Friday, January 14, 2011

"Elok fahami Interlok, bukannya bakar"

Elok kita menelaah polemik novel Interlok (1971) buah tangan Datuk Abdullah Hussain itu dengan fikiran terbuka dan rasional. Menganggap karya Sasterawan Negara kelapan itu sebagai memperlekeh kaum tertentu hingga sampai ke peringkat membakar hasil sastera dan potret pengarang, jelas ia sikap orang yang tidak bertamadun dan didorong oleh emosi semata-mata.

Tiba-tiba sistem kasta menjadi suatu yang sensitif setelah hampir empat dekad berada dalam perpustakaan negara ini. Walhal, sarjana Barat telah lama mengkaji sistem tersebut, bukan Abdullah Hussain seorang sahaja yang sengaja didakwa menimbulkan sentimen perkauman.

Max Weber (1864-1920) misalnya dalam membincangkan konsep status iaitu bagaimana susunan masyarakat India telah mewujudkan social honour yang diperoleh bukan sahaja daripada segi pemilikan harta, bahkan gaya hidup. Weber juga telah menyatakan ritual-ritual tertentu dan peraturan ketat telah direka bagi mempertahankan status kumpulan.

Perihal golongan paria juga telah diperkatakan oleh Kamala Maradakandaya dalam Nectar In A Sieve (1954). Malah, novel itu telah diterjemah ke dalam Bahasa Kebangsaan dengan tajuk Madu Dalam Saringan (1979) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain itu, Untouchable (1970) oleh Raj Anand mengupas hal yang sama dengan penggunaan ayat yang lebih keji dan menghina. Bezanya dalam Interlok, garapan mengenai sistem kasta lebih 'mesra' seperti yang dapat dibaca dalam halaman 177.

Di Tanah Melayu, orang India boleh membeli barang daripada para penjaja dengan memberi wang secara langsung. Tidak seperti di negara lelulur mereka, wang hanya boleh diletakkan di satu tempat dan penjual akan menyiram dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam peti.

Bagi mereka yang merupakan warga kampus universiti disyorkan agar membaca dari awal sehingga akhir novel Interlok.

Selain novel, sudah terdapat beberapa kajian ilmiah yang 'membedah' Interlok, antaranya, Imej Manusia Dalam Novel Interlok (2002) oleh Chun Chuan Loh serta Gambaran Masyarakat Dalam Novel Interlok (1997) oleh Lamizah Ab. Hamid.

Kajian Chuan Loh misalnya telah menggariskan pelbagai imej positif dan negatif ketiga-tiga kaum yang terkandung dalam Interlok. Namun, atas keinsafan mereka kemudiannya saling membantu dan membina kehidupan baru di atas latar sejarah sosial dan budaya mereka yang berbeza.

Melalui kajian Lamizah pula, tercerna pelbagai gambaran sosial, ekonomi, politik dan sosio-budaya tiga kaum utama ketika itu. Dalam isu diskriminasi terhadap wanita pula, masing-masing sama ada sedar mahupun tidak telah berbuat demikian iaitu wanita Melayu tidak mempunyai hak mencampuri urusan lelaki, manakala wanita India pula terpaksa mengeluarkan mas kahwin tinggi untuk mendapatkan seorang suami.

Karya tersebut terbukti sarat dengan dokumentasi mengenai stratifikasi sosial iaitu susun lapis masyarakat pelbagai latar warna kulit, budaya dan agama ketika zaman sebelum kemerdekaan dan ancaman komunis.

Jelas, Interlok sebenarnya karya yang mengajak generasi muda berbilang kaum hari ini untuk mengenali asal-usul masing-masing sebagai asas kukuh perpaduan selari dengan gagasan 1Malaysia hari ini.

Disediakan Oleh: Arif Atan (Penulis ialah pengajar di Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.)

No comments: