Thursday, January 8, 2009

"Nasional @ 1 Bahasa Mandarin Tidak Bersifat Nasional?"

Adakah sesuai berita Nasional @ 1 bahasa Mandarin jam 8 malam sekarang dilabelkan sebagai ‘nasional’? Tinjauan penulis terhadap siaran berita di TV1 tersebut pada Isnin lalu (5 Januari) dapat menjawab persoalan tersebut.

Slot berita pada hari itu dimulakan dengan hari pertama persekolahan bagi kawasan Lembah Kelang. Apa yang diberi penekanan ialah liputan mengenai pembukaan semula SJKC Chung Hwa di Damansara selepas ditutup sejak 8 tahun lalu.

Hampir 10 minit pertama sahaja adalah tentang kemasukan murid ke sekolah tersebut yang turut ‘dimeriahkan’ dengan kehadiran seorang menteri dan iringan tarian singa.

Pembukaan sekolah tersebut setelah ditutup sejak tahun 2001 sebenarnya kemenangan mereka yang selama ini mendesak supaya sekolah itu dibuka semula. Tindakan menutup sekolah itu sebelum ini dipolitikkan sehingga dicop sebagai perkauman sedangkan pada masa yang sama mereka sebenarlah yang kuat perkaumannya.

Melihatkan orientasi laporan berita itu yang turut menyelitkan temubual bersama guru dan ibu bapa yang kelihatan begitu gembira dan bersemangat, tidakkah terlintas di fikiran kita betapa kuatnya unsur perkauman yang telah diketengahkan?

Di mana pula ciri nasional yang dimiliki oleh siaran berita berbahasa Mandarin itu apabila laporan berita selepas itu juga masih berlegar kepada kepentingan kaum bukannya kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia ?

Ini dapat dilihat pada laporan yang memetik kenyataan T.Murugiah bahawa kerajaan bersedia menanggung sepenuhnya sekolah jenis kebangsaan jika status sekolah bantuan modal ditukar kepada bantuan penuh.

Hanya selepas itu baharu ada berita tentang tindakan kerajaan meluluskan bantuan 1 juta Dollar AS kepada mangsa jenayah perang Palestin disusuli dengan saranan Dr. Mahathir agar menghentikan hubungan dagang dengan Amerika.

Jika berita bercorak nasional diletakkan selepas berita berbaur perkauman, adakah masih layak untuk siaran tersebut dianggap sebagai berita yang nasional sifatnya?

Itulah sebabnya berita bukan dalam bahasa kebangsaan tidak wajar diwujudkan lantaran tidak secocok untuk diangkat sebagai berita nasional. Ini kerana liputan beritanya lebih menjurus kepada kelompok kaum bukannya melibatkan kepentingan kolektif sebuah bangsa Malaysia .

Berbeza dengan berita bahasa kebangsaan pada jam 8 malam iaitu ketika masa perdana, corak pemberitaannya adalah nasional dan Malaysia sifatnya.

Oleh itu, bara perkauman melalui saluran berita sebagai sumber maklumat yang terkurung dalam tempurung perkauman tidak harus dibiarkan.

Memetik perumpamaan dalam Hikayat Malim Deman:

Bagai pucuk dilancarkan,
Bagai kumbang putus tali,
Pening kapal bagai dibaji,
Sakit hati bagai digunting.

Hakikatnya, siaran berita selain daripada bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi pada waktu perdana tidak wajar diteruskan.

Kegagalan rakyat berbilang kaum di tanah air ini untuk berkongsi maklumat dalam bahasa milik semua rakyat negara ini iaitu bahasa kebangsaan bererti kegagalan kita memupuk perpaduan bangsa Malaysia . Disediakan Oleh: Arif Atan

2 comments:

Anonymous said...

Tidak relevan langsung berita berbahasa Mandarin disiarkan pada waktu perdana dan disaingkan dengan siaran berita nasional.

Berita berbahasa Mandarin tentunya tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Apa motifnya disiarkan pada waktu sedemikian.

Siaran yang 'bertaraf asing' patutnya ditayangkan pada waktu tengah malam dan ke atas. Manakala yang bertaraf 'tempatan dan kebangsaan' disiarkan pada pada waktu perdana.

Diharap cadangan ini mendapat perhatian kerajaan. Ini bertujuan meninggikan martabat dan keperkasaan kebudayaan kebangsaan negara.

Penobatan ini amat mendesak kini kerana resolusi Dasar Kebudayaan Kebangsaan masih tidak menyerlah walaupun ia telah wujud sejak 1971.

demi bangsanegara said...

Kaum bukan Melayu jangan terlalu taasub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Justeru, biarlah berita berbahasa Mandarin atau Tamil dimansuhkan daripada disiarkan di televisyen. Sebagai warganegara, utamakan bahasa negara yakni bahasa Melayu dan bukannya bahasa-bahasa lain.