Wednesday, January 6, 2010

Memperkukuh sinar bahasa kebangsaan

PADA ketika kita teruja untuk memandang dan mara ke hadapan menjelang tahun baru 2010 tidak harus kita lupa untuk menoleh belakang. Memandang ke hadapan tanpa menoleh ke belakang hanya akan menyebabkan kita tersadung jatuh mengulang kesilapan silam.

Itulah sebabnya, dalam kita serius memperkatakan aspek ekonomi dan kemajuan negara, hal melestarikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa jiwa bangsa Malaysia tidak harus dipinggirkan.

Bermula dari Perdana Menteri hingga ke peringkat rakyat semuanya perlu sepakat meletakkan agenda mengangkasa bahasa kebangsaan sebagai keutamaan nombor satu.

Usaha rakyat Malaysia yang dikenali sebagai R. Malavzhi bersama suaminya, David Lear seorang rakyat Kanada mengendalikan Radio Kampungku dengan menyiarkan lagu-lagu dan temu bual bersama pendengar dalam bahasa Melayu amat dipuji dan patut dicontohi.

Malah, kepetahan David atau Daud berbahasa Melayu patut mencabar rakyat Malaysia yang masih lemah penguasaannya dalam bahasa kebangsaan. Tidak terkecuali segelintir perwakilan di Dewan Parlimen yang begitu lemah berbahasa kebangsaan!

Dalam masa yang sama, kemerosotan calon yang memperoleh gred A bagi subjek Bahasa Melayu dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini juga perlu diberi perhatian serius.

Adakah penurunan daripada 26.3 peratus tahun 2008 kepada 25.6 peratus tahun ini hanya kemerosotan "tidak ketara" yang cuma dipandang sebelah mata?

Beralih pula kepada penerbitan filem tempatan sepanjang tahun 2009. Sebanyak 26 buah filem telah ditayangkan dengan jumlah penonton sehingga awal Disember mencecah lebih 5 juta orang dan kutipan tiket berjumlah kira-kira RM50 juta.

Persoalannya, sejauh mana kuantiti yang dikatakan oleh penggiat filem di tanah air ini sebagai memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya juga berkualiti dalam menyumbang kepada pemerkasaan bahasa kebangsaan?

Ini memandangkan filem adalah antara agen budaya popular yang membentuk pemikiran, budaya dan jati diri rakyat negara ini. Masyarakat boleh 'rosak' jika sebahagian filem tempatan sarat dengan nilai buruk dibumbui dengan bahasa rojak dan penggunaan bahasa Melayu rendah.

Begitu juga dengan amalan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan seperti mesyuarat, ucapan, perbincangan pentadbiran, surat-menyurat, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas cadangan, pekeliling dan sebagainya.

Adakah Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 iaitu Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam benar-benar diterjemahkan dalam segala urusan rasmi di sektor awam sepanjang tahun ini?

Mengapa pula penggunaan bahasa asing di tempat awam seperti pada kain rentang, papan tanda, iklan dan premis perniagaan dilihat lebih menonjol berbanding bahasa kebangsaan dari segi saiz dan warna?

Adakah peranan membudayakan bahasa kebangsaan hanya terpikul di pundak Kementerian Pelajaran atau Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan semata-mata?

Tahun baru 2010 diharap menjanjikan sinar yang bergemerlapan buat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mengepalai ilmu, komunikasi dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia. Disediakan Oleh: Arif Atan

1 comment:

Along Tapa said...

Saya bersetuju dengan pendapat tuan rumah..penggunaan bahasa melayu dikalangan orang melayu sendiri pada masa ini memang dalam keadaan yang menyedihkan..dari pendapat saya sendiri, saya lebih senang mendengar orang menggunakan loghat daerah mereka sendiri berbanding menggunakan bahasa "rojak" ini..

Tahap kebimbangan itu lebih menjadi-jadi apabila anak-anak muda lebih mengenali curry puff daripada epok-epok dan purple daripada biru kundang@ungu..

Blog nostalgia budak Muor