Thursday, September 30, 2010

"Elak musnah alam sekitar"

BARANGKALi ramai rakyat Malaysia tidak sedar bahawa 16 September adalah Hari Malaysia yang juga Hari Ozon Antarabangsa dengan tema tahun ini, 'Perlindungan Lapisan Ozon: Urus Tadbir dan Pematuhan Pada Tahap Terbaik.'

Sejak 1994, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memilih tarikh tersebut bagi memberi kesedaran kepada warga dunia bahawa perlindungan lapisan ozon daripada ancaman Bahan Pemusnah Ozon (BPO) tidak harus dipandang remeh.

Menariknya, tiga tahun sebelum lahirnya Hari Ozon Antarabangsa, Malaysia sudah 'berkempen' mengenai kepentingan memelihara lapisan ozon menerusi lagu Hijau dendangan Zainal Abidin dengan lirik ditulis oleh Mukhlis Nor.

Justeru, segenap lapisan masyarakat harus peka dengan isu perubahan iklim dan pemanasan global hari ini, tambahan pula Malaysia adalah salah sebuah negara ahli Protokol Montreal.

Bencana besar seperti tsunami di Asia, gempa bumi di Haiti serta banjir besar di Pakistan adalah petunjuk bahawa warga dunia sedang berdepan dengan ancaman perubahan iklim dunia.

Buktinya, Pentadbiran Hidupan Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) yang berpusat di Washington telah mendedahkan bahawa bumi telah mencatat suhu purata paling panas sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini mengatasi rekod suhu panas purata dalam tempoh sama, 12 tahun lalu.

Laporan terkini Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan Amerika pula mendapati bongkah ais di Artik, Antartika dan Greenland semakin mencair. Akibatnya, glasier berkurang serta paras laut meningkat sekali gus memberi impak besar kepada perubahan cuaca global.

Ini terbukti apabila wujud bacaan suhu luar biasa di beberapa kawasan di dunia.

Tempat yang sebelum ini panas mencatat suhu sejuk melampau seperti di selatan Amerika Selatan, tengah Rusia dan Australia manakala bahagian timur Eropah, timur Kanada dan timur Asia pula mengalami suhu panas ekstrem.

Soalnya, apa peranan kita bagi membantu memperlahankan impak pemanasan global hari ini?

Selaras dengan ketetapan Protokol Montreal, aspek penguatkuasaan mesti diberi perhatian bagi memastikan tidak wujud perdagangan haram dan penggunaan BPO seperti klorofluorokarbon (CFC), karbon tetraklorida (CTC) dan halon.

Rakyat Malaysia terutama pemodal dan pihak industri mesti 'diajar' untuk lebih berintegriti dalam memelihara alam sekitar, bukan semata-mata mengejar keuntungan sahaja.

Agensi berkaitan yang dikepalai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu kreatif berkempen, giat turun padang dan tegas melaksanakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menjahanamkan alam.

Pastikan pembangunan yang lestari menjadi keutamaan para perancang bandar. Tidak semua tempat apabila disebut pembangunan perlu didirikan hutan konkrit.

Kawasan tadahan hujan sedia ada pula biarlah kekal dengan ekosistem persekitarannya tidak diasak dengan kerakusan pembangunan.

Begitu juga kawasan tanah tinggi. Adalah perlu ditarah atas tiket perumahan, pertanian mahupun pelancongan seperti yang berlaku di Cameron Highlands, Pahang dan Gunung Jerai, Kedah.

Dalam masa sama, sektor industri dan ternakan berdekatan sungai atau sumber air mestilah dipindahkan segera. Disediakan Oleh: Arif Atan

No comments: