Sunday, January 25, 2009

Cabaran Malaysia Menjelang 2020

BARANGKALI ramai yang tidak menyedari tanggal 16 September merupakan hari yang perlu juga dihayati semangatnya seperti kemeriahan meraikan 31 Ogos saban tahun.

Pada tarikh itulah Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak terangkum dalam sebuah entiti politik baru bernama Malaysia pada tahun 1963. Namun, Singapura tersingkir dari Malaysia pada Mei 1965.

Sudah lama Tunku Abdul Rahman mengimpikan pembentukan Malaysia sehinggalah buat pertama kali dizahirkan di khalayak ramai pada 27 Mei 1961. Cita-cita mewujudkan Malaysia wujud atas kesedaran pentingnya jumlah bangsa Melayu yang serumpun mengatasi kaum pendatang bagi menjamin kelangsungan politik dan hak-hak yang sepatutnya dimiliki oleh golongan bumiputera.

Hasrat tersebut tidak diterima malah dilihat sebagai satu bentuk neokolonialisme atau penjajahan bentuk baru pula ke atas kedaulatan wilayah mereka. Reaksi yang tidak menyenangkan datang daripada pihak Indonesia, Filipina serta Parti Rakyat Brunei. Apa pun, tindakan Ganyang Malaysia melalui konfrontasi selama tiga tahun ternyata tidak menggugat hasrat untuk melihat Malaysia menjadi kenyataan. Reaksi serupa juga ditunjukkan oleh Filipina apabila pada peringkat awalnya tidak mahu mengaku kewujudan Malaysia.

Setelah liku dan ranjau dilalui serta peranan yang dimainkan oleh Suruhanjaya Cobbold sendiri, muktamadlah gabungan tiga wilayah ‘sahabat baik’ iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meneruskan cita-cita membentuk negara Malaysia yang progresif sehingga ke hari ini.

Persoalannya, sejauh mana tahap patriotisme dan perpaduan kaum di negara ini selepas tempoh 44 tahun terbentuknya sebuah negara bangsa Malaysia?

Perarakan kemerdekaan saban tahun dan tahun ini Perayaan Raksasa Menyambut Kemerdekaan di Stadium Merdeka lalu menyaksikan betapa meriahnya penglibatan semua kaum duduk bersama menyanyi dan mengibarkan Jalur Gemilang. Namun, keadaan sebenar di luar stadium adalah sebaliknya. Pengasingan dan polarisasi kaum masih ketara malah dikatakan semakin melebar. Begitu juga dengan kesetiaan serta rasa hormat rakyat terhadap ‘harta’ yang dikongsi bersama seperti Jalur Gemilang dan Lagu Kebangsaan.

Tindakan emosional membakar Jalur Gemilang dalam rusuhan di Kuala Terengganu baru-baru ini membuka mata kepada kita akan kewujudan mereka yang mengaku rakyat Malaysia namun ternyata tidak “segan” menderhaka kepada ibu pertiwinya.

Tidak seperti rakyat di negara lain, yang menghormati dan menyayangi identiti kebangsaan yang dimiliki. Begitu mudah untuk melihat kibaran bendera kebangsaan mereka sama ada di kawasan perumahan serta di premis perniagaan yang tidak terhad pada musim hari kebangsaan mereka. Sebaliknya, Jalur Gemilang pula hanya terasa kewujudannya pada bulan kemerdekaan negara sahaja. Itu pun semangatnya masih tidak menyeluruh lantaran kawasan-kawasan perumahan golongan elit dan kompleks perniagaan mewah seperti tidak terkesan semangat patriotismenya.

Apakah akibatnya jika golongan kelas menengah di negara ini tidak memiliki semangat patriotisme dengan berdindingkan jati diri yang kukuh walhal mereka juga adalah individu penting yang terlibat dalam merencanakan kemajuan serta pembuat dasar di negara ini?

Barometer perpaduan kaum di negara ini umumnya masih berjalan dengan baik walaupun dikatakan masih bersifat “plastik” semata-mata. Sebahagian rakyat Malaysia berbilang kaum masih memiliki sikap saling menghormati dan memahami perbezaan kebudayaan masing-masing. Melihat kepada interaksi sosial di sekeliling kita memang benar wujudnya perpaduan.

Memanipulasi

Namun, ada pihak yang cenderung memanipulasi faktor perkauman demi kepentingan masing-masing. Toleransi yang ditunjukkan oleh bangsa Melayu selama ini masih tidak dihayati apatah lagi mahu dikenang budi oleh segelintir pemimpin yang bersikap perkauman melampau ini.

Persefahaman kaum amat penting sesuai dengan pendekatan kita selama ini yang berpegang kepada permuafakatan politik (consosionalism politics) antara kaum. Oleh hal demikian, interaksi antara kaum perlu ditingkatkan di samping mengurangkan sedapat mungkin unsur-unsur yang bersifat pengasingan kaum.

Alangkah hairannya penulis bagaimana sebuah majlis berprestij yang mengiktiraf sumbangan seniman tanah air dalam sebuah majlis rasmi nasional mewujudkan anugerah “ini untuk filem Melayu terbaik dan itu untuk anugerah filem bukan Melayu terbaik”.

Sewajarnya, perbezaan tersebut hanyalah untuk urusan pentadbiran sahaja dan tidak perlu dibawa masuk dalam acara atau majlis yang membabitkan pelbagai kaum apatah lagi bertujuan untuk memupuk perpaduan seperti dalam majlis anugerah filem dan pertandingan deklamasi puisi. Namun, nampaknya kita lebih suka dengan pengasingan kaum dalam segala bidang kehidupan di Malaysia. Adakah pengasingan kaum ini membantu perpaduan bangsa Malaysia?

Bahasa kebangsaan ialah alat paling berkesan untuk mencapai perpaduan di dalam sebuah negara berbilang kaum di Malaysia ini. Aspek keseimbangan ekonomi antara kaum bukanlah satu faktor mutlak menjamin kelangsungan perpaduan bangsa di negara ini.

Bahasa kebangsaan yang lebih ramai difahami oleh semua golongan dan lapisan masyarakat perlu digunakan secara meluas dalam semua aspek kenegaraan di Malaysia. Ini kerana bahasa Mandarin dan Tamil misalnya hanya difahami oleh kaum masing-masing. Bahasa Inggeris pula bersifat elitis apabila lebih banyak digunakan oleh golongan kelas menengah serta kelompok masyarakat di bandar.

Walaupun negara diasak oleh arus globalisasi, bahasa kebangsaan tetap relevan sebagai alat pengukuhan perpaduan dan perlu diletakkan di senarai teratas dalam usaha memupuk perpaduan rakyat Malaysia. Apakah ertinya Malaysiaku Gemilang jika penggunaan dan keutamaan terhadap bahasa kebangsaan seperti beku dan terbuang?

Budaya berkomunikasi pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak perlu dicontohi kerana mereka berjaya meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengucapan dan komunikasi utama mereka. Begitu juga tahap kefasihan penduduk bukan Melayu yang mendiami kawasan-kawasan luar bandar mahupun di bandar yang mana majoritinya adalah Melayu. Membuka jendela ke arah negara jiran juga menampakkan kepada kita bagaimana fasihnya minoriti Cina di Indonesia berkomunikasi dalam bahasa Indonesia.

Pengukuhan bahasa Malaysia serta pemerkasaan sistem pendidikan kebangsaan yang turut memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sastera dan Sejarah dirasakan semakin perlu dalam tumpuan kita melangkah status negara maju 2020 nanti. Tentunya, bangsa Malaysia mahu melangkah dengan penuh bergaya tanpa compang-camping keperibadian dan identiti bangsanya.

Semua lapisan masyarakat berbilang kaum dari Perlis sehingga ke Sabah perlu menyemai tekad dan berganding bahu mewujudkan warga yang saling menghormati demi kehidupan yang aman buat generasi bangsa Malaysia seterusnya. Tindakan dan keputusan yang akan diambil perlu mengutamakan kepentingan nasional dan bukannya atas faktor kepentingan perkauman yang sempit. Disediakan Oleh: Mohd Arif Atan

No comments: