Tuesday, January 18, 2011

"Sejarah Penubuhan Jurusan Bahasa Melayu di Universiti Bahasa – Bahasa Asing Beijing (BFSU) dan kesinambungannya di Negara China"

Sejarah Bahasa Melayu telah mencapai kegemilangannya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca yang telah digunakan oleh hampir kesemua pedagang yang singgah berdagang di Perairan Selat Melaka. Pedagang-pedagang yang datang termasuklah pedagang dari Negara China. Sejarah ini bertepatan sekali dengan penubuhan Jurusan Bahasa Melayu di BFSU yang bermula pada tahun 1961. Faktor utama yang mendorong penubuhan Jurusan Bahasa Melayu adalah selepas terbentuknya Republik Rakyat China pada tahun 1949. Kerajaan China menganggap bahawa sebagai negara yang bebas daripada penjajah, bahasa kebangsaan amat dititikberatkan. Semasa mengamalkan dasar luar China, kerajaan China amat mementingkan bahasa-bahasa kebangsaan yang digunakan di luar negara terutamanya di negara-negara Asia Afrika yang senasib dengan Negara China iaitu negara yang pernah dijajah.

Sebagai negara yang baru merdeka, Negara China tahu bahawa bahasa kebangsaan merupakan “bahasa jiwa bangsa”. Pada masa itu, pemimpin China iaitu Pengerusi Mao Tze Tung dan Perdana Menteri Zhao Ng Lai menekankan pengambilan masuk bahasa kebangsaan Negara-negara Asia Afrika. Rentetan daripada itu, satu Fakulti Asian dan Afrika telah ditubuhkan pada Oktober tahun 1961 di BFSU yang mempunyai 12 jenis bahasa termasuklah Bahasa Melayu. Hasratnya adalah untuk menghasilkan para siswazah yang berkualiti dan berpotensi dalam bidang hal ehwal perhubungan China dan Malaysia.

Selaras dengan itu Profesor Wu Zongyu telah diberi tugas oleh kerajaan China untuk menubuhkan jurusan Bahasa Melayu (loghat Melayu Malaysia) yang pertama di negara China.

Pada September 1962, Jurusan Bahasa Melayu telah dibuka dan seramai 16 orang pelajar telah dipilih untuk mengikuti jurusan ini. Pada peringkat permulaan, terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi, keadaan ketika itu sungguh kurang memuaskan, antaranya, pemilihan pelajar peringkat pertama terpaksa diambil daripada Fakulti Bahasa Inggeris. Selain itu, Profesor Wu Zongyu merupakan satu-satunya pensyarah bahasa Melayu yang berkelulusan bahasa Indonesia dari Universiti Peking yang dapat mengajar Bahasa Melayu. Seterusnya terdapat banyak masalah yang timbul dan kesukaran yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sewaktu peringkat awal penubuhannya. Hal ini kerana pada masa itu tidak ada pakar dan bahan-bahan pengajaran dari Malaya seperti yang dijanjikan oleh kerajaan China semasa hendak menubuhkan jurusan bahasa Melayu. Contohnya, kekurangan buku, kekurangan tenaga pengajar dan hanya Profesor Wu seorang diri sahaja yang menyusun bahan pengajaran Bahasa Melayu. Pada waktu itu, hanya terdapat beberapa naskhah buku yang dihadiahkan oleh seorang peniaga buku Singapura. Prof. Wu mengajar sambil belajar pada masa itu.

Pada tahun 1965 merupakan tahun yang paling sukar sekali dalam pengajaran Bahasa Melayu kerana hanya mempunyai seorang pensyarah sahaja dalam jurusan ini yang boleh mengajar bahasa Melayu. Segala masalah terpaksa diselesaikan sendiri tanpa bantuan sesiapa sehingga Prof Wu Zongyu hampir putus asa. Bertitik tolak daripada itu, beliau telah menulis sepucuk surat kepada Kementerian Luar China tentang masalah yang dihadapi dan menerima jawapan daripada kementerian untuk bersama-sama mengatasi masalah tersebut. Pada tahun tersebut, seramai 15 orang pelajar diambil untuk mengikuti jurusan ini.

Pada tahun 1970-an, Negara China masih lagi dalam zaman Revolusi Kebudayaan. Hal ini telah menyebabkan pengambilan pelajar ke jurusan Bahasa Melayu dihentikan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1972 Deng Xiao Ping iaitu seorang pemimpin di Negara China menganggap bahawa pengajaran di universiti mesti dipulihkan. Beliau mengambil golongan yang bekerja dan bukan golongan pelajar lepasan sekolah menengah dalam jurusan Bahasa Melayu.

Pada tahun 1973, seramai lapan orang sahaja pelajar yang diterima untuk mengikuti jurusan ini. Pada 13 Mei 1974, hubungan antara kerajaan Negara China dan Malaysia terjalin erat dan mendorong kepada hubungan diplomatik. Keadaan ini telah memudahkan Prof. Wu Zongyu mendapat bantuan daripada sahabatnya di Malaysia. Sebelum itu lagi sudah ada surat khabar dari Malaysia yang dijadikan sebagai sumber bahan pengajaran bahasa Melayu. Jurusan ini telah menerima dua orang pensyarah pada tahun 1977 iaitu Prof. Madya Sun Baoping dan Prof. Madya Zhao Yuezhen.

Pada tahun 1988 pula, satu rombongan penulis Malaysia telah datang ke Negara China yang diketuai oleh Nurul Azam iaitu Setiausaha Politik Dr. Mahathir, Usman Awang dan Shahnon Ahmad. Prof. Wu Zongyu telah mengadakan perjumpaan dengan rombongan tersebut dan mereka telah membawa Prof. Wu Zongyu ke kedutaan Malaysia di Beijing.

Pada tahun 1989, pensyarah BFSU, Prof. Wu Zongyu telah dijemput menghadiri Kongres Bahasa Melayu Sedunia di Kuala Lumpur, Malaysia untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Pengajian Bahasa Melayu Tanpa Komuniti Bahasa” dan telah mendapat sambutan yang baik dalam kongres tersebut. Sambutan ini dapat menunjukkan bahawa semua pihak menerima baik Jurusan Bahasa Melayu di BFSU memandangkan Prof. Wu Zongyu merupakan ketua Jurusan Bahasa Melayu.

Seterusnya, perkembangan Jurusan Bahasa Melayu menunjukkan perkembangan yang baru pada tahun 1994 kerana telah mendapat sokongan dari Kedutaan Malaysia di Beijing. Sebuah Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani antara BFSU dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) pada tahun 1995. Hasil daripada MOU tersebut, seorang tenaga pengajar iaitu Tuan Haji Manshoor bin Haji Ahmad telah dihantar untuk mengajar di BFSU. Beliau merupakan pakar asing pertama yang berkhidmat dalam jurusan ini. Pada tahun itu juga, guru-guru BFSU telah dihantar ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengikuti kursus.

Selain itu, bagi meluaskan pengaruh bahasa Melayu di negara China, ketua Jurusan Bahasa Melayu BFSU, Profesor Wu telah berbincang dengan Dato’ Azri Ahmad dan keputusan telah dicapai untuk mengadakan Persidangan Antarabangsa. Justeru itu, Profesor Wu telah bekerjasama dengan DBP mengadakan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing selama 5 hari pada 20 hingga 24 Mei 1996 di BFSU. Persidangan ini telah berjaya menarik ramai orang apabila seramai seratus lebih orang sarjana Melayu datang dari Malaysia dan 13 buah negara sebagai pembentang kertas kerja. Persidangan ini telah dirasmikan sendiri oleh Dato’ Seri Mohd. Najib sebagai Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu.

Pada bulan September 1996, rombongan pensyarah dan pelajar jurusan bahasa Melayu iaitu seramai 23 orang telah menjejakkan kaki ke bumi Malaysia atas undangan kerajaan Malaysia. Keadaan ini telah membuka jalan dan ruang yang baru dalam sejarah perhubungan baik kedua-dua buah negara. Pada tahun ini juga, buat kali pertama jurusan bahasa Melayu BFSU telah memulakan pengambilan pelajarnya dua tahun sekali.

Jurusan Bahasa Melayu juga telah bertambah kuat apabila tertubuhnya Pusat Pengajian Melayu pada tahun 1997. Penubuhan satu-satunya Pusat Pengajian Melayu di Negara China itu telah mendapat sokongan padu daripada kedua-dua buah kerajaan negara China dan negara Malaysia apabila Encik Zhu Kaixuan, Menteri Pendidikan China dan Dato’ Seri Mohd. Najib, Menteri Pendidikan Malaysia bersama-sama telah merasmikan upacara penubuhan pusat tersebut.


Pada Mei 2004, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah datang ke BFSU untuk merasmikan seminar Persahabatan China Malaysia bersama dengan 9 orang Menteri dan Pegawai-pegawai tinggi. Keadaan ini telah mengeratkan lagi tali persaudaraan antara negara China dan negara Malaysia.

Terdapat banyak kerjasama antara Prof Wu dengan Menteri-Menteri di Malaysia selepas perasmian seminar Persahabatan China Malaysia. Pada 14 Mei 2006, satu iklan pencalonan dikeluarkan bagi menyandang jawatan kosong kursi Pengajian Melayu di BFSU setelah perbincangan Profesor Wu dengan Datuk Seri Najib pada tahun 1997. Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishamudin telah berkunjung ke BFSU pada 19-23 Mei 2007.

Pada Ogos 2007, seramai 48 orang mahasiswa jurusan bahasa Melayu dijemput sebagai tetamu kerajaan Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara Malaysia yang juga merupakan maklum balas kunjungan Menteri Pelajaran Malaysia ke BFSU sebelum itu.

Pada November 2007, kursi Pengajian Melayu ditubuhkan dengan rasminya dan Profesor Awang Sariyan telah dipilih dan dilantik sebagai penyandang pertama. Kursi tersebut merupakan program kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan BFSU. Tujuan kursi ini diwujudkan bagi memperkukuhkan Pengajian Melayu di Negara China.

Jurusan bahasa Melayu BFSU telah menghantar 22 orang pelajar ke Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, selama enam bulan pada Julai 2007 hasil daripada MOU antara BFSU dan Universiti Malaya. MOU ini bertujuan untuk melahirkan pelajar jurusan Bahasa Melayu yang bukan sahaja boleh bertutur bahasa Melayu malah memahami kebudayaan Melayu juga. Hal ini dapat dibuktikan dengan program ‘Homestay’ yang disertai oleh 22 orang mahasiswa jurusan Bahasa Melayu ini.

Pada 15 Mei 2008, kejayaan MOU dibuktikan lagi dengan penghantaran balas seramai 45 orang pelajar dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (APMUM) ke BFSU yang diketuai oleh Presiden Mahasiswa Akademi Pengajian Melayu, iaitu, Mohd Syuhaidi Md Isa untuk mengikuti pengajian sijil asas bahasa Mandarin selama satu bulan setengah. Hasil dari usaha keras semua pihak, perkembangan bahasa Melayu di China semakin berkembang dan diterima dengan baik sehingga ke hari ini.

Sistem pengajaran jurusan bahasa Melayu di BFSU.

Pelbagai perubahan telah berlaku berbanding di awal penubuhan jurusan bahasa Melayu di BFSU. Pelajar mesti mengikuti dua bahasa iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Pada tahun pertama, pembelajaran pelajar meliputi pendengaran, percakapan, penulisan, penterjemahan dan pemahaman. Selain itu, pelajar turut belajar bahasa lisan dan karangan. Pengajaran sebutan hanya diajar selama sebulan sahaja dan selepas itu, terus masuk kepada kata, ungkapan, dan bentuk ayat di samping membetulkan sebutan pelajar.

Selepas pelajar telah mahir membaca dan menulis karangan pada tahun pertama, maka pada tahun kedua dan ketiga pengajaran meliputi Sejarah Kesusasteraan iaitu keadaan Malaysia dan Brunei untuk menambahkan pengetahuan pelajar tentang alam Melayu.

Pada tahun terakhir iaitu tahun keempat, pembelajaran meliputi penterjemahan lisan dan tulisan iaitu dari Bahasa Melayu ke Bahasa China dan dari Bahasa China ke Bahasa Melayu. Pengajaran ini penting bagi menambah penguasaan bahasa Melayu terhadap pelajar.

Setiap angkatan pelajar jurusan Bahasa Melayu BFSU telah mengeluarkan satu majalah ‘jejambat’ yang mengandungi satu artikel setiap seorang. Artikel ini wajib dihasilkan sebagai bukti penguasaan pelajar dalam bahasa Melayu.

Kajian ini dilakukan oleh:

Khairul Zaim bin Mohd Shaari

Mohd Syuhaidi bin Md Isa

Nor Idayu binti Shaidan

Ting Siew Hee

W Siti Nailah binti W Mahmood

(Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya 2008)


No comments: