Tuesday, October 6, 2009

Aidilfitri platform perkenal citra budaya Malaysia

PADA 27 September lalu berlangsung Pesta Tanglung Antarabangsa di bangunan Komtar, Pulau Pinang. Ia melibatkan penyertaan dari seluruh dunia termasuk Taiwan, China dan juga Brunei.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengumumkan untuk menjadikan Pesta Tanglung itu sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negara. Ia melibatkan peruntukan RM250,000 setahun kepada Kementerian Pelancongan.

Ia bertujuan memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dan menarik pelancong asing ke negara ini.

Namun dalam masa yang sama seharusnya dianjurkan Pesta Aidilfitri peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Pesta Tanglung yang disambut oleh masyarakat Cina di negara ini. Ia wajar diadakan berdasarkan beberapa aspek yang perlu diberi perhatian.

Pertama, perpaduan akan tercapai apabila segala bentuk kebudayaan kaum majoriti dapat dikongsi bersama kaum-kaum lain.

Aktiviti rumah terbuka peringkat kebangsaan bagi setiap perayaan termasuklah Aidilfitri dilihat belum mencukupi kerana hanya menonjolkan satu bentuk kebudayaan iaitu aspek makanan sahaja.

Sebaliknya, melalui Pesta Aidilfitri Kebangsaan, seluruh bentuk kebudayaan Melayu dapat diketengahkan. Ia termasuk daripada segi makanan, seni muzik, tarian, busana, permainan rakyat, seni tampak seperti ukiran dan anyaman serta seni berbahasa termasuk pantun, syair, gurindam dan seloka.

Dengan adanya acara mega seperti Pesta Aidilfitri Antarabangsa, seluruh negara serantau dan negara-negara Islam dapat dihimpunkan bagi menonjolkan kehebatan kebudayaan Melayu dan Islam di persada dunia.

Ini penting bagi memupuk perpaduan sebenar iaitu apabila golongan minoriti dapat menyesuaikan diri serta menerima secara terbuka malah lebih baik lagi mengamalkan kebudayaan kaum majoriti.

Dengan cara ini, barulah hasrat Satu Malaysia akan tercapai apabila kita melihat semua lapisan rakyat negara ini tanpa mengira warna kulit dan agama meraikan perayaan Aidilfitri.

Pesta Aidilfitri Antarabangsa juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan secara tepat akan identiti dan jati diri negara Malaysia sebenar seterusnya menarik lebih ramai pelancong asing.

Anggapan pihak luar yang tidak jelas akan "siapa" Malaysia seperti menganggap tanah air ini adalah sebuah negara diaspora bangsa lain, dapat dihakis apabila kita dapat menguar-uarkan bentuk kebudayaan induk atau teras negara ini.

Dengan ini, barulah pelancong asing khususnya dari negara kulit putih yang cenderung mahu menikmati keaslian budaya milik sesebuah negara akan teruja untuk bertandang ke negara kita selain Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Malah 'kesilapan' Discovery Channel yang telah memaparkan babak tarian Pendet dengan mengaitkannya dengan Malaysia dapat dielakkan pada masa akan datang apabila stesen penyiaran antarabangsa benar-benar faham akan identiti kebudayaan teras negara ini.

Menyedari banyak kebaikan yang diperoleh daripada penganjuran Pesta Aidilfitri peringkat kebangsaan dan antarabangsa ini maka kerajaan termasuklah semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta seharusnya segera berganding bahu menjayakan kewujudan acara mega tersebut, sebaik-baiknya bermula tahun depan. Disediakan oleh: Mohd Arif Atan

No comments: