Thursday, February 26, 2009

"PPSMI, Kembali Ke Zaman Penjajah"

SAYA tertarik hendak mengulas isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kerap dibangkitkan sejak akhir-akhir ini oleh ahli politik, pejuang bahasa, ahli akademik dan masyarakat pendidik sendiri.

Bagi saya selaku seorang pendidik dan kini selaku penyelidik, apabila kita mahu berhujah mengenai sesuatu perkara, berhujahlah berlandaskan fakta, kajian terperinci dan bersifat akademik. Isu PPSMI tidak harus dilihat berdasarkan perspektif emosi semata-mata.

Isu PPSMI berkait-rapat dengan soal paksi Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Negara, isu undang-undang tubuh negara (Perlembagaan Persekutuan), isu kebolehcapaian pelajar dalam pelaksanaan PPSMI, isu penggubalan dasar PPSMI itu sendiri dan pelaksanaannya, isu keciciran dan kesannya ke atas survival pelajar pada masa depan dan impak dari segi sosiologi, psikologi dan sosioekonomi.

Itu antara beberapa perspektif yang boleh dilihat dan masih banyak lagi sudut lain. Mudah benar bagi kita menuduh begitu dan begini tanpa membuat kajian mendalam asas bantahan PPSMI. Mudah untuk kita menyatakan kajian yang dibuat mengenai PPSMI adalah bersifat dangkal jika dilakukan oleh golongan yang menolak PPSMI.

Mudah juga bagi kita, seperti menyatakan orang Melayu asyik hendak bersenang-senang saja. Saya tidak nafikan mungkin wujud di kalangan orang Melayu, seperti pelajar Melayu yang bersifat sedemikian, tetapi kadar atau bilangan yang bersifat begitu harus diselidiki melalui kajian empiritif dan tidak sewajarnya pukul rata.

Lantaran itu beberapa pemikir Melayu seperti Syed Hussein Al Attas kurang bersetuju dengan anggapan masyarakat Melayu pemalas. Kita harus mengkaji sejarah dan melihat kebangkitan empayar Melayu sehingga dikagumi kuasa besar seperti China suatu waktu dulu.

Berbalik kepada asas melingkari PPSMI, banyak isu yang perlu diperdebatkan secara objektif tanpa emosional sebelum dasar ini diteruskan atau tidak. Pertamanya soal perancangan dan pelaksanaan dasar PPSMI itu sendiri.

Dari sudut teori pentadbiran awam, sesuatu dasar yang berkesan haruslah dirancang dengan teliti, malah melalui proses kajian impak, kajian projek rintis dan sebagainya sebelum dilaksanakan menyeluruh. Apakah PPSMI melalui semua ini? Menurut Prof Dr Sidek Baba dalam bukunya Melayu Perkasa (2009), dasar PPSMI dirancang dan dilaksana secara tidak berhati-hati dalam erti kata melalui perancangan teliti sebegini. Keduanya, dari sudut Perlembagaan Persekutuan, pelaksanaan dasar ini akan menggugat Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Kita khasnya bangsa Melayu harus sedar bahawa ada empat perkara yang memayungi pribumi dalam Perlembagaan Negara dan menjadi teras iaitu agama Islam (Perkara 4 dan 11), Bahasa Melayu (Perkara 152), Hak Istimewa Melayu (Perkara 153) dan Raja Berperlembagaan.

Pada masa ini, keempat-empat perkara itu mula tergugat dan goyah dan tanpa disedari melalui pelaksanaan PPSMI kita sedang dan akan terus membunuh bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Menurut Prof Emeritus Abu Bakar Hamid (2007), satu kajian menunjukkan daripada 79 mata pelajaran pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya 19 subjek diajar dalam bahasa Melayu.

Pada peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pula, lebih kurang 20 peratus saja subjek diajar dalam bahasa Melayu manakala di IPT swasta, rata-rata dalam bahasa Inggeris. Ini bermakna dalam jangka panjang PPSMI akan menyebabkan kita kembali ke zaman penjajahan apabila hampir semua subjek diajar dalam bahasa Inggeris.

Justeru, apakah akan terjadi kepada usaha hampir 50 tahun memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan? Kita juga mungkin terlupa betapa hasil pelaksanaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar dalam arus pendidikan kita sejak sekian lama, kita menghasilkan puluhan ribu profesional Bumiputera. Misalnya doktor gigi Bumiputera pada 1999 dilaporkan mencecah 35 peratus sedangkan pada 1970 hanya tiga peratus, doktor perubatan 37 peratus (1999) berbanding empat peratus (1970) dan jurutera 27 peratus (1999) berbanding tujuh peratus (1970). PPSMI juga memungkinkan keciciran di kalangan pelajar luar bandar dan bandar yang sosioekonomi mereka rendah. Kajian Nor Hashimah Jalaluddin (2004) mendapati 75 peratus pelajar tidak setuju Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Disediakan Oleh: AdiPuteraJagat,

Wednesday, February 25, 2009

Fahami Nilai Bahasa Kita

Hampir tiga bulan BCMM berada di Beijing membolehkan Ahli BCMM menonton pelbagai saluran televisyen antarabangsa antaranya dari China, Korea, Jepun, Jerman, Perancis, Portugal, Rusia, Thailand, Vietnam termasuklah beberapa saluran televisyen Malaysia.

Secara keseluruhannya, puluhan siaran televisyen di luar negara Malaysia begitu kuat jati diri bangsanya terhadap budaya dan bahasa kebangsaan negara mereka.

Berbeza pula dengan saluran televisyen negara kita yang caca-marba nilai budayanya apabila kedudukan bahasa kebangsaan seperti mangsa 'lemas' akibat hempasan badai pelbagai bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa vernakular.

Di saluran televisyen China misalnya, anda tidak harus terkejut melihat bintang filem Hindustan 'bercakap' dalam bahasa Mandarin. Begitu juga siri-siri drama popular dari Korea dan Jepun yang ada antaranya pernah disiarkan di Malaysia telah dialih suara ke dalam bahasa rasmi republik itu iaitu bahasa Mandarin.

Pendek kata, semua jenis program televisyen sama ada filem, drama mahu pun siri animasi asing semuanya akan dialih suara di dalam bahasa sendiri bukan mengekalkan bahasa 'orang lain' dengan sekadar meletakkan sari kata seperti yang menjadi amalan dalam bidang penyiaran Malaysia sekarang ini.

Malah, ulasan untuk perlawanan bola sepak antarabangsa yang disiarkan secara langsung juga menggunakan sepenuhnya bahasa mereka bukan menyumbat terus khalayak peminat sukan dengan bahasa Inggeris seperti di negara kita.
Bercampur-aduk

Bagi siaran berita, sukar sekali kita rasa 'sakit' telinga mendengar pemimpin atau orang yang ditemuramah menggunakan bahasa bercampur-aduk malah lebih teruk lagi bercakap terus sepenuhnya dalam bahasa asing.

Program hiburan mereka tidak kurang hebatnya dengan kepetahan golongan artis bertutur dalam bahasa mereka sendiri. Malah, terdapat sebuah rancangan nyanyian berkonsepkan karaoke oleh sebuah stesen televisyen Jepun yang mengundang orang bukan Jepun untuk turut sama mendendangkan lagu dalam bahasa mereka. Jika di Malaysia, tentu lagu bahasa Inggeris akan dikumandangkan.

Namun, itulah hakikatnya amalan media penyiaran di dunia luar dari kepompong Malaysia. Ketika kita gah kononnya mahu menjadi warga global sehingga sanggup mengabaikan bahasa Melayu, mereka sebaliknya menganggap kesungguhan mengukuhkan bahasa sendiri adalah perisai bangsa terbaik dalam berhadapan dengan cengkaman hegemoni budaya yang sebenarnya terselindung di sebalik topeng globalisasi itu.

Lain pula halnya di Malaysia, sesama rakyat Malaysia pun bahasa Inggeris begitu berleluasa digunakan.

Tidak keterlaluan penulis menyifatkan hanya televisyen di Malaysia satu-satunya media di dunia ini yang merendah-rendahkan martabat bahasa rasmi dan kebangsaan sendiri.

Ada kalangan rakan rakyat China yang mengikuti kursus Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) bertanyakan soalan: ''Orang Malaysia sekarang sudah mahu 'buang' bahasa Melayukah?''

Oleh itu, segenap lapisan rakyat Malaysia baik pengamal media termasuk para pemimpin kembalilah 'bertaubat' dengan menyanjung tinggi bahasa kita dalam semua urusan kehidupan termasuklah dalam bidang penyiaran.

Adakah wajar langkah menuju kepada penguasaan Inggeris seperti sudah sampai peringkat pemusnahan kebangsaan pula? Jika situasi sebegini berterusan, tiada gunanya kita melaungkan usaha 'mengangkasakan' bahasa Melayu.
Disediakan Oleh: BCMM

Monday, February 23, 2009

Malaysia menuju 'acuan budaya' Barat-Cina-Arab

BERBANDING kaum lain, orang Melayu dilihat semakin tidak peka dengan akar budaya bangsa sendiri yang sepatutnya disemarakkan secara konsisten.

Majoriti pemimpin Melayu mahu pun ahli masyarakat, semakin tidak peduli akan bentuk seni dan budaya itu apabila perlahan-lahan digantikan dengan budaya yang bukan berpijak dari alam Melayu ini.

Sikap tolak-ansur Melayu sudah sampai ke peringkat melampau terhadap kedudukan budaya bangsa sendiri.

Apakah manfaat yang Melayu dapat daripada sikap 'tidak mengapa' dalam melihat penonjolan budaya Barat, Cina dan Arab? Jati diri dan pusaka khazanah budaya bangsa Melayu semakin tenggelam ditelan masa.

Lebih berbahaya apabila tindakan yang penulis panggil sebagai "pemusnahan budaya" Melayu ini turut 'disempurnakan' oleh parti-parti politik.

Sehingga kini tidak kelihatan pendirian yang jelas tentang usaha membentuk negara bangsa Malaysia berteraskan ke-Melayuan. Tidak seperti Indonesia dan Thailand. Pembentukan negara bangsa mereka jelas apabila kaum minoriti dibentuk mengamalkan budaya majoriti.

Cadangan mewujudkan bandar Arab membabitkan pelaburan RM185.4 juta di Jalan Ampang jelas bukan selari dengan nilai tempatan.

Kedudukannya tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas. Sepatutnya yang dibangunkan ialah bandar Melayu dan bukannya bandar Arab.

Adakah adil kepada budaya Melayu apabila gaya hidup dan perniagaan yang memaparkan tradisi, budaya serta makanan Arab wujud di tengah-tengah Kuala Lumpur?

Walhal, bandar Melayu lebih relevan dan signifikan untuk mengetengah dan menguar-uarkan kehebatan tamadun Melayu.

Adakah barisan pentadbir di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang majoritinya Melayu sudah lupa bahawa Kuala Lumpur diasaskan oleh Melayu dan bukannya kaum Arab?

Namun bandar Arab diluluskan oleh DBKL atas alasan mahu menarik pelancong dari dunia Arab.

Bayangkan jika ia menjadi trend dan pada masa akan datang, terdapat limpahan pelancong dari Vietnam. Adakah bandar Vietnam pula akan diwujudkan?

Sementara itu, parti Pas juga kini sudah memiliki kumpulan tarian singa sendiri. Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamarudin Jaffar merasmikan pasukan tarian singa yang dianggotai oleh Kelab Penyokong Pas di Parlimen Shah Alam pada 6 Februari lalu.

Ironinya, penubuhan pasukan tarian singa itu wujud bukan di kawasan yang didominasi oleh masyarakat Cina tetapi di kawasan penempatan Melayu.

Pas perlu menjawab dengan jujur. Adakah parti itu sudah mempunyai pasukan tarian zapin, joget, indang, boria, dikir barat atau pun hadrahnya sendiri?

Adakah Melayu sedang berdepan dengan pemusnahan budaya?

Seolah-olah telah wujud anggapan bahawa budaya Melayu itu kotor lalu perlu diganti dengan kebudayaan Barat, Cina dan Arab yang kononnya 'suci bersih'. Bukan sedikit yang menganggap budaya Arab itu ialah "budaya Islam". Kebudayaan Melayu pula dilihat bercanggah dengan Islam.

Malangnya, bukan orang lain tetapi orang Melayu sendiri yang memenggal kebudayaannya sendiri!

Jika hal-hal berkaitan mengangkat seni dan budaya Melayu ini diabaikan, amatlah dibimbangi nanti bentuk kebudayaan Cina, Barat dan Arab akan mewarnai seluruh gaya hidup kita.

Orang Melayu mesti kembali menghargai dan menyebarluaskan kehebatan tamadun dan kebudayaan bangsanya sendiri. Bagi yang masih tidak rasa bersalah mengagungkan budaya bukan milik bangsanya, soalan berikut perlu dijawab dengan jujur:

"Tidakkah terfikir apa akan terjadi terhadap bentuk budaya negara pada masa depan dan maruah bangsa Melayu jika pemusnahan budaya dibiarkan berterusan? Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan