Monday, April 6, 2009

"Pastikan Kampung Baru kekal hak Melayu"

PELANCARAN projek pembangunan Puncak Baru di Kampung Baru oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilihat akan membawa kemajuan kepada perkampungan Melayu di tengah ibu kota itu.

Niatnya murni untuk pembangunan. Namun adakah setiap ruang di dalam dua menara Puncak Baru, iaitu unit-unit kondominium setinggi 60 tingkat, 40 tingkat unit pejabat dan tiga tingkat ruang beli-belah akan dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu?

Pembinaan Puncak Baru di atas tanah seluas kira-kira 1.5 hektar milik DBKL itu juga dikatakan bakal menjadi pencetus kepada pembangunan keseluruhan Kampung Baru selepas ini.

Namun, adakah pembangunan yang diharapkan itu dapat menjamin hak orang Melayu untuk terus menjadi tuan punya ke atas tanah seluas 96 hektar di kampung warisan Melayu tersebut?

Hakikatnya, orang Melayu telah lama berputih mata apabila proses pembandaran tidak banyak menguntungkan mereka sebaliknya cenderung mengikis hak milik dan penempatan masyarakat Melayu.

Oleh itu, pembangunan di Kampung Baru perlu dirancang dengan teliti agar tidak ubah seperti "menang sorak, kampung tergadai".

Ini bukan soal perkauman sebaliknya berkait rapat dengan prinsip adil iaitu meletakkan sesuatu itu benar pada hak. Memastikan pembangunan di Kampung Baru 'dipulangkan' kepada orang Melayu adalah adil kerana tanah itu adalah milik Melayu bukannya milik orang lain.

Malah, ungkapan popular seperti "demi kepentingan Melayu" tidak akan bermakna jika soal hak milik tanah Melayu gagal dipertahankan. Sebarang rancangan pembangunan membabitkan tanah milik Melayu bukan sahaja di Kampung Baru tetapi di seluruh negara ini harus diusahakan tanpa mengecilkan rizab Melayu.

Pastikan kemajuan yang dibawa membolehkan orang Melayu 'menang sorak' dan juga 'menang hak' apabila kampung serta tanah miliknya sentiasa terpelihara.

Memandangkan Kampung Baru terletak dalam lubuk emas maka tujuan membangunkannya mestilah ikhlas dan bukan hanya memenuhi kehendak kapitalis yang buta akan masa depan bangsa.

Oleh itu, semua pihak daripada kalangan pemimpin politik, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), para pelaksana dasar serta orang perseorangan wajib memastikan pemodenan tidak sama sekali meminggirkan orang Melayu daripada menikmati kemajuan yang diuar-uarkan. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

No comments: