Thursday, December 2, 2010

"Hentikan bibit-bibit gadai Melayu"

Rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap sikap pihak tertentu yang bertindak secara nyata mahupun tidak nyata mencabuli hak bangsa Melayu dapat dilihat semasa Majlis Pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan: Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan pada 29 November lalu.

Wacana itu wajar kerap diadakan di seluruh negeri, malah sehingga di peringkat nasional bagi memberi kefahaman yang jelas kepada seluruh warga Malaysia mengenai sejarah pembentukan negara bangsa dan peradaban tanah air ini.

Ucapan dasar Presiden PKR baru-baru ini jelas satu bentuk taktik politik dalam menagih sokongan bukan Melayu, walhal mereka lupa bahawa dua pertiga kawasan Parlimen masih kekal dihuni pengundi Melayu/bumiputera.

Oleh itu, siapa sebenarnya yang sedang tersepit dan dalam masa sama untung di sebalik serangan bertali arus antara pihak yang menyokong ketuanan Melayu dengan pihak yang begitu dungu menolak konsep tersebut, seolah-olah selama ini orang Melayu jadi raja ekonomi dan orang bukan Melayu pula begitu teruk dianak tiri?

PKR dan begitu juga parti politik lain, jika benar memperjuangkan hak rakyat, mengapa tidak pula bersuara lantang 'menembak' parasit yang memecah-belahkan perpaduan bangsa Malaysia?

Mengapa para pemimpin parti politik tidak mengajak kepada perpaduan melalui asimilasi sebenar dengan mengajak kaum lain melenturkan rasa rasis dan cauvinis masing-masing serta akur dengan sejarah asal-usul mereka di negara ini. Bukan di sebaliknya, tidak habis-habis menyerang dan meminta orang Melayu pula terus bertolak-ansur, malah dilucutkan terus hak dan kepentingannya meskipun sudah termaktub dalam Perlembagaan?

Oleh itu, bibit-bibit ibarat barah penyakit yang mahu menggadai bangsa Melayu perlu dihentikan. Siri majlis berbentuk ilmu seperti yang telah dihadiri oleh Sultan Selangor itu perlu lebih kerap diadakan. Pada musim cuti sekolah ini, semua anak warga Malaysia perlu mengikuti kelas penguasaan bahasa, budaya dan kesenian Melayu sebagai identiti dan jati diri sebenar rakyat Malaysia.

Bidang penyiaran juga perlu dikawal daripada pelbagai lambakan program TV yang memaparkan segala budaya asing sehingga menenggelamkan jati diri bangsa sendiri. Siaran berita perdana pada pukul 8 malam di saluran TV misalnya yang terdapat dalam pelbagai bahasa dan jelas mengikut pola kaum tentu sahaja menyuburkan rasa perkauman sekali gus menolak secara senyap Gagasan 1Malaysia.

Penggunaan bahasa kebangsaan mesti meluas dalam semua bidang kehidupan termasuklah peringkat pengajian tinggi. Sekolah satu aliran sudah semestinya syarat wajib bagi mengelakkan Melayu tergadai.

Apalah erti ketuanan Melayu dan kedudukan tinggi bahasa kebangsaan di sisi Perlembagaan, jika bahasa Melayu, sekolah kebangsaan dan universiti yang sebelum ini telah terbukti berjaya memainkan peranan ditenggelamkan oleh bahasa dan institusi pendidikan asing?

Paling penting, pemimpin Melayu daripada mana-mana parti politik yang ghairah mahu menarik sokongan politik bukan Melayu. Usah jadi badut membiarkan orang lain bertepuk tangan ketawa melihat betapa bacul dan pengecutnya anda dalam memperkatakan yang hak berkenaan kepentingan orang Melayu.

Bibit-bibit yang membawa kepada keadaan bangsa Melayu tergadai semakin ketara dilihat dari sehari ke sehari. Apa erti semua ini kepada orang Melayu dan pribumi?

Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

Wednesday, November 3, 2010

"Mengapa generasi muda tidak celik sejarah?"

Terima atau tidak isu generasi muda buta sejarah adalah berpunca daripada "kecuaian" kita selama ini. Sebahagian daripada mereka buta sejarah lantaran golongan dewasa yang memiliki kuasa telah mengabaikan sejarah.

Pepatah lama telah mengingatkan kita bagaimana acuan begitulah hasilnya. Hakikat ini perlu diterima meski pun pahit untuk ditelan.

Hasil soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini terhadap 200 responden berusia dari 16 hingga 51 tahun perlu dijadikan momentum untuk kita kembali menyemak sejauh mana keberkesanan mata pelajaran Sejarah yang diajar selama ini di sekolah.

Menyalahkan golongan yang dilabel sebagai buta sejarah iaitu kelompok usia di bawah 30 tahun iaitu antara 16 dan 20 tahun seperti yang didedahkan dalam hasil soal selidik tersebut adalah ibarat meludah ke langit kena ke muka kita sendiri.

Walhal, penekanan kita terhadap sejarah tokoh, hari, tempat, peristiwa dan negara selepas bangku sekolah begitu kurang diberi perhatian. Jadi, bagaimana proses sosialisasi masyarakat terhadap sejarah dan jati diri tanah air dapat mengakar umbi dalam akal budi bangsa Malaysia?

Jika di negara luar seperti di Thailand, lagu kebangsaan dinyanyikan di dalam pawagam sebelum filem diputarkan. Mengapa di negara ini tidak?

Barangkali isu ada antara rakyat kita terutama generasi muda tidak tahu nama lagu kebangsaan dan nama bendera seperti yang diperoleh dalam soal selidik tersebut sudah tidak timbul lagi pada masa akan datang jika kita telah lama mengikut jejak Thailand.

Ini kerana kita pun tahu kelompok yang ramai mengunjungi pawagam terdiri daripada golongan muda.

Jika nama Perdana Menteri Malaysia dan cogan kata negara pun tidak tahu, apatah lagi agaknya tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun soal selidik tidak bertanyakan secara langsung tentang tahap penguasaan bahasa kebangsaan tetapi kita sedia maklum akan parahnya rakyat Malaysia hari ini yang tidak fasih dalam bahasa kebangsaan.

Usah kita lupa asas dan jati diri sesebuah bangsa yang maju terletak pada keperkasaan bahasanya. Persoalannya, adilkah untuk generasi muda dipersalahkan dan dilabel buta sejarah jika persekitarannya tidak memperlihatkan keperkasaan bahasa kebangsaan itu sendiri?

Sepanjang bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan pun, penggunaan bahasa milik semua kaum di negara ini disepak ke tepi. Berbeza di negara lain Jepun misalnya begitu mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka terlebih dahulu walaupun dalam program bertaraf dunia seperti yang dapat kita perhatikan dalam Kejohanan Tenis Antarabangsa ATP World Tour di negara Matahari Terbit itu baru-baru ini.

Lain pula halnya di Malaysia. Buku tentang sejarah negara pun dalam bahasa Inggeris. Malah, seminar atau ucapan pun sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris meskipun sebahagian besar adalah rakyat negara ini.

Jadi, jika golongan dewasa termasuk kalangan ahli politik, perniagaan dan ahli akademik pun tidak menghormati asas sejarah jatuh bangun sesebuah bangsa, apakah yang kita hendak harapkan pada generasi muda untuk celik sejarah?

Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

"Rakyat Tagih Taraf Hidup Tinggi"

Kerap kita dengar usaha kerajaan mahu menjadikan rakyat negara ini berpendapatan tinggi. Namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian bagi mencapai hasrat murni tersebut.

Hari ini kos kehidupan melambung tinggi akibat kenaikan harga barang dan pengurangan subsisdi baranga asas walhal mengikut laporan Bank Dunia, kadar kenaikan gaji pekerja di negara ini hanya 2.6 peratus setahun sejak 10 tahun lalu.

Dalam masa sama, agihan kekayaan negara berlaku secara tidak seimbang apabila wujud jurang ekonomi yang semakin luas apabila 10 peratus rakyat termiskin hanya memiliki 1.7 peratus kek ekonomi sedangkan 10 peratus terkaya di Malaysia menguasai 38.4 peratus kekayaan negara! Ini dibuktikan lagi dengan fakta 34 peratus atau 1.3 juta pekerja Malaysia berpendapatan kurang dari RM700 sebulan iaitu lebih rendah daripada paras garis kemiskinan RM720.

Hakikatnya rakyat bukanlah mahu berlebihan-lebihan atau mengada-ngada tetapi cuma berasa ada yang tidak kena apabila golongan korporat dilihat lebih diutamakan pada ketika hebat berkumandang slogan “rakyat didahulukan”.

Misalnya, masyarakat di peringkat akar umbi di kota mahupun desa bertanyakan apa wajarnya dibuat lagi projek-projek mega seperti peruntukan sebanyak RM811 juta untuk membina Istana Negara dan RM800 juta untuk Parlimen baru?

Ini termasuklah cadangan mahu membina Menara Warisan setinggi 100 tingkat dengan belanja melahap bukan menelan RM5 bilion seperti yang telah kita dengar dalam Belanjawan 2011 pada 15 Oktober lalu.

Terbaru, apabila ada ura-ura hendak mewujudkan Pusara Negara yang memperuntukan 500 buah lubang kubur untuk golongan kenamaan Muslim dan bukan Muslim di sebelah Tugu Negara dengan kos sebanyak RM70 juta.

Umumnya rakyat negara ini tidaklah menentang segala cadangan projek mega tersebut tetapi adilkah kepada masyarakat biasa yang masih lagi bergelut dengan pelbagai tekanan hidup termasuklah lambakan pendatang asing dan peningkatan kes jenayah mutakhir ini?

Rakyat bukanlah mahu mengada-ngada atau terpengaruh dengan “dakyah pembangkang” semata-mata. Apa yang mereka mahukan hanyalah perhatian yang sewajarnya sesuai dengan hak mereka sebagai warganegara yang mempunyai kuasa undi. Kekayaan negara tidak harus dimonopoli oleh kelompok minoriti elit dan korporat sahaja manakala majoriti masyarakat masih lagi dibiar terus ketinggalan.

Malah, ruang tanah di negara ini usah lagi disesakkan dengan segala projek pencakar langit yang sebenarnya tidak memberi manfaat pun kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi masyarakat keseluruhannya.

Hari ini, rakyat sudah semakin celik dan sudah tahu bahawa pembangunan dan kemajuan tidaklah secara total sinonim dengan bercerakah bangunan pencakar langit serta binaan mega walaupun atas nama “negara”.

Di negara-negara Eropah terutamanya, tanpa bangunan moden dan tinggi-tinggi pun mereka menikmati kesejahteraan hidup di tanahair mereka sendiri dengan jumlah pendapatan, kebajikan, tahap integriti, kebersihan, keselamatan serta pemeliharaan seni warisan mereka di tahap yang tertinggi.

Ada sebuah pantun yang boleh menggambarkan hubungan saling memerlukan atau simbiosis antara rakyat dengan pemimpin:

“Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali,
Harap hati kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi.”

Persoalannya, pada siapa lagi tempat majoriti masyarakat di negara ini yang bukannya terdiri daripada keluarga jutawan serta generasi pewaris selepas ini hendak mengadu dan bergantung harapan untuk hidup sejahtera tanpa penindasan jika tidak pada kerajaan?

Disediakan Oleh: Arif Atan

Thursday, October 7, 2010

"Semangat Perlembagaan pengukuh jati diri rakyat"

DALAM titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semasa merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Johor di Persada, Johor Bahru pada Isnin lalu, baginda ada menyebut bahawa "semasa hari redup, payung dicampak dan dibuang tetapi bila hujan turun masing-masing berlari mencari payung untuk berlindung."

Analogi tersebut bagi menerangkan kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai payung kepada negara dan negeri yang kerap dicabar mutakhir ini oleh golongan tertentu yang lupa diri.

Malah, pernah beberapa kali sebelum ini, ada ahli Parlimen bangkit mempersoalkan status bumiputera. Walhal, tidak disedarinya bahawa kedudukan kaum bukan Melayu pun boleh dipertikaikan lantaran asal-usul mereka di negara ini adalah dibawa oleh penjajah Inggeris untuk memenuhi permintaan tenaga buruh kasar di sektor perlombongan dan perladangan.

Golongan oportunis ini juga cenderung berkiblatkan negara luar terutama Singapura. Seolah-olah ada kesejajaran fahaman di antara mereka dengan Menteri Mentor republik itu. Hak asasi manusia dan senario corak politik negara luar termasuklah pemilihan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) pun tidak sudah-sudah dijadikan sebagai alat hujah.

Walhal, realiti sosial masyarakat majmuk di sana sengaja dipandang sebelah mata. Obama seperti golongan kulit hitam lain di AS hanya berbeza daripada segi warna kulit tetapi pengucapan bahasa, kepercayaan dan kebudayaan hidup mereka adalah sama dengan masyarakat kulit putih.

Berbeza benar dengan keadaan di negara ini apabila kaum bukan Melayu begitu bebas dengan bentuk budaya perkauman mereka boleh pula tanpa malu dan segan menuntut itu dan ini sehingga mencabar semangat Perlembagaan Persekutuan.

Slogan "perpaduan dalam kepelbagaian" telah disalahgunakan untuk menguatkan lagi identiti perkauman dan menampakkan lagi jurang budaya.

Akibatnya, rupa dan jati diri negara bangsa Malaysia makin caca-marba lantaran terlalu banyak bertoleransi.

Walaupun sudah diberikan taraf kerakyatan begitu mudah secara jus soli kemudian dibenarkan pula wujud sekolah aliran kaum; bercambahnya pelbagai akhbar dan saluran TV vernakular serta tidak pernah tercatat dalam sejarah hak ekonomi mereka dirampas, tetapi masih lagi berdegar-degar mendakwa mereka masih ditindas.

Berbeza benar apa yang berlaku di negara luar seperti Indonesia dan Thailand, kaum bukan pribumi mesti memiliki nama pengenalan diri yang rasmi serta bersekolah pula dalam satu sistem aliran sekolah kebangsaan. Tiada kompromi untuk benih perkauman bertunas. Hasilnya, walau di mana mereka berada, tetap kekal dengan identiti dan jati diri negaranya.

Mudah kita temui di stesen LRT atau komuter pelancong keturunan Cina Indonesia akan tetap berbicara dalam bahasa Indonesia begitu juga etnik Melayu Siam akan cenderung berkomunikasi dalam bahasa Thailand. Pengucapan rakyat Malaysia berbilang kaum, bagaimana pula?

Ada baiknya, dasar kenegaraan, kebudayaan dan pendidikan kita selama ini yang banyak berlemah-lembut 'dikeraskan' sedikit. Jika tidak, sampai bila-bila pun peringatan, nasihat mahupun amaran dari Raja-raja Melayu hanya dibalas dengan tindakan penolakan keras oleh golongan yang tidak pernah lembut hatinya untuk mengenang budi. Disediakan oleh:Mohd Arif Atan

Tuesday, October 5, 2010

"Mahu biar bangsa jadi bahan ketawa?"

“Senyum seindah suria yang membawa cahaya, senyumlah dari hati duniamu berseri”. Demikianlah antara lirik sebuah lagu yang mengajak rakyat Malaysia untuk murah dengan senyuman.Rasa senang hati, mesra dan gembira mengundang reaksi senyum dan ketawa tambahan pula apabila berdepan dengan keadaan, tindakan atau pengucapan yang lucu atau bersifat jenaka. Benar, hidup kita ini terlalu singkat untuk hanya berkerut dahi serius sepanjang hari asalkan sesuai dengan masa, tempat dan suasana.

Malah, Nabi Muhammad S.A.W pun diriwayatkan ada bergurau-senda dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda tetapi tidaklah sampai ketawa terbahak-bahak memadai sekadar menampakkan barisan gigi depan sahaja. Dari sudut kesihatan pula, tanpa mengeluarkan modal tekanan darah boleh turun sebaliknya meningkatkan kemasukan oksigen dalam darah dengan hanya melemparkan senyuman . Ini sekaligus menjauhkan kita daripada risiko tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok walaupun tidak dinafikan terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi tahap kesihatan seseorang.

Dalam masyarakat Melayu dahulu lagi unsur jenaka menjadi perencah hidup hingga mengundang minat penjajah Inggeris untuk mengumpulkan pelbagai kisah jenaka Melayu. Antaranya, buku “Cherita Jenaka” (1908) oleh R.O Winstedt (1878 – 1966) terbitan di Singapura yang memuatkan lima buah cerita iaitu kisah Pak Kaduk, Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Belalang dan Si Luncai. Watak-watak ini terdiri daripada yang pintar, dungu dan malang.

Cerita Mat Jenin pula dikatakan berasal dari sastera Hindu. Ada juga cerita jenaka yang banyak menerima tempias dari Arab seperti cerita Abu Nawas dan Musang Berjanggut. Malah, unsur jenaka juga banyak terkandung dalam pantun Melayu. Antaranya berbunyi “Limau purut di tepi rawa, Buah diranting belum masak, Sakit perut sebab tertawa, Melihat kucing duduk berbedak”.

Wayang kulit yang dikatakan salah satu seni drama rakyat juga turut menyelitkan unsur jenaka. Pengalaman penulis sendiri boleh terleka menonton persembahan wayang kulit sehingga tamat walaupun dalam loghat negeri Kelantan yang sesetengahnya kurang difahami kerana kesan lawak jenaka yang berjaya dihidupkan oleh Tok Dalang.

Dalam sejarah filem tempatan pula, P.Ramlee adalah penggiat filem tanah air yang telah terbukti mampu menggeletek penonton dan dalam masa sama menyampaikan nasihat kepada masyarakat.

Misalnya, teguran supaya kita menyapa individu lain dengan kata panggilan yang sopan dapat dilihat dalam filem ‘Seniman Bujang Lapok’ (1961). Ini selari dengan ingatan daripada pujangga Melayu masyhur, Raja Ali Haji (1809–1873) dalam gubahannya, Gurindam 12 yang berbunyi “Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihatlah kepada budi dan bahasa”.

Persoalannya, sejak kecil kita dibesarkan dengan kisah daripada watak-watak jenaka Melayu serta pelbagai filem P.Ramlee tetapi sejauh mana kita sedar terhadap teguran, nasihat, amaran atau pesanan yang disampaikan?

Selain itu, sejauh mana pula media kita bermula daripada majalah komik kegilaan remaja tidak terkecuali filem-filem komedi tempatan hari ini benar-benar mampu berjenaka serta dalam masa sama beradab, tidak menjatuhkan maruah orang lain serta mampu menyampaikan teguran dan nasihat secara berhemah kepada masyarakat?

Sedar atau tidak, cerita jenaka juga ada kaitan rapat dengan citra bahasa dan budaya sesebuah bangsa. Dalam sebuah negara yang berbangga dengan gagasan 1Malaysia, tidakkah kita harus berasa malu apabila terpapar di dinding perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini dengan petikan lawak jenaka yang datang dari budaya Inggeris dan dipaparkan pula dalam bahasa itu?

Tujuan KTMB untuk membuatkan para penumpangnya tersenyum dan terhibur memang tercapai tetapi penulis percaya bagi mereka yang peka tentang jati diri bangsanya hanya akan “senyum kambing” sahaja memikirkan rendahnya akal budi pihak yang membuat keputusan menampal dialog-dialog jenaka seperti yang dapat kita baca dalam majalah Reader’s Digest itu.

Dalam tekanan politik dan isu jenayah yang menakutkan hari ini, alangkah baiknya, jika pada hari ini kita diperdengarkan kembali dengan lagu-lagu yang menyenangkan hati serta dihidangkan dengan filem yang benar-benar “masak” bentuk dan fungsi jenakanya. Paling penting usah jadikan diri sebagai bahan ketawa orang lain yang jengkel melihatkan sikap kita tidak menghargai bahasa, budaya dan jati diri bangsa sendiri. Disediakan oleh:Arif Atan

"Bahasa Melayu Dihina di Bumi Melayu"

Saya teringat Demonstrasi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal tahun 1970-an di Kuala Lumpur dahulu, antaranya marahkan Kerajaan kerana iklan-iklan Bahasa Melayu di Kuala Lumpur ketika itu sangat kurang, iklan-iklan yang banyak dipaparkan adalah menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Itulah semangat Nasionalis Anwar.

Namun, Anwar sebagai Pemimpin De Facto PKR dan kononnya Pemimpin Utama Pakatan Rakyat ( namun kata Dato Seri Hj. Hadi Awang, Presiden PAS ) Tidak Ada Ketua dalam PR. Lihatlah negeri Pualau Pinang sekarang, papan-papan tanda sudah mula menyelitkan dan menggunakan Tulisan Mandarin. Di Klang juga menerima nasib yang sama, jika kita membawa kereta menuju ke Kg. Melayu Subang, kita akan terpandang Papan Tanda dalam tigaBahasa iaitu,Tulisan Rumi Melayu, Tulisan Mandarin, Tulisan Tamil.

Di mana Anwar dalam isu ini? Kenapa tiada Demonstrasi seperti tahun 1970-an dahulu? atau sekurang-kurangnya bantahan kepada Ketua Menteri Pualau Pinang Lim Guan Eng? Apakah Timbalan Ketua Menteri(KM) PPualau Pinang saudara Fairuz takut bercakap kepada KM Pulau Pinang?

Apakah Kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan negara kita? Jika hari ini mereka boleh buat seperti ini, bayangkan 30 tahun akan datang, bayangkan seluruh Papan Tanda di Pulau Pinang dan Selangor dipenuhi Tulisan Mandarin? Kita perlu ingat bahawa Bahasa Melayu adalah Bangsa Melayu. Menghina Bahasa Melayu bermakna menghina Bangsa Melayu. Namun inilah Perjuangan PKR yang dipimpin oleh Anwar. Moto mereka Keadilan dan Kesamarataan.

Jika Bahasa Melayu boleh ditulis di papan-papan tanda, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil pun mesti boleh juga. Lama-kelamaan akan lenyaplah bahasa Melayu seperti bahasa Sanskrit dan lama-kelamaan bangsa Melayu juga akan lenyaplah juga identitinya.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya UMNO, DBP, GPMS, dan semua yang cintakan bahasa Melayu tampil mengadakan Seminar/Simposium/Forum/Majlis Raja-Raja dan lain-lain lagi untuk mempertahankan Kedudukan dan Kedaulatan Bahasa Melayu di tanah air kita ini.

Kalau bukan kita siapa lagi? Tidak perlu buat Demonstrasi seperti yang dilakukan Anwar pada tahun 1970-an dahulu, lebih baik kita buat dengan cara berhemah, berdaulat, akademik,dan bijaksana.

"SELAMATKAN BAHASA MELAYU KERANA BAHASA MELAYU MELAMBANGKAN KEDAULATAN BANGSA MELAYU" Disuntin dari Jentayuabaka.

"Keyakinan Pulau Pinang Akan Merdeka"

LEE KUAN YEW dalam memorinya menulis untuk berjaya, Singapura mestilah memastikan hanya polisi kerajaan diikuti oleh rakyat 100%, Singapura hendaklah memastikan Pembangkang di Singapura tidak bernafas. Sebab itulah, para pembangkang di Singapura tidak akan mampu pergi ke mana melainkan disaman sampai bankrap, dipenjara, ditutup akhbar mereka sehingga pembangkang di Singapura dipastikan menjadi kecil, sekecil-kecilnya.

Sebelum Singapura merdeka dan keluar dari Malaysia, UMNO yang mewakili orang Melayu Singapura mempunyai tiga kerusi parlimen. Namun kebijaksanaan Lee Kuan Yew, memecah-mecahkan kawasan majoriti Melayu di Singapura, membina flat-flat dan dimasukkan, dipecah-pecahkan orang Melayu Singapura sehingga tidak ada satu pun kawasan majoriti Melayu di Singapura sekarang.

Di Pulau Pinang, antara yang dicontohi oleh kerajaan Pulau Pinang sekarang ialah menubuhkan Perbadanan Ketua Menteri ( CMI ). Tujuan CMI adalah untuk menghancurkan geopolitik orang Melayu di Pulau Pinang dengan sasaran utama ialah tanah-tanah wakaf Melayu.

Perkara ini,berlaku juga semasa para jurutera dan perancang bandar merencanakan bandaraya Kuala Lumpur beberapa tahun dahulu. Ketika tahun 1950-an dan 1960-an, orang-orang Melayu masih berada di kampung-kampung dan boleh dibilang dengan jari, dan tidak ada kelulusan langsung dalam bidang tersebut.

Maka siapakah yang memotong jalan, melencongkan sungai, membina jalan raya, membina jejambat melintasi dan memecah belahkan kampung-kampung Melayu di Kuala Lumpur. Kesannya selepas 40 dan 50 tahun apakah bentuk Kuala Lumpur hari ini. Majoriti kawasan Kuala Lumpur tidak lagi wujud kampung-kampung Melayu.

Di Pulau Pinang sekali lagi, Ketua Menterinya sekarang mendesak supaya jawatan portfolio pembangunan tanah diberi kepada beliau kerana tanah adalah senjata untuk menghalau keluar orang Melayu dari Pulau Pinang. Taktik ini sangat-sangat mirip dengan cara Lee Kuan Yew menghapuskan orang-orang Melayu di Singapura.

Lee Kuan Yew barangkali gagal menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu ketika dahulu, tetapi hanya dalam tempoh 40 tahun sahaja Pulau Pinang tidak lama lagi akan mengikui langkah Singapura. Ia sesuatu yang foreshadow namun PRU13 menunjukkan DAP sudah bersedia menjadi Perdana Menteri dengan bantuan PAS.

Penulis membaca dua buah buku iaitu "The Crisis Identity Of Malaysia" oleh Lim Kit Siang dan " Memoirs of Singapore" oleh Lee Kuan Yew. Kedua-dua pemimpin DAP dan PAP ini mempunyai satu sahaja cita-cita murni iaitu hendak menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Isunya, Jika Lim Guan Eng Perdana Menteri Malaysia yang paling pasti Dato Seri Anwar mahu pun Tok Guru Haji Hadi Awang tidak akan menjadi Timbalan Perdana Menteri di dalam usia 63 tahun sekarang. Malah Anwar dan Tok Guru Haji Hadi Awang tidak langsung menjadi Perdana Menteri, kerana di dalam buku itu, Lim Kit Siang menyatakan prinsip dan hasratnya bahawa semua kaum adalah sama dan sama rata.

Jika Lim Guan Eng menjadi Perdana Menteri Malaysia, anda harus berterima kasih kepada Anwar Ibrahim yang membawa jalan ke arah trend ini. Anwar dan Wan Azizah ataupun Dr. Syed Husin Ali adalah sekelipat pemimpin Melayu di dalam PKR. Majoritinya di dalam PKR sebenarnya adalah bukan Melayu.

Sudah pasti nasib PKR akan menjadi seperti GERAKAN, di mana GERAKAN diasaskan oleh Dr. Syed Hussin Ali tetapi akhirnya menjadi milik orang lain. DAP bangga bercakap pasal Demokrasi, namun sepertil juga PAP, Lee Kuan Yew mahupun Lim Kit Siang tidak mungkin meletak jawatan di dalam parti jika bukan anak mereka sebagai penggantinya. Anda mungkin tidak percaya. Disuntin oleh: Syuhairi (artikel Jentayubaka)


Thursday, September 30, 2010

"Elak musnah alam sekitar"

BARANGKALi ramai rakyat Malaysia tidak sedar bahawa 16 September adalah Hari Malaysia yang juga Hari Ozon Antarabangsa dengan tema tahun ini, 'Perlindungan Lapisan Ozon: Urus Tadbir dan Pematuhan Pada Tahap Terbaik.'

Sejak 1994, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memilih tarikh tersebut bagi memberi kesedaran kepada warga dunia bahawa perlindungan lapisan ozon daripada ancaman Bahan Pemusnah Ozon (BPO) tidak harus dipandang remeh.

Menariknya, tiga tahun sebelum lahirnya Hari Ozon Antarabangsa, Malaysia sudah 'berkempen' mengenai kepentingan memelihara lapisan ozon menerusi lagu Hijau dendangan Zainal Abidin dengan lirik ditulis oleh Mukhlis Nor.

Justeru, segenap lapisan masyarakat harus peka dengan isu perubahan iklim dan pemanasan global hari ini, tambahan pula Malaysia adalah salah sebuah negara ahli Protokol Montreal.

Bencana besar seperti tsunami di Asia, gempa bumi di Haiti serta banjir besar di Pakistan adalah petunjuk bahawa warga dunia sedang berdepan dengan ancaman perubahan iklim dunia.

Buktinya, Pentadbiran Hidupan Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) yang berpusat di Washington telah mendedahkan bahawa bumi telah mencatat suhu purata paling panas sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini mengatasi rekod suhu panas purata dalam tempoh sama, 12 tahun lalu.

Laporan terkini Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan Amerika pula mendapati bongkah ais di Artik, Antartika dan Greenland semakin mencair. Akibatnya, glasier berkurang serta paras laut meningkat sekali gus memberi impak besar kepada perubahan cuaca global.

Ini terbukti apabila wujud bacaan suhu luar biasa di beberapa kawasan di dunia.

Tempat yang sebelum ini panas mencatat suhu sejuk melampau seperti di selatan Amerika Selatan, tengah Rusia dan Australia manakala bahagian timur Eropah, timur Kanada dan timur Asia pula mengalami suhu panas ekstrem.

Soalnya, apa peranan kita bagi membantu memperlahankan impak pemanasan global hari ini?

Selaras dengan ketetapan Protokol Montreal, aspek penguatkuasaan mesti diberi perhatian bagi memastikan tidak wujud perdagangan haram dan penggunaan BPO seperti klorofluorokarbon (CFC), karbon tetraklorida (CTC) dan halon.

Rakyat Malaysia terutama pemodal dan pihak industri mesti 'diajar' untuk lebih berintegriti dalam memelihara alam sekitar, bukan semata-mata mengejar keuntungan sahaja.

Agensi berkaitan yang dikepalai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu kreatif berkempen, giat turun padang dan tegas melaksanakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menjahanamkan alam.

Pastikan pembangunan yang lestari menjadi keutamaan para perancang bandar. Tidak semua tempat apabila disebut pembangunan perlu didirikan hutan konkrit.

Kawasan tadahan hujan sedia ada pula biarlah kekal dengan ekosistem persekitarannya tidak diasak dengan kerakusan pembangunan.

Begitu juga kawasan tanah tinggi. Adalah perlu ditarah atas tiket perumahan, pertanian mahupun pelancongan seperti yang berlaku di Cameron Highlands, Pahang dan Gunung Jerai, Kedah.

Dalam masa sama, sektor industri dan ternakan berdekatan sungai atau sumber air mestilah dipindahkan segera. Disediakan Oleh: Arif Atan

"Bendung dua ancaman besar negara"

KITA baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-53 kemerdekaan negara dengan majlis peringkat nasional telah diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil. Buat pertama kali sambutan kemerdekaan tahun ini diadakan di kawasan tertutup tanpa pertunjukan bunga api, konsert dan perbarisan.

Pada ketika rakyat Malaysia gembira dan bersyukur dengan kemerdekaan yang dinikmati, ada pula pihak yang seperti sengaja menimbulkan provokasi. Jika sekali dua kita mampu untuk bersabar tetapi apabila serangan provokasi itu berterusan bukankah itu sudah sampai tahap ancaman?

Justeru, kerenah mereka inilah sama ada ancaman dari dalam mahupun luar negara perlu ditangani secara berhemah tetapi tegas sebagai sebuah bangsa yang bermaruah.

Pertama, ancaman dari luar negara. Terbaharu, reaksi oleh puak pelampau Indonesia yang gegak-gempita mahu 'menghidupkan' semula Ganyang Malaysia yang telah lama ditinggalkan semasa pemerintahan Sukarno dahulu.

Dengan memanggil Malaysia pencuri atau "maling" maka puak pelampau di sana telah memanggil tanah air berdaulat kita sebagai "Malingsia".

Entah di mana silapnya hubungan sejarah dan kebudayaan Malaysia dan Indonesia tidak mampu meredakan amarah mereka. Walaupun banyak persamaan ciri budaya tetapi masih tidak atau enggan difahami oleh 240 juta rakyat Indonesia.

Mereka sewenang-wenangnya melabel kemerdekaan kita tiada harga lantaran tidak dicapai secara kekerasan menggunakan buluh runcing seperti mereka.

Reaksi melampau mereka jelas sengaja menutup isu korupsi dalam kalangan pemerintah mereka sehingga memaksa jutaan rakyat republik itu mencari rezeki secara halal mahupun tidak serta menuntut ilmu di sini.

Berbeza ancaman dari luar, ancaman kedua iaitu ancaman dari dalam negara sendiri lebih bahaya lagi.

Ibarat gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut apabila ada segelintir rakyat negara ini menyalahgunakan dunia di hujung jari untuk menghina keseluruhan sistem kenegaraan dan institusi negara ini.

Mereka ini menganggap apa sahaja yang ada kaitan dengan Melayu semua salah sebaliknya mereka sahaja yang betul.

Adakah sikap tersebut baik untuk gagasan 1Malaysia? Buktinya, terpancar pada nada bongkak penuh biadap dan isyarat lucah dalam siri-siri klip video Namewee yang dimuat naik dalam laman YouTube.

Oleh itu, rakyat Malaysia perlu bersatu-padu mempertahankan kestabilan satu-satunya tanah air kita ini. Bagi menangani ancaman luar, kerajaan perlu mengoptimumkan hubungan diplomatik dan hubungan kebudayaan dengan negara asing.

Tidak kenal maka tidak cinta. Itulah sebabnya rakyat di negara jiran Indonesia misalnya harus diberikan pemahaman yang jelas mengenai apa sahaja isu semasa yang menyentuh hubungan dua hala negara serta aspek sosio-budaya Malaysia yang berbilang kaum.

Bagaimana dengan ancaman dalaman berbentuk suara rasis daripada sebilangan rakyat Malaysia sendiri?

Suka atau tidak, kita harus mengakui suara tidak puas hati yang kerap kali bernada perkauman timbul akibat kurangnya interaksi sesama kita terutama golongan muda sejak di bangku sekolah.

Oleh itu, bagi tujuan langkah panjang pentingnya semua pihak duduk berfikiran jernih untuk menerima dasar 1Sekolah 1Malaysia selepas ini. Hanya apabila semua anak Malaysia bersekolah di bawah bumbung yang sama iaitu sekolah kebangsaan, aspek perpaduan dan pembentukan negara bangsa dapat kita jayakan.

Ini penting untuk menggembleng modal insan dan sumber kekuatan kita pada masa akan datang seandainya suatu masa nanti 'letusan gunung berapi' iaitu ancaman dari luar tidak mampu kita dibendung lagi. Disediakan Oleh: Arif Atan

Saturday, January 16, 2010

Mencari formula perpaduan tulen

Penulis antara ribuan penonton yang baru-baru ini mengikuti sebuah program bual bicara di sebuah stesen televisyen yang mengupas topik berkaitan perpaduan.

Isu yang diketengahkan adalah baik bagi percambahan pendapat dan pemahaman rakyat berbilang kaum di negara ini iaitu mengenai nilai perpaduan.

Namun, penulis yakin penonton yang mengikuti diskusi tersebut sehingga tamat gagal menemui jawapan apakah formula yang dikatakan 'ampuh' untuk membentuk perpaduan tulen di negara ini.

Panel pertama yang merupakan seorang pensyarah universiti awam tersohor kelihatan mengambil pendekatan yang apologetik dan defensif. Panel kedua pula dilihat 'bijak' membawakan mesej kepelbagaian bahasa dan budaya atau kesamarataan.

Walhal, formula perpaduan tulen bagi mana-mana negara bangsa sudah terang lagi bersuluh iaitu penerimaan total atau tanpa rasa belah bahagi oleh seluruh rakyat terhadap bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan!

Jika diringkaskan dalam ayat Matematik, Bahasa Kebangsaan (BK) + Sekolah Kebangsaan (SK) > Perpaduan Tulen (PT).

Sebaliknya, jika hati payah menterjemahkan formula mudah ini dalam kehidupan sebuah negara, sampai hujung usia dunia pun kita akan bercakap isu yang sama pada tahap perbincangan paling asas dan tidak berubah.

Sedangkan, kita sepatutnya telah bijak untuk bercakap tentang isu perpaduan pada tahap yang lebih tinggi setelah 52 tahun bebas daripada pasungan kolonial.

Ironinya, dalam keghairahan sebelah pihak mahukan kecairan nilai budaya masyarakat majoriti, mereka pula bertindak mengukuhkan lagi benteng atau petak-petak kaum.

Contoh paling mudah. Apa yang anda dapat tafsirkan jika dalam iklan televisyen seperti Petronas, iklan jawatan kosong oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta lagu kempen Budi Bahasa Budaya Kita versi terkini, terkandung banyak bahasa di dalamnya untuk menyatakan mesej yang sama?

Selain itu, tidakkah hujah yang mendakwa murid di sekolah vernakular juga memiliki pencapaian baik dalam subjek Bahasa Melayu untuk mewajarkan penerimaan sekolah vernakular, selain SK merupakan satu hujah menipu?

Umum maklum bahawa sukatan kurikulum bagi subjek tersebut di sekolah vernakular jauh lebih rendah aras kesukarannya atau 'kacang' berbanding di SK.

Paling penting, usah lari daripada trajektori perbincangan. Sekolah vernakular sama sekali tidak menawarkan ruang darjah interaksi murid berbilang kaum yang tinggi berbanding dengan SK.

Isunya bukan setakat pencapaian gred yang baik bagi subjek Bahasa Melayu oleh murid sekolah vernakular tetapi sejauh manakah bahasa kebangsaan yang dikuasai oleh murid di institusi vernakular itu mampu diaplikasikan sebagai alat komunikasi dan perpaduan rakyat Malaysia!

Oleh itu, formula perpaduan tulen, BK + SK > PT mestilah disepakati dan diterima sepenuh hati. Usahlah sebelah pihak begitu apologetik tidak kena tempat manakala sebelah pihak lagi begitu tegar memanipulasi politik kaum dan sentimen pihak yang terlalu mudah mengalah itu.

Rakyat Malaysia yang jujur dan setia kepada negara ini harus menerima hakikat bahawa bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan adalah formula ampuh bagi mencapai perpaduan tulen rakyat Malaysia. Disediakan Oleh: Arif Atan

Wednesday, January 6, 2010

Memperkukuh sinar bahasa kebangsaan

PADA ketika kita teruja untuk memandang dan mara ke hadapan menjelang tahun baru 2010 tidak harus kita lupa untuk menoleh belakang. Memandang ke hadapan tanpa menoleh ke belakang hanya akan menyebabkan kita tersadung jatuh mengulang kesilapan silam.

Itulah sebabnya, dalam kita serius memperkatakan aspek ekonomi dan kemajuan negara, hal melestarikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa jiwa bangsa Malaysia tidak harus dipinggirkan.

Bermula dari Perdana Menteri hingga ke peringkat rakyat semuanya perlu sepakat meletakkan agenda mengangkasa bahasa kebangsaan sebagai keutamaan nombor satu.

Usaha rakyat Malaysia yang dikenali sebagai R. Malavzhi bersama suaminya, David Lear seorang rakyat Kanada mengendalikan Radio Kampungku dengan menyiarkan lagu-lagu dan temu bual bersama pendengar dalam bahasa Melayu amat dipuji dan patut dicontohi.

Malah, kepetahan David atau Daud berbahasa Melayu patut mencabar rakyat Malaysia yang masih lemah penguasaannya dalam bahasa kebangsaan. Tidak terkecuali segelintir perwakilan di Dewan Parlimen yang begitu lemah berbahasa kebangsaan!

Dalam masa yang sama, kemerosotan calon yang memperoleh gred A bagi subjek Bahasa Melayu dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini juga perlu diberi perhatian serius.

Adakah penurunan daripada 26.3 peratus tahun 2008 kepada 25.6 peratus tahun ini hanya kemerosotan "tidak ketara" yang cuma dipandang sebelah mata?

Beralih pula kepada penerbitan filem tempatan sepanjang tahun 2009. Sebanyak 26 buah filem telah ditayangkan dengan jumlah penonton sehingga awal Disember mencecah lebih 5 juta orang dan kutipan tiket berjumlah kira-kira RM50 juta.

Persoalannya, sejauh mana kuantiti yang dikatakan oleh penggiat filem di tanah air ini sebagai memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya juga berkualiti dalam menyumbang kepada pemerkasaan bahasa kebangsaan?

Ini memandangkan filem adalah antara agen budaya popular yang membentuk pemikiran, budaya dan jati diri rakyat negara ini. Masyarakat boleh 'rosak' jika sebahagian filem tempatan sarat dengan nilai buruk dibumbui dengan bahasa rojak dan penggunaan bahasa Melayu rendah.

Begitu juga dengan amalan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan seperti mesyuarat, ucapan, perbincangan pentadbiran, surat-menyurat, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas cadangan, pekeliling dan sebagainya.

Adakah Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 iaitu Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam benar-benar diterjemahkan dalam segala urusan rasmi di sektor awam sepanjang tahun ini?

Mengapa pula penggunaan bahasa asing di tempat awam seperti pada kain rentang, papan tanda, iklan dan premis perniagaan dilihat lebih menonjol berbanding bahasa kebangsaan dari segi saiz dan warna?

Adakah peranan membudayakan bahasa kebangsaan hanya terpikul di pundak Kementerian Pelajaran atau Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan semata-mata?

Tahun baru 2010 diharap menjanjikan sinar yang bergemerlapan buat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mengepalai ilmu, komunikasi dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia. Disediakan Oleh: Arif Atan