Sunday, January 25, 2009

Barack Obama Jamin Dunia Aman?

RIBUAN rakyat Amerika Syarikat (AS) yang berkumpul di dataran Washington serta jutaan warga dunia menyaksikan majlis angkat sumpah Barack Obama sebagai Presiden AS ke-44 pada 20 Januari lalu. Masing-masing berharap agar Presiden baru itu tidak membawa gaya 'samseng' dalam dasar luar AS.

Persoalannya, wajarkah warga dunia meletakkan harapan tinggi bahawa dasar luar negara itu akan berubah di bawah presiden kulit hitam berusia 47 tahun itu?

Adakah 'Amerika Baru' di bawah kepimpinan Obama benar-benar konsisten dengan pendiriannya untuk mewujudkan suasana aman bagi masyarakat sejagat? Ini kerana Presiden AS sebelum ini lebih cenderung bersikap unilateral dan ketenteraan terhadap pihak yang tidak sealiran dengannya.

George W. Bush yang sinonim dengan 'kasut' tidak pernah peduli ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan dunia lain. Jika tidak, sudah tentu Iraq dan Afghanistan tidak akan diganyang.

Ini termasuklah sikap berdiam diri pihak AS terhadap pencerobohan Israel selama 22 hari bermula 27 Disember lalu ke atas bumi Gaza. Oleh itu, lupakan impian untuk melihat dasar luar AS akan berubah. Meskipun, presidennya berubah tetapi dasarnya tetap sama.

Selagi pelobi politik, ekonomi dan media di belakang Obama adalah kelompok yang sama, selagi itulah hasrat kita untuk melihat dasar luar AS berubah hanya tinggal mimpi. Apa yang patut diberi penekanan ialah strategi politik negara-negara Arab atau Islam sendiri yang mesti berubah. Persaudaraan dan muafakat sesama mereka mesti benar-benar utuh, kukuh dan teguh.

Jumlah 1.4 bilion umat Islam sejagat pula mesti kuat dari segi pendidikan, ekonomi, maklumat dan ketenteraan.

Apabila negara-negara dan umat Islam kuat maka tidak perlulah lagi bergantung kepada 'orang' lain. Kita semua perlu bangun dari angan-angan bahawa Obama adalah Presiden AS bukannya Presiden Dunia.

Obama lama-kelamaan akan tunduk kepada kuasa pelobi di negaranya meskipun mungkin nalurinya tidak bersetuju. Oleh sebab itu, Obama tidak boleh diharap seratus peratus untuk membawa damai di bumi Asia Barat.

Sebaliknya, pemimpin Tanah Arab sendiri perlu keluar dari kurungan 'jubah keegoan' dan mementingkan kuasa semata-mata.

Sikap khianat, bacul dan pengecut pemimpin Arab sebelum ini melihat bangsa mereka sendiri di Gaza disembelih oleh pelampau Yahudi Zionis juga mesti dibuang. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

No comments: