Sunday, March 22, 2009

"PPSMI, Umno, kerajaan, pejuang bahasa dan MCA"

PERISTIWA demonstrasi menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang membabitkan perarakan 5,000 penunjuk perasaan dari Masjid Negara ke Istana Negara Sabtu lalu bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong tidak wajar dipandang lekeh.

Perkara ini perlu dinilai dengan akal budi dan bukannya emosi seperti yang sering dilaungkan oleh tokoh politik yang bertanggungjawab dalam menangani kemelut ini dan juga kepimpinan Kementerian Pelajaran apabila berurusan dengan pejuang bahasa, sasterawan dan cendekiawan yang menolak PPSMI.

Jika Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berpendapat peristiwa Sabtu lalu sewajarnya menjadi pengajaran kepada orang awam agar mengelakkan diri mereka daripada diperalatkan, tetapi orang awam melihat sebaliknya; Umno perlu mengambil iktibar dengan kembali kepada perjuangan asal parti terbabit ketika ditubuhkan dulu!

Ini maklum balas yang penulis dapat ketika bersembang berhubung perkara ini dengan beberapa orang awam daripada pelbagai status quo dalam masyarakat, sama ada mereka orang bahasa mahupun tidak, apalagi kalangan sarjana yang mengikuti perkembangan isu penolakan PPSMI sejak suara protes mengenainya semakin lantang pada akhir tahun lalu.

"Umno kena balik kepada perjuangan asal iaitu menyuarakan pandangan majoriti Melayu kepada kerajaan seperti yang dilakukan parti komponen mereka dalam Barisan Nasional (BN), MCA yang memperjuangkan hak orang Cina meskipun mereka sebahagian daripada kerajaan.

"Umno jangan ingat bila mereka mengetuai kerajaan bahawa orang Melayu mesti dengar segala arahannya. Kerajaan dan Umno adalah dua perkara berbeza. Umno bukan kerajaan. Kerajaan bukan Umno. Umno adalah parti orang Melayu yang sepatutnya berfungsi memperjuangkan nasib dan mempertahankan hak bangsanya.

"Buang jauh-jauh kekeliruan selama ini bahawa Umno adalah kerajaan dan sebaliknya kerana Kerajaan Malaysia hakikatnya ialah Barisan Nasional yang dianggotai beberapa parti lain kecuali di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Suatu kesilapan besar apabila Umno berasa dirinya adalah kerajaan. Umno 'wajib' kembali ke pangkal jalan.

"Umno adalah parti politik yang mewakili orang Melayu dan sekiranya gagal berbuat demikian, orang Melayu akan lari ke parti lain seperti Pas dan PKR. Jangan persalahkan orang Melayu apabila tidak memihak kepada Umno. Orang Melayu berasa suara mereka tidak disampaikan kepada kerajaan apalagi diperjuangkan Umno sejak akhir-akhir ini," ujarnya.

Seorang sarjana bahasa pula melihat peristiwa Sabtu lalu tidak akan berlaku sekiranya Umno sudah mengambil langkah tegas ketika pertama kali Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang diketuai Datuk Dr Hassan Ahmad menyerahkan surat bantahan kepada Hishamuddin di Parlimen, baru-baru ini.

"Jawapan tidak tegas Hishamuddin pada pertemuan terbabit dengan kenyataan pandangan mereka akan diambil kira dan 'janji mulut' akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung tidak cukup meyakinkan bahawa suara hati mereka akan disampaikan kepada kerajaan.

"Mereka tidak boleh menunggu kerana tiada sebarang jaminan. Segala kemungkinan boleh berlaku pada Perhimpunan Agung Umno. Orang Melayu sudah tidak sabar menunggu dengan sikap Umno yang lembik dalam banyak hal. Umno yang sepatutnya memperjuangkan bangsa Melayu kini dilihat kerap melukakan hati mereka," ujarnya.

Sarjana bahasa ini juga yakin orang Melayu akan melihat kesungguhan Umno menyampaikan suara hati mereka kepada kerajaan sekiranya Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, hadir sama pada demonstrasi Sabtu lalu, sebagai tanda parti terbabit mengambil berat pandangan pejuang bahasa, sasterawan dan cendekiawan dalam hal PPSMI.

"Saya percaya Dr Hassan tidak menjemput pemimpin Pas untuk turut serta dalam demonstrasi. Mereka tidak boleh halang jika pemimpin Pas hadir sama bagi menjayakan rancangan menyerahkan Memorandum Bantahan PPSMI kepada Yang di-Pertuan Agong. Pas pula nampak isu ini boleh memberi kebaikan kepada mereka dan sebab itu tidak keberatan terbabit sama," jelasnya.

Sarjana ini melihat penolakan PPSMI bukan perkara pelik kerana Singapura menyaksikan bangsa Cina mahukan bahasa ibunda mereka digunakan dan bukannya Mandarin manakala di Amerika Selatan kelompok Hispanik mahukan keturunan mereka diajar dalam bahasa itu, sebelum beralih ke bahasa Inggeris secara meluas pada peringkat menengah.

"Malaysia boleh menggunakan pendekatan sedemikian sebagai satu cara penyelesaian kepada kemelut PPSMI, tetapi dengan syarat pelajar di sekolah rendah diajar dalam bahasa Inggeris dengan secukupnya menggunakan kaedah yang membantu mereka menguasai bahasa terbabit dengan baik dari segi lisan mahupun tulisan," tegasnya.

Pasti tokoh yang terkena tempias dengan pandangan yang diperturunkan ini marah atau melenting, tetapi penulis yakin pandangan yang tidak ingin didengar ini perlu diberi perhatian demi masa depan Umno agar tidak tampil sebagai parti yang sentiasa melukakan hati bangsanya, apalagi tiga pilihan raya kecil akan berlangsung; jangan sampai tewas lagi!. Disediakan Oleh:Salbiah Ani

"Umno, Pas Patut Fikir Kelangsungan Melayu"

SYOR penubuhan kerajaan perpaduan antara Umno dan Pas disambut baik ketika berdepan keadaan sosiopolitik tanah air mutakhir ini yang tidak menentu.

Sudah tiba masanya pemimpin dan masyarakat Melayu mengambil langkah terbaik untuk bersatu demi masa depan negara, bangsa dan agama.

Carilah titik persamaan, bukan asyik bertelagah atas perbezaan prinsip dan ideologi politik yang akhirnya menguntungkan orang lain.

Pada masa sama, eloklah diketepikan rasa taksub pada politik kepartian yang merugikan orang Melayu.

Jika sebelum ini orang Melayu boleh bertolak ansur dengan bukan Melayu, mengapa tidak nilai murni itu diterjemahkan pula dalam menjalin persefahaman sesama bangsa pula? Malah, sama ada 'orang Umno' atau 'orang Pas,' mereka berdiri atas persamaan pegangan agama yang sama.

Gabungan kedua-dua parti politik terbesar Melayu selama ini dirasakan kian mendesak supaya orang Melayu tidak diperalat pihak yang cenderung mengambil kesempatan berikutan longgarnya perpaduan Melayu.

Dari segi strategi politik, kerajaan campuran Umno dan Pas setidak-tidaknya dapat 'mengajar' golongan pelampau perkauman di negara ini bahawa segala hal berkaitan Melayu dan Islam tidak boleh sewenang-wenangnya diperlekehkan.

Selama ini tidak pernah kepemimpinan Melayu, sama ada Umno atau Pas mendiskriminasi hak bukan Melayu. Segala kehendak mereka dituruti.

Ironinya, mereka seperti sikap sudah diberi betis hendakkan paha dan dari semasa ke semasa mencabar hak Melayu dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan.

Jika kita lihat bagaimana 'tangan' DAP di sebalik pentadbiran kerajaan negeri Perak sebelum ini dan Selangor dan 83 tuntutan ekstrim Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) menjelang pilihan raya umum 1999 lalu berlaku pada ketika orang Melayu sedang parah berpecah-belah.

Hakikatnya, impian untuk melihat gabungan Umno dan Pas menjadi kenyataan hanya akan berlaku jika kedua-dua pihak pemimpin dan penyokong tegar kedua-dua parti itu saling bertolak-ansur. Kekurangan atau kelemahan harus diperbaiki dan dibawa berunding.

Paling nyata, Pas perlu berhati-hati dengan prinsip `Islam untuk semua' supaya tidak berlaku keadaan 'ayam di kepuk mati kelaparan, itik di kolam mati kehausan' memandangkan orang Melayu adalah majoriti penganut Islam negara ini.

Umno pula usah begitu bersifat materialistik dan memikirkan kepentingan diri dan kuasa semata-mata.

Pada masa sama, gabungan itu juga sebenarnya membolehkan kedua-dua pihak saling mempelajari kekuatan dan kelebihan masing-masing.

Umno misalnya perlu mengakui Pas memiliki pengikut berdaya juang tinggi tanpa banyak dipengaruhi mentaliti wang. Apa pun, diharap gabungan Umno dan Pas kelak bukan bersifat 'hangat-hangat tahi ayam' seperti pada 1974 apabila Pas pernah dibawa masuk untuk menyertai BN ketika itu.

Sebaliknya, gabungan itu perlu padu dan mantap untuk kepentingan orang Melayu dan memartabat agama Islam serta kestabilan sosial rakyat Malaysia pelbagai kaum memandangkan Melayu menduduki komposisi penduduk paling ramai di negara ini.

Jika kedudukan politik, ekonomi dan sosial orang Melayu dibiarkan goyah, mustahil kaum lain dapat menikmati kehidupan selesa di negara yang bertuah ini. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

"Meruntuhkan Sempadan Perkauman"

AKHIRNYA Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo digantung 12 bulan daripada hadir ke sidang Dewan Rakyat. Bapanya, Karpal Singh pula berdepan dengan Akta Hasutan.

Perkembangan tersebut harus menyedarkan semua pemimpin bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya bersikap melampaui batas ketika berada di dalam Dewan Rakyat.

Kapasiti mereka ialah sebagai wakil rakyat bukannya wakil diri sendiri apatah lagi wakil parti. Oleh itu, tidak sepatutnya sentimen sempit kepentingan diri terbawa-bawa sehingga mengatasi kepentingan rakyat yang diwakili.

Timbul persoalan apabila melihatkan gaya bercakap yang kasar dan sesetengahnya secara tersirat mempertikai dan menghina orang Melayu semasa bersidang. Adakah apa yang dilakukan itu boleh membantu rakyat di kawasan yang mereka wakili?

Malangnya, perangai buruk individu bergelar "Yang Berhormat" itu semakin menular di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Mereka kebanyakannya sudah tidak lagi berhemah ketika berbicara sebaliknya cenderung bercakap kasar dan tidak menghormati orang lain semasa melontarkan pandangan.

Keadaan ini dapat dilihat dalam sebahagian laman blog aliran kiri serta ruangan komen pengunjung di laman maya seperti YouTube.

Lebih dahsyat apabila golongan yang penulis anggap sebagai "komunis siber" ini bebas menyerang dan menghina orang Melayu daripada semua sudut menggunakan 'senjata' seperti bangsa Malaysia, keadilan dan hak asasi manusia sebagai alasan.

Oleh itu, gejala komunis siber ini perlu ditangani segera melalui langkah jangka pendek oleh pihak berkaitan seperti tindakan undang-undang yang bersabit mengganggu keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Dalam masa yang sama, langkah jangka panjang juga perlu difikirkan untuk dilaksanakan. Sejauh mana kita berusaha mengintegrasikan masyarakat pelbagai kaum di negara ini melalui bahasa kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan?

Peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan seperti yang sudah dilihat mantap berlaku sekitar dekad 1980-an sehingga awal 1990-an harus dijana semula.

Suka atau tidak bahasa Melayu itulah sahaja yang wajib diterima oleh seluruh rakyat termasuk pemimpin pelbagai kaum.

Rakyat Malaysia harus sedar perpaduan tulen dapat diwujudkan atas penegasan kita membudayakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia.

Perlu ditegaskan, perpaduan hanya dapat dicapai apabila sempadan kaum dapat diruntuhkan dalam pertembungan pelbagai budaya yang hebat berlaku sekarang ini. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan