Wednesday, January 14, 2009

"Implikasi Polemik Ketuanan Melayu"

Ketuanan Melayu, Ketuanan Rakyat,
Makna dan maksud perlu dihurai,
Jangan sampai masuk perangkap,
Ketagih pangkat bangsa tergadai.

Apakah implikasinya, dan apakah akibatnya, bila seorang pemimpin politik Melayu menolak istilah atau konsep 'Ketuanan Melayu' dan menggantikannya dengan 'Ketuanan Rakyat.' Beberapa jawapan terhadap soalan tersebut telah disuarakan dalam Seminar Ketuanan Melayu di Melaka awal minggu lalu.

Antara jawapan tersebut ialah: Sedar atau tidak, pemimpin politik Melayu itu telah memberi 'bola tanggung' kepada orang lain untuk melakukan Malay bashing sehingga bukan sahaja pemimpin politik berkenaan, malah seluruh bangsa Melayu telah 'terperangkap' dan terjerumus ke dalam satu polemik yang tidak pasti manfaatnya.

Malay bashing dalam konteks ini bolehlah diertikan sebagai 'menggodam Melayu' atau 'menyerang, mencerca dan mengutuk Melayu, manakala 'memberi bola tanggung' adalah satu istilah dalam permainan sepak takraw atau badminton yang bermaksud memberi peluang mudah kepada lawan melakukan serangan (smashing) yang sukar ditangkis.

Para peserta seminar tersebut kesal dan terkilan kerana perbuatan Malay bashing itu dilakukan secara terang-terang atau secara berselindung bukan sahaja oleh orang bukan Melayu, malah sesetengah orang Melayu sendiri. Beberapa kertas kerja mengambil perhatian perbuatan mengungkit-ungkit apa yang dianggap sebagai 'keistimewaan Melayu' dalam sistem politik dan pemerintahan negara.

Turut digodam dan diserang ialah Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai matlamat serampang dua mata "membasmi kemiskinan dan menyusum kembali masyarakat." Secara berkias atau berterus terang perbuatan Malay bashing itu juga turut mempersoalkan beberapa peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Negara. Juga dipersoalkan status bangsa Melayu sebagai penduduk asal negara ini.

Judul lengkap seminar tersebut agak panjang yang dengan sendirinya boleh menjadi satu polemik, iaitu: "Seminar Nasional Ketuanan Melayu - Konsep dan Cabaran dalam Pembinaan Negara Bangsa dan Berdaulat." Seminar dianjurkan oleh Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (KADMDI) dan dihadiri oleh lebih kurang 100 orang terdiri daripada ahli-ahli akademik, budayawan, guru-guru sekolah dan pegawai kerajaan dari serata Semenanjung.

Saya sendiri dapat kesan bahawa yang mencetuskan inisiatif menganjurkan seminar itu ialah perbuatan Malay bashing. Kerana itu tidak hairanlah bila perbincangan sepanjang seminar bercampur baur antara emosi yang meluap-luap dan analisis yang jitu dan mantap.

Antara perkara yang dipersoalkan dalam beberapa kertas kerja ialah penggunaan istilah 'ketuanan Melayu' yang oleh sesetengah pihak telah diberi pengertian yang menyeleweng dan mengelirukan, apa lagi bila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan istilah Malay supremacy atau Malay dominance atau Malay hegemony.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Burhan dalam kertas kerjanya berhujah bahawa penggunaan ungkapan-ungkapan Inggeris itu sebagai terjemahan untuk ungkapan 'ketuanan Melayu' telah menimbulkan kekeliruan di kalangan bukan Melayu yang mentafsirkannya (atau menyalah tafsirkannya?) dalam konteks hubungan 'tuan' dan 'hamba' atau lord vs serfs/ slaves.

Lanjutan daripada takrifan yang menyeleweng itu, apa saja yang berlabel Melayu terus digodam dan diserang dan dituduh sebagai 'perkauman.' Ini termasuklah perjuangan politik Melayu, pemerkasaan bahasa Melayu, pembaikan ekonomi Melayu dan penggunaan simbol-simbol budaya Melayu seperti keris. Malah beberapa fasal dalam Perlembagaan Malaysia yang dianggap 'memihak' kepada Melayu juga turut dipersoalkan secara langsung atau secara berkias.

Demikianlah implikasi dari tafsiran yang salah itu diheboh-hebohkan untuk memberi justifikasi Malay bashing dengan melakukan pelbagai tuduhan yang tidak munasabah terhadap bangsa Melayu serta mengungkit-ungkit isu sensitif yang menimbulkan ketegangan hubungan kaum.

Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, Pemegang Kerusi Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris juga mempersoalkan terjemahan istilah 'ketuanan Melayu' itu ke dalam bahasa Inggeris yang menggambarkan bangsa Melayu itu sebagai racist yang seakan-akan menyamai puak pelampau Klu Klux Klan di Amerika Syarikat yang mengaku kaumnya sebagai sangat istimewa dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum-kaum lain.

Lanjutan daripada takrifan yang salah terhadap ungkapan 'ketuanan Melayu' itu beberapa pihak, termasuk pimpinan tertinggi negara terpaksa mencari ungkapan alternatif yang diperkirakan akan membawa maksud dan makna yang lebih tepat.

Semuanya secara tidak langsung mengingatkan supaya polemik ketuanan Melayu itu dianggap sebagai 'loceng peringatan' atau wake up call.

Loceng peringatan itu memberi amaran bahawa musuh Melayu sekarang bukan sahaja hendak menggodam dan menyerang dari luar tetapi sudah semakin banyak musang berbulu ayam atau ular menyerupai belut yang hendak mematuk dari dalam. Disediakan oleh: Mohd Syuhaidi (Petikan daripada Rencana -Utusan)

No comments: