi simbol tertentu yang mengandung berbagai falsafah dan makna, yang erat kaitannya dengan adat resam dan budaya bangsa."
Tenas Effendy menyentuh secara ringkas sekurang-kurangnya sembilan peranan yang dikaitkan dengan keris dalam kehidupan budaya umat Melayu. Secara umum keris dianggap sebagai simbol 'tuah' dan 'maruah'.
Peranan-peranan simbolik yang lain yang dikaitkan dengan keris ialah sebagai simbol kejantanan, simbol harga diri, simbol jati diri, simbol kedaulatan (wibawa dan kekuasaan), keris sebagai pengganti batang tubuh (umpamanya dalam upacara persandingan), keris sebagai senjata dan penjaga diri, keris sebagai pelengkap pakaian.
Tiap-tiap satu daripada pelbagai peranan keris tersebut dihuraikan oleh Tenas Effendy dengan ayat-ayat berbentuk gurindam dan seloka yang kebanyakannya mengandungi makna yang dalam, walau pun kadang-kadang terdapat baris-baris ayat seperti direka-reka. Tetapi yang lebih penting ialah beliau membetulkan persepsi dan perspektif kita tentang keris.
Sekali gus huraian Tenas Effendy menyahut kemusykilan dan kerunsingan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan yang keluh-kesah tentang 'nasib' merudum yang menimpa keris sejak akhir-akhir ini akibat kedangkalan fahaman sesetengah pihak yang menganggap keris tak lebih daripada sebilah senjata.
Dalam ucapan perasmian seminar, antara lain Zainal berkata: "Keris dan makna perlambangannya sudah mula tidak difahami. Maruah, kedaulatan, tuah dan kehalusan keris tidak dilihat lagi."
Sebelum itu Zainal mengingatkan bahawa keris dalam pemikiran Melayu merupakan objek yang 'hidup', satu struktur yang saling melengkapi. Katanya: "Sebagai satu lambang kemelayuan, di dalam 'diri' keris itu ada tuah dan maruah, membunuh dan mengubat, kehalusan dan kekasaran, kekuatan dan kelembutan.
"Namun semenjak kebelakangan ini fungsi keris telah dimatikan oleh orang Melayu sendiri dan juga oleh orang lain. Semasa British mula bertapak di negeri Melayu, British melarang penggunaan keris, khuatir Melayu mengamuk.
"Apabila Pergerakan Pemuda UMNO menghunus dan mengucup keris di perhimpunan mereka sebagai lambang kemelayuan dan perjuangan, parti politik Cina rasa terperanjat apakah sebenar maksud peristiwa tersebut.
"Orang Cina memberikan tafsiran yang berbeza dari makna menghunus dan mengucup keris, apakah akan kembali mengamuk Melayu. Pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO kemudiannya meminta maaf lantaran kekalahan parti politik berkenaan di beberapa kawasan pilihan raya di kawasan bandar."
Rujukan Zainal terhadap episod pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO 'menghunus dan mencium' keris dan kemudian 'meminta maaf' itu telah diperpanjang menjadi bahan bualan dan gosip-gosip politik sewaktu seminar itu berhenti rehat selepas upacara perasmian.
Tetapi lebih daripada sekadar bahan-bahan bualan kecil atau gosip-gosip politik, Akademi Pengajian Melayu ingin melihat kewujudan keris dari perspektif yang lebih serius. Kewujudan keris ingin dikupas sebagai mempunyai pelbagai dimensi dan peranannya yang pelbagai fungsi.
Sehubungan itulah seminar tersebut dianjurkan sebagai satu usaha "menggali, melestari dan mengangkat keris sebagai warisan kebudayaan Melayu agar terus kekal sebagai lambang kedaulatan Malaysia."
Terangkum dalam program seminar selama dua hari itu ialah pembentangan kertas kerja, diskusi panel, demonstrasi dan pameran serba serbi tentang keris. Sesuai dengan label 'Nusantara' pada namanya, seminar itu dihadiri oleh para peserta dan pembentang kertas kerja dari tanah Bugis, pulau Jawa (Jakarta dan Jogjakarta), Riau (Bangkinang dan Pekan Baru) serta Singapura.
Dari Semenanjung Tanah Melayu, para pesertanya bukan sahaja orang-orang akademik, malah juga 'pandai besi', 'pandai perak' dan 'pandai kayu' yang masing-masing mempunyai kemahiran tersendiri dalam mewujudkan sebilah keris yang lengkap (meliputi mata keris, hulu atau kepala keris serta sarung keris).
Selain daripada pelbagai dimensi dan pelbagai fungsi seperti yang dibincangkan oleh Pak Tenas dan Zainal, seminar tersebut juga melihat keris sebagai bahan koleksi dan sebagai produk pelancongan.
Selain itu, saya menganggap bahawa yang tersirat di sebalik hasrat menganjurkan seminar dua hari itu ialah rasa tanggung jawab ilmuwan dan budayawan Melayu untuk mengembalikan 'kedudukan dan martabat" keris ke tempat yang wajar.
Inisiatif Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya memang patut dialu-alukan setelah 'warisan budaya' Melayu yang sangat istimewa itu menjadi mangsa 'prasangka', difitnah dan dipersendakan semenjak setahun yang lalu oleh orang asing dan sesetengah pemimpin Melayu sendiri.(
Seminar Keris Melayu) Disediakan Oleh : Mohd Syuhaidi