Monday, February 23, 2009

Malaysia menuju 'acuan budaya' Barat-Cina-Arab

BERBANDING kaum lain, orang Melayu dilihat semakin tidak peka dengan akar budaya bangsa sendiri yang sepatutnya disemarakkan secara konsisten.

Majoriti pemimpin Melayu mahu pun ahli masyarakat, semakin tidak peduli akan bentuk seni dan budaya itu apabila perlahan-lahan digantikan dengan budaya yang bukan berpijak dari alam Melayu ini.

Sikap tolak-ansur Melayu sudah sampai ke peringkat melampau terhadap kedudukan budaya bangsa sendiri.

Apakah manfaat yang Melayu dapat daripada sikap 'tidak mengapa' dalam melihat penonjolan budaya Barat, Cina dan Arab? Jati diri dan pusaka khazanah budaya bangsa Melayu semakin tenggelam ditelan masa.

Lebih berbahaya apabila tindakan yang penulis panggil sebagai "pemusnahan budaya" Melayu ini turut 'disempurnakan' oleh parti-parti politik.

Sehingga kini tidak kelihatan pendirian yang jelas tentang usaha membentuk negara bangsa Malaysia berteraskan ke-Melayuan. Tidak seperti Indonesia dan Thailand. Pembentukan negara bangsa mereka jelas apabila kaum minoriti dibentuk mengamalkan budaya majoriti.

Cadangan mewujudkan bandar Arab membabitkan pelaburan RM185.4 juta di Jalan Ampang jelas bukan selari dengan nilai tempatan.

Kedudukannya tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas. Sepatutnya yang dibangunkan ialah bandar Melayu dan bukannya bandar Arab.

Adakah adil kepada budaya Melayu apabila gaya hidup dan perniagaan yang memaparkan tradisi, budaya serta makanan Arab wujud di tengah-tengah Kuala Lumpur?

Walhal, bandar Melayu lebih relevan dan signifikan untuk mengetengah dan menguar-uarkan kehebatan tamadun Melayu.

Adakah barisan pentadbir di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang majoritinya Melayu sudah lupa bahawa Kuala Lumpur diasaskan oleh Melayu dan bukannya kaum Arab?

Namun bandar Arab diluluskan oleh DBKL atas alasan mahu menarik pelancong dari dunia Arab.

Bayangkan jika ia menjadi trend dan pada masa akan datang, terdapat limpahan pelancong dari Vietnam. Adakah bandar Vietnam pula akan diwujudkan?

Sementara itu, parti Pas juga kini sudah memiliki kumpulan tarian singa sendiri. Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamarudin Jaffar merasmikan pasukan tarian singa yang dianggotai oleh Kelab Penyokong Pas di Parlimen Shah Alam pada 6 Februari lalu.

Ironinya, penubuhan pasukan tarian singa itu wujud bukan di kawasan yang didominasi oleh masyarakat Cina tetapi di kawasan penempatan Melayu.

Pas perlu menjawab dengan jujur. Adakah parti itu sudah mempunyai pasukan tarian zapin, joget, indang, boria, dikir barat atau pun hadrahnya sendiri?

Adakah Melayu sedang berdepan dengan pemusnahan budaya?

Seolah-olah telah wujud anggapan bahawa budaya Melayu itu kotor lalu perlu diganti dengan kebudayaan Barat, Cina dan Arab yang kononnya 'suci bersih'. Bukan sedikit yang menganggap budaya Arab itu ialah "budaya Islam". Kebudayaan Melayu pula dilihat bercanggah dengan Islam.

Malangnya, bukan orang lain tetapi orang Melayu sendiri yang memenggal kebudayaannya sendiri!

Jika hal-hal berkaitan mengangkat seni dan budaya Melayu ini diabaikan, amatlah dibimbangi nanti bentuk kebudayaan Cina, Barat dan Arab akan mewarnai seluruh gaya hidup kita.

Orang Melayu mesti kembali menghargai dan menyebarluaskan kehebatan tamadun dan kebudayaan bangsanya sendiri. Bagi yang masih tidak rasa bersalah mengagungkan budaya bukan milik bangsanya, soalan berikut perlu dijawab dengan jujur:

"Tidakkah terfikir apa akan terjadi terhadap bentuk budaya negara pada masa depan dan maruah bangsa Melayu jika pemusnahan budaya dibiarkan berterusan? Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

No comments: