Tuesday, October 20, 2009

Dialog budaya 'jambatan' dua negara serumpun

MALAYSIA dan Indonesia adalah negara yang memiliki banyak persamaan dari sudut budaya. Tidak hairanlah baik di Malaysia atau Indonesia ada nama makanan atau nama tempat yang sama. Paling utama ialah teras bahasa yang sama berasaskan bahasa Melayu.

Hakikatnya, sejak dahulu lagi sebelum wujudnya perbezaan entiti berasaskan geo-politik kesan daripada kedatangan penjajah Belanda dan British, kedua-dua negara ini saling memerlukan dan melengkapi satu sama lain.

Justeru, tidak patut wujud tuduhan mendakwa Malaysia sebagai "Malingsia" kerana tuduhan mencuri khazanah budaya Indonesia.

Pelbagai isu yang sengaja diperbesarkan sebelum ini seperti isu batik, buluh runcing, tarian Pendet, pembantu rumah dan Ambalat patut dihentikan.

Sebahagian media Indonesia yang cenderung mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia dengan memainkan isu-isu tersebut perlu kembali kepada etika kewartawanan dan mengutamakan kepentingan jangka panjang hubungan harmoni kedua-dua negara.

Namun, dalam masa yang sama suatu langkah positif melalui media di Malaysia dan Indonesia patut disegerakan.

Dialog Malaysia-Indonesia yang konsisten perlu diadakan dengan kerjasama pemerintah dan media kedua-dua negara. Sebelum ini kita hanya menumpukan hal yang berputar pada kepentingan ekonomi semata-mata.

Sebaliknya, skop dialog perlu dibuka luas meliputi aspek sosial dan kebudayaan. Dalam usaha ini, kerja kuat dituntut daripada badan yang berkaitan penerangan dan hubungan luar negara sama ada di pihak Malaysia dan Indonesia.

Tidak kurang pentingnya aspek perkongsian ilmu, kajian dan penyelidikan di kalangan sarjana serta program pertukaran pelajar antara universiti di Malaysia dan Indonesia. Sejauh mana proses tersebut berlangsung dan paling penting impaknya dalam membantu memberi kefahaman budaya antara rakyat kedua-dua negara?

Ini kerana mutakhir ini, sebahagian universiti di Malaysia juga dilihat 'menjauhkan diri' daripada jirannya di seberang Selat Melaka itu apabila cenderung mahu menjalin hubungan akademik dengan universiti yang jauh-jauh.

Tidak menjadi kesalahan tetapi usah lupa jiran terdekat yang juga mempunyai kelebihan tertentu yang wajar kita kongsi bersama.

Apa pun, paling penting yang harus dilakukan oleh pemerintah Indonesia terutamanya ialah mendisiplinkan media mereka.

Media Indonesia mesti 'diajar' untuk menghormati negara lain apatah lagi Malaysia yang serumpun sama budaya dan sama warna kulit dengan mereka. Tidak keterlaluan dikatakan, mereka harus sedar tentu ada rakan atau saudara-mara mereka juga sedang mencari rezeki malah beranak-pinak hidup aman di Malaysia.

Oleh itu, demi kepentingan jangka panjang dari aspek sosial dan budaya Malaysia-Indonesia, dialog sihat melibatkan pelbagai pihak perlu segera dan giat dilakukan agar yang kusut dapat dileraikan dan yang berprasangka dapat dimesrakan. Disediakan oleh: Mohd Arif Atan

No comments: