Wednesday, December 2, 2009

Utamakan bahasa kebangsaan di tempat awam

MINGGU lalu penulis pergi di KL Sentral. Bagi yang pernah ke sana akan dapat melihat sebuah skrin besar di ruang legar yang menayangkan beberapa klip video iklan.

Satu daripadanya ialah iklan TM, Everyone Connects - Through My Window dalam bahasa Inggeris. Klip video itu diulang berkali-kali dan menjadikan suasana dalam KL Sentral itu hingar-bingar dengan muzik dan suara yang sama. Sudahlah membosankan, ia juga tidak "berjiwa" Malaysia!

Buktinya, versi bahasa kebangsaan tidak disiarkan sama sekali! Adakah pihak TM tidak memberikan klip video iklan lagu berkenaan dalam bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan kepada syarikat yang mengendalikan skrin iklan tersebut?

Atau mungkinkah pengurusan KL Sentral terlepas pandang untuk menyiarkan klip iklan dalam versi bahasa kebangsaan?

Amatlah diharapkan pengurusan KL Sentral melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka dengan antaranya adalah mengutamakan bahasa kebangsaan.

Lakukan inisiatif dengan mempelbagaikan jenis dan bentuk siaran pada skrin tersebut dengan maklumat selain hiburan dan komersial semata-mata meskipun KL Sentral hanya medan transit para pengguna pengangkutan awam.

Boleh sahaja ditayangkan sedutan berita mutakhir dalam negara serta klip video lagu patriotik lama dan baharu. Begitu juga dengan kempen seperti budi bahasa, langkah mencegah H1N1 atau AIDS; iklan melanjutkan pelajaran serta pesanan khidmat masyarakat dan sebagainya.

Inisiatif ini boleh dilakukan dengan kerjasama gergasi media negara; syarikat telekomunikasi; syarikat pelancongan dan badan bukan kerajaan selain khidmat dari agensi atau jabatan-jabatan kerajaan berkaitan seperti kebudayaan, pendidikan dan kesihatan. Malah, stesen-stesen radio popular sudahpun berbuat demikian.

Jadi, tidaklah suasana lobi utama KL Sentral bosan dengan iklan komersial yang 'dikitar semula' berulang kali. Dan paling memalukan tidak berpijak di bumi dan berpayungkan langit Malaysia.

Hal ini penting kerana KL Sentral adalah ruang sosial berkumpulnya segala jenis manusia sama ada rakyat Malaysia mahupun warga asing.

Kesempatan ini perlu diambil bagi mengetengahkan bahan untuk paparan di skrin KL Sentral yang sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kefahaman seterusnya menjadi agen untuk menyatupadukan kaum.

Nilai dan karakter jati diri rakyat Malaysia yang ditonjolkan turut membolehkan para pelancong asing mengenali seterusnya mencintai identiti budaya negara ini. Jika bahasa atau lagu yang disiarkan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, apa lagi yang uniknya tentang Malaysia di mata hati pelancong asing?

Di tempat tumpuan awam seperti KL Sentral inilah, kita mesti patriotik dengan menonjolkan keunikan budaya dan bahasa kita. Menyiarkan klip video berbahasa Inggeris hanya mengelirukan orang asing yang tentunya memandang rendah rakyat Malaysia lantaran tiada bangga akan bahasa dan budaya sendiri!

Oleh itu, hal-hal berkaitan penonjolan bahasa dan kebudayaan kebangsaan negara ini perlu diberi penekanan bukan sahaja di ruang legar utama KL Sentral malah di tempat awam lain sama ada di terminal bas, LRT, lapangan terbang dan kawasan pelancongan. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

SJKC juga mesti 'belajar'

BARU-BARU ini Timbalan Perdana Menteri meminta agar sekolah kebangsaan (SK) mencontohi kaedah pengajaran Sains dan Matematik di sekolah Cina (SJKC) berikutan prestasi cemerlang murid di sekolah vernakular itu dalam keputusan UPSR tahun ini.

Hal ini merupakan cabaran kepada SK walaupun tidak dinafikan kira-kira 1,300 SJKC juga mempunyai kelemahannya yang tertentu.

Malah, isu paling penting yang tidak harus diketepikan ialah kegagalan sekolah vernakular itu berperanan sebagai ejen memupuk perpaduan seperti yang kerap kali ditekankan oleh para ilmuwan seperti Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Dr. Mohd Ridhuan Tee.

Oleh itu untuk lebih adil, apabila SK diminta 'belajar' Sains dan Matematik dengan SJKC pada masa sama sekolah vernakular itu juga perlu 'berguru' dengan SK terutama dari segi penguasaan bahasa kebangsaan dan integrasi kaum dalam kalangan murid.

Pertama, umum maklum sebahagian besar murid di SJKC tidak fasih dan mahir berbahasa kebangsaan. Ini kerana mata pelajaran Bahasa Melayu hanya diajar tiga kali seminggu selain pergaulan rakan sebaya yang terhad sesama kaum sahaja.

Akibatnya, mereka begitu kekok bergaul dengan kaum lain apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Begitu juga aktiviti kampus di universiti awam masih ketara terpisah mengikut kaum lantaran kelompok bekas SJKC yang sukar mengasimilasikan diri dengan pelajar kaum lain.

Dalam masa yang sama, aras kurikulum bagi pengajaran bahasa kebangsaan di SJKC begitu mudah ibarat sekadar ada sahaja. Pergilah ke kedai buku dan bandingkan buku Bahasa Melayu bagi SK dan SKJC.

Pendekatan bagi 'memudahkan' murid SJKC belajar seterusnya mendapat keputusan yang baik dalam mata pelajaran itu perlu diubah.

Tidak harus wujud keadaan 'versi' berbeza bagi pengajaran bahasa kebangsaan untuk anak-anak Malaysia meskipun berada di sekolah vernakular. Selari dengan gagasan 1Malaysia sepatutnya satu 'versi' kurikulum bagi bahasa kebangsaan sahaja digunakan.

Murid-murid di SJKC sudah semestinya memegang kerakyatan Malaysia bukannya pelajar warga asing yang memerlukan sukatan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu yang berbeza dengan SK!

Kedua, sejauh mana SJKC menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional? Meskipun dikatakan wujud keluarga selain Cina menghantar anak mereka ke SJKC tetapi itu bukannya 'syarat' yang mencukupi untuk mengatakan sekolah vernakular setanding dengan SK dalam memupuk perpaduan rakyat negara ini.

Suka atau tidak, akar sebenar kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat negara ini kelak adalah datang dari 'tunas' di SK bukannya dari sekolah vernakular.

Dengan kecenderungan warga dunia kini yang sudah mengetepikan rasa perkauman seperti pelantikan Obama misalnya sebagai Presiden Amerika, mentaliti jumud golongan atau pertubuhan tertentu di negara ini yang dilihat bersifat ultra kiasu perlu berubah minda demi kebaikan kita bersama.

Buat masa ini setelah gesaan sekolah satu aliran masih gagal diterima perlu ada interaksi dua hala secara konsisten antara SK dengan sekolah vernakular.

Meminta hanya SK 'belajar' dengan SJKC tentang bagaimana mahu meningkatkan pencapaian Sains dan Matematik adalah tidak adil memandangkan SJKC juga bukanlah segala-galanya yang terbaik. Disediakan Oleh: mohd Arif Atan