Thursday, January 8, 2009

"Kemerosotan Nilai Ekonomi Bahasa Melayu"

Akibat pendewaan bahasa Inggeris oleh beberapa pemimpin Negara dan keraguan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebagaimana yang terselah dalam perlaksanaan PPSMI, maka pihak swasta dan kerajaan sudah mula menumpukan pengambilan tenaga kerja iktisas mereka kepada siswazah yang lulus dari aliran Inggeris kerana hendakkan kefasihan dalam bahasa Inggeris. Kecenderungan atau pola ke arah lulusan aliran Inggeris ini akan membawa kesan yang tidak diingini kepada Pengajian Melayu.

Dengan jatuhnya nilai ekonomi bahasa Melayu dan bertambah kurangnya peluang untuk mendapat pekerjaan bagi mereka yang lulus dari aliran Melayu, maka daya tarik Pengajian Melayu juga akan menurun. Lazimnya pelajar akan memilih bidang pengajian yang akan menjamin masa depan mereka. Perlu diingat bahawa pada masa nilai ekonomi Bahasa Melayu merosot pada pertengahan hingga akhir 1960-an dahulu, ibu bapa Melayu sendiri tidak memasukkan anak mereka kesekolah aliran Melayu, sebaliknya ke aliran Inggeris. Sebagai contoh, Sekolah Melayu Pusing, Perak terpaksa ditutup kerana kekurangan murid. Ada sekolah yang mengalami kekurangan kemasukan murid darjah satu hingga jumlah darjah satunya menurun dari sepuluh, pada satu tahun, menjadi lima pada tahun berikutnya.

Kemerosotan nilai ekonomi bahasa Melayu ini juga akan membawa kesan buruk kepada Pengajian Melayu dari segi daya tariknya untuk mendapatkan tajaan penyelidikan dari syarikat-syarikat besar.

Perkembangan pendidikan aliran Inggeris yang dilhat menghadkan penggunaan bahasa Melayu juga dilihat akan menjejaskan usaha kearah memupuk kebudayaan kebangsaan dan perpaduan kebangsaan. Seterusnya, ia akan membawa kesan yang tidak diingini dari segi pembentukan jati diri dan bangsa Malaysia.

Dengan sebegitu ramai belia kita dan ibu bapa mereka disogokkan dengan pemikiran yang mendewakan bahasa Inggeris dan dengan menggalakan pendidikan aliran China, maka sikap kebanyakan mereka terhadap kebudayaan kebangsaan akan terjejas kerana kebudayaan kebangsaan berteraskan kebudayaan bumiputera yang berlandaskan bahasa Melayu.

Pelbagai lagi kesan yang tidak diingini telah, sedang dan akan berlaku akibat perkembangan yang terlampau pesat dalam pendidikan aliran Inggeris dan kemungkinan timbulnya akibat yang sama dalam perkembangan pendidikan aliran China. Selain menjejaskan perkembangan bahasa Melayu, memerosotkan nilai ekonomi bahasa Melayu, menjejaskan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan mengurangkan keberkesanan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, keadaan ini juga turut memburukkan lagi ketidakseimbangan dari segi penyediaan tenaga iktisas di antara bumiputera dengan bukan bumiputera, memperluaskan lagi jurang ketidakseimbangan ekonomi antara kaum dan mengurangkan kemungkinan pergaulan antara kaum, dan ini akan menyukarkan perpaduan kebangsaan kerana terlahir sukurang-kurangnya dua kumpulan, iaitu aliran kebangsaan dan aliran Inggeris. Disediakan Oleh: Mohd Syuhaidi

1 comment:

aima said...

assalamualaikum....
bolehkah saya bertanyakan soalan..?
bagaimanakah inovasi blog dalam perkembangan bahasa melayu..?
adakah ianya mampu mempengaruhi sosio budaya masyarakat melayu masa kini terutamanya generasi muda dan juga perkembangan ekonomi negara?