Thursday, May 14, 2009

"Rakyat Muak Kemelut Politik di Perak"

UMPAMA ‘gajah bergaduh dengan gajah, pelanduk mati di tengah,’ itulah kesimpulan yang dapat kita lihat di Perak.

Apa yang berlaku sekarang memperlihatkan betapa kuasa dan pangkat membunuh semangat dan ukhuwah kita semua bukan saja sebagai satu bangsa, malah satu agama.

Kita sudah mula lupa yang kita sebenarnya bersaudara dalam satu keluarga. aya mewakili majoriti rakyat Perak tidak mahu melihat keadaan itu berterusan yang akhirnya bukan saja merugikan seluruh rakyat, malah maruah negeri tercinta ini turut menjadi bahan ketawa masyarakat.

Secara peribadi, sebagai anak Perak saya malu dengan apa yang berlaku dan saya yakin rakyat keseluruhannya turut berkongsi perasaan yang sama.

Saya mencadangkan pertemuan tertutup tiga penjuru membabitkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Sultan Perak dan menampilkan mufti sebagai penasihat untuk berbincang langkah yang perlu dilaksanakan bagi merungkai kemelut itu daripada berterusan.

Semua ini akhirnya akan membawa kepada satu keputusan yang menjadi penentu kepada masa depan rakyat Perak. Kami anak Perak sudah muak dengan apa yang berlaku.

Umpama kapal dua nakhoda, ke kiri pun tidak, ke kanan pun tidak, akhirnya karam di tengah lautan. Nakhoda hilang entah ke mana, rakyat terkapai-kapai mencari tepian.

Berbincanglah secara baik dan rasional bagi mencari jalan penyelesaian dan jangan sesekali mengetepikan kepentingan rakyat.

Selama ini rakyat dipinggirkan dalam banyak isu, sama ada pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Rakyat hanya diperlukan ketika pilihan raya. Ketika itu kami dirayu dan ada kalanya ada imbuhan tertentu bagi memenangi hati kami.

Hakikatnya, bukan itu yang kami mahukan. Undi kami ikhlas dan tiada nilai dengan imbuhan diberi.

Apa yang kami mahukan adalah pikullah tanggungjawab itu dengan jujur dan amanah, susah senang bersama untuk membangunkan Perak tercinta.

Kembalikan kesejahteraan Perak sebagai negeri yang kaya dengan budaya dan terkenal dengan budi bahasa. Disediakan Oleh: Nasir Yusof

No comments: