Thursday, December 2, 2010

"Hentikan bibit-bibit gadai Melayu"

Rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap sikap pihak tertentu yang bertindak secara nyata mahupun tidak nyata mencabuli hak bangsa Melayu dapat dilihat semasa Majlis Pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan: Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan pada 29 November lalu.

Wacana itu wajar kerap diadakan di seluruh negeri, malah sehingga di peringkat nasional bagi memberi kefahaman yang jelas kepada seluruh warga Malaysia mengenai sejarah pembentukan negara bangsa dan peradaban tanah air ini.

Ucapan dasar Presiden PKR baru-baru ini jelas satu bentuk taktik politik dalam menagih sokongan bukan Melayu, walhal mereka lupa bahawa dua pertiga kawasan Parlimen masih kekal dihuni pengundi Melayu/bumiputera.

Oleh itu, siapa sebenarnya yang sedang tersepit dan dalam masa sama untung di sebalik serangan bertali arus antara pihak yang menyokong ketuanan Melayu dengan pihak yang begitu dungu menolak konsep tersebut, seolah-olah selama ini orang Melayu jadi raja ekonomi dan orang bukan Melayu pula begitu teruk dianak tiri?

PKR dan begitu juga parti politik lain, jika benar memperjuangkan hak rakyat, mengapa tidak pula bersuara lantang 'menembak' parasit yang memecah-belahkan perpaduan bangsa Malaysia?

Mengapa para pemimpin parti politik tidak mengajak kepada perpaduan melalui asimilasi sebenar dengan mengajak kaum lain melenturkan rasa rasis dan cauvinis masing-masing serta akur dengan sejarah asal-usul mereka di negara ini. Bukan di sebaliknya, tidak habis-habis menyerang dan meminta orang Melayu pula terus bertolak-ansur, malah dilucutkan terus hak dan kepentingannya meskipun sudah termaktub dalam Perlembagaan?

Oleh itu, bibit-bibit ibarat barah penyakit yang mahu menggadai bangsa Melayu perlu dihentikan. Siri majlis berbentuk ilmu seperti yang telah dihadiri oleh Sultan Selangor itu perlu lebih kerap diadakan. Pada musim cuti sekolah ini, semua anak warga Malaysia perlu mengikuti kelas penguasaan bahasa, budaya dan kesenian Melayu sebagai identiti dan jati diri sebenar rakyat Malaysia.

Bidang penyiaran juga perlu dikawal daripada pelbagai lambakan program TV yang memaparkan segala budaya asing sehingga menenggelamkan jati diri bangsa sendiri. Siaran berita perdana pada pukul 8 malam di saluran TV misalnya yang terdapat dalam pelbagai bahasa dan jelas mengikut pola kaum tentu sahaja menyuburkan rasa perkauman sekali gus menolak secara senyap Gagasan 1Malaysia.

Penggunaan bahasa kebangsaan mesti meluas dalam semua bidang kehidupan termasuklah peringkat pengajian tinggi. Sekolah satu aliran sudah semestinya syarat wajib bagi mengelakkan Melayu tergadai.

Apalah erti ketuanan Melayu dan kedudukan tinggi bahasa kebangsaan di sisi Perlembagaan, jika bahasa Melayu, sekolah kebangsaan dan universiti yang sebelum ini telah terbukti berjaya memainkan peranan ditenggelamkan oleh bahasa dan institusi pendidikan asing?

Paling penting, pemimpin Melayu daripada mana-mana parti politik yang ghairah mahu menarik sokongan politik bukan Melayu. Usah jadi badut membiarkan orang lain bertepuk tangan ketawa melihat betapa bacul dan pengecutnya anda dalam memperkatakan yang hak berkenaan kepentingan orang Melayu.

Bibit-bibit yang membawa kepada keadaan bangsa Melayu tergadai semakin ketara dilihat dari sehari ke sehari. Apa erti semua ini kepada orang Melayu dan pribumi?

Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan