Thursday, December 2, 2010

"Hentikan bibit-bibit gadai Melayu"

Rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap sikap pihak tertentu yang bertindak secara nyata mahupun tidak nyata mencabuli hak bangsa Melayu dapat dilihat semasa Majlis Pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan: Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan pada 29 November lalu.

Wacana itu wajar kerap diadakan di seluruh negeri, malah sehingga di peringkat nasional bagi memberi kefahaman yang jelas kepada seluruh warga Malaysia mengenai sejarah pembentukan negara bangsa dan peradaban tanah air ini.

Ucapan dasar Presiden PKR baru-baru ini jelas satu bentuk taktik politik dalam menagih sokongan bukan Melayu, walhal mereka lupa bahawa dua pertiga kawasan Parlimen masih kekal dihuni pengundi Melayu/bumiputera.

Oleh itu, siapa sebenarnya yang sedang tersepit dan dalam masa sama untung di sebalik serangan bertali arus antara pihak yang menyokong ketuanan Melayu dengan pihak yang begitu dungu menolak konsep tersebut, seolah-olah selama ini orang Melayu jadi raja ekonomi dan orang bukan Melayu pula begitu teruk dianak tiri?

PKR dan begitu juga parti politik lain, jika benar memperjuangkan hak rakyat, mengapa tidak pula bersuara lantang 'menembak' parasit yang memecah-belahkan perpaduan bangsa Malaysia?

Mengapa para pemimpin parti politik tidak mengajak kepada perpaduan melalui asimilasi sebenar dengan mengajak kaum lain melenturkan rasa rasis dan cauvinis masing-masing serta akur dengan sejarah asal-usul mereka di negara ini. Bukan di sebaliknya, tidak habis-habis menyerang dan meminta orang Melayu pula terus bertolak-ansur, malah dilucutkan terus hak dan kepentingannya meskipun sudah termaktub dalam Perlembagaan?

Oleh itu, bibit-bibit ibarat barah penyakit yang mahu menggadai bangsa Melayu perlu dihentikan. Siri majlis berbentuk ilmu seperti yang telah dihadiri oleh Sultan Selangor itu perlu lebih kerap diadakan. Pada musim cuti sekolah ini, semua anak warga Malaysia perlu mengikuti kelas penguasaan bahasa, budaya dan kesenian Melayu sebagai identiti dan jati diri sebenar rakyat Malaysia.

Bidang penyiaran juga perlu dikawal daripada pelbagai lambakan program TV yang memaparkan segala budaya asing sehingga menenggelamkan jati diri bangsa sendiri. Siaran berita perdana pada pukul 8 malam di saluran TV misalnya yang terdapat dalam pelbagai bahasa dan jelas mengikut pola kaum tentu sahaja menyuburkan rasa perkauman sekali gus menolak secara senyap Gagasan 1Malaysia.

Penggunaan bahasa kebangsaan mesti meluas dalam semua bidang kehidupan termasuklah peringkat pengajian tinggi. Sekolah satu aliran sudah semestinya syarat wajib bagi mengelakkan Melayu tergadai.

Apalah erti ketuanan Melayu dan kedudukan tinggi bahasa kebangsaan di sisi Perlembagaan, jika bahasa Melayu, sekolah kebangsaan dan universiti yang sebelum ini telah terbukti berjaya memainkan peranan ditenggelamkan oleh bahasa dan institusi pendidikan asing?

Paling penting, pemimpin Melayu daripada mana-mana parti politik yang ghairah mahu menarik sokongan politik bukan Melayu. Usah jadi badut membiarkan orang lain bertepuk tangan ketawa melihat betapa bacul dan pengecutnya anda dalam memperkatakan yang hak berkenaan kepentingan orang Melayu.

Bibit-bibit yang membawa kepada keadaan bangsa Melayu tergadai semakin ketara dilihat dari sehari ke sehari. Apa erti semua ini kepada orang Melayu dan pribumi?

Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

2 comments:

Anonymous said...

Saudara Arif.. Siapakah yang sering kali memulakan polemik ketuanan Melayu.. Jika tidak mereka yang sudah tersepit lagi dikepit.. Ada agenda tertentu.. Kenapa dibicarakan ketuanan Melayu walaupun isu perkauman tidak pernah disebut oleh bangsa lain di Malaysia..

Buah Pulasan said...

Salam,

sebagai seorang yang juga anak muda saya sekadar mahu memberikan sebarang dua pendapat saya sendiri mengenai hal ini.

Hal penghormatan kepada Bahasa Melayu ini seharusnya terletak kukuh dan sepenuhnya pada pemerintah.Mereka yang sebenarnya menggubal pelbagai dasar,dan pada saya hal yang terutamanya sosok-sosok pemimpin yang selalunya kelihatan lebih selesa mengucap dalam Bahasa Inggeris dalam majlis-majlis rasmi kerajaan dan ini sudah tertogel di mata setiap rakyat yang melihat.

Hal ini pada saya menjadi titik tolak kepada rakyat meremehkan penggunaan Bahasa Melayu itu sendiri.Badan-badan Bahasa Melayu seakan hanya mampu memerhati dari jauh dan sayu.Seolah mereka sendiri tidak punya lagi suara dan kuasa untuk berkata apa-apa.

Saya percaya kepada ketinggian Bahasa Melayu ini berbalik semula kepada para pucuk-pucuk pimpinan kita.Rakyat kini sudah melihat,memerhati,mengkaji dan merumuskan apa sahaja yang berlaku.Mereka tidak sewenang-wenangnya melopong dan menelan mentah segala hal.

Berbangga lah dengan Bahasa Melayu ini sendiri dan ucapkan lah ianya tidak kira sama ada di Felda Trolak Selatan ataupun di Yale,Amerika Syarikat.