Saturday, January 24, 2009

Bukan Melayu Untung, Melayu Sentiasa Rugi?


Pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu 17 Januari lalu adalah sekitar 12 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan 80,200 pengundi dengan kaum Cina sahaja terdiri daripada 8,800 orang.

Walaupun begitu, baik bagi pihak BN mahupun pembangkang, merekalah dikatakan sebagai faktor penentu keputusan pilihan raya meskipun majoriti pemilih iaitu 88 peratus adalah orang Melayu.

Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana hanya satu undi pun sudah mampu menentukan siapa yang akan menang.

Oleh sebab itu, berjuta-juta ringgit wang yang dipanggil bantuan, sumbangan atau peruntukan diberi kepada masyarakat bukan Melayu demi mahu memancing undi. Paling ketara ialah peruntukan yang besar untuk sekolah-sekolah Cina di Kuala Terengganu.

Menteri Pelajaran pun telah mengumumkan akan memberi bantuan kepada sekolah-sekolah Cina termasuk sekolah swasta. Rentetan itu, cek bernilai RM2.96 juta telah diserahkan kepada sekolah-sekolah Cina di Terengganu selain ‘bantuan’ RM6.1 juta untuk SRJK Cina Chung Hwa Wei Sin di Kuala Terengganu sahaja!

Dapat dilihat bahawa kaum Cina benar-benar mendapat durian runtuh setiap kali menjelang pilihan raya termasuklah di Kuala Terengganu yang penduduk majoritinya adalah Melayu.

Sebaliknya, orang Melayu di Kuala Terengganu dijanjikan bakal menerima dana tambahan RM5.8 juta projek pembangunan jika calon BN menang; pemberian kontrak kepada kontraktor kelas F serta pemberian cek bantuan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

Hakikatnya, kaum Cina jauh lebih untung di sebalik usaha setiap parti politik merebut undi mereka. Adakah masyarakat Melayu hanya menang sorak tanpa pemberian bantuan dan peruntukan sebanyak yang didapati oleh kaum Cina malah lebih penting lagi jaminan masa depan ekonomi, bahasa dan kebudayaan orang Melayu?

Peruntukan yang diperoleh komuniti Melayu atau dijanjikan itu tidak sepadan serta lebih mengkhusus kepada kelompok tertentu iaitu para kontraktor dan institusi sekolah agama sahaja.

Sedangkan kaum bukan Melayu dibantu secara kolektif dengan jumlah amat besar berbanding nisbah mereka yang tentunya akan “memperkasakan” pendidikan, ekonomi, budaya dan bahasa mereka.

Ironinya, masyarakat Melayu tidak pula diberi peruntukan besar untuk meningkatkan dan meluaskan lagi taraf pendidikan, budaya dan bahasanya seperti yang dinikmati oleh orang lain.

Umum tahu kaum mana yang penat lelah beria-ia bersengkang mata berkempen pelbagai cara seperti bertandang ke rumah serta memasang bendera dan poster parti politik. Namun, orang lain jugalah yang mengaut untung secara langsung mahupun tidak langsung sebelum apatah lagi selepas pilihan raya.

Lihatlah apa yang berlaku di Perak apabila para penghuni kampung baru diberi hak milik kekal yang asalnya ialah tanah milik orang Melayu serta keputusan kerajaan negeri Selangor memberikan biasiswa kepada pelajar Melayu dan India yang menguasai bahasa Mandarin.

Malah, tindakan menyiarkan berita bahasa Cina di TV1 pada jam 8 malam juga tentunya mahu memenangi hati kaum Cina di sebalik ‘kalahnya’ bahasa kebangsaan sebagai alat utama penyampai maklumat berita semasa kepada rakyat di tanah air ini.

Walhal, kerajaan DAP Pulau Pinang pun tidak menyediakan peruntukan kepada persatuan Cina negeri itu untuk sambutan Tahun Baru Cina meskipun tidak mustahil itu mungkin strategi politik yang mereka sendiri lebih tahu.

Apapun, bantuan atau peruntukan yang diperoleh antara masyarakat Melayu dan kaum Cina menjelang setiap kali pilihan raya ibarat langit dengan bumi jauhnya.

Dalam kempen pilihan raya kecil di Kuala Terengganu lalu, dilaporkan dalam akhbar arus perdana bagaimana calon bertanding, Wan Ahmad Farid mengangkat seorang warga emas Melayu yang menderita penyakit saraf ke dalam sebuah kereta untuk dihantar ke hospital serta membelek tangan seorang lelaki dewasa Melayu yang cedera didakwa ditimpa bendera gergasi lawan yang jatuh selepas tiangnya patah.

Adakah hanya ‘bantuan mata’ melihat orang Melayu susah dengan mungkin sedikit wang belanja dapur itu sahaja sudah cukup memadai untuk memenangi hati pengundi Melayu? Ini kerana dalam masa yang sama kaum Cina telah mendapat bantuan untuk seluruh komuniti mereka bukannya sekadar peringkat individu seperti yang diperoleh orang Melayu.

Akibat kuasa tawar-menawar pengundi bukan Melayu dalam BN, PAS, PKR dan semestinya DAP yang begitu kuat menyebabkan semua parti yang dipimpin oleh Melayu begitu terdesak untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu.

Tidak hairanlah apabila cadangan satu jenis aliran sekolah kebangsaan ditimbulkan kembali, gegak-gempita kepimpinan Melayu daripada parti PAS dan PKR membantah kerana mahu dilihat prihatin kepada bukan Melayu.

Walhal, mereka sendiri juga sedar masalah perpaduan di negara ini tidak akan selesai selagi generasi muda kita melalui sistem pendidikan yang berasingan.

Sepatutnya, semua kepimpinan dan pemimpin Melayu tanpa mengira parti politik menjadikan titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah semasa penutupan Kongres Ekonomi Islam Ke-3 baru-baru ini sebagai panduan dalam mengatur strategi politik baru yang tidak merugikan bangsa sendiri dalam era selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008 lalu.

Jika tidak, amatlah dibimbangi masa depan orang Melayu tidak akan ke mana. Adakah kekhuatiran Aminuddin Baki melalui ungkapan penuh maknanya berbunyi “ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan” akan menjadi kenyataan nanti?

Pada ketika kepentingan bukan Melayu begitu dijaga walaupun jelas bertitik tolak atas faktor perkauman, kepentingan dan hak orang Melayu pula tidak lagi diberi penekanan atas alasan “keadilan” dan “perpaduan”.

Persoalannya, adilkah jika kepentingan suatu kelompok kaum sahaja begitu diutamakan dengan taburan wang jutaan ringgit sedangkan masyarakat Melayu yang jauh lebih ramai dan memerlukan lebih perhatian tidak dilayan sedemikian rupa?

Bersatu-padukah bangsa Malaysia jika peruntukan kepada sekolah Cina dan tindakan menggalakkan perkembangan bahasa Cina hanya akan meracuni masa depan sekolah dan bahasa kebangsaan yang sepatutnya menjadi milik semua kaum dalam mewujudkan rupa bangsa Malaysia sebenar? Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

No comments: