Monday, December 22, 2008

"PPSMI: Lakukan segera pungutan suara!"

Seminar anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) bersama-sama beberapa persatuan seniman dan penulis kawasan pantai timur di Kota Bharu pada Sabtu lalu telah membuat ketetapan tegas berhubung dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Penulis turut berada di sana bagi mendapatkan gambaran sebenar yang jelas berhubung ketegasan pihak yang menolak dasar berkenaan daripada diteruskan.

‘Amaran’ keras telah dibuat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran lantaran bercanggah dengan semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan polemik mengenai dasar yang telah berjalan selama enam tahun itu masih berpanjangan, ada baiknya satu tindakan yang adil segera dilakukan oleh pihak kerajaan.

Apatah lagi pihak yang menolak PPSMI bukannya sebarang orang. Mereka terdiri daripada golongan cendekiawan, pensyarah universiti berpendidikan dalam dan luar negara, pakar pendidikan, budayawan, mahasiswa termasuk para guru sebagai pelaksana dasar berkenaan. Tentunya kelompok modal insan ini mempunyai pandangan dan justifikasi masing-masing terhadap kewajaran PPSMI yang tidak harus diketepikan.

Malah, Persidangan Meja Bulat pada 16 Disember lalu yang telah menggariskan tujuh pilihan sebelum ini juga masih belum diberi kata putus sedangkan penggal persekolahan kian hampir. Oleh sebab itu, adalah lebih molek jika suatu pungutan suara atau referendum dilakukan bagi mendapat maklum balas seluruh rakyat Malaysia berhubung baik buruk pelaksanaan PPSMI.

Dalam hal ini, jasa baik pihak Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) perlu dipinta untuk tujuan tersebut bagi memastikan mekanisme kaedah dan hasil pungutan suara tersebut telus agar tidak dieksploitasi mana-mana pihak. Pungutan suara bukan suatu yang janggal dipraktikkan. Semasa ura-ura penubuhan Malaysia misalnya, langkah yang sama turut telah dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963 yang kemudian ditukar menjadi Persekutuan Malaysia adalah hasil daripada pungutan suara.

Dalam politik antarabangsa juga, terbaharu suatu referendum berhubung tempoh penggal pemerintahan Presiden Hugo Chavez telah pun diluluskan oleh Dewan Kebangsaan Venezuela pada 18 Disember lalu. Tanpa permuafakatan, berfikiran terbuka dan mengambil kira pendapat semua pihak seperti yang dapat dilihat terkandung dalam referendum, perasaan tidak puas hati kalangan rakyat pasti akan meninggi.

Parti politik pembangkang pula semestinya akan mengambil kesempatan atas isu ini walaupun mereka juga telah menolak cadangan sekolah satu aliran yang tujuan murninya untuk membentuk perpaduan nasional. Memang apa jua keputusan yang akan diambil hasil daripada referendum itu akan mendapat bantahan atau menerima pendapat pro dan kontra. Namun, sekurang-kurangnya rakyat tanah air ini telah diberi peluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing melalui referendum sebelum kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan atau membatalkan PPSMI.

Hakikatnya, pungutan suara untuk PPSMI adalah langkah terdekat yang wajar dilaksanakan sebelum Kementerian Pelajaran bertekad membuat sebarang keputusan. Dikhuatiri, tanpa kerajaan melakukan pungutan suara berhubung pelaksanaan PPSMI akan mengocak rasa tidak puas hati rakyat sehingga diterjemahkan dalam pilihan raya umum akan datang. Adakah kerajaan pemerintah hari ini mahu keadaan tersebut terjadi? Disediakan oleh: Arif Atan

No comments: