Wednesday, November 3, 2010

"Mengapa generasi muda tidak celik sejarah?"

Terima atau tidak isu generasi muda buta sejarah adalah berpunca daripada "kecuaian" kita selama ini. Sebahagian daripada mereka buta sejarah lantaran golongan dewasa yang memiliki kuasa telah mengabaikan sejarah.

Pepatah lama telah mengingatkan kita bagaimana acuan begitulah hasilnya. Hakikat ini perlu diterima meski pun pahit untuk ditelan.

Hasil soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini terhadap 200 responden berusia dari 16 hingga 51 tahun perlu dijadikan momentum untuk kita kembali menyemak sejauh mana keberkesanan mata pelajaran Sejarah yang diajar selama ini di sekolah.

Menyalahkan golongan yang dilabel sebagai buta sejarah iaitu kelompok usia di bawah 30 tahun iaitu antara 16 dan 20 tahun seperti yang didedahkan dalam hasil soal selidik tersebut adalah ibarat meludah ke langit kena ke muka kita sendiri.

Walhal, penekanan kita terhadap sejarah tokoh, hari, tempat, peristiwa dan negara selepas bangku sekolah begitu kurang diberi perhatian. Jadi, bagaimana proses sosialisasi masyarakat terhadap sejarah dan jati diri tanah air dapat mengakar umbi dalam akal budi bangsa Malaysia?

Jika di negara luar seperti di Thailand, lagu kebangsaan dinyanyikan di dalam pawagam sebelum filem diputarkan. Mengapa di negara ini tidak?

Barangkali isu ada antara rakyat kita terutama generasi muda tidak tahu nama lagu kebangsaan dan nama bendera seperti yang diperoleh dalam soal selidik tersebut sudah tidak timbul lagi pada masa akan datang jika kita telah lama mengikut jejak Thailand.

Ini kerana kita pun tahu kelompok yang ramai mengunjungi pawagam terdiri daripada golongan muda.

Jika nama Perdana Menteri Malaysia dan cogan kata negara pun tidak tahu, apatah lagi agaknya tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun soal selidik tidak bertanyakan secara langsung tentang tahap penguasaan bahasa kebangsaan tetapi kita sedia maklum akan parahnya rakyat Malaysia hari ini yang tidak fasih dalam bahasa kebangsaan.

Usah kita lupa asas dan jati diri sesebuah bangsa yang maju terletak pada keperkasaan bahasanya. Persoalannya, adilkah untuk generasi muda dipersalahkan dan dilabel buta sejarah jika persekitarannya tidak memperlihatkan keperkasaan bahasa kebangsaan itu sendiri?

Sepanjang bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan pun, penggunaan bahasa milik semua kaum di negara ini disepak ke tepi. Berbeza di negara lain Jepun misalnya begitu mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka terlebih dahulu walaupun dalam program bertaraf dunia seperti yang dapat kita perhatikan dalam Kejohanan Tenis Antarabangsa ATP World Tour di negara Matahari Terbit itu baru-baru ini.

Lain pula halnya di Malaysia. Buku tentang sejarah negara pun dalam bahasa Inggeris. Malah, seminar atau ucapan pun sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris meskipun sebahagian besar adalah rakyat negara ini.

Jadi, jika golongan dewasa termasuk kalangan ahli politik, perniagaan dan ahli akademik pun tidak menghormati asas sejarah jatuh bangun sesebuah bangsa, apakah yang kita hendak harapkan pada generasi muda untuk celik sejarah?

Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

"Rakyat Tagih Taraf Hidup Tinggi"

Kerap kita dengar usaha kerajaan mahu menjadikan rakyat negara ini berpendapatan tinggi. Namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian bagi mencapai hasrat murni tersebut.

Hari ini kos kehidupan melambung tinggi akibat kenaikan harga barang dan pengurangan subsisdi baranga asas walhal mengikut laporan Bank Dunia, kadar kenaikan gaji pekerja di negara ini hanya 2.6 peratus setahun sejak 10 tahun lalu.

Dalam masa sama, agihan kekayaan negara berlaku secara tidak seimbang apabila wujud jurang ekonomi yang semakin luas apabila 10 peratus rakyat termiskin hanya memiliki 1.7 peratus kek ekonomi sedangkan 10 peratus terkaya di Malaysia menguasai 38.4 peratus kekayaan negara! Ini dibuktikan lagi dengan fakta 34 peratus atau 1.3 juta pekerja Malaysia berpendapatan kurang dari RM700 sebulan iaitu lebih rendah daripada paras garis kemiskinan RM720.

Hakikatnya rakyat bukanlah mahu berlebihan-lebihan atau mengada-ngada tetapi cuma berasa ada yang tidak kena apabila golongan korporat dilihat lebih diutamakan pada ketika hebat berkumandang slogan “rakyat didahulukan”.

Misalnya, masyarakat di peringkat akar umbi di kota mahupun desa bertanyakan apa wajarnya dibuat lagi projek-projek mega seperti peruntukan sebanyak RM811 juta untuk membina Istana Negara dan RM800 juta untuk Parlimen baru?

Ini termasuklah cadangan mahu membina Menara Warisan setinggi 100 tingkat dengan belanja melahap bukan menelan RM5 bilion seperti yang telah kita dengar dalam Belanjawan 2011 pada 15 Oktober lalu.

Terbaru, apabila ada ura-ura hendak mewujudkan Pusara Negara yang memperuntukan 500 buah lubang kubur untuk golongan kenamaan Muslim dan bukan Muslim di sebelah Tugu Negara dengan kos sebanyak RM70 juta.

Umumnya rakyat negara ini tidaklah menentang segala cadangan projek mega tersebut tetapi adilkah kepada masyarakat biasa yang masih lagi bergelut dengan pelbagai tekanan hidup termasuklah lambakan pendatang asing dan peningkatan kes jenayah mutakhir ini?

Rakyat bukanlah mahu mengada-ngada atau terpengaruh dengan “dakyah pembangkang” semata-mata. Apa yang mereka mahukan hanyalah perhatian yang sewajarnya sesuai dengan hak mereka sebagai warganegara yang mempunyai kuasa undi. Kekayaan negara tidak harus dimonopoli oleh kelompok minoriti elit dan korporat sahaja manakala majoriti masyarakat masih lagi dibiar terus ketinggalan.

Malah, ruang tanah di negara ini usah lagi disesakkan dengan segala projek pencakar langit yang sebenarnya tidak memberi manfaat pun kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi masyarakat keseluruhannya.

Hari ini, rakyat sudah semakin celik dan sudah tahu bahawa pembangunan dan kemajuan tidaklah secara total sinonim dengan bercerakah bangunan pencakar langit serta binaan mega walaupun atas nama “negara”.

Di negara-negara Eropah terutamanya, tanpa bangunan moden dan tinggi-tinggi pun mereka menikmati kesejahteraan hidup di tanahair mereka sendiri dengan jumlah pendapatan, kebajikan, tahap integriti, kebersihan, keselamatan serta pemeliharaan seni warisan mereka di tahap yang tertinggi.

Ada sebuah pantun yang boleh menggambarkan hubungan saling memerlukan atau simbiosis antara rakyat dengan pemimpin:

“Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali,
Harap hati kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi.”

Persoalannya, pada siapa lagi tempat majoriti masyarakat di negara ini yang bukannya terdiri daripada keluarga jutawan serta generasi pewaris selepas ini hendak mengadu dan bergantung harapan untuk hidup sejahtera tanpa penindasan jika tidak pada kerajaan?

Disediakan Oleh: Arif Atan